Anda di halaman 1dari 3

Kemanisan iman

05OGO

Mengapa soal hati sangat penting? Hati adalah kuasa penggerak dalam diri manusia. Jika hati dikuasai
kebenaran, nescaya ia akan menjana kebaikan. Sebaliknya, jika hati dipenuhi kebatilan, ia akan
melahirkan kejahatan. Hati yang dipenuhi kebaikan dan kebenaran ialah hati yang berkualiti. Ia mampu
menghadapi apa juga cabaran atau masalah dalam hidup. Manakala hati yang dikuasai kejahatan dan
kebatilan ialah hati yang lemah. Ia akan goyah menghadapi masalah dan cabaran dalam hidup.
Apabila hati tidak berkualiti, segala yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena dan tidak
puas. Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan, keseronokan dan hiburan
sehingga sanggup menempuh jalan yang salah untuk mencapai maksud yang tidak pernah puas. Mereka
ini umpama meminum air laut, makin diminum semakin haus. Atau memburu fatamorgana bahang
yang sangat panas disangka air.
Lihat sahaja Presiden Hosni Mubarak (Mesir), Zainal Abidin bin Ali (Tunisia) dan terkini Muammar
Gaddafi (Libya) yang tidak cukup-cukup dengan kuasa. Atau Tiger Woods yang tidak cukup-cukup
dengan wanita. Hakikatnya, berjaya mencapai kekuasaan, kekayaan, kecantikan dan lain-lain tanpa
kualiti hati (iman) hanya akan menjerumuskan manusia kepada rasa kekosongan, kemurungan dan
kebosanan. Inilah yang menyebabkan berlakunya perzinaan, rasuah, ketagihan dadah, alkohol dan sakit
jiwa dalam kalangan individu-individu yang kaya, jelita, berkuasa dan sebagainya.
Apabila kualiti hati rendah, nikmat yang banyak terasa tidak cukup. Akibat tidak bersyukur, bersabar,
qanaah dan redha, diri akan diperhambakan oleh hawa nafsu dan syaitan ke arah kejahatan. Sebaliknya,
hati yang kuat mampu mengawal nafsu (kehendak biologi, seksologi dan fisiologi) umpama burung yang
menerbangkan sangkarnya. Manakala, hati yang lemah sentiasa terkurung oleh kehendak nafsu, ibarat
burung yang terkurung di dalam sangkarnya.
Hati yang kuat akan memandang segala-galanya secara positif, mentafsirkannya secara positif dan
bertindak secara positif. Inilah yang sering disebut oleh pakar motivasi sebagai berfikir secara positif.
Dan apabila kita berfikiran positif, segala yang positif akan tertarik kepada kita. Inilah yang disebut
sebagai hukum tarikan (law of attractions) dalam kehidupan.
Apa yang kita yakini dalam hati menentukan sudut pandang (world view) kita seterusnya mempengaruhi
sistem nilai, sikap serta kelakukan kita. Orang yang memiliki hati yang tenang (hasil keimanannya kepada
Allah) akan melihat segala yang berlaku dari sudut pandangan aqidah (tauhidic mindset), lantas sistem
nilainya mengikut perspektif Allah dan Rasul-Nya. Nilai ini akan mempengaruhi sikapnya. Ia akan
menjadi seorang Mukmin yang segala kelakukannya berpandukan syariat dan akhlak Islamiah.
Orang Mukmin itu memiliki keajaiban dalam kehidupan. Apabila mendapat nikmat, dia akan bersyukur.
Apabila ditimpa musibah, dia mendapat hikmah. Semuanya dirasakan indah belaka kerana dia sudah
mendapat halawatul iman (kemanisan iman). Kemanisan iman itulah yang akan mencukupkan segala
macam bentuk keperluan manusia sama ada keperluan dalam bentuk kebendaan, pemikiran, perasaan
dan kejiwaan.
Apa itu kemanisan iman? Ia adalah satu rasa tenang, bahagia dan aman dalam jiwa seseorang hasil
keyakinannya yang tinggi kepada Allah, al-kitab, rasul dan lain-lain rukun iman. Ia adalah kemanisan
yang bersifat maknawi yakni tidak dapat dirasai dengan pancaindera tetapi hanya dapat dirasai oleh
hati. Orang yang telah merasai kemanisan iman akan merasai keindahan dalam melakukan ketaatan dan
bahagia ketika meninggalkan kejahatan. Apabila musibah melanda, mampu sabar dan redha. Bahkan dia
sanggup mati demi menemui kecintaan-Nya (Allah).
Tidak ada rasa sukar, penat, bosan, rugi dan lain-lain dalam diri orang yang telah merasai kemanisan
iman. Ia sesungguhnya mengatasi segala kemanisan duniawi. Mereka yakin bahawa apa-apa jua yang
ditakdirkan oleh Allah adalah baik belaka. Dan hasil keyakinan itu mereka mampu menukar segala yang
buruk menjadi kebaikan, segala kekurangan menjadi kelebihan, segala yang pahit menjadi penawar dan
segala yang kotor menjadi bersih dan jernih. Dalam jiwa mereka seolah-olah ada penapis yang mampu
menapis segala yang negatif menjadi positif.
Jika iman (kalimah syahadah) itu diumpamakan oleh Allah sebagai pohon yang baik, maka kemanisan
iman adalah rasa pada buah yang telah masak ranum, terhasil oleh kesuburan pohon yang telah
berbatang, berdahan, berdaun dan berbuah itu. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Tidakkah kamu
perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.
(Surah Ibrahim 14: 24)
Kemanisan iman berkadar terus dengan kesempurnaan iman dalam hati sanubari seseorang. Semakin
sempurna, teguh dan kukuh iman seseorang, maka semakin manislah iman itu dirasai olehnya. Oleh
sebab itu, bukan semua orang yang mengakui beriman dapat merasai kemanisannya. Ini kerana iman itu
bukan dengan kata-kata ataupun angan-angan tetapi ia diperkukuhkan dengan perbuatan dan
pengorbanan.
Sudah menjadi kewajipan setiap orang Islam memburu kemanisan iman. Ia perlu dijadikan agenda
utama dalam hidup mengatasi segala-galanya. Bahkan jika disedari, pemburuan untuk merasai
kemanisan iman ini adalah agenda seumur hidup. Kita hidup dengan iman, kita mati dengan iman dan
kita pinta masuk ke dalam syurga dengan iman. Namun, mana mungkin kita boleh melakukan segala-
galanya itu jika iman terasa pahit, pedih dan perit. Hanya orang yang rasa manis dengan iman sahaja
yang mampu hidup dan mati bersamanya!
Apabila seseorang mencintai Allah, maka Allah akan mencintainya. Dan apabila seseorang dicintai Allah,
maka hidup dan matinya akan dipermudahkan oleh Allah. Seluruh energi alam akan
menyebelahinya. Dalam hadis qudsi, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Allah akan berfirman: Wahai Jibrail, Aku mencintai seorang
hamba, maka cintailah dia. Kemudian Jibrail memanggil penduduk langit dan berkata: Sesungguhnya
Allah mencintai si polan, maka cintailah dia. (Riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah)

Anda mungkin juga menyukai