Anda di halaman 1dari 2

Soalan 2

2.1 PENGENALAN
Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan perkembangan daya intelek individu agar diberi
keutamaan berserta dengan perkembangan rohani, emosi dan jasmani, maka penting bagi setiap guru
merangsang daya pemikiran murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, kemahiran berfikir
merupakan salah satu daripada elemen utama di dalam kurikulum sekolah. Melalui kemahiran berfikir yang
diselitkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, murid akan dapat mewujudkan daya berfikir yang baik dan
berkesan selain dapat mengelak daripada melakukan kesilapan di dalam berfikir. Secara amnya, kemahiran
berfikir terdiri daripada dua iaitu, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Dalam kemajuan
penggunaan teknologi media massa ketika ini, bidang pendidikan tidak ketinggalan untuk turut sama dalam
memanfaatkan kecanggihan pelbagai gajet dan saluran yang tersedia bagi menyediakan dan melengkapkan
murid-murid dengan arus globalisasi yang semakin hebat gelombangnya.
Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang berbantukan komputer, guru perlu bijak mencari laman
web yang mampu merangsang minda murid-murid agar mereka didedahkan dengan kemahiran berfikir secara
langsung ataupun tidak langsung. Pemilihan laman web yang bersesuaian dengan aras dan objektif pengajaran
dan pembelajaran perlu dititikberatkan agar sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung dapat
mencapai objektif serta mudah diikuti oleh murid-murid. Saya telah memilih laman web
www.kidsmathgamesonline.com sebagai medium tambahan dalam mengajar matapelajaran matematik, yang
berbantukan komputer. Laman web tersebut juga menepati kehendak saya sebagai guru matapelajaran
matematik kerana terdapat beberapa ciri-ciri reka bentuknya yang mampu meningkatkan kemahiran berfikir
murid-murid seperti pelbagai soalan yang disediakan dan permainan yang diwujudkan mampu merangsang
kemahiran berfikir murid-murid. Gambar di bawah adalah contoh homepage laman web tersebut.
www.kidsmathgamesonline.com
2.2 Ciri-ciri reka bentuk yang dapat meningkatkan Kemahiran Berfikir
Ciri yang pertama dan paling utama ialah, mempunyai permainan. Permainan yang disediakan di dalam
laman web tersebut, bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga berkaitan dengan topik yang terdapat di dalam
buku teks KBSR. Permainan yang diwujudkan juga mampu merangsang kemahiran berfikir murid dalam
menjawab soalan-soalan yang disediakan. Di dalam kemahiran berfikir, terdapat dua bahagian utama yang
perlu didedahkan kepada murid, iaitu secara kritis dan secara kreatif. Melalui permainan matematik yang
terdapat di dalam laman web www.kidsmathgamesonline.com ini, murid dapat mengaplikasikan pengetahuan,
pengalaman dan kemahiran berfikir yang dirangsang melalui permainan yang diwujudkan secara lebih praktik
lagi, malah permainan-permainan yang ada juga dapat meningkatkan kualiti pemikiran murid. Sebagai contoh,
dalam salah satu permainan dalam laman web tersebut berkaitan dengan topik shape and space. Murid diminta
menganalisis bentuk pepejal dalam 2 dan 3 dimensi, kemudian meletakkannya di dalam ruang yang disediakan
yang mempunyai nama-nama bagi bentuk pepejal tersebut. Gambar di bawah adalah contoh permainan
tersebut.
Seterusnya,ciri kedua pula ialah, laman web www.kidsmathgamesonline.com ini juga mempunyai topik yang
berkaitan dengan sukatan pelajaran. Dengan adanya topik-topik yang berkaitan, maka mudahlah bagi seseorang
guru itu untuk mengadakan sesi soal jawab bersama murid tentang perkara-perkara yang tidak difahami. Secara
tidak langsung, sesi tersebut melibatkan pembelajaran koperatif iaitu dari sudut interpersonal murid. Sesi ini
mampu merangsang kemahiran berfikir murid dengan mengajukan beberapa soalan yang tidak difahami. Oleh
itu, murid dapat memperkembangkan kecerdasan logik matematik mereka dengan membuat keputusan dan
menyelesaikan masalah berkaitan matematik. Sekiranya aktiviti dilakukan secara berkumpulan, maka lebih
banyak lagi idea yang dapat dikumpulkan oleh murid. Ini kerana, melalui perkongsian idea secara berkumpulan
ini juga maka murid-murid akan dirangsang dengan menggunakan kemahiran aras tinggi, iaitu merancang dan
menjana idea.
Ciri yang ketiga ialah, laman web ini turut menyertakan banyak latihan-latihan berkaitan topik yang diajar.
Tidak kira samaada latihan latih tubi mahupun latihan pengukuhan yang dapat membantu merangsang
kemahiran berfikir murid-murid. Melalui latihan-latihan yang disediakan di dalam laman web ini juga, murid

akan dapat menggabungkan kemahiran berfikir mereka, iaitu gabungan aras rendah dan tinggi. Sebagai contoh,
dalam soalan yang melibatkan formula dan kaedah hafalan untuk mendapatkan jawapan, kedua-dua kemahiran
tersebut digunakan oleh murid untuk menjawab soalan-soalan di dalam latihan tersebut. Dalam kemahiran
berfikir aras rendah, kaedah hafalan dan mengingat formula merupakan merupakan salah satu daripada
contohnya manakala penggunaan pemikiran yang luas dan mendalam pula, terutamanya soalan aras tinggi,
murid akan terangsang untuk menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi. Kecerdasan murid dalam bidang
logik seperti mata pelajaran matematik juga dapat dikembangkan.
Ciri yang keempat pula ialah, adanya soalan penyelesaian masalah. Soalan jenis penyelesaian masalah
adakalanya terlalu sukar bagi murid untuk dijawab. Namun, melalui laman web
www.kidsmathgamesonline.com ini, penggunaan grafiknya yang menepati prinsip reka bentuk visual seperti
dari segi simplisiti dan variasi, soalan-soalannya menjadi lebih mudah untuk dijawab. Malah, menarik minat
murid. Secara tidak langsung, dengan adanya soalan jenis penyelesaian masalah ini, maka murid-murid dapat
menggunakan serta meningkatkan kemahiran berfikir mereka. Murid akan membuat analisis seperti
membanding, membeza, mengelas, menilai, menyusun atur dan mentafsir. Melalui analisis yang dibuat untuk
menjawab soalan tersebut, murid dapat menjana idea mereka untuk mendapatkan jawapan. Gambar di bawah
merupakan salah satu daripada contoh soalan penyelesaian masalah mata pelajaran matematik.
Ciri yang kelima ialah, laman web ini tidak hanya tertumpu kepada satu jenis mata pelajaran sahaja. Di dalam
laman web www.kidsmathgamesonline.com ini juga terdapat mata pelajaran lain seperti sains. Dengan adanya
mata pelajaran lain, maka kemahiran berfikir murid dapat dikembangkan melalui kepelbagaian kecerdasan.
Adakalanya sesuatu soalan itu dibuat berdasarkan sesuatu fakta seperti berdasarkan fakta sains. Oleh kerana
laman web ini mempunyai pautan dengan mata pelajaran sains, maka mudahlah bagi murid untuk mengakses
masuk ke pautan yang disediakan, iaitu di dalam mata pelajaran sains bagi mencari maklumat serta
mengesahkan maklumat yang diberi atau dicari adalah betul. Dengan cara itu, maka kemahiran berfikir murid
dapat ditingkatkan kerana murid akan dirangsang berfikir melalui fakta yang terdapat pada soalan yang ingin
dijawab, serta mencari maklumat pada pautan yang disediakan, bagi mengesahkan sumber maklumat yang ada.
Maka dengan itu, murid telah membuat analisis untuk membuat keputusan sebelum menyelesaikan masalah
pada soalan yang berkaitan.
Ciri yang keenam pula ialah, laman web ini mengandungi pelbagai isi kandungan yang mampu merangsang
dan meningkatkan kemahiran berfikir murid. Kepelbagaian lembaran kerja yang boleh dicetak, fakta-fakta yang
berkaitan dengan topik-topik yang berkaitan malah dalam mata pelajaran matematik pula disediakan paparan
video untuk menyelesaikan sesuatu soalan seperti operasi asas tolak, tambah, bahagi dan darab serta pecahan.
Dengan adanya perisian dan kandungan-kandungan tersebut, tugas guru untuk meningkatkan lagi kemahiran
berfikir murid menjadi lebih mudah dengan bantuan laman web ini. Malah, murid lebih mudah menggunakan
kemahiran berfikir serta menggabungkan kemahiran berfikir mereka secara kritis dan kreatif.
Kepelbagaian laman web yang ada di internet pada masa ini sebenarnya membantu guru dalam memudahkan
sesi pengajaran dan pembelajaran, selain daripada menjadikan sesi tersebut lebih menarik serta mampu menarik
minat murid untuk lebih tumpuan terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran. Namun, tidak semua laman web
yang tersedia itu mengandungi bahan yang mampu meningkatkan kemahiran berfikir murid-murid. Oleh itu,
sudah menjadi kelaziman di dalam tugas guru untuk memastikan, bahan yang dipilih melalui internet itu
mempunyai kandungan yang dapat meningkatkan kemahiran berfikir murid serta bijak menggunakan bahan
tersebut dalam sesi pengajaran dan pembelajaran agar kemahiran berfikir murid benar-benar dapat dirangsang.
(2,516 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai