Anda di halaman 1dari 12

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)

Latihan 1
Bahagian A
[30 markah]
(Masa dicadangkan : 45 minit)
Lihat rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang punca-punca yang membawa kepada
kecemerlangan murid dalam akademik. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah
perkataan.

Tumpuan semasa guru


mengajar di dalam
kelas

Program
kecemerlangan
akademik di sekolah

PUNCA-PUNCA KECEMERLANGAN
MURID
DALAM AKADEMIK
Sokongan daripada ibu
bapa

Kumpulan
perbincangan

Jawapan:
Khalifah Ar-Rasyidin yang keempat, Saidina Ali Abi Talib pernah menukilkan, Ilmu apabila
diperdagangkan bertambah, sebaliknya harta apabila diperdagangkan berkurang. Pernyataan ini jelas
menunjukkan bahawa ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan seharian kita terutamanya murid-murid
sekolah.
Kecemerlangan murid dalam akademik adalah sangat penting kerana mereka merupakan bakal
pemimpin kita pada masa hadapan. Remaja yang cemerlang akan menyumbang kepada pembangunan
sesebuah negara. Hal ini bertepatan dengan ungkapan Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara .
Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan seseorang murid dalam akademik?
Faktor utama yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam akademik ialah melalui tumpuan
ketika guru mengajar di bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran (p&p). Sekiranya seseorang
murid itu menumpukan perhatian semasa guru mengajar di bilik darjah, sudah tentu pelajaran tersebut lebih
cepat diserap masuk ke dalam minda murid-murid. Pakar psikologi pernah mengatakan bahawa, lima puluh
peratus kejayaan murid dalam akademik adalah melalui tumpuan seratus peratus murid ketika proses
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Kebanyakan murid yang berjaya dalam akademik adalah terdiri
daripada mereka yang sentiasa mengemukakan soalan kepada guru-guru sekiranya terdapat tajuk yang tidak
dapat difahami ketika guru mengajar. Selain itu, murid-murid yang sering berjumpa dan berbincang dengan guruguru tentang akademik, pasti meraih kejayaan yang cemerlang. Dalam hal ini, murid-murid perlu menghindari
perasaan malu atau segan untuk bertanya apa-apa masalah tentang akademik kepada guru mereka kerana
pepatah menyatakan, malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Murid-murid juga perlu
menyiapkan segala kerja rumah yang disuruh oleh guru dan menghantar dengan segera kepada guru untuk
diperiksa. Murid-murid juga turut melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah secara proaktif bagi membantu

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)


mewujudkan proses pengajaran guru yang menarik dan berkesan. Tegasnya, tumpuan murid-murid semasa guru
sedang mengajar dalam bilik darjah merupakan faktor utama kecemerlangan murid dalam akademik
Selain itu, program kecemerlangan akademik yang dianjurkan oleh pihak sekolah turut menyumbang
kepada kecemerlangann murid dalam akademik. Antara program yang diadakan ialah pelancaran Minggu
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Melalui pelaksanaan program ini, murid-murid dapat memupuk minat
mereka dalam subjek tertentu dan seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademik. Selain
program Minggu Bahasa, pihak sekolah juga banyak mengadakan bengkel teknik menjawab soalan bagi subjeksubjek tertentu . Dengan menghadiri bengkel menjawab soalan , murid-murid dapat mengetahui kelemahan
mereka dalam sesuatu subjek dan memperbaiki kelemahan tersebut serta mendedahkan murid-murid berkaitan
teknik untuk menjawab soalan peperiksaan sebenar dengan betul. Hal ini bertujuan untuk menjadikan muridmurid supaya lebih berkeyakinan semasa menjawab soalan dalam peperiksaan yang sebenar. Sekolah turut
mengadakan kem kecemerlangan, kem motivasi dan kem bina insan agar murid dapat membina sahsiah diri,
mempunyai motivasi dan membentuk keperibadian yang luhur. Program Hari Anugerah Cemerlang yang
diadakan pada setiap tahun juga turut memberi motivasi kepada murid supaya belajar bersungguh-sungguh.
Jelasnya, program yang dianjurkan sekolah juga merupakan salah satu faktor kecemerlangan murid dalam
akademik.
Seterusnya, saya akan menubuhkan kumpulan perbincangan di sekolah bagi meraih kejayaan yang
cemerlang dalam akademik. Saya akan mengajak empat atau lima orang rakan saya untuk sama-sama
berbincang tentang sesuatu tajuk atau topik pelajaran yang kurang difahami. Selain guru, penerangan dan
penjelasan daripada rakan-rakan dalam kumpulan perbincangan berkaitan sesuatu topik amat penting untuk
meningkatkan pemahaman murid tarhadap tajuk pelajaran yang kurang difahami semasa di kelas. Bersama
rakan perbincangan juga, saya akan membuat lebih banyak latihan terutamanya Matematik, Fizik, Prinsip Akaun
dan subjek Sains yang lain. Saya dan rakan kumpulan perbincangan akan selalu mengunjungi perpustakaan
untuk mengulang kaji pelajaran dan berbincang dengan rakan-rakan. Kami akan menyiapkan kerja rumah dan
latihan yang diberi oleh guru bersama-sama. Kumpulan perbincangan amat penting lebih-lebih lagi menjelang
peperiksaan yang sebenar. Murid-murid yang menyertai kumpulan perbincangan di sekolah akan lebih bersedia
dan berkeyakinan ketika menghadapi peperiksaan. Oleh itu, penyertaan murid dalam kumpulan perbincangan
guga merupakan antara faktor kejayaan murid dalam akademik.
Akhir sekali, kecemerlangan murid dalam akademik berpunca daripada sokongan dan dorongan
daripada kedua-dua ibu bapa. Dorongan daripada ibu bapa dapat menjadikan seseorang murid itu rajin dan
gigih berusaha untuk mencapai kecemerlanagn. Hal ini kerana dorongan daripada ibu bapa merupakan satu
sumber inspirasi kepada anak-anak. Anak- anak akan lebih berjaya dalam pelajaran mahupun dalam hidup
dengan adanya dorongan, motivasi, kata-kata perangsang, restu, dan keredaan daripada ibu bapa. Ibu bapa
juga boleh menjadi contoh teladan kepada anak-anak dengan membawa anak-anak ke perpustakaan atau
menghantar anak-anak ke kelas tambahan. Anak-anak akan mencontohi ibu bapa dan menganggap dorongan
ibu bapa itu sebagai motivasi kepada diri mereka sendiri. Bak kata peribahasa, ke mana tumpahnya kuah
kalau tidak ke nasi. Salah satu cara ibu bapa memberi dorongan kepada anak-anak adalah dengan
memperuntukkan sejumlah wang untuk anak-anak menghadiri kelas tuisyen dan menyediakan kemudahan untuk
anak mereka belajar di rumah. Ibu bapa juga boleh menyediakan perpustakaan mini di rumah untuk memupuk
budaya membaca dalam diri anak-anak. Dengan ini, anak-anak akan membahagiakan ibu bapa dengan
kejayaan yang dicapai oleh mereka. Tegasnya, dorongan ibu bapa amat penting untuk anak-anak mencapai
kecemerlangan dalam akademik.
Kesimpulannya, banyak faktor penentu kecemerlangan murid dalam akademik. Untuk mencapai
kecemerlangan dalam akademik, murid-murid perlu memberikan tumpuan ketika pembelajaran di bilik darjah.
Murid-murid juga hendaklah menyertai program-program akademik yang dianjurkan oleh sekolah selain
menyertai kumpulan perbincangan di sekolah. Kecemerlangan murid dalam akademik juga adalah berpunca
daripada sokongan dan dorongan daripada ibu bapa. Tegasnya, kecemerlangan seseorang murid dalam
akademik bergantung pada keazaman seseorang murid itu untuk berjaya, bak kata pepatah, usaha tangga
kejayaan dan hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Latihan 2
Bahagian A

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)


[30 markah]
(Masa dicadangkan : 45 minit)
Lihat gambar rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mewujudkan
perpaduan kaum. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Peranan sekolah
Rumah terbuka pada hari
perayaan

USAHA-USAHA
Kepelbagaian
kebudayaan
MEWUJUDKAN
PERPADUAN KAUM.

Kepelbagaian kebudayaan

Hari Keluarga

Usaha-usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum


Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum
dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman
dan damai malah saling menghormati. Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu dan bekerjasama berdasarkan
atas prinsip-prinsip Rukun Negara. Perpaduan yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 kerana
rakyat Malaysia sedar akan pentingnya perpaduan bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat. Persoalannnya, apakah usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita?

Salah satu usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita adalah peranan yang dimainkan oleh
pihak sekolah. Rakyat harus menyokong cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan
kebangsaan. Dengan adanya sistem pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum dan penggunaan Bahasa
Melayu sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu membentuk elemen perpaduan dalam kalangan murid.
Apabila murid berbilang kaum di peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah
rendah lagi, usaha untuk membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan
dengan lebih berkesan. Di sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi, bergaul , bermain dan
sebagainya semasa melakukan aktiviti- aktiviti semasa P & P ataupun aktiviti kokurikulum. Dengan cara ini,
generasi Malaysia yang lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu,
menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, sifat
perpaduan kaum dapat dipupuk dalam kalangan murid. Jelasnya, generasi muda akan sedar akan peranan
mereka untuk mengukuhkan perpaduan kaum menerusi peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah.
Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan dapat mewujudkan perpaduan kaum di
negara kita. Rumah terbuka bermaksud satu perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama
dengan tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan kunjung-mengunjungi
ketika merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim
dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semasa menghadiri rumah terbuka, rakyat Malaysia boleh
mengenali adat resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana sikap bertimbang rasa

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)


dan saling menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum yang ada di negara kita sedia menerima adat
resam dan budaya kaum lain selain dapat menikmati juadah tradisional masyarakat mengikut kaum yang ada di
Negara kita. Rakan-rakan yang datang berkunjung ke rumah kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan
sesama kaum tetapi juga dapat memeriahkan suasana rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan
pada setiap perayaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.
Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipupuk menerusi aktiviti hari
keluarga. Hari keluarga merupakan aktiviti yang sihat yang wajar menjadi kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti
hari keluarga boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah taman atau komuniti untuk
mengerattkan hubungan sesama kaum.Hari keluarga boleh diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan
di kawasan berhampiran tempat tinggal seperti di padang sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah tempat
perkelahan. Ibu bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai aktiviti yang dijalankan. Secara tidak
langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan berkomunikasi dengan jiran tetangga mereka yang
selama ini hanya berpeluang untuk melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya, aktiviti hari
keluarga yang dijalankan dapat mengeratkan perpaduan dan sekali gus menjayakan gagasan 1 Malaysia.
Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat diwujudkan menerusi kepelbagaian
kebudayaan. Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan
perpaduan. Walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila dikaitkan dengan
kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya tanpa wujud prasangka. Apabila diadakan sesuatu persembahan
untuk meraikan hari kebesaran atau menerima kedatangan orang kenamaan, akan dipersembahkan tarian oleh
pelbagai kaum seperti tarian Zapin dan tarian Inang oleh masyarakat Melayu. Tarian kipas, tarian singa dan
tarian piring oleh masyaraat Cina, Tarian Bharatanatiam dan Tarian Kollattam oleh masyarakat India.
Persembahan kebudayaan yang unik ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelancong asing yang
berkunjung ke negara ini. Tegasnya, kepelbagaian kebudayaan yang ada di negara kita dapat mewujudkan
perpaduan kaum dan mengenali antara satu sama lain kerana tak kenal maka tak cinta.
Kesimpulannya, usaha mewujudkan perpaduan kaum perlu diberi penekanan di negara kita kerana
menjadi tonggak kesejahteraan rakyat dan kemakmuran. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam
memastikan perpaduan dapat dicapai di negara ini. Jelasnya, rakyat Malaysia perlulah bersama-sama
menjayakan Gagasan 1 Malaysia seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd.
Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Bersatu teguh, bercerai roboh.

Latihan 3
Bahagian A
[30 markah]

(Masa dicadangkan :
45 minit)

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)


Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mengelakkan kejadian
tanah runtuh di negara ini. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah kata.

Menanam semula pokok


di cerun bukit

Mengawal pembangunan
di lereng bukit

USAHA-USAHA
MENGELAKKAN KEJADIAN
TANAH RUNTUH

Sistem Perparitan yang


terancang

Penguatkuasaan
undang-undang

Jawapan:
Peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 dan kejadian tanah runtuh yang
meragut nyawa anak-anak yatim di Hulu Langat, merupakan dua peristiwa yang banyak mengalirkan air mata
rakyat Malaysia. Peristiwa ini menuntut masyarakat membenamkan mata fikir dalam akal yang waras untuk
mencari penyelesaian bukan hanya polemik di media-media dan menuding jari berbalah sesama sendiri
terhadap peristiwa yang terjadi. Secara implisitnya, ketidakprihatinan masyarakat negara ini merupakan punca
kemurkaan alam kepada kita. Justeru, adalah wajar semua pihak membuka mata serta mengorak langkah
bagi mengelakkan kejadian ini. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan
kejadian tanah runtuh di Negara ini?
Usaha pertama untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara ini ialah kerajaan menanam
semula pokok-pokok di cerun bukit terutama di kawasan yang telah dibangunkan. Usaha murni tersebut
merupakan langkah terbaik untuk menjaga cerun-cerun dan kawasan yang dibangunkan daripada terdedah
kepada risiko kejadian tanah runtuh. Usaha tersebut juga dapat menguatkan tanah yang telah melalui proses
pembangunan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan yang dijalankan menyebabkan banyak
pokok yang ditebang dan bukit ditarah atas nama pembangunan. Hutan rimba dan bukit-bukau merupakan
pasak kepada ekosistem bumi. Pembalakan dan penebangan hutan tanpa kawalan telah melonggarkan ikatan
tekstur tanah, menjadikan cerun longgar dan rebah. Di Malaysia, hujan lebat yang turun akan menyebabkan
tanah di lereng bukit menjadi longgar dan menggelongsor. Oleh itu, pokok-pokok besar yang berakar dalam dan
tanaman tutup bumi perlu ditanam untuk menyelamatkan kawasan pembangunan yang terdedah kepada cuaca
dan hujan lebat. Hal ini dapat membantu menyekat pergerakan tanah daripada dibawa aliran air bawah tanah
yang menggelonsorkan cerun yang tidak stabil. Usaha menanam kembali pokok-pokok atau tumbuh-tumbuhan,
dapat memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan. Kejadian tanah runtuh yang berlaku di
Kondominium Highland Tower dan Bukit Antarabangsa misalnya, masih lagi menjadi igauan rakyat akibat tidak
mempedulikan cerun yang lemah berhampiran dengan kediaman. Jelasnya, untuk mengelakkan kejadian tanah
runtuh, kerajaan perlulah menanam semula pokok-pokok di cerun-cerun bukit.

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)


Usaha kedua yang dapat dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh ialah kerajaan
membina sistem perparitan yang terancang. Sistem perparitan yang terancang penting untuk membolehkan air
hujan dari cerun bukit mengalir dengan baik dan terus ke longkang atau sungai dan laut. Air tidak akan
bertakung di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan berlakunya banjir. Keadaan ini secara tidak langsung
boleh mengelakkan berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh. Sistem perparitan yang dibina dapat berfungsi
sebagai benteng yang kukuh di lereng bukit. Sistem perparitan yang terancang dapat memadatkan struktur tanah
di lereng bukit. Sekiranya, tidak ada sistem perparitan dibina di lereng bukit, hujan lebat yang turun di kawasan
bukit akan menyebabkan air bertakung dan menyerap di kawasan lereng bukit melalui tanah sehingga struktur
tanah menjadi longgar dan tidak kukuh. Hal ini boleh mengundang padah seperti berlakunya banjir kilat, hakisan
tanah dan tanah runtuh. Rakyat Malaysia tidak pernah melupakan peristiwa yang berlaku di Pos Dipang, Perak
yang mengorbankan begitu banyak nyawa akibat banjir lumpur. Kawasan tanah tinggi yang dibangunkan
pembangunan sangat berisiko dengan kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur. Oleh itu. jelaslah pembinaan
sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh.
Selain itu, pembangunan yang terancang juga merupakan usaha yang dapat dilakukan untuk
mengurangkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Kerajaan perlu mendepani persaingan pembangunan dengan
strategik dan bijak. Tindakan strategik dan sistematik terhadap pembangunan adalah sangat mustahak
dipraktikkan bagi memastikan pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah
bersifat mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Memang pembangunan tidak
dapat dihentikan, tetapi pembangunan perlu dirancang sebaik-baiknya untuk mengurangkan fenomena yang
membawa bencana kepada pelestarian alam dan manusia. Pembangunan seperti perumahan, perladangan dan
pelancongan perlu dirancang dengan teliti demi keselamatan dalam jangka panjang. Kawasan ladang di lereng
bukit perlu dibina teres selain menyusun atur tanaman dan laluan untuk menyelamatkan cerun. Kerajaan atau
pemaju perumahan perlu mengkaji keutuhan tanah di lereng bukit dari semasa ke semasa untuk mengelakkan
kejadian tanah runtuh yang tidak diingini berlaku. Kerajaan juga perlu menetapkan junlah kuota untuk
melaksanakan pembangunan di lereng-lereng bukit. Selain itu, pihak-pihak tertentu seperti pemaju perumahan
perlu mewujudkan Pelan Tindakan Kecemasan untuk bertindak pantas apabila mengesan tanda-tanda
pergerakan cerun berlaku. Perancangan pembangunan perlu melihat simbiosis alam dengan projek yang bakal
dibangunkan. Jelasnya, Pembangunan yang terancang dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti
tanah runtuh.
Akhirnya sekali, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian yang
boleh meragut nyawa. Penguatkuasaan yang tegas dapat mencegah sesetengah pihak yang melaksanakan
projek pembangunan seperti melepaskan batuk di tangga. Penguatkuasaan tanpa pilih bulu dapat
mencegah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan perlu mengawal aktiviti pembalakan dan
penebangan hutan di negara kita. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengehadkan jumlah lesen yang diluluskan
untuk penebangan hutan. Hanya pokok yang telah cukup tua sahaja dibenarkan untuk ditebang Lesen dan
konsesi pembalakan perlu disemak semula. Kelulusan Sijil Menduduki Kediaman dan pembangunan di
kawasan tanah tinggi dan cerun perlu diberi perhatian wajar oleh kementerian yang berkaitan. Mereka yang
melanggar peraturan yang ditetapkan haruslah dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman penjara atau
denda yang tinggi sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan tersebut. Penetapan akta seperti Akta
Pembangunan, Akta Tanah, dan Akta Perhutanan dapat menjaga hak dan menyelematkan situasi genting.
Jelasnya, penguatkuasaan yang tegas dapat memberi kesan kepada pihak yang mementingkan keuntungan
tanpa menghiraukan kebajikan sosial.
Kesimpulannya, rakyat Malaysia masih mempunyai ruang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkan
kejadian tanah runtuh. Usaha semua pihak amat diharapkan agar kejadian tanah runtuh ini dapat dielakkan.
Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap tersebut boleh
mengundang padah. Rakyat Malaysia diharapkan dapat merenung kata-kata Chief Seattle bahawa kita tidak
mewarisi bumi ini daripada nenek monyang kita, sebaliknya kita meminjamnya dari cucu cicit kita. Oleh itu , kita
perlu menjaga sesuatu yang kita pinjam agar kita dapat memulangkan dengan keadaan yang masih baik.

Latihan 4
Bahagian A

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)


[30 markah]

(Masa dicadangkan :
45 minit)

Carta di bawah ini menunjukkan sebahagian daripada keistimewaan negara kita. Huraikan pendapat anda
tentang kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita. Panjangnya huraian hendaklah
antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Bandar Bersejarah
Mempromosikan tempat
pelancongan yang
menarik

Beraneka jenis makanan


Mempromosikan makanan
setempat

KEISTIMEWAAN
NEGARA KITA
Seni Kraf Tangan
Memperkenalkan dan
mengembangkan industri
kraf tangan

Kebudayaan
memperkenalkan budaya
yang unik lagi istimewa

Kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita.


Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini
menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana
langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia
semakin meningkat. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai
pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Persoalannya,
apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?
Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang
menarik di Malaysia. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar
Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu
pengetahuan seseorang. Di negara kita pelancong juga boleh bermain sambil melawat tempat tempat
bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan
bagi sesetengah pelancong. Jadi, bagi memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan
turut diadakan seperti di Kota A Famosa. Di Kota A Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan
ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia
Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat
sama ada kanak kanak ataupun dewasa. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat
pelancongan yang menarik di negara kita.
Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia
mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang mempunyai pelbagai
kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India.

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)


Negara negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng,
stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak
seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia
mengetahui pelbagai jenis makanan dari serata dunia seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum
Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta
tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah
dirasai oleh pelancong ini memberikan mereka rasa baharu maka menarik minat mereka untuk mengunjungi
Malaysia. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan.
Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan
di Malaysia. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan
amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik,
kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada
pelancong. Pelancong pasti membeli belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket,
wau dan lain lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong
asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi
kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor
pelancongan.
Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa
kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik
seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai
adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor
pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke
serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan
kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi
peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan
lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan sari yang diperbuat
daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang
ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke
negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor
pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.
Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam
negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya
negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi
negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga
kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana
pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Latihan 5
Bahagian A
[30 markah]

(Masa dicadangkan :
45 minit)

Lihat grafik di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah bersukan kepada
masyarakat.Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)

FAEDAH BERSUKAN

BERFAEDAH
KEPADA KESIHATAN

SEBAGAI KERJAYA

MENGISI MASA
LAPANG

MENGERATKAN
HUBUNGAN

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai
riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan
membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan
lebih dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa
manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan
sekadar pertarungan di gelanggang sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada
maasyarakat?
Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan
fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan
pemikiran.Golongan profesional dan separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa
mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan
masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak ,
remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan.
Kegiatan sukan merupakan langkah awal seperti kata pepatah sediakan payung sebelum hujan dalam
mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan juga dapat
membantu mereka yang telah menghidap penyakit untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang
sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan
sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan
jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya,
penglibatan dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.
Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang sebenarnya amat
berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah
satu cara mengisi masa lapang dengan berfaedah. Masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa
itu sangat berharga .Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)


tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat
menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan membuang masa
sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik masyarakat ke
arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu
meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah dengan yakin ke peringkat antatabangsa walaupun
melalui ranjau pidana dunia persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat
memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.
Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan
perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat
kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan
dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu,
hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan
masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai
perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi
kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru , kegiatan sukan dapat
mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan.
Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan
kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang
lumayan. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang
besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan global mampu menjana
keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama
perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang berkebolehan
mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka. Pemain bola
sepak secara professional, pemain badminton seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli masing-masing
menjadikan badminton dan bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru
kepada masyarakat.
Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada
masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis sukan. Sukan
diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan
juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara maju yang lain. Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada
individu, masyarakat dan negara. Tegasnya, kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan
masyarakat.

Latihan 6
Bahagian A
[30 markah]
(Masa dicadangkan : 45 minit)
Gambar di bawah menunjukkan suasana di sebuah pusat sumber sekolah. Huraikan pendapat anda tentang
usaha-usaha meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah. Panjangya huraian
hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

MENGADAKAN
PELBAGAI
10
PERTANDINGAN /
AKTIVITI

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)

LOKASI PUSAT
SUMBER
PERLULAH
STRATEGIK &
SUASANANYA
KONDUSIF

PUSAT
SUMBER
SEKOLA
H

MENGHEBAHKAN
KEMUDAHAN
PUSAT SUMBER
KEPADA PELAJAR

MENGADAKAN
PROGRAM MEMBACA

JAWAPAN:
Pusat sumber bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan. Banyak bahan bacaan
dikumpulkan dan disimpan di sana. Antaranya termasuklah bahan rujukan, buku cerita, majalah, surat khabar
dan sebagainya daripada pelbagai negara. Kesemua bahan ini adalah untuk bacaan dan rujukan murid dan
warga sekolah. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di pusat sumber, contohnya kemudahan ASTRO
kampus, ICT, makmal bahasa, bilik audio visual, dan sebagainya. Murid akan memperoleh pelbagai manfaat
jika memaksimum penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah. Persolannya, apakah usaha-usaha yang
boleh dilakukan untuk meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah?
Antara usaha untuk meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah (PSS) adalah
dengan memastikan lokasi pusat sumber sekolah perlulah strategik agar mudah dikunjungi oleh murid-murid.
Misalnya, lokasi pusat sumber perlu terletak di bahagian bawah atau paras paling rendah sesebuah bangunan
agar memudahkan pengunjung. Lokasi PSS juga perlu jauh daripada suasana kebisingan untuk membolehkan
pengunjung memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. PSS juga perlu terletak di tempat yang menjadi
tumpuan semua orang. Hal ini memudahkan pengunjung untuk mengunjungi PSS. Bangunan tersebut perlulah
dicat dan dihias dengan mural yang sesuai dan menarik supaya menjadi tarikan murid untuk mengunjungi dan
meneroka kemudahan yang terdapat di pusat sumber itu, bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Selain
itu, suasana di dalam pusat sumber perlulah kondusif seperti terdapat penyaman udara, dan ruang membaca
dan membuat rujukan yang selesa. Suasana di pusat sumber juga perlu ceria, bersih dan senyap agar
pengunjung dapat memperoleh ketenangan dan memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. Buku-buku
yang terdapat dalam PSS perlulah ditambah bilangannya dan yang terkini. Waktu PSS juga perlu ditambah untuk
membolehkan murid-murid meminjam buku dan membaca atau membuat ulang kaji.
Usaha seterusnya ialah guru Pusat Sumber Sekolah perlu menghebahkan perkhidmatan dan
kemudahan yang terbaharu yang disediakan di pusat sumber. Hebahan tersebut boleh dilakukan semasa
perhimpunan mingguan. Melalui saluran ini, murid-murid dapat mengetahui maklumat terkini tentang kemudahan
terbaharu yang terdapat di pusat sumber seperti e-pusat sumber iaitu kemudahan pusat sumber yang
menggunakan rangkaian internet dan komputer dan sistem automasi. Di samping itu, bahan rujukan dan koleksi
buku cerita pelbagai bahasa juga dihebahkan untuk menarik murid mengunjungi pusat sumber. Maklumat-

11

KERTAS 1 : BAHAGIAN A ( BM SPM PECUTAN AKHIR 2012)


maklumat tentang buku dan bahan rujukan terkini perlu ditampalkan di papan kenyataan pusat sumber dan
kelas-kelas untuk rujukan murid. Selain itu, murid-murid dan persatuan-persatuan yang ingin mengadakan
mesyuarat di PSS juga dialu-alukan agar mereka dapat memanafaatkan sepenuhnya penggunaan PSS. Mereka
perlulah menempah bilik tersebut terlabih dahulu agar tidak berlaku pertembungan. Pihak PSS juga boleh
menampal jadual penggunaan bilik mesyuarat di papan notis. Jelasnya, melalui hebahan tersebut, murid-murid
dapat maklumat tentang penggunaan perkhidmatan pusat sumber dan berminat untuk mengunjungi Pusat
Sumber Sekolah.
Selain itu, untuk menggalakkan murid-murid mengunjungi PSS, pihak PSS perlu mengadakan Program
Membaca. Program banyak membaca atau program NILAM harus digiatkan lagi agar murid akan sentiasa
mengunjungi pusat sumber untuk meminjam dan membuat bacaan di pusat sumber. Program NILAM
merupakan satu pendekatan untuk penyuburan tabiat membaca dalam kalangan murid. Hal ini menggalakkan
usaha berkekalan murid untuk menanamkan sifat membaca. Di bawah program NILAM, setiap murid perlu
merekodkan buku yang dibaca dalam Buku Rekod Membaca Nilam. Guru pula akan mengesahkan rekod
bacaan murid. Pengiktirafan diberi kepada murid berdasarkan bilangan buku yang dibaca. Di samping itu, PSS
perlu menambahkan bilangan bahan bacaan yang dibaca agar murid juga dapat menambahkan pengetahuan
dan pengalaman melalui bahan yang dibaca bak kata pepatah jauh berjalan luas pandangan, banyak
membaca, menambah pengetahuan. Tempat yang penuh dengan bahan bacaan tidak lain dan tidak bukan
tentulah di pusat sumber sekolah. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan penggunaan kemudahan pusat
sumber sekolah dalam kalangan murid.
Akhir sekali, pelbagai pertandingan dan aktiviti boleh dijalankan dalam usaha menarik pengunjung
mengunjungi PSS. PSS boleh mengadakan pelbagai pertandingan sempena minggu-minggu tertentu seperti
Minggu Bahasa Melayu, Minggu Bahasa Inggeris dan Minggu Patriotik. Pertandingan seperti Menulis Ulasan
Buku/Novel, Menulis Esei, Menulis Cerpen, Pertandingan Debat, Forum Remaja dan sebagainya boleh diadakan
di PSS. Hal ini membolehkan murid-murid yang mengambil bahagian dalam pertandingan akan meminjam bukubuku daripada perpustakaan sebagai rujukan. Selain itu, murid-murid lain yang tidak mengambil bahagian akan
hadir sebagai penonton untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan yang mengambil bahagian. Secara tidak
langsung, murid-murid yang terlibat dalam aktiviti atau pertandingan di PSS, dapat mengetahui kemudahan yang
di sediakan di PSS. Mereka akan terus mengunjungi PSS pada masa yang lain untuk meminjam buku-buku di
PSS. Tegasnya, pelbagai pertandingan dan aktiviti di PSS mampu meningkatkan penggunaan kemudahan pusat
sumber sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah perlu menyediakan kemudahan yang terkini dan mengikut
peredaran zaman. Kemudahan yang disediakan perlu memenuhi keperluan murid dan menarik mereka untuk
menggunakan kemudahan yang disediakan. Pusat sumber harus menjadi nadi utama murid dalam proses
pembelajaran mereka di sekolah. Sebenarnya, ilmu yang kita miliki hanyalah setitik air jika dibandingkan dengan
lautan yang luas. Oleh itu, manfaatkan masa dengan membaca kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu
dalih.

12

Anda mungkin juga menyukai