Anda di halaman 1dari 2

Punca-punca gejala ponteng sekolah

Gejala ponteng sekolah masih menjadi masalah utama dalam sistem pendidikan di negara kita.
Bincangkan punca-punca masalah ini berlaku.

Gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid sekolah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir
ini. Hal ini telah mencetuskan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat
terutamanya ibu bapa dan golongan pendidik. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi
memastikan gejala ini tidak menular. Namun demikian sehingga kini belum ada penyelesaian
yang konkrit untuk mengatasi gejala ponteng sekolah. Sebenarnya, gejala ini berlaku akibat
pelbagai punca yang dapat dikenal pasti.
Salah satu punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berlaku ialah murid-murid
berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah. Sebagai seorang remaja murid sekolah
memerlukan rakan sebaya untuk bersahabat. Pada peringkat perkembangan ini, rakan sebaya
merupakan satu aspek penting yang dapat mempengaruhi kehidupan. Kecenderungan untuk
bercampur gaul dengan rakan-rakan sebaya menyebabkan murid sekolah tidak berhati-hati
dalam membuat pilihan rakan sebaya. Masalah akan timbul apabila murid sekolah berkawan
dengan rakan sebaya yang sudah meninggalkan bangku sekolah. Golongan ini hanya
menghabiskan masa dengan berfoya-foya tanpa tujuan. Apabila murid sekolah bergaul dengan
golongan ini, mereka juga akan turut terikut-ikut dengan cara hidup tanpa tujuan ini. Akhirnya
mereka akan ponteng sekolah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang tidak
bersekolah . Oleh itu, jelaslah salah satu punca masalah ponteng sekolah ialah murid-murid
sekolah berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah.
Punca masalah ponteng sekolah yang seterusnya ialah ibu bapa tidak mengambil berat terhadap
anak-anak mereka yang masih bersekolah. Ibu bapa masa kini lebih mementingkan kerjaya
kerana mahu meningkatkan taraf kehidupan. Mereka menghabiskan masa yang banyak untuk
mencari kekayaan dan mengejar status. Mereka juga menyerahkan tanggungjawab menjaga
anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Anak-anak mereka pula sering diabaikan seperti anak
ayam kehilangan ibu. Ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya diterima oleh
anak-anak yang sedang membesar. Oleh sebab ibu bapa tidak begitu mengambil berat akan hal
anak-anak, murid-murid sekolah mengambil peluang untuk melakukan apa-apa sahaja. Mereka
berpendapat perlakuan mereka di luar rumah tidak akan diketahui oleh ibu bapa mereka. Jadi,
sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak akan mencetuskan
gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid-murid.
Di samping itu, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri turut menyebabkan gejala
ponteng sekolah terus berleluasa. Masyarakat kita pada masa kini tidak lagi memiliki sikap

tegur-menegur antara satu sama lain, apatah lagi untuk menegur anak-anak jiran yang didapati
ponteng sekolah. Masyarakat mengamalkan cara hidup tidak ubah seperti enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing. Tiada lagi semangat kerjasama dan hubungan akrab antara
anggota masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat bandar. Oleh sebab
masyarakat tidak mempunyai semangat kerjasama, masalah ponteng sekolah seolah-olah tiada
penghujungnya. Murid-murid yang terlibat dengan gejala ini berasa bebas kerana kegiatan
mereka tidak ditegur oleh sesiapa, termasuk orang-orang yang dikenali oleh mereka. Hal ini
menyebabkan gejala ponteng terus menular. Oleh itu, nyatalah sikap masyarakat yang
mementingkan diri turut mencetuskan gejala ponteng sekolah.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berleluasa.
Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu untuk membanteras gejala ini hingga ke
akar umbi. Jika tidak gejala ponteng sekolah akan mencetuskan pelbagai masalah lain yang
lebih buruk kesannya kerana kudis akan menjadi tokak jika tidak diubati. Kerjasama dan sikap
prihatin masyarakat akan membantu pihak sekolah menangani gejala ponteng sekolah dengan
lebih berkesan.

Anda mungkin juga menyukai