Anda di halaman 1dari 3

UNIVERSITI DAN KEBEBASAN AKADEMIK

Kebelakangan ini persoalan kebebasan akademik kembali heboh diperkatakan.


Baru-baru ini, lapan mahasiswa Universiti Malaya (UM8) yang menganjurkan
program Pidato Anwar Ibrahim: 40 Tahun Dari UM ke Penjara dikenakan
pelbagai hukuman tatatertib termasuk digantung pengajian.
Sebelum ini, Profesor Datuk Dr. Mohamad Redzuan Othman didakwa digugurkan
sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) dan
sebagai Dekan Falkuti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya melalui campur
tangan luar. Selain itu, Profesor Madya Dr. Azmi Sharom, pensyarah undangundang dan Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaysia
(PKAUM) didakwa di bawah Akta Hasutan.
Lebih awal, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, pakar perlembagaan negara pernah
digantung tugas, disiasat di bawah Akta Hasutan dan diberi tekanan agar
melepaskan jawatan ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM). Lama dulu, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi tekanan
dan kemudian digantikan selepas membaca pantun sinis siakap senohong
gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi menteri.
Peristiwa-peristiwa ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran mengenai
persekitaran pendidikan di Malaysia pada masa kini.
Universiti dan tujuan ilmu
Dulu, malah masih ramai berpegang dengannya pada tahap tertentu, peluang
menuntut di universiti adalah perkara besar. Pengambilan masuk ke universiti
adalah terhad dan mereka yang terpilih bukan sahaja berjaya melepasi satu
proses penilaian tertentu, tetapi juga dilihat sebagai bakal pemimpin, ejen
perubahan dalam pelbagai bidang yang bakal diceburi selepas bergraduat.
Perkataan pengajian tinggi bagi menggambarkan pendidikan di universiti
memberi konotasi bahawa kandungan subjek yang diajar mungkin mendalam,
lebih sukar tetapi sangat penting. Namun, yang masih tetap akan dipertanyakan
ialah apakah kegunaan ilmu-ilmu ini?
Apabila memperkatakan tentang ilmu, tujuan tertinggi pastilah mendapatkan
kebenaran. Ini adalah tugas hakiki yang telah diperakui para sarjana sejak
zaman berzaman. Ia bagaimanapun tidak terbatas menjadi tanggungjawab
universiti semata-mata.
Semua pihak boleh mendapatkan kebenaran tanpa masuk ke universiti.
Bagaimanapun, sesuai dengan istilah pengajian tinggi, tentulah hujahan lulusan
universiti mengenai kebenaran ini dijangkakan lebih mendalam.
Sekiranya tidak mengambil tanggungjawabnya ini, universiti mungkin
sebenarnya melatih robot yang tidak mempedulikan kebenaran tetapi hanya
menerima apa yang diprogramkan dan bertindak balas sebagaimana dimahukan
pihak yang berkuasa ke atasnya.
Kategori ilmu

Persoalan timbul, bagaimanakah pula dengan kedudukan ilmu-ilmu lain? Apakah


tujuan dan gunanya? Mungkin, kerana tidak ada perkataan yang sesuai, ia
dinamakan sebagai ilmu alat, untuk kegunaan hidup manusia.
John Henry Newman, dalam siri syarahannya yang kemudian dibukukan dengan
tajuk The Idea of A University (1851), menjelaskan bahawa pendidikan mesti
membolehkan kebenaran mudah difahami (yang dijelaskan sebagai belajar
mengenai kewujudan Tuhan, bukan agama) dan sekiranya sesuatu yang praktikal
perlu dimasukkan sebagai subjek Universiti, ia mestilah melatih pelajar menjadi
anggota masyarakat yang baik.
Menurutnya, dengan pendidikanlah seseorang secara sedar dan jelas dapat
memahami pandangan dan membuat penilaian sendiri, kebenaran dalam
membangunkannya,
kemahiran
meluahkannya
dan
daya
untuk
melaksanakannya. Ia mengajar mereka melihat sesuatu sebagaimana
sepatutnya, pergi kepada apa yang betul, merungkaikan simpulan pemikiran
bagi mengesan apa yang rumit dan juga membuang apa yang tidak berkenaan.
Profesor Emeritus Robert Paul Wolff, dalam karyanya The Ideal of the University
yang diterbitkan pada awal dekad 1970-an, membincangkan empat model
universiti iaitu sebagai Sanctuary of Scholarship, Training Camps for Professions,
Social Service Station dan Assembly Line for Establishment Man.
Model pertama menjelaskan sejarah penubuhan universiti, yang kedua
menunjukkan ciri yang mula berlaku pada dekad 1970-an, seterusnya
menggambarkan peranannya pada masa akan datang dan terakhir ialah kritik
radikal kepada model-model sebelumnya atau anti-model.
Kebebasan akademik
Profesor Awang Had Salleh misalnya, dalam satu syarahan di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar dua dekad lalu, menjelaskan bahawa tugas
utama universiti ialah menemukan kebenaran dan memperbaharuinya. Sudah
tentu, untuk menemukan dan memperbaharui kebenaran ini, sebuah
persekitaran terbuka dan bebas sangat diperlukan. Ia perlu berlangsung bukan
sahaja dalam konteks penyampaian ilmu, kajian atau pembacaan, tetapi juga
perdebatan idea dan pemikiran.
Bagaimanapun, ini tidak dapat berlaku dengan baik sekiranya ada kawalankawalan yang objektifnya berbeza, mengutamakan kepentingan politik kepartian
atau tokoh tertentu. Kawalan yang dikenakan sampai menentukan apa yang
boleh atau tidak boleh diajar oleh seseorang pensyarah, apa yang boleh dibaca
atau dimiliki oleh mahasiswa dan dengan siapakah mereka boleh berurusan.
Memang, selalunya, kebebasan akademik menjadi perbualan ramai apabila ia
menyentuh persoalan politik. Dalam maksud lain, pensyarah dan mahasiswa
sebenarnya mempunyai banyak kebebasan lain, tetapi tidak jika bersuara
mengenai sesuatu berkaitan politik (baca: kekuasaan). Tidak keterlaluan untuk
menyimpulkan bahawa semua kekangan yang dikenakan di kampus jelas
bermotif politik.

Bahkan, berdasarkan pengalaman peribadi semasa menjadi pimpinan pelajar di


universiti 10 tahun lalu, ini sangat ketara. Hipokrasi pimpinan politik dan ahli
akademik berkaitan ini sangat mudah boleh ditunjukkan. Cakap-cakap
mahasiswa perlu mengutamakan pelajaran hanyalah sembang kosong. Apakah
mereka fikir menggantung pengajian mahasiswa boleh menjadikan pelajar
cemerlang? Apakah mereka yakin bahawa jiwa lemah yang dipupuk melalui rasa
takut akan menjadikan bangsa ini besar dan hebat?
-Amin Ahmad ialah Pengurus di Centre for Reform, Democracy and Social
Initiatives. Beliau juga adalah Pengarah Pengasas Institute for Leadership and
Development Studies (LEAD) dan Founding Associate, Institute for Democracy
and Economic Affairs (IDEAS).

Anda mungkin juga menyukai