Anda di halaman 1dari 4

KEPENTINGAN SEJARAH DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

Khoo Kay Kim

Dalam masyarakat yang semakin biasa menilaikan sesuatu berasaskan


ringgit dan sen, ‘sejarah’ sama sekali tidak membawa pengertian yang mustahak.
Sebenarnya, ‘sejarah’ tidak pernah difahami oleh sebilangan besar orang Malaysia.
Bagi kebanyakan orang, ‘sejarah’ tidak lebih daripada mata pelajaran yang menyiksa
mereka semasa bersekolah. Segala yang dipelajari di sekolah atau di universiti boleh
dilupakan selepas peperiksaan.
Walau bagaimanapun terdapat segolongan kecil yang menganggap ‘sejarah’
sebagai khazanah yang patut dipelihara – bukan persepsi yang intelektual tetapi
sesuatu yang timbul daripada hati sanubari mereka. Golongan ini terdiri daripada
generasi sebelum Perang Dunia Kedua. Orang muda yang benar-benar cintakan
sejarah amat kecil bilangan dan meskipun cinta itu wujud jarang terdapat percubaan
dan usaha untuk menulis sebagaimana pernah dilakukan oleh orang seperti Buyong
Adil, Sharim Hussein dan S. Durairajasingham.
‘Sejarah’ mempunyai pelbagai makna. Yang kurang jelas kepada ramai ialah
‘sejarah’ tidak semestinya merupakan sesuatu yang perlu dipelajari atau ditulis;
‘sejarah’ adalah ‘hakikat’. Ertinya, ‘sejarah’ bukan sesuatu yang direka dan sama ada
ia pernah dicatatkan atau tidak, ‘sejarah’ adalah suatu reality kerana ‘sejarah’
merujuk kepada keseluruhan zaman yang telah berlalu.
Segala yang pernah wujud sudah tentu relevan kepada semua; hanya apa
yang relevan atau tidak relevan tidak semestinya sama kepada semua. Masa yang
telah berlalu tidak dapat diubah; ia telah beku. Terpulang kepada masing-masing
untuk mencabut daripada zaman dahulu maklumat atau pengalaman yang dapat
membantunya melihat sesuatu dengan perspektif yang lebih luas dan mendalam.
Sejarah bukan suatu permainan, bukan sesuatu yang terpencil daripada
kehidupan manusia. Ramai orang berpendapat bahawa sejarah tidak seharusnya
diutamakan kerana yang telah berlalu tidak dapat mempengaruhi kita hari ini; masa
depan jauh lebih penting. Hanya masa depan itu kabur. Kita perlu merancang untuk
masa depan tetapi tidak dapat mengawal perkembangan-perkembangan yang akan
menyusul. Perancangan bukan sesuatu yang mutlak. Walau bagaimana teliti sesuatu
rancangan, masih ada seribu satu faktor yang tidak dapat diperhitungkan. Kejadian
di Amerika Syarikat misalnya, yang tidak dapat kita kawal, boleh menjejaskan
ekonomi di Malaysia sebagaimana perang di Asia Barat yang juga di luar kawalan
kita boleh menguatkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport minyak. Siapa
yang akan memimpin Malaysia 15 tahun dari sekarang juga tidak dapat diramalkan.
Oleh sebab masa depan tidak dapat dilihat, manusia perlu dipandu oleh masa
yang telah berlalu. Sebelum sesuatu diperkenalkan kepada sesebuah masyarakat,
latar belakang masyarakat itu harus difahami secara mendalam. Pengetahuan
manusia tidak pernah static. Setiap zaman menyaksikan manusia mencuba dengan
segala daya upaya untuk mengatasi pelbagai jenis masalah. Dalam proses itu,
penyelidikan dan pengkajian dijalankan. Kadang-kadang selepas berpuluh tahun,
satu kejayaan dicapai, misalnya mengenai penyakit malaria, penyelidikan tentang
cara menanganinya melibatkan sejumlah pakar perubatan.
Begitu juga pada awal abad ke-20 bila pihak British mengambil keputusan
untuk menjadikan tanaman padi sebagai satu aspek pertanian terpenting di negara
ini, penyelidikan yang serius mula dijalankan. Pakar-pakar dijemput dari Ceylon (Sri
Lanka); ada juga pegawai yang dihantar ke Thailand untuk mengkaji keadaaan di
sana; undang-undang diluluskan untuk menjamin supaya usaha menanam padi
mencapai kesinambungan dan Jabatan Pertanian sendiri secara berterusan
menjalankan eksperimen. Segala maklumat yang dikumpulkan sudah tentu amat
relevan kepada rancangan yang diwujudkan masa kini untuk memajukan tanaman
padi. Dengan lain perkataan, maklumat yang telah dihimpunkan sejak sekian lama
ini sangat bernilai dan boleh mengurangkan kerja penyelidikan sekarang. Juga,
pengalaman lama akan membantu usaha sekarang bagi melahirkan dasar yang
paling pragmatik.
Seringkali dikatakan oleh mereka yang menitikberatkan kepentingan sejarah
bahawa generasi yang kemudian boleh mengambil iktibar daripada generasi lebih
awal. Kebenaran kenyataan ini tidak selalunya jelas kepada orang ramai kerana ada
kecenderungan untuk sesetengah pihak memberi tumpuan hanya kepada soal
akhlak atau mereka hanya berbincang tentang perkara yang lebih abstrak.
Sejarah tidak semestinya berkisar di sekitar perkara yang abstrak. Jika ini
tidak dijelaskan, besar kemungkinan sejarah akan tetap dianggap satu cabang ilmu
yang tidak mempunyai nilai praktik. Misalnya, bagi kerajaan, dan juga sektor
berkaitan dengan perusahaan getah, harga getah yang sentiasa tidak menentu
adalah masalah yang terlalu serius. Banyak cadangan dikemukakan sebagai langkah
menstabilkan keadaan. Tetapi, di negara ini, tidak nampak ada usaha mengkaji
masalah ini dari perspektif sejarah walhal perusahaan getah pernah menghadapi
beberapa krisis dalam riwayatnya di negara ini yang belum lagi sampai 100 tahun.
Masalah itu dahulunya dibincangkan dengan cukup mendalam; pelbagai langkah
diperkenalkan dari semasa ke semasa. Satu kajian sejarah yang menyeluruh sudah
tentu dapat memberi gambaran yang lebih lengkap tentang apa yang mungkin dan
apa yang tidak mungkin akan mendatangkan kesan-kesan yang dikehendaki.
Ringkasnya, jika pembangunan begitu diutamakan dalam negara pada masa
sekarang, sebelum diambil langkah pertama untuk memulakan proses itu,
sepatutnya diwujudkan suatu gambaran yang meyakinkan tentang perkembangan-
perkembangan yang telah berlaku setakat ini. Itu bererti kita perlu memandang ke
belakang, iaitu mengkaji sejarah, untuk mengetahui apa yang pernah dicuba atau
belum dicuba supaya kita tidak perlu mengulangi kesilapan zaman dahulu.
Tetapi pada zaman sekarang kita lebih suka meminjam model pembangunan
daripada orang lain dan dengan tidak mengetahui masyarakat sendiri cuba
membuat preskripsi berasaskan pengalaman orang lain. Tidaklah menghairankan
masalah jarang sekali dapat diatasi. Dan kita tidak memahami mengapa setelah
begitu banyak perbelanjaan dikeluarkan untuk membuat kajian dan perancangan,
kejayaan tidak dicapai.
Satu contoh paling mudah boleh diberikan ialah sukan. Daripada matlamat
yang begitu tinggi pada suatu masa dahulu – kita bercita-cita mencabar dunia pada
tahun 1930-an – kini kita begitu gembira bila menang di rantau Asia Tenggara.
Sebelum Perdang Dunia Kedua juga orang Malaysia bercita-cita belajar di
universiti-universiti terkemuka di dunia. Za’aba, misalnya, menyimpan hasrat untuk
belajar di universiti Cambridge, Oxford, Yale atau Harvard. Kini masyarakat umum
berpendapat bahawa cita-cita yang seperti itu sudah tidak ada makna; sudah cukup
jika seseorang memperolehi ijazah meskipun dari universiti yang sama sekali tidak
dikenali.
Itu bukan makna ‘pembangunan’. Meskipun secara individu, ‘pembangunan’
mungkin mempunyai takrif tersendiri, tidak dapat dinafikan, terpendam dalam
takrif itu ialah gagasan kemajuan. Tidak kira ‘kemajuan’ itu dilihat dalam pengertian
materialistik atau tidak, yang dikehendaki ialah suatu keadaan yang lebih baik
berbanding keadaan sebelumnya.
Tetapi bagaimana kita dapat mengukur ‘kemajuan’ tanpa sejarah? Bagaimana
kita dapat membuat perbandingan jika yang kita nampak hanya masa kini dan masa
yang berlalu ditinggalkan? Bagaimana kita dapat membina sesuatu atas sesuatu
yang vakum?
‘Sejarah’ bukan perkara yang telah mati. ‘Sejarah’ adalah pengalaman dan
ilmu. Kita bertindak berasaskan pengetahuan, bukan kejahilan. Apa yang kita
anggap sebagai ‘ingatan’ sebenarnya tidak berbeza dengan sejarah. Manusia yang
tidak ada pengetahuan sejarah adalah manusia yang sama sekali tidak ada ingatan.
Manusia jenis ini tidak tahu apa yang telah berlaku semalam; setiap pagi ketika
sedar daripada tidur, segala-gala di sekelilingnya adalah baru. Kehidupannya akan
sudah tentu menjadi kucar-kacir jika sekiranya ini berlaku sebagaimana ia pernah
berlaku pada sesetengah orang lain. Keadaan itu dipanggil ‘amnesia’.
Walaupun masyarakat belum menghidap penyakit ‘amnesia’, perkembangan
mutakhir sangatlah membimbangkan. Penduduk Malaysia kurang mengambil berat
tentang sejarah. Bangunan lama diruntuhkan kerana ‘pembangunan’. Tempat-tempat
yang lama dibiarkan; kita lebih menggemari tempat-tempat baru. Tokoh-tokoh
zaman dahulu dilupakan. Kita hampir menjadi masyarakat yang tidak berakar umbi.
Berlainan sekali di negara-negara lain – sama ada negara maju seperti
Amerika, Rusia dan Jepun atau negara yang miskin seperti India, Filipina dan
Indonesia – sejarah dibanggakan. Sejarahlah yang mencorakkan watak dan
keperibadian sesebuah negara. Daripada cinta kepada negara maka timbullah
perasaan yang kita panggil patriotisme. Perpaduan dalam sesebuah masyarakat
tidak bermakna jika sekiranya patriotism tidak wujud dan patriotisme tidak wujud
jika sekiranya yang menjadi tumpuan rakyat jelata bukan negaranya sendiri.
Kita banyak menyebut tentang pembangunan tetapi kita tidak jelas
bagaimana pembangunan sebagai suatu objektif penting dapat dijayakan. Jika titik
tolak kita adalah masa kini dan bukan berasaskan sejarah, kita akan berterusan
meraba-raba dan pembangunan hanya akan menjadi sebuah angan-angan sahaja.

Anda mungkin juga menyukai