Anda di halaman 1dari 3

Kleptokasi dan Reformasi

Isu 1MDB masih terus hangat diperkatakan ramai. Selepas berdiam diri dan
berdolak-dalik sama ada terdapat sejumlah wang yang banyak dimasukkan
ke akaun Najib Razak (Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO),
akhirnya ia kini seakan telah diakui .
Persoalan ini bermula daripada pendedahan jurnal Wall Street. Kemudian,
satu rakaman amatur yang tersebar menunjukkan perbualan mengenai isu ini
antara Muhyiddin Yassin, mantan Timbalan Perdana Menteri bersama
beberapa orang tetamunya, termasuk Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah
dan Kadir Sheikh Fadzir, mantan menteri di zaman Dr. Mahathir tersebar
Perbualan tersebut berlaku selepas Muhyiddin digugurkan daripada
jawatannya. Di dalam rakaman itu Muhyiddin menjelaskan bagaimana beliau
sendiri telah bertanya kepada Najib mengenai wang ini dan ia diakui.
Tidak ada kenyataan rasmi dikeluarkan daripada pihak Perdana Menteri
berkaitan rakaman itu . Cuma Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) mengatakan daripada siasatan mereka ianya adalah wang
sumbangan dan beberapa menteri, antaranya Rahman Dahalan dan Azalina
Othman, serta Khairy Jamaluddin membayangkan sumbangan politik
bukanlah satu kesalahan.
Dalam pemahaman mudah kita: pemindahan wang itu memang berlaku.
Kekayaan UMNO
Sebenarnya, selepas UMNO diisytiharkan haram oleh mahkamah pada tahun
1988, Tunku Abdul Rahman sering menyebut tentang bagaimana semua aset
dan wang ringgit UMNO telah diambil oleh UMNO (Baru), walhal keduaduanya adalah entiti berbeza. Menurut Tunku, terdapat berjuta-juta wang
UMNO telah dikumpul sejak pemimpin-pemimpin terdahulu. Tentulah
jumlahnya cukup besar mengambil kira nilai pada masa lalu.
Di sini, kita boleh mendakwa, UMNO ialah sebuah parti yang sangat kaya
sejak dulu. Malah, tidak keterlaluan untuk mendakwa sedemikian jika kita
melihat segala jenis aset parti itu yang ada di banyak negeri.
Namun, persoalannya, dari manakah sumber kekayaan UMNO?
Sekiranya UMNO mendakwa ia adalah yuran daripada ahlinya, kita tahu
jumlah ahli UMNO ialah sekitar 3 juta orang. Sekiranya setiap ahli membayar
yuran sebanyak RM10, maka UMNO mungkin memiliki RM30 juta. Kita
katakan UMNO tidak berbuat apa-apa dengan yuran ini selama 50 tahun,
maka jumlahnya ialah RM1.5 billion.
Tetapi, benarkah UMNO tidak berbuat apa-apa dengan yuran yang dikutip ini?
Dan apakah benar semua ahlinya membayar yuran tersebut? Tentulah

jawapan paling munasabah ialah yuran tersebut dibelanjakan dan tidak


semua ahlinya membayar yuran.
Tetapi, jumlah kekayaan UMNO aset dan wang ringgit, jika dinilai secara
kasar pun sangat besar. Maka, tidak mustahil UMNO mendapat sumbangan
politik daripada sejumlah pihak lain, khususnya ahli perniagaan atau syarikatsyarikat, khususnya yang mendapat kelebihan dalam persaingan perniagaan.
Rasuah terinstitusi
Akhirnya, amalan tersebut terinstitusi. Ahli politik akan terus mencari ahli
perniagaan yang boleh menyumbang kepada dana politik sekiranya mereka
diberikan projek tertentu yang lazimnya bernilai besar. Tidak puas dengan
jumlahnya, maka jumlah projek dengan niat yang sama pulangan sejumlah
wang untuk kegunaan politik akan dilakukan.
Tidak cukup dengan itu, nilai projek ditingkatkan. Kita perlu membayar lebih
tinggi untuk sesuatu yang sebenarnya boleh diperolehi dengan kos yang
lebih rendah. Kadangkala, projek diberikan kepada kontraktor utama yang
sebenarnya tidak ada kemahiran sebelum kontraktor utama mencari subkontraktor yang berkemahiran, tetapi mungkin tidak ada jaringan politik yang
baik, untuk melakukannya pada nilai kos yang lebih rendah di mana
kontraktor utama menjana keuntungan mudah. Sekiranya ia gagal
diselesaikan, ahli politik akan menambah dana baru dan jarang kita
mendengar kontraktor utama tadi dihukum.
Kleptokrasi
Akhirnya, negara mungkin dipimpin oleh mereka yang menganggap
mendapatkan dana politik (sama ada untuk kekayaan peribadi atau kegunaan
politik) adalah cara yang tidak dapat dielakkan lagi.
Apabila sampai ke tahap ini, ia dipanggil sebagai kleptokrasi (daripada
bahasa Latin, klepto bermaksud pencuri dan krasi bermaksud
pemerintahan), atau negara yang ditadbir dengan cara mencuri.
Tindakan mereka ini lama kelamaan akan menjejaskan kehidupan ramai.
Selalunya, untuk menangani kritikan, imbangan kepada kuasa mereka akan
digugat. Ini termasuk dengan menekan pemimpin dan parti pembangkang,
media dan sesiapa sahaja yang dilihat menjadi ancaman, meskipun
pemimpin parti sendiri!
Mereka akan menjadikan proses pembuktian penyelewengan itu sukar,
antaranya dengan cara menjadikan dokumen berkaitan sebagai rahsia rasmi,
justeru mendedahkannya atau memilikinya adalah satu kesalahan jenayah
yang lain. Akhirnya, pendedah maklumat akan didakwa dan mungkin
dikenakan hukuman berat.
Apabila mendedahkan jenayah dilayan seperti melakukan jenayah, kita
sebenarnya sedang ditadbir oleh penjenayah!

Ini adalah cabaran besar, termasuk kepada kita yang menentang rasuah.
Tidak ada jaminan bahawa kita tidak mungkin melakukannya.
Andainya berkuasa, sistem perlu ditambah baik. Kita mesti menjamin dan
mempertahankan kebebasan bersuara, media dan maklumat. Berikan kuasa
pendakwaan kepada beberapa pihak, bukan hanya kepada pejabat peguam
negara. Pastikan pemisahan kuasa jelas dan diamalkan secara terhormat.
Lantik pemegang amanah yang berintegriti.
Kita masih belum terlambat untuk memikirkan dan memastikan ia berlaku.
-Amin Ahmad ialah Ketua Biro Latihan, Angkatan Muda Keadilan (AMK)
Malaysia dan Ketua Unit Penyelidikan, Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP)
Keadilan.

Anda mungkin juga menyukai