Anda di halaman 1dari 11

Teks Ucapan Sambutan Hari Guru Kali Ke-43 olah YAB

Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU
KALI KE-43
"GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI"
16 MEI 2014, PUKUL 9.00 PAGI, DEWAN MERDEKA, PWTC
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Yang Berhormat Datuk Seri Idris bin Jusoh
Menteri Pendidikan II
Yang Berhormat Datuk Mary Yap Kain Ching
Timbalan Menteri Pendidikan I
Yang Berhormat Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan
Timbalan Menteri Pendidikan II
Yang Berbahagia Datuk Dr. Madinah binti Mohamad,
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia;
Yang Berbahagia Dato Seri Ir Dr. Zaini bin Ujang,
Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Malaysia;
Yang Berbahagia Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan TimbalanTimbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,


Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua
Bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia, PengarahPengarah Pendidikan Negeri,
Yang Berusaha Tuan Haji Abdullah bin Mad Yunus,
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur,
Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan,
Puan-puan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.
1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan
rahmat-Nya kita dapat berhimpun pada hari ini sempena
Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-43 Tahun
2014. Saban tahun kita meraikan Perayaan Hari Guru
sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan guru dalam
mendidik anak bangsa dan memacu kemajuan negara.
Sempena hari yang amat bermakna ini, saya merakamkan
ucapan segunung kasih dan setulus penghargaan kepada
semua guru di seluruh pelosok negara atas segala jasa,
bakti dan sumbangan anda semua.
GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI
Para guru, saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
2. Selaras dengan tema Hari Guru pada tahun ini, iaitu
Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi, sudah tiba
masanya guru benar-benar menjadi pencetus kreativiti dan

penjana inovasi dalam mendidik murid. Ini adalah amat


penting memandangkan negara kita sedang menuju era
negara maju di mana ekonomi negara kita perlu dipacu
oleh daya inovasi rakyat. Untuk menghadapi persaingan
global yang semakin sengit dalam persekitaran ekonomi
yang dipacu oleh inovasi, sistem pendidikan kita
sebenarnya memainkan peranan yang amat penting dalam
menjana daya inovasi rakyat.
3. Menyedari hakikat ini, kerajaan berusaha
mentransformasi sistem pendidikan negara menerusi Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang
memberi penekanan terhadap elemen kreativiti dan
inovasi. Selaras dengan itu juga, Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT) telah dilaksanakan di sekolah yang
merangkumi tujuh elemen iaitu kurikulum, pedagogi,
pentaksiran, sumber, sokongan masyarakat, ko-kurikulum
dan bina upaya guru. KBAT di bilik darjah telah diperkukuh
melalui Program i-Think iaitu satu program yang membantu
pihak sekolah memupuk kemahiran berfikir, menyemai
budaya pembelajaran sepanjang hayat, mahir dalam
menyelesaikan masalah dan berupaya menghasilkan jalan
penyelesaian secara kreatif dalam kalangan murid.
InsyaAllah, menerusi program i-Think ini kita akan dapat
melahirkan para pencipta generasi masa depan Malaysia
yang hebat dengan kebolehan dan kemahiran berfikir
secara kritis, kreatif dan inovatif.
4. Dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM),
sebanyak 1,048 buah sekolah telah melaksanakan Program
i-Think pada tahun 2013. Pada tahun ini, guru-guru dari
1,000 buah sekolah telah diberi latihan KBAT secara dalam

talian sebagai langkah memperluas Program i-Think ke


semua sekolah di seluruh negara. Pembudayaan KBAT turut
dilaksanakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) melalui
kursus untuk guru pelatih dan pensyarah.
5. Bagi menggalakkan pembudayaan inovasi dalam
kalangan warga pendidik, Kementerian Pendidikan sentiasa
memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada projekprojek inovasi guru melalui Pertandingan Anugerah Guru
Inovatif Peringkat Kebangsaan yang dilaksanakan sejak
tahun 2002. Antaranya projek Smart Kiosk oleh Cikgu
Mohd Solleh Halim bin Mohd Sokhi dari Sekolah
Kebangsaan Parit Serong, Tanjung Karang, Selangor, yang
dihasilkan daripada bahan terbuang yang terdapat di
persekitaran sekolah. Cikgu Teh Tik Seng dari SMK Sacred
Heart, Sibu, Sarawak yang telah menghasilkan inovasi
Matematik EZ Draw, iaitu satu kaedah penyelesaian
masalah bagi meningkatkan prestasi murid dalam
Matematik. Cikgu Vimala a/p Muniandy dari SJK(T)
Subramaniya Barathee, Gelugor, Pulau Pinang
menghasilkan Courseware Kesusasteraan Bahasa Tamil
untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Produk inovasi
berkaitan disiplin juga turut dihasilkan bagi meningkatkan
pengurusan disiplin di sekolah. Pada tahun 2013, SMK
Agama Putrajaya telah menghasilkan X-Time2 untuk
membantu murid menepati masa; Jabatan Pendidikan
Negeri Sabah menghasilkan Minda Ajaib Portable
Whiteboard untuk mengatasi masalah pembelajaran luar
kelas; dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma,
Bukit Mertajam, Pulau Pinang menghasilkan projek Smart
Iqra untuk mengatasi masalah penguasaan asas al-Quran
dalam kalangan murid berkeperluan khas penglihatan.

6. Semua inovasi ini telah dihasilkan melalui pendekatan,


kaedah, teknik, bahan dan peralatan baharu yang terbukti
berjaya meningkatkan keberkesanan PdP. Semoga kejayaan
guru-guru yang saya sebutkan tadi dapat merangsang
guru-guru lain untuk terus meningkatkan usaha mencari
idea baharu yang lebih kreatif dan inovatif ke arah
meningkatkan kualiti pendidikan negara.
PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU
Para guru dan hadirin yang saya hormati sekalian,
7. Sememangnya menjadi guru dewasa ini tidaklah
semudah yang disangka. Tugas dan tanggungjawab besar
yang terletak di bahu para guru menuntut komitmen yang
tinggi khususnya dalam menghadapi persaingan global
yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem
pendidikan. Untuk itu, guru sebagai golongan profesional
perlu bersedia untuk menerima perubahan dan memiliki ciri
inovatif sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah
Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud, Barang siapa
melakukan hal baharu yang baik, maka ia mendapat
pahalanya dan mendapat pula pahala orang lain yang
mengerjakan hal baharu yang baik itu.
8. Guru juga perlu sentiasa menambah nilai intelektualnya
kerana guru merupakan agen perubahan dalam
menghasilkan modal insan yang diperlukan oleh negara
kita. Great teachers groom their students to become
leaders. Ordinary teachers direct us along the right path,
but great teachers inspire us to seek our own path. They

encourage us to discover our talents.


9. Peningkatan profesionalisme dan kualiti guru harus
diutamakan bagi mencapai matlamat PPPM. Untuk tujuan
ini, Kementerian akan memantapkan latihan guru di IPG.
Kursus-kursus dalam program pendidikan guru turut
memberi penekanan terhadap penerapan unsur-unsur
kreativiti dan inovasi dalam latihan perguruan merangkumi
Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan
(PPISMP), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)
dan Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah (PDPLI).
Elemen inovasi turut diberi tumpuan melalui aktiviti PdP
merangkumi pembentangan, projek, pembinaan sumber
PdP, pertandingan inovasi bagi pendidikan lestari dan
pembelajaran atas talian. Pembudayaan inovasi di IPG juga
dimantapkan dengan penganjuran program-program
inovasi di peringkat IPGM dan IPG kampus.
10. Selain itu, dalam usaha kita untuk memartabatkan
profesion keguruan, Kementerian telah menggabungkan
skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Lepasan Diploma (PPPLD) ke dalam satu skim
perkhidmatan bersepadu PEGAWAI PERKHIDMATAN
PENDIDIKAN (PPP) berkuatkuasa pada 1 Januari 2014. Pada
tahun ini dianggarkan 5,000 orang Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan (PPP) Gred DG29, DG32, DG34 dan DG38 akan
dinaikkan pangkat ke Gred DG42.
11. Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang bermula di
bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh meletakkan sasaran
60 peratus guru siswazah sekolah rendah dan 90 peratus

guru siswazah sekolah menengah pada tahun 2015. Pada


tahun ini seramai 6,286 orang PPP yang sedang mengikuti
PPG dijangka bergraduat, manakala 27,105 orang PPPD
dijangka bergraduat pada tahun 2015. KPM juga sentiasa
menyokong guru-guru untuk menyambung pengajian
sehingga ke peringkat tertinggi. Berdasarkan rekod pada
tahun 2014 sahaja, seramai 250 guru menyambung
pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan 150 guru ke
peringkat Ijazah Doktor Falsafah.
12. Selanjutnya, penambahbaikan laluan kenaikan pangkat
secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan yang
memberi peluang yang luas kepada Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan untuk menikmati kenaikan pangkat merupakan
satu penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada para
guru. Sehingga Jun 2014, dijangkakan seramai 195 orang
guru dinaikkan ke gred DG54, manakala 643 orang ke gred
DG52, 803 orang ke gred DG48 dan 8,954 orang ke gred
DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 354 orang
dinaikkan ke gred DGA38, manakala 11,314 orang
dinaikkan ke gred DGA34 dan 4,091 orang ke gred DGA32.
13. Dianggarkan seramai lebih 10,500 orang Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,700 orang
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma telah
mendapat manfaat kenaikan pangkat melalui skim
tersebut. Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan
pangkat guru, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah
besar kewangan yang membuktikan kesungguhan kerajaan
memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam
membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul.
Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini

akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru


untuk meningkatkan prestasi masing-masing.
14. Saya juga telah mengumumkan penganugerahan
Tawaran Baru Guru Besar kepada 566 buah sekolah rendah
yang berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masingmasing melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan pada
tahun 2013. Bilangan sekolah tersebut mewakili 7.31
peratus daripada 7,746 sekolah rendah dan melepasi
sasaran 6 peratus yang ditetapkan oleh KPM. Sebanyak 209
(36.9%) adalah sekolah bandar, 302 (53.4%) adalah
sekolah luar bandar dan 55 (9.7%) adalah sekolah
pedalaman. Ini menunjukkan peningkatan berbanding
pencapaian bagi tahun 2012 iaitu sebanyak 180 sekolah
bandar dan 280 sekolah luar bandar telah menerima
anugerah ini.
15. Daripada keseluruhan penerima anugerah ini, 119 buah
sekolah telah menerima anugerah ini sebanyak empat kali
berturut-turut. Sebanyak RM23.1 juta telah diagih kepada
hampir 22,063 orang warga sekolah, yang terdiri daripada
guru besar, guru-guru serta anggota kumpulan pelaksana
sebagai ganjaran kepada penganugerahan tersebut. Saya
mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemimpin
sekolah dan guru-guru yang telah menerima ganjaran
tawaran baru pada tahun ini. Saya berharap ganjaran ini
dapat menyemarakkan semangat guru dalam
mengoptimumkan peranan untuk melahirkan anak didik
yang boleh bersaing di peringkat global, mempunyai
keistimewaan tersendiri serta bersahsiah tinggi.
KEJAYAAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,


16. Hasil bimbingan guru yang kreatif mampu menjana
inovasi murid. Kita berbangga dengan pencapaian murid
kita dalam pelbagai pertandingan seperti Pertandingan
Inovasi Kebangsaan dan Malaysian International Young
Inventors Olympiad 2013 (MIYIO) dengan muncul sebagai
johan dalam beberapa kategori. Di peringkat antarabangsa,
murid kita melakar kejayaan dengan muncul johan
keseluruhan dalam World Robots Olympiad 2013 di Jakarta.
Pingat emas dan markah penuh telah diraih oleh adik Yeoh
Zi Song dari SJKC Chong Teik, Balik Pulau, Pulau Pinang
dalam 16th Primary Mathematics World Contest (PMWC,
2013) Hong Kong. Semasa 64th INTEL International Science
and Engineering Fair (INTEL ISEF) di Phoenix, Arizona,
Amerika Syarikat, adik Nur Liyana Johari telah menerima
Intel ISEF 2013 Special Awards Organizations berjumlah
USD5000 daripada United Airlines Foundation.
17. Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor pula telah
memenangi Anugerah Best International Team Award
Pertandingan National Final F1 di United Kingdom dan
Anugerah Emas dalam Asia Pasific Conference of Young
Scientists yang diadakan di Palembang, Indonesia. Sekolah
Seri Puteri Cyberjaya telah menyertai Festival Muzik
Antarabangsa Australia (SP Winds) dan dianugerahkan Gold
Award di Sydney, Australia. Manakala, Sekolah Menengah
Sains Tuanku Syed Putra, telah memenangi tempat kedua
anugerah khas United Airlines Foundation sempena Intel
International Science and Engineering Fair 2013 di Arizona,
Amerika Syarikat. Sekolah Menengah Sains Selangor

memperolehi Anugerah Emas dalam European Exhibition of


Creativity and Innovation (EUROINVENT) 2013 yang
diadakan di Lasi, Romania. Tahniah dan syabas saya
ucapkan kepada semua warga pendidikan yang telah
berusaha gigih untuk memastikan nama negara harum di
peringkat antarabangsa.
18. Dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa pula,
Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara
keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Asia
(ASTFC) yang pertama dengan meraih 12 pingat emas, 14
pingat perak dan 10 pingat gangsa untuk mendahului lapan
lagi negara yang bertanding. Pasukan Malaysia juga
mencapai kejayaan cemerlang dalam Temasya Sukan
Asean Para Games, Nay Pyi Taw Myanmar 2014 dengan
memenangi 9 emas, 5 perak dan 2 gangsa.
19. Saya juga amat berbangga dengan kejayaan guru kita
yang meraih kejayaan cemerlang dalam temasya sukan di
peringkat antarabangsa. Saya mengucapkan tahniah
kepada Cikgu Mohd Jironi Riduan dari Sekolah Sukan Tuanku
Mahkota Ismail, Johor yang telah memenangi 2 pingat emas
dalam Sukan Sea ke-27, di Nay Pyi Taw, Myanmar dalam
acara lumba lari 800m dan 1500m.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
20. Sempena majlis yang penuh bermakna ini, saya ingin
merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan
tahniah kepada para guru yang dinobatkan sebagai Tokoh
Guru Kebangsaan, Tokoh Kepimpinan Pendidikan
Kebangsaan dan Ikon Guru bagi tahun ini. Anugerah ini

ialah tanda penghargaan dan pengiktirafan negara


terhadap jasa serta pengorbanan tokoh-tokoh guru yang
tidak ternilai kepada bangsa dan negara.
21. Justeru, sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima
kasih kepada para insan bergelar guru di mana jua anda
berada. Biarkan ungkapan keramat guru atau cikgu tetap
kekal meniti di bibir murid, ibu bapa dan masyarakat
hingga ke akhir hayat seorang guru. Semoga saudara dan
saudari para guru terus menjadi inspirasi kepada generasi
penerus bangsa. Kepada guru-guru saya ingin berpesan
agar sayangilah murid-murid seumpama ibu atau bapa
kepada mereka dan didiklah mereka dengan baik. Kepada
murid-murid, nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa
guru-guru anda.
16 Mei sentiasa dinanti
Sambutan meriah penuh tradisi
Terima kasih guru-guru yang dikasihi
Jasa baktimu sentiasa diingati
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya
merasmikan Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat
Kebangsaan Kali Ke-43 Tahun 2014. SELAMAT HARI GURU!
TERIMA KASIH CIKGU! Wabillahitaufik walhidayah
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai