Anda di halaman 1dari 5

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011): Erti Sebuah Pengorbanan

Bab 1: Kisah Seorang Kawan


Iman Zulaikha, gadis berusia 13 tahun, bersahabat baik dengan Pei Wen. Mereka tinggal berdekatan dan belajar
bersama-sama. Ibu bapa Iman telah bercerai ketika Iman berusia 12 tahun. Iman tinggal bersama dengan datuk dan
neneknya, setelah ibunya melanjutkan pelajaran ijazah kedoktoran di New Zealand selama dua tahun.
Linda dan Iman bermusuh ketat di sekolah. Linda tidak mahu menganggotai kumpulan kerja kursus Sejarah Iman.
Akhirnya, Iman bertindak menyertai kumpulan Zulkarnain dan Mohana. Iman turut bersimpati akan nasib Pei Wen. Saban
hari, Pei Wen perlu berhadapan dengan ibu tirinya yang garang. Ketika merenung gambar keluarga, Iman terkenang akan
perpisahan ibu dan bapanya. Walaupun mereka sudah berpisah, ibu dan bapanya masih bersahabat dan berharap agar Iman
belajar berdikari dan menerima kenyataan.
Selepas waktu zuhur, Pei Wen mengunjungi rumah Iman. Pei Wen meluahkan perasaannya tentang ibu tirinya
(mak cik, gelar Pei Wen) dan kehadiran lelaki asing kepada Iman. Sikap ibu tirinya (mak cik) berubah sejak dia keguguran
apatah lagi bapa Pei Wen senantiasa sibuk di gerai ikan. Ibu tirinya pula sibuk menyiapkan tempahan kain baju pelanggan.
Datuk dan nenek Iman telah menasihati Pei Wen.
Sebelum tidur, Iman akan membaca dan membalas e-mel ibunya di New Zealand. Melalui e-mel, ibu
memberitahu Iman tentang kesibukan kuliah dan tugasannya. Turut disebut, Albert pemuda Inggeris yang berkaca mata,
kenalan baharu ibu. Menurut Iman, ayahnya baru balik dari Manila. Iman bertekad untuk menyatukan ibu dan ayahnya
semula. Dia mempunyai rancangan pada 15 haribulan kerana hari tersebut ialah hari jadi ibunya.
Bab 2: Pemilihan
Cikgu Julia memperkenalkan Adif Danial kepada murid-murid Tingkatan Satu Dinamik. Adif Danial bertukar dari
SMK Damansara. Linda pula mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan Adif.
Cikgu Julia turut mengumumkan pertandingan pidato peringkat daerah. Seorang pemidato dari Tingkatan Satu
Dinamik akan dipilih. Ai Ling mencadangkan nama Iman Zulaikha. Cadangan Ai Ling disokong oleh Pei Wen.
Malangnya, Linda tidak bersetuju. Sebenarnya, Linda ingin bertanding dengan Iman. Cikgu Julia akan berbincang dengan
Cikgu Osman, guru Perbama tentang tarikh pertandingan bersertakan tajuknya. Berkat dorongan dan sokongan rakanrakan, akhirnya Iman bersetuju untuk berentap dengan Linda.
Selepas menjamu selera di kantin, Iman dan Pei Wen berbual-bual tentang ibu tiri Pei Wen. Menurut Pei Wen, ibu
tirinya meminta maaf dan berpesan agar hal yang berlaku tidak sampai ke pengetahuan bapanya. Zulkarnain dan Adif
Danial menghampiri mereka. Zulkarnain meluahkan perasaan bengangnya terhadap sikap Linda. Iman terpaksa
menenangkan Zulkarnain.
Cikgu Julia telah menyerahkan tiga buah tajuk pidato untuk dipilih oleh Iman. Sejak hari itu, Iman membuat
rujukan di perpustakaan bersama-sama Pei Wen, Adif Danial dan Zulkarnain. Iman turut mendapat bimbingan Cikgu
Julia, guru bahasa Malaysia di sekolah itu. Pertandingan pidato antara Iman dan Julia akan bermula 9 pagi, hari Sabtu
minggu berikutnya. Hubungan Iman dengan Linda semakin renggang. Jika bertembung, Linda pasti akan mengelak atau
memalingkan wajah.
Pagi itu, sebaik sahaja tiba di sekolah, Iman bersemuka dengan Linda. Maka berlakulah pertikaman lidah. Linda
menuduh Iman bertindak mempengaruhi kawan-kawannya, termasuklah Adif Danial. Mujur muncul Zulkarnain, Adif
Danial dan Pei Wen. Iman segera meninggalkan kelas. Pei Wen mengekorinya ke tandas. Iman menangis di dalam tandas.
Dia ingin menarik diri daripada pertandingan. Pei Wen tidak berpuas hati sambil bertindak memberikan dorongan kepada
Iman. Menurut Pei Wen, maruah sekolah di bahu Iman. Akhirnya, semangat baharu menular ke dalam diri Iman.
Bab 3: Ibu dan Ayah
Sabtu. Iman tidak ke sekolah. Iman memperoleh kata-kata semangat daripada ibu melalui e-mel. Pertama, ibu
mahu Iman menjadi johan dan mewakili sekolah ke pertandingan daerah. Kedua, ibu menasihati Iman agar bersabar
terhadap kerenah Linda. Menurut ibu, dugaan akan mencabar kehidupan. Yang penting niat ikhlas.
9 pagi. Iman menerima panggilan telefon daripada ayahnya. Ayah bertanyakan khabar. Jika mengizinkan, ayah
akan berjumpa dengan Iman. Sejak meletakkan jawatan pensyarah, Yusri (ayah Iman) sibuk akan dunia perniagaan
perhotelan. Namun, Yusri tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Iman Zulaikha.
Iman sempat mengingatkan hari jadi ibu pada 15 haribulan. Iman mendesak agar ayahnya mengirimkan kad
ucapan sempena ulang tahun kelahiran ibu yang ke-38 tahun. Iman mohon izin untuk mengirimkan kad bagi pihak
ayahnya. Ayah turut menyampaikan salam kepada datuk dan nenek Iman.
1

Iman dikejutkan oleh kehadiran Pei Wen, Zulkarnain dan Adif Danial. Mereka bersalaman dengan nenek Iman.
Pei Wei sempat menghulurkan bungkusan berisi beberapa ekor ikan sungai kepada nenek. Iman muncul dan memohon
kebenaran nenek untuk berlatih pidato di sekolah pada pukul 10.15 pagi. Sekolah sibuk dengan akitiviti kokurikulum.
Adif Danial bertanyakan skrip pidato. Iman menjelaskan bahawa skrip pidato sudah ditunjukkan dan mendapat
persetujuan Cikgu Julia. Mereka ke kelas Tingkatan Satu Dinamik. Rupa-rupanya, kumpulan Linda sedang berlatih di
dalamnya. Linda menyindir Iman lagi. Linda kurang senang melihat Iman bergaul rapat dengan Adif Danial. Maka,
berlakulah usik-mengusik dan sindir-menyindir. Linda amat yakin bahawa Iman akan kalah dalam pertandingan pidato itu
nanti. Kata-kata Linda diterima baik oleh Iman. Pertemuan Linda dengan Iman menghairankan teman-teman Iman.
Setiba di rumah, Iman terkejut. Hadir sebuah Proton Perdana di hadapan rumah. Iman keriangan menyambut
kedatangan ayahnya. Mereka berbual panjang termasuklah hal pertandingan pidato. Malangnya, ayahnya perlu berangkat
ke Langkawi pada petang Jumaat sedangkan pertandingan Iman pada 9 pagi, hari Sabtu.
Petang itu, Iman, ayah, datuk dan nenek bersiar-siar di pantai Port
Dickson. Selepas berdarmawisata, mereka makan ikan bakar di sebuah restoran. Sempat juga Iman bercerita tentang
pelajaran dan aktivitinya di sekolah. Datuk dan nenek Iman dikejutkan oleh pertanyaan dan hasrat Yusri untuk membawa
Iman tinggal bersama dengannya di bandar. Menurut Iman, dia perlu mendapat keizinan ibu dan mahu ibunya tinggal
bersama-sama. Kemudian, Yusri berbincang dengan nenek dan datuk Iman.
Sejak pulang dari Port Dickson, Iman sedar akan perubahan diri nenek. Rupa-rupanya nenek berasa cemburu akan
Yusri, ayah Iman. Nenek bimbang kalau-kalau Yusri membawa Iman tinggal di bandar bersama dengannya. Perbualan
Iman dengan datuk disedari oleh nenek. Menurut nenek, jika Iman tinggal bersama dengan ayahnya, maka akan sunyilah
mereka berdua di kampung. Menurut Iman, dia hanya akan tinggal bersama dengan ayah sekiranya ibunya turut bersama
semula.
Bab 4: Pertandingan
Sejak awal pagi lagi, Iman dan Pei Wen tiba di sekolah. Banyak murid hadir untuk memberikan sokongan. Linda
sedang berbincang dengan rakan-rakan. Penasihat Linda, Cikgu Azwaliza turut kelihatan. Iman duduk di sebelah Pei Wen
dan Zulkarnain. Adif Danial tidak kelihatan. Kononnya, Adif Danial suka akan Iman. Keresahan Iman dapat ditangani
dengan kehadiran Adif Danial.
Selepas ucapan Guru Penasihat Bahasa Malaysia, tampil Cikgu Julia membaca syarat pertandingan. Peserta
pertama, Norazlinda Borhan. Kemudian, tiba giliran Linda. Linda dapat menyampaikan pidatonya dengan lancar, bernas
dan bersemangat. Bagi Iman, Linda berbakat. Sepuluh minit kemudian, giliran Iman pula. Iman terpandang akan ayahnya.
Ayahnya muncul untuk memberikan dorongan semangat. Akhirnya, Iman muncul juara pidato dan mewakili sekolah di
peringkat daerah. Kejayaan Iman disambut oleh rakan-rakan dan ayahnya.
Iman memperkenalkan ayahnya kepada rakan-rakan. Anehnya, salam tangan tidak disambut oleh Arial Danial.
Arial Danial kelihatan serius dan mendiamkan diri. Dia memalingkan wajahnya dan meminta diri dengan tiba-tiba. Iman
kehairanan. Cikgu Julia mengucapkan tahniah kepada Iman sambil mengingatkan bahawa pertandingan pada bulan yang
berikutnya lebih bermakna. Iman perlu berusaha dengan sungguh-sungguh.
Linda kelihatan sedih dan cuba mengelakkan diri daripada Iman. Iman mendekati Linda dan cuba memujuk
Linda. Iman ingin tahu akan sebab Linda begitu marah akan dirinya. Menurut Linda, mereka boleh bersahabat dengan
syarat Iman menarik diri sebagai wakil sekolah dalam pertandingan pidato daerah. Tempoh tiga hari diberikan kepada
Iman. Sebaik pulang dari rumah, Iman mengurungkan diri di dalam bilik. Iman kekeliruan tentang Adif, permintaan Linda
dan tajuk perbualan dengan ayahnya pada malam hari. Iman menghadap komputernya. E-mel ibu dibaca olehnya.
Dibalasnya e-mel ibu sambil bertanyakan sama ada ibu merindui ayah. Ceria kembali Iman.
Malam. Restoran di tepi sebuah tasik. Iman makan malam bersama ayahnya. Cuba dikisahkan oleh Iman
kenangan sambutan Hari Raya Adilfitri dua tahun yang lalu. Mereka sekeluarga sedondon memakai pakaian berwarna
ungu. Indah ketika itu. Ayah memberitahu Iman bahawa kenangan itu sudah berlalu. Yang penting, mereka perlu membina
hidup baharu. Iman bertanyakan hasrat ayah untuk membina keluarga yang runtuh semula. Iman meluahkan kasih sayang
kepada ibu dan ayahnya. Yusri tahu benar akan hasrat dan niat hati anak gadisnya setiap kali mereka berjumpa. Iman
mendengar penjelasan daripada ayahnya tentang takdir perpisahan dan mengumumkan pengganti ibunya. Hati Iman
bergetar. Dirinya terkejut dan terpaku seketika. Wanita yang kematian suami itu bernama Sofia, kenalan lama ayah Iman.
Iman mengalihkan pandangannya ke tengah tasik seolah-olah dia kini keseorangan. Kata ayah, Arial Danial ialah anak
tunggal Sofia. Alangkah kecil dunia ini. Iman dilanda kekecewaan. Hasrat untuk menyatukan ibu dan ayahnya tidak
kesampaian. Dia bakal menerima seorang ibu tiri seperti Pei Wen.
Selepas menghantar Iman ke rumah mentuanya, Yusri bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Nenek dan datuk
2

menunggu cucu kesayangan mereka di muka pintu. Iman memandang tepat ke wajah nenek. Air mata menanti masa untuk
gugur. Iman memeluk neneknya erat-erat.
Bab 5: Kawanku, Adif
Isnin. 7.30 pagi. Adif masih belum tiba di sekolah lagi. Murid-murid lain sudah mengisi tempat duduk masingmasing. Zulkarnain menegur Iman. Cikgu David, guru Matematik di sisinya. Iman ditegur oleh Cikgu David kerana
mengelamun di dalam kelas. Iman didenda berdiri di luar kelas. Zulkarnain kegelisahan. Kolam mata Iman digenangi air.
Tiada sesiapa yang mengerti perasaan yang bersarang di jiwanya.
Rehat. Iman tidak pergi ke kantin. Iman ditegur oleh Zulkarnain. Alasan malas diberikan oleh Iman lebih-lebih
lagi ketidakhadiran Adif dan Pei Wen. Zulkarnain ingin mendengar masalah yang dihadapi oleh Iman. Iman pun
menceritakan hal perkahwinan ayahnya dengan Sofia, ibu kepada Adif Danial. Mereka bercadang ke rumah Adif pada
petang itu.
Tengah hari. Datuk dan nenek Iman sedang membaca surat Razlan, anak bongsu datuk. Pak Su Razlan baru sahaja
menamatkan pengajian universitinya di New Zealand. Datuk dan nenek gembira, Pak Su Razlan akan pulang tidak lama
lagi. Muncul Iman memberikan salam. Nenek berasa kesal kerana merahsiakan hal ayah Iman. Nenek memberitahu Iman
bahawa ayahnya menelefon dan memohon maaf daripada Iman. Iman serba salah. Nenek memahami kedudukan Iman.
Datuk menasihati Iman agar menerima keputusan ayahnya. Sempat Iman meminta izin nenek untuk ke rumah Adif. Adif
Danial anak Sofia.
Iman dan Zulkarnain tercegat di hadapan sebuah banglo. Selepas salam dibalas, muncul seorang lelaki sebaya usia
datuk Iman. Zulkarnain bersalaman dengan lelaki itu sambil mendapat kepastian sama ada rumah itu rumah Adif Danial.
Rupa-rupanya lelaki tua itu datuk Adif Danial. Mereka dijemput masuk.
Muncul Adif Danial dari tingkat atas. Zulkarnain bertanyakan khabar Adif. Giliran Iman pula berbual dengan
Adif. Iman ingin tahu sama ada Adif masih memarahinya. Adif menyuruh mereka balik. Dia masih belum bersedia untuk
membicarakan hal antara Iman dengan dirinya. Adif tidak memberikan peluang kepada Iman untuk memberikan
penjelasan. Yang jelas, Adif masih tidak boleh menerima bahawa ayah Iman akan berkahwin dengan ibunya. Adif terus
beredar ke tingkat atas tanpa mempedulikan Iman dan Zulkarnain. Sikap Adif ditegur oleh datuknya. Menurut datuk Adif,
sikap cucunya berubah sejak dua tiga hari. Dulu Adif tinggal bersama dengan ibunya, Sofia (menantu datuk Adif) di
Kuala Lumpur. Tidak semena-mena, dia ingin balik dan bersekolah di kampung. Menantunya memberitahukan hal
perselisihan Adif dengan Sofia. Adif marah benar apabila Sofia ingin berkahwin lagi.
Sejak ditengking oleh Adif Danial, Iman tidak berani berbual dengan Adif lagi. Tiada sapaan dan senyuman lagi.
Iman menceritakan peristiwa itu kepada Pei Wen sekembalinya dia daripada cuti dua hari. Petang itu, Iman dan Pei Wen
pergi ke sebuah kedai buku berdekatan dengan sekolah. Selepas Iman membeli tiga buah buku Matematik dan Bahasa
Inggeris, Pei Wen mengajak Iman makan ais kacang di sebuah restoran yang berdekatan. Setelah memesan dua mangkuk
ais kacang, Pei Wen memberitahu Iman bahawa ibu tirinya (mak cik) sudah banyak berubah dan bersalah selepas
bertengkar dengan ayahnya. Lelaki misteri yang sering datang berjumpa dengan ibu tirinya ialah bekas suaminya.
Bekas suaminya kerap datang untuk meminta wang daripada ibu tirinya. Akhirnya, lelaki itu telah diberkas oleh
polis kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Pei Wen memuji semangat Iman ketika mengharungi masalah. Tibatiba mereka ternampak akan Linda dan Adif di kedai buku yang berhampiran dengan restoran tersebut. Barangkali, timbul
pula perasaan cemburu di hati Iman. Iman berjanji akan ke rumah Pei Wen petang nanti.
Bab 6: Kenapakah, Ibu?
Iman berasa bimbang kerana sudah beberapa hari e-mel ibu tidak kesampaian. E-mel Iman pula tidak berbalas.
Biarlah ayahnya sendiri memberitahukan hal Mak Cik Sofia kepada ibu. Pertandingan pidato daerah akan bermula selepas
Peperiksaan Pertengahan Tahun. Iman pandai membahagikan masa, yakni antara pelajaran dan pertandingan. Iman tidak
mempedulikan permintaan Linda. Ketika bertembung dengan Linda, Iman menjelaskan pendiriannya bahawa dia tetap
akan bertanding. Keputusan itu menaikkan kemarahan Linda. Linda menolak Iman. Kaki Iman terpelecok, tersungkur di
anak tangga yang terakhir dan terguling-guling sebelum jatuh terduduk. Linda segera beredar dari situ. Perbuatan itu
terlihat oleh Mohana dan Adif Danial. Mujur Mohana memapah Iman ke biik guru.
Nenek Iman terkejut benar tanpa mengetahui perkara yang sebenar. Iman telah berpakat dengan Pei Wen untuk
merahsiakan hal tersebut. Pei Wen cukup marah akan perbuatan Linda dan berasa bimbang akan tindakan Linda
seterusnya. Iman bermohon agar hal itu juga tidak diberitahukan kepada Zulkarnain dan Adif Danial.
Petang itu, rumah datuk dan nenek dikunjungi Pak Su Razlan, lulusan jurusan Pentadbiran Perniagaan dari
universiti di New Zealand. Ibu Iman juga belajar di universiti yang sama. Menurut Pak Su Razlan, dia sempat berjumpa
3

dengan ibu Iman sebanyak tiga kali dan bersembang beberapa minit sahaja dek kesibukan. Iman meluahkan keresahan
kerana e-melnya tidak berbalas. Pak Su Razlan tersenyum sinis lalu memberitahu Iman bahawa ibunya berhubungan
mesra dengan seorang lelaki Inggeris. Iman terdiam. Wajahnya berubah. Perubahan ini menimbulkan ketidaksenangan
Pak Su Razlan. Pak Su Razlan ditegur oleh nenek sebelum dicelah oleh datuk.
Iman bertekad untuk mengetepikan semua masalah yang berlaku. Yang penting, dia perlu menghadapi
peperiksaan seminggu lagi dan pertandingan pidato minggu yang berikutnya. Keesokan hari, tengah hari, selepas mata
pelajaran Matematik, Iman ingin berjumpa dengan Cikgu Julia biarpun diajak oleh Pei Wen untuk pulang bersama.
Selepas berkemas, Iman terserempak dengan Adif Danial dan Linda. Senyuman Iman tidak berbalas juga. Kemudian,
Iman ke bilik guru. Akhirnya, Iman dapat berjumpa dengan Cikgu Julia. Iman meminta pandangan Cikgu Julia tentang
ibunya. Iman menceritakan hal ibu dan bapanya satu persatu. Yang jelas, hasrat Iman untuk menyatukan ayah dan ibunya
semula musnah kini.
Menurut Cikgu Julia, senario kehidupan ayah dan ibunya sudah ditentukan oleh takdir waima ayahnya akan
berkahwin dengan ibu Adif Danial, Mak Cik Sofia dan kesahihan hubungan ibunya dengan lelaki Inggeris yang
barangkali merupakan teman sekolej. Yang penting, menurut Cikgu Julia, Iman perlu bersabar, berterus terang dan
berkorban. Fikiran Iman tenang dan positif kembali selepas berbual-bual dengan Cikgu Julia. Album gambar dibelek satu
persatu. Gambar keluarga Iman tetap akan menjadi kenangan sampai bila-bila. Tiba-tiba, Iman dikejutkan oleh panggilan
nenek. Kata nenek kawan lelaki Iman sedang mencarinya. Zulkarnain dan Adif Danial! Adif Danial ingin memohon maaf
daripada Iman. Sebenarnya, Adif Danial merindui saat-saat bersama dengan Pei Wen, Zulkarnain dan Iman. Iman dan
Adif Danial sama-sama mengaku kesalahan tentang kisah ibu dan ayah masing-masing. Malah, Adif Danial cukup kagum
akan ketabahan Iman menghadapi masalah tersebut lebih-lebih lagi Pei Wen dan Zulkarnain telah menceritakan segalagalanya, termasuk tindakan kasar Linda terhadap Iman.
Ibu Adif Danial memahami kehendaknya anak lelakinya. Ibunya sanggup membatalkan perkahwinan sekiranya hasrat
tersebut diingini Adif. Yang jelas, ibu Adif tidak akan berkahwin dengan ayah Iman. Hati Iman bertambah lega sekarang.
Fikirannya bertambah lapang. Pagi itu datuk dan nenek Iman menjamu Adif Danial dan Zulkarnain makan buah rambutan
dan cempedak.
Bab 7: Usaha dan Cabaran
Peperiksaan menjelang tiba. Iman mengadakan perbincangan berkumpulan bersama-sama Pei Wen, Zulkarnain
dan Adif Danial. Iman mahir dalam pelajaran Matematik. Mereka bantu-membantu. Iman mahu mengungguli pencapaian
akademik Tingkatan Satu Dinamik. 20 Mei 2006. Peperiksaan Pertengahan Tahun telah pun berlalu. Kini, Iman
memberikan tumpuan pada pertandingan pidato daerah. Teks disediakan oleh Iman dan disemak oleh Cikgu Julia.
Kemudian, Iman akan berlatih bersama-sama Pei Wen, Zulkarnain dan Adif Danial selepas sekolah. Di rumah, Iman
berlatih di hadapan datuk dan nenek.
Sudah genap sepuluh hari Iman tidak berutus e-mel dengan ibunya. Barangkali, ibunya telah menemui pengganti
ayah. Sempat Iman berbual-bual dengan nenek. Dapatlah nenek mendengar dan berkongsi luahan rasa Iman. Nenek tahu
benar akan perangai ibu Iman. Kata nenek, mencari pengganti suami bukan mudah dan menasihati Iman agar tidak
berprasangka terhadap ibu Iman sendiri. Iman tertunduk. Air mata mengalir dari kolam matanya. Iman berasa terlalu
berdosa. Nenek menepuk-nepuk bahu cucunya.
Tiba-tiba datuk, nenek dan Iman dikejutkan dengan panggilan Ruhaida, ibu Iman dari New Zealand. Ruparupanya, ibu Iman terlantar di hospital selama sepuluh hari kerana kemalangan jalan raya. Iman menangis teresak-esak
kerana bersalah menuduh ibunya. Iman meluahkan perasaannya melalui e-mel.
Esok, pertandingan pidato akan dijalankan. Iman telah membuat persediaan yang rapi. Para peserta juga diminta
menyediakan satu teks salinan asal berkaitan tajuk yang dipersembahkan. Teks itu disisipkan di dalam diari yang
berwarna ungu. Ungu, warna kegemaran keluarga Iman. Petang itu, Iman dan Pei Wen ingin bertemu dan berbincang
dengan Cikgu Julia. Iman juga mahu menyerahkan teks itu untuk disimpan oleh Cikgu Julia agar lebih selamat.
Malangnya, diari ungu tidak kelihatan. Diari itu ditinggalkan oleh Iman di dalam beg sebelum memasuki perpustakaan.
Iman ke kelas untuk mencari diarinya. Pei Wen pula ke perpustakaan untuk tujuan yang sama. Malangnya, diari itu tiada
di dalam kelas. Panik. Hampa. Iman bagaikan mahu menangis. Gagal juga Pei Wen mencari diari tersebut di
perpustakaan.
Iman dan Pei Wen terpaksa berjumpa dengan Cikgu Julia semula. Sebuah teks baharu perlu disediakan oleh Iman.
Sesungguhnya, Iman tidak mengaku kalah. Iman meneruskan latihan. Zulkarnain dan Adif Danial turut memberikan katakata semangat. Dalam e-mel, ibu Iman turut mendoakan kejayaan Iman. Teks pidato dihafal. Solat hajat ditunaikan.
4

Malam itu, Iman tidur awal. Esok, datuk dan nenek akan pergi bersama-sama.
8.15 pagi. Ramai murid hadir di majlis itu. Enam buah sekolah menyertai pertandingan tersebut. Setiap sekolah
menghantar enam orang wakil. Iman peserta kedua terakhir. Pei Wen menjadi peneman dan pendorong utama Iman.
Zulkarnain, Adif Danial dan Ai Ling turut hadir memberikan perangsang. Ayah Iman turut hadir. Maka bertambah
semangatlah Iman. Yang penting, Iman memberikan tumpuan kepada persembahannya nanti.
Bab 8: Pengorbanan
Kejayaan Iman muncul johan pidato daerah menjadi buah mulut murid-murid dan guru-guru. Yang lebih
berbangga, Cikgu Julia. Iman menerima ucapan tahniah daripada datuk, nenek dan rakan-rakan. Hubungan Iman dan
ayahnya kembali bertaut.
Jumaat. Hari terakhir sebelum sekolah mula bercuti selama dua minggu. Kelas Tingkatan Satu Dinamik riuhrendah. Cikgu Julia akan mengumumkan keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun. Zulkarnain sempat berlawak jenaka
melibatkan Pei Wen. Pei Wen mencebikkan bibir. Rupa-rupanya, Zulkarnain menaruh hati pada Pei Wen.
Keputusan telah diumumkan. Adif Danial, Iman Zulaikha dan Haris Fadzillah menduduki tempat pertama, kedua dan
ketiga di dalam kelas. Kedengaran tepukan dan ucapan tahniah. Zulkarnain dan Pei Wen mendapat tempat keenam dan
kelapan. Pada keseluruhannya, Cikgu Julia amat berpuas hati dengan prestasi murid-muridnya. Cikgu Julia tidak lupa
mengingatkan murid-muridnya agar mengulang kaji pelajaran pada musim cuti.
Adif Danial pula akan bertukar ke Kuala Lumpur. Keadaan ini dijadikan modal untuk Zulkarnain untuk mengusik
Adif Danial dan Iman. Iman tertunduk malu. Dalam kesibukan murid-murid menyemak keputusan, muncul Cikgu
Shaharudin, guru disiplin sekolah itu. Linda dan Iman Zulaikha dipanggil ke depan kelas. Diari ungu dikeluarkan daripada
sampul surat. Iman tersentak. Linda tidak berani bertentang mata dengan Cikgu Shaharudin. Salah seorang murid dari
kelas Tingkatan Satu Anggerik telah membuat pengakuan bahawa dia telah mengambil diari Iman seperti yang telah
dirancang oleh Linda. Terkejut Iman. Dia beristighfar sambil merenung wajah Linda. Bahu Linda terhinggut-hinggut. Dia
menangis sambil menutup wajahnya dengan tapak tangan. Akhirnya, Linda mengaku. Iman sedia memaafkan Linda
seandaInya dia sedia berubah. Linda mendakap Iman dengan erat. Cikgu Shaharudin terpana melihat sikap terpuji yang
ditunjukkan oleh Iman, anak murid kesayangan Cikgu Julia.
Datuk dan nenek Iman mengadakan kenduri kesyukuran atas kejayaan Iman dalam pertandingan pidato peringkat
daerah dan Peperiksaan Pertengahan Tahun baru-baru ini. Anak-anak dan cucu-cucu dijemput hadir. Sebenarnya, datuk
dan nenek dikurniai lima orang anak. Ibu Iman Zulaikha, anak yang kedua. Pei Wen dan keluarganya, Adif Danial dan
ibunya, Zulkarnain, Cikgu Julia serta beberapa rakan sekelasnya turut hadir. Pada hari itu, Iman memakai baju kurung
berwarna ungu. Baju itu pernah dipakai semasa menyambut Hari Raya Adilfitri bersama-sama dengan ayah dan ibunya
dua tahun yang lalu.
Para tetamu lelaki mengambil tempat di ruang tamu rumah datuk. Tetamu wanita pula berada di ruang dapur.
Datuk mengetuai bacaan tahlil dan zikir dalam majlis tersebut. Selesai berdoa, hidangan pun diangkat ke ruang tamu.
Sempat juga Iman berbual-bual dengan Mak Cik Sofia, ibu Adif Danial.
Malam itu, Iman duduk di anjung rumah sambil menghirup udara malam. Rumah datuk dan nenek kembali sunyi.
Tiba-tiba muncul ayah Iman mengemukakan cadangan kepada Iman. Ayah Iman ingin bercuti bersama dengan Iman ke
New Zealand. Yang penting, Iman amat memerlukan ayah dan ibu di sisi Iman. Walaupun malam gelap pekat, Iman dapat
melihat ada sinar yang terang menantinya di hujung sana. Ayah Iman Zulaikha, Yusri ingin membina ikatan kekeluargaan
yang runtuh selama ini semula. Iman mengangguk dan mendakap ayahnya erat-erat. Doa Iman, biarlah kasih sayang ibu
dan ayah kukuh selama-lamanya. Air mata kesyukuran membasahi pipi Iman Zulaikha. Bersyukur Iman kepada Tuhan
kerana memakbulkan doanya selama ini.

Anda mungkin juga menyukai