Anda di halaman 1dari 8

MELANAU

Masyarakat Melanau merupakan masyarakat etnik yang terdapat di Sarawak.


Umumnya masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat
Melayu baik dari segi kepercayaan, kebudayaan dan adat resam. Justeru itu
masyarakat ini merupakan satu cabang dalam masyarakat Melayu. Namun
begitu masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka
yang tersendiri. Adat resam ini jelas terlihat dalam aspek kehidupan mereka
seperti kelahiran, perkahwinan dan juga kematian. Adat resam atau amalan ini
diwarisi sejak zaman berzaman dan masih diteruskan hingga ke hari ini.
Perkahwinan
Perkahwinan dalam masyarakat Melanau mengandungi beberapa istiadat yang
sangat diambil berat kerana implikasi sosial yang terdapat padanya. Aspek
pangkat dititikberatkan dalam institusi perkahwinan berbanding dengan institusi
yang lain. Masyarakat Melanau juga begitu mementingkan status sosial mereka
iaitu sembilan pikul, tujuh pikul, tujuh betirih dan lima betirih. Jenis barangan dan
hadiah yang perlu dibawa untuk tanda tunaeng dan barang yang mengiringi mas
kahwin seperti adat menuga, adat mebin dan pakan juga dikira berdasarkan
status sosial ini. Namun begitu, asas adat perkahwinan adalah sama seperti
masyarakat lain iaitu merisik, meminang dan majlis perkahwinan.
Merisik
Di kalangan masyarakat Melanau, perkahwinan antara pasangan daripada status
sosial yang sama dikenali dengan sama gara. Perkahwinan antara pasangan
yang berlainan status sosialnya dikenali sebagai sida adat. Wakil pihak lelaki
mengunjungi rumah keluarga perempuan untuk mengetahui lebih lanjut dan
memastikan status sosial keluarga perempuan dan untuk menentukan sama ada
gadis itu sudah berpunya atau belum. Sekiranya gadis itu belum berpunya,
ditanyakan sama ada gadis itu boleh dipinang ataupun tidak serta mas
kahwinnya.

Meminang
Pada hari yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak keluarga lelaki dan
perempuan, maka diadakanlah adat tanda tunang, wakil keluarga lelaki, iaitu
beberapa orang lelaki dan perempuan yang telah berumur akan menyerahkan
barang hantaran peminangan iaitu sebentuk cincin emas, sebilah senjata,
segantang padi, sebiji kelapa dan satu pikul barang tembaga. Dengan
penyerahan barang tersebut oleh wakil keluarga lelaki dan diterima oleh wakil
keluarga perempuan maka rasmilah pertunangan itu. Kedua-dua pihak
hendaklah mematuhi segala syarat yang telah dipersetujui bersama. Jika
persetujuan dilanggar, pertunangan boleh diputuskan. Sekiranya pihak
perempuan yang memutuskannya, barang tanda tunang mesti dikembalikan

kepada pihak lelaki tetapi jika pihak lelaki yang memutuskannya, tanda tunang
itu menjadi milik pihak perempuan.

Majlis Perkahwinan
Majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran kecuali perkahwinan jenis
'peramas' iaitu per-kahwinan kerana ditangkap basah. Persiapan untuk rnajlis ini
berlangsung beberapa hari lebih awal. Bakal pengantin lelaki dikehendaki
menyerahkan hadiah mas kahwin iaitu 'penyekab' dan 'berian' dan hadiah lain
seperti 'adat menuga', 'adat mebin' dan 'pakan' sehari sebelum majlis itu
diadakan. Penyerahan ini disusul dengan acara pernikahan. Pernikahan boleh
juga di-adakan pada pagi keesokannya iaitu pada hari diadakan majlis
perkahwinan. Kenduri perkahwinan diadakan di rumah kedua-dua belah pihak
pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dihadiri oleh sanak saudara,
jiran dan sahabat handai.
Kemuncak acara majlis ialah persandingan yang biasanya diadakan pada tengah
hari. Persandingan pertama diadakan di rumah pengantin lelaki dan ini diikuti
dengan persandingan kedua di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki
dan perempuan yang lengkap dengan pakaian tradisional bersanding di atas
pelamin untuk disaksikan oleh para jemputan. Pada hari yang ditetapkan, bakal
pengantin perempuan bersama-sama rombongan keluarganya pergi ke rumah
pengantin lelaki. Ketibaan mereka disambut oleh keluarga pengantin lelaki. Wakil
keluarga pengantin lelaki akan menghadiahkan 'adat pahe' kepada pengantin
perernpuan. Penyerahan hadiah ini sangat penting kerana selagi pengantin perempuan belum menerima hadiah tersebut, dia dilarang memakan sebarang
makanan di rumah pengantin lelaki itu.
Selesai bersanding di rumah pengantin lelaki, diada-kan pula persandingan di
rumah pengantin perempuan untuk menjalani 'adat petudui' iaitu penyerahan
pelbagai barang, antaranya termasuklah sebentuk cincin emas dan seutas
gelang perak oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Semasa
menjalani adat ini, kedua-dua pengantin dikenakan pelbagai pantang larang,
misal-nya tidak boleh mandi di sungai dan tidak boleh tidur pada waktu siang.
Pada sebelah malam, di rumah pengantin perempuan diadakan pula upacara
makan nasi temuan. Semasa ja-muan berlangsung upacara suap-menyuap
antara kedua-dua pengantin itu dilakukan. Selepas itu, diadakan pula upacara
'begendang', iaitu tari-menari. Hadirin dijemput untuk ikut serta tetapi
pasangannya mestilah daripada kaum sejenis yakni lelaki berpasangan sesama
lelaki dan perempuan dengan perempuan. Mereka menari hingga larut malam.
Pada hari ketujuh, diadakan upacara mem-bebaskan mereka daripada pantang
yang dikenakan. Upacara membuang pantang ini juga bertujuan untuk
membuang ke laut segala bala atau bencana yang mung-kin mengancam
pasangan suami isteri itu. Upacara ini sebenarnya lebih merupakan upacara

bersukaria dan mandi-manda beramai-ramai di tepi pantai.


Bangsa Sembilan Pikul
Apabila hari perkahwinan akan dilangsungkan mas kahwin diberikan. Terdapat
dua bahagian yang penting iaitu penyekab dan berian. Penyekab terdiri daripada
sembilan amas emas, sebilah pedang, sehelai persarakap betabor (sapu tangan
berebang emas dengan corak tertentu) dan sebuah tumo' (bekas diperbuat
daripada kayu dalam bentuk tertentu). Berian pula terdiri daripada barangbarang tembaga kuning sebanyak sembilan pikul (133 paun x 9) atau harta lain
yang senilai dengan harga barangan tersebut.
Keperluan-keperluan lain ialah Adat Menuga sebanyak satu pikul barangan
tembaga kuning atau harta senilai sebagai syarat pengangkutan pengantin
perempuan ke rumah lelaki pada hari perkahwinan. Adat Mebin adalah satu pikul
barangan tembaga sebagai syarat untuk pengantin perempuan naik ke rumah
pengantin lelaki apabila rombongan sudah sampai di rumah itu. Pakan pula
hanya berupa duit mengikut kehendak pihak perempuan. Semua barangan
hantaran akan disampaikan kepada pihak perempuan sehari sebelum tarikh
perkahwinan.
Pada keesokkan paginya pengantin perempuan akan berangkat ke rumah
pengantin lelaki. Pada masa yang sama rumah pengantin lelaki akan dihias
dengan menarik dan kemudian pangkat pihak lelaki dipamerkan. Pada masa
yang sama sembilan helai bendera akan dikibarkan, lima di hadapan rumah dan
empat di sebelah jalan raya. Sebaik sahaja rombongan pengantin perempuan
sampai, seorang wakil lelaki akan menghadiahkan sebuhuong pranakan siantan
betabor (kain tenun berbenang emas dengan corak tertentu). Kemudian
pengantin perempuan akan berdiri di atas batu asah yang disediakan sambil
menyentuh kanan seni (tempayan). Wakil lelaki merenjis kedua-dua belah
kakinya ke kiri. Setelah itu barulah wakil tersebut memberi hadiah kepada
pengantin perempuan sebagai syarat Adat pahe'.
Terdapat tiga bentuk adat pahe' yang perlu disediakan oleh wakil pengantin
lelaki iaitu pahe' Mukad yang merangkumi satu amas emas, sepasang gelang
perak (batuong) dan sembilan biji manik (kehet). Pahe' Atap pula adalah terdiri
daripada lima biji manik pasin. Pahe' Id adalah lima biji manik tebalan dan Pahe'
Keman adalah lima biji manik pingeh yuong. Selepas itu upacara persandingan
akan dilakukan di rumah pengantin lelaki.
Setelah beberapa lama pasangan pengantin akan pergi ke rumah pengantin
perempuan untuk melangsungkan adat pedudui yang berkaitan dengan acara
malam pertama sehingga hari ketiga. Antara barangan adat pedudui adalah
seperti berikut:
Satu amas emas
Tujuh biji manik kehet

Lima manik tilak


Sepasang gelang perak
Empat bilah lembing
Dua belas belan
Sehelai kain lugi
Tiga ketul damar
Bagou tulei (bekas damar yang diperbuat daripada tembaga)
Bulang anyaman
Sebilah lembing untuk mengikis damar
Satu terusuong (seperti bentuk kon untuk ceduk air)
Barang-barang yang disediakan ini dimasukkan ke dalam bilik khas pengantin.
Setelah itu pasangan pengantin akan masuk ke dalam bilik. Pengantin lelaki
memberi cincin emas kepada pengantin perempuan. Kemudian pengantin lelaki
memberi seutas gelang perak yang diikat dengan manik-manik dalam kain hitam
kepada isterinya lagi. Mengikut tradisi masyarakat Melanau, pasangan pengantin
yang baru berkahwin tidak dibolehkan keluar dari rumah selama sehari. Tempoh
ini dinamakan sebagai adat pedudui yang mensyaratkan mereka tidak boleh
mandi di sungai atau tidur pada waktu siang. Sungguhpun demikian pasangan
tersebut bebas melawat rumah kedua-dua ibu bapa mereka.
Bangsa Tujuh Pikul
Perkahwinan untuk golongan berpangkat bawah dari Sembilan Pikul hampir
sama. Cuma yang membezakan adalah dari segi jumlah mas kahwin sahaja.
Penyekab terdiri daripada tujuh amas emas, sebilah keris, sehelai persarakab,
sapu tangan berbenang emas dan sebuah tumo'. Berian pula terdiri daripada
barangan tembaga kuning sebanyak tujuh pikul atau pelbagai jenis barangan
lain yang senilai.
Adat Menuga' adalah sebanyak sepikul barangan tembaga kuning atau wang
tunai. Pakan yang diberi dalam bentuk wang tunai mengikut jumlah yang
ditetapkan oleh pihak perempuan. Semasa pengantin perempuan menaiki rumah
lelaki, dia diberi sebuhuong pranakan bercura' (kain tenun berbenang emas
dengan corak khas). Pahe' makad juga akan dihadiahkan kepada pengantin
perempuan dengan mengandungi satu amas emas, tujuh biji manik kehet dan
sepikul juga diberi bersama manik-manik dan diikat dalam kain hitam.
Dalam adat petudui katil akan disediakan empat bilah lembing. Kemudian tiga
ketul damar disediakan bersama perkakas seperti bagou tulei, kila, sebilah mata
lembing dan terusung. Minyak kelapa akan dimasukkan ke dalam tembikar kecil.
Selain itu pengantin lelaki juga akan menghadiahkan isterinya dengan beberapa
bentuk hadiah sebanyak satu amas emas, lima biji manik tilak, sepasang gelang
perak dan bibe' kuali.
Bangsa Tujuh Beritih

Bagi golongan Tujuh Beritih adat pemberian mas kahwin adalah seperti sebentuk
cincin yang diletakkan dalam bekas anak selapak, segantang padi diletakkan di
dalam segamut yang tidak bertutup dan sebiji kelapa yang diletakan di dalam
bukor dan ditudung. Penyekab pula terdiri daripada lima amas emas, sebilah
keris, sebuah sipir, pinggan tembaga bergigi di sisi dan sehelai kain perasa.
Berian pula terdiri daripada barang-barang tembaga kuning sebanyak tiga pikul
sembilan puluh kati atau harta yang lain senilai dengan tembaga tersebut.
Adat Menuga pula adalah sebanyak sepikul barang tembaga kuning atau wang
tunai yang sama nilai. Manakala pakan yang diberikan dalam bentuk wang tunai
bergantung pada pihak perempuan. Semasa pengantin perempuan menaiki
rumah pengantin lelaki, wakil pengantin lelaki akan diberi kain sebuhuong
tanjing sarek. Pahe' mukad yang mengandungi satu amas emas, lima biji manik
tilak yang diikat bersama bibe' kuali dan sepikul barang tembaga kuning
(menuga).
Bagi adat petudui Tujuh Beritih, tiga ketul damar akan disediakan dengan bagou
tulei, kila' (sebilah mata lembing) dan terusung. Barang-barang lain pula
digunakan kecuali minyak kelapa yang diletakkan di dalam selepak sahaja. Adat
lima beritih tidak wujud lagi di kalangan yang berkedudukan paling rendah. Ini
disebabkan golongan seperti ini tidak wujud lagi dalam masyarakat Melanau.
Peraturan Dalam Perkahwinan
Oleh kerana perkahwinan merupakan satu institusi yang penting, terdapat
beberapa peraturan dalam kehidupan mereka yang perlu diikuti oleh kedua-dua
pasangan pengantin sama ada lelaki atau perempuan. Antara peraturan yang
perlu diikuti oleh mereka ialah:
Setelah menjadi pasangan suami isteri, suami tidak boleh menetak bumbung
rumah dengan parang kerana cara ini boleh menyebabkan hubungan renggang
antara suami dan isteri.
Suami tidak boleh memerah kelapa yang sudah diparut kerana boleh
menyebabkan perut isteri sakit atau memulas.
Pakaian yang dipakai semasa upacara perkahwinan tidak boleh dijahit walaupun
koyak kerana boleh menyebabkan penyakit di kalangan suami isteri.
Isteri dilarang keras memarut rumbia atau menyeberangi sungai kerana akan
jatuh sakit sehingga boleh menyebabkan anak di dalam kandungan keguguran.
Kelahiran
Masyarakat Melanau adalah antara masyarakat yang terdapat di Sarawak.
Umumnya masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat
Melayu baik dari segi kepercayaan, kebudayaan dan adat resam. Justeru itu

masyarakat ini merupakan satu cabang dalam masyarakat Melayu. Namun


begitu masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka
yang tersendiri dan antaranya dalam aspek kelahiran. Adat dan pantang larang
tersebut adalah seperti berikut
Sewaktu Mengandung
Tiada sebarang adat khusus yang diamalkan oleh wanita hamil di kalangan
masyarakat Melanau, namun begitu mereka juga terikat daripada mengamalkan
pantang larang. Kebanyakan larangan yang dikenakan banyak bergantung
kepada faktor pemakanan seperti tidak boleh memakan buah-buahan yang
berbau kuat seperti durian atau ulam seperti petai kerana badan akan menjadi
busuk. Wanita hamil tersebut juga tidak boleh makan pucuk-pucuk paku kerana
susu badan akan menjadi masam. Haiwan buruan yang dibunuh di dalam hutan
tidak boleh diberikan kepada wanita hamil kerana diyakini anak dalam
kandungan akan melecur seluruh badan.
Larangan ini juga tidak terhad kepada wanita hamil tersebut sahaja, malah si
suami juga dikehendaki menjauhi beberapa perkara. Si suami tidak boleh
memotong kayu yang bertindan atau memakan ikan pari kerana dikhuatiri bibir
anak akan menjadi sumbing. Si suami juga tidak boleh mengecat kerana
dikhuatiri anak di dalam kandungan akan diiringi minyak. Sekiranya terdapat
sebarang kematian, si suami tidak boleh melihat kerana anak di dalam
kandungan akan mendapat penyakit. Suami juga tidak boleh memotong akar
temalet kerana anak akan meninggal dunia tanpa sebab. Semasa mengandung
juga wanita tersebut tidak boleh ditakut-takutkan kerana dikhuatiri akan
menyebabkan anak dalam kandungan cacat ataupun gugur.
Selepas Lahir
Apabila si ibu melahirkan anak, orang kampung dan saudara mara akan datang
melawat. Mereka lazimnya akan membawa hadiah bersama. Masyarakat
Melanau juga dilarang daripada memuji bayi yang baru dilahirkan. Sebaliknya
mereka lebih senang jika bayi itu dikatakan hodoh dan sebagainya. Selepas
bersalin, ibu tersebut dikehendaki mengeringkan badannya di puyan dan tidak
boleh makan sembarangan. Sesiapa yang ingin bermalam di dalam rumah
tersebut hendaklah bermalam selama tiga hari. makanan dan barang-barang di
dalam rumah tidak boleh dipinjam atau dibawa keluar, jika tidak anak akan jatuh
sakit atau meninggal.
Dalam tempoh berpantang juga, si ayah tidak dibenarkan memegang anak itu
selepas balik dari hutan atau balik dari laut kerana bau laut dan hutan masih
melekat di badannya sehingga boleh menjejaskan kesihatan anak tersebut.
Bagi bayi perempuan, semasa kecilnya dahinya dipipihkan dengan sejenis alat
iaitu jak. Ini bertujuan untuk mencantikkan dahinya. Proses ini sudah menjadi
identiti khas di kalangan masyarakat Melanau.

Kematian
Upacara kematian merupakan satu upacara yang penting mengikut kepercayaan
masyarakat Melanau. Kematian perlu diuruskan dengan sebaik mungkin dengan
mengikuti adat-adat tertentu. Masyarakat Melanau juga percaya jika seseorang
itu meninggal dunia, si mati perlu dibantu dalam perjalanannya menuju ke
akhirat atau dipanggil likow matai. Bantuan ini adalah dari segi mengadakan
majlis berkabung, kenduri dan sebagainya.
Semasa kematian
Apabila berlaku kematian, mayat tersebut akan dimandikan terlebih dahulu. Ini
akan dilakukan oleh A-beri patai atau ahli keluarga terdekat. Seterusnya mayat
dipakai dengan pakaian yang cantik beserta dengan hiasan seperti manik dan
barang-barang kemas. Bagi mayat wanita, kain Sebunong iaitu kain yang
diterima sebagai hadiah perkahwinan akan diletakkan bersama-sama.Jari kaki
mayat akan diikat kepada badan dengan kain manakala kepalanya ditudung
dengan kain yang diikat di bawah dagu. Mayat akan diletakkan di atas pakat
iaitu tempat meletak mayat yang diperbuat daripada papan dan dahan rumbia.
Tempat ini pula akan dilapis dengan tikar bemban dan dilapis bahagian atas
dengan kain selimut. Mayat juga akan dialas dengan beberapa helai sarung dan
baju kepunyaannya. Kain Lugi' seterusnya diletakkan di atas mayat tersebut.
Selehai kelambu akan dipasang sebagai melindungi mayat.
Pengebumian
Mayat akan disimpan di dalam rumah selama tiga hari sebelum dikebumikan.
Terdapat juga ahli keluarga yang menyimpan mayat selama seminggu. Upacara
pengebumian akan disertai oleh semua ahli keluarga dan tukang tangis iaitu
terdiri daripada kaum perempuan dikehendaki menangisi kematian tersebut
dengan cara meratap dengan suara yang nyaring. Sebuah tilam, lazimnya yang
digunakan si mati semasa hidupnya akan dimasukkan ke dalam keranda. Dua
helai kain Lugi' yang diletakkan di atas mayat tadi akan di ambil untuk
digunakan dalam upacara platow dan sehelai lagi di lapiskan di keranda si mati.
Bendera mengikut taraf atau bangsa si mati akan dikibarkan semasa keranda
dibawa untuk pengebumian. Selepas sampai ke tanah perkuburan, keranda
dibuka dan ikatan pada badan mayat dibuka. Serterusnya, keranda ditutup
semula lalu ditanam. Pakaian si mati akan diletakkan di atas kubur dan selama
tiga hari berturut-turut. Lilin akan dinyalakan sebagai menerangi perjalanan roh
si mati ke akhirat.
Selepas kematian
Masyarakat Melanau mengikuti beberapa pantang larang selepas ahli keluarga
mereka meninggal dunia. Tiga hari selepas pengebumian, keluarga si mati akan

mematuhi pakai bukeang, iaitu tempoh tujuh hari, mereka dilarang keluar rumah
dan melawat orang lain. Peligin adalah saudara mara yang datang menziarahi.
Mereka perlu tidur di rumah tersebut selama tiga hari berturut-turut. Peligin akan
berjaga sehingga pagi sambil berbual-bual dan bermain tataw atau teka-teki di
rumah keluarga si mati, bertujuan untuk menghibur keluarga tersebut. Mengikut
kepercayaannya, masyarakat Melanau dahulu kala akan mengadakan upacara
pestow iaitu nyanyian yang berkaitan dengan kematian dan kelahiran. Tempoh
nyanyian berbeza mengikut jantina si mati, iaitu tujuh hari untuk lelaki dan lima
hari untuk wanita.
Upacara piyup dan platow akan diadakan sebagai memberi hantaran kepada roh
si mati. Upacara piyup merupakan upacara menyabung ayam yang bertujuan
meningkatkan martabat si mati semasa di akhirat. Upacara ini dilakukan selepas
tujuh hari si mati dikebumikan. Rombongan akan menuju ke kubur dengan
membawa kuih muih untuk diberi kepada si mati. Selepas balik setiap ahli
rombongan perlu mandi dan jamuan makan akan diadakan. Selepas itu upacara
menyabung ayam akan dijalankan dan ketika itu kuih muih akan diberi kepada
ahli rombongan tadi. Sebagai menandakan tamatnya uapcara tersebut, kain
Lugi' akan diberi kepada ahli rombongan.
Selain upacara-upacara di atas, masyarakat Melanau juga perlu menjalani
tempoh berkabung atau maulid sebagai menghormati si mati. Ia memakan masa
selama dua belas hingga lima belas bulan. Sepanjang tempoh maulid, ahli
keluarga perlu memakai baju serba hitam dan terindak iaitu topi untuk
mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.
sumber: Perpustakaan Negara Malaysia

Anda mungkin juga menyukai