Anda di halaman 1dari 3

SETELAH menjajah hampir dua abad, kuasa kolonial Inggeris bukan sahaja mewariskan kepada

kita sistem berpolitik dan pentadbiran negara, tetapi juga sistem pendidikan mereka. Setelah 50
tahun merdeka, tidak banyak perubahan yang dilakukan di dalam sistem pendidikan kita kecuali
menokok tambah sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh British sejak tahun 1819. Antaranya,
membina falsafah pendidikan negara yang dikatakan beracuankan Malaysia melalui pengenalan
KBSR dan KB*** pada tahun 1980an. Manakala sebahagian besar sistem pendidikan (dasar
pendidikan, struktur organisasi dan aktiviti institusi) masih lagi mengekalkan warisan pendidikan
kolonial. Mungkin ada yang tidak bersetuju khususnya di kalangan pegawai Kementerian Pelajaran,
tetapi jika diteliti, hakikat ini tidak dapat dinafikan. Antara yang ketara, kita masih mengekalkan
sistem pendidikan vernakular berasaskan etnik, mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa
ilmu, memisahkan pendidikan Islam daripada pendidikan ilmu sosial dan teknikal. Pengenalan Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) walaupun dilihat seperti cuba melengkapi kelemahan ini,
perlaksanaanya masih belum membuktikan apa-apa kejayaan setakat ini. Soalnya, apakah mewarisi
sistem kolonial itu menjadi satu kesalahan? Adakah kalau kita belum mempunyai sistem pendidikan
beridentiti Malaysia itu satu kekurangan? Atau tidak bermutukah pendidikan kita jika tidak
menggunakan model pendidikan kolonial British.Persoalan ini sebenarnya sukar dijelaskan secara
langsung tetapi perlu difahami terlebih dahulu latarbelakangnya. Sebagai contoh, sistem pendidikan
vernakular misalnya walaupun sering dikatakan menjadi duri dalam daging untuk membina
perpaduan telah berevolusi selama lebih 150 tahun dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan
sudah menjadi salah satu tradisi di negara kita. Lihat misalnya jadual 1 hingga 3 berkaitan sekolah
mengikut etnik di Malaysia pada tahun 1996-2006.
Setelah 50 tahun merdeka, sistem pendidikan masih mempunyai beberapa kekurangan yang sangat
perlu kita selesaikan. Setelah mengumpul dan meneliti beberapa dokumen penyelidikan serta kertas
perbincangan akademik berkaitan pendidikan kebangsaan, penulis dapat menyenaraikan lima isu
utama pendidikan yang perlu direvolusikan oleh pemimpin di peringkat Kementerian Pelajaran.
Pertamanya, Kementerian Pelajaran perlu meneliti semula secara menyeluruh kandungan kurikulum
yang semakin tidak relevan di sekolah. Bayangkan, mengapa di dalam suasana pelajar sudah boleh
mengakses kepada maklumat melalui Internet, kandungan kurikulum sejarah khususnya zaman
kerajaan pra sejarah masih dimasukkan dengan begitu mendalam di dalam buku teks sejarah. Pada
masa yang sama, sejarah tahun 1970-an dan 1980-an sangat kurang disentuh di dalam kurikulum
sejarah. Malah subjek sejarah juga sepatutnya disepadukan dengan kemahiran pembelajaran
multibudaya sesuai dengan kehidupan masyarakat plural di Malaysia.
Sejarah tidak hanya dipelajari kerana kandungannya sahaja tetapi juga untuk memahami kumpulan
etnik serta kumpulan agama yang lain agar hubungan etnik di kalangan rakyat akan sentiasa terjalin
dengan harmoni.Keduanya, kita juga menghadapi krisis pembangunan pendidikan bahasa.
Walaupun program memperkasakan Bahasa Inggeris telah dilaksanakan di peringkat sekolah
rendah namun hanya pada akhir tahun ini saja keputusan akan diketahui sama ada projek ini akan
diteruskan atau tidak. Bagaimanapun jelas sekali di peringkat masyarakat massa, para guru,
penyelidik, ibubapa serta pelajar merasakan penggunaan Bahasa Inggeris melalui subjek Matematik
dan Sains bukanlah suatu keputusan yang bijak. Selain jurang antara pelajar di bandar dan luar
bandar semakin melebar dari segi pencapaian, jurang pencapaian juga semakin ketara di kalangan

pelajar melayu dan bukan melayu. Malah pelajar melayu khususnya, minat terhadap matapelajaran
Sains dan Matematik juga dikatakan menurun selepas dasar ini diperkenalkan sejak lima tahun
lepas. Pada masa yang sama, kita juga mengalami krisis kemerosotan keupayaan Bahasa Melayu
di kalangan para pelajar Melayu dan bukan Melayu. Sebagai bahasa perpaduan dan juga bahasa
komunikasi, jelas sekali bahawa Bahasa Melayu semakin hilang sengatnya. Kalangan remaja
Melayu khususnya di bandar sudah mulai kurang bertutur bahasa Melayu kerana cara hidup yang
lebih mengutamakan bahasa Inggeris. Manakala di kalangan remaja bukan Melayu hanya
menggunakan bahasa itu proses pembelajaran di bilik darjah. GemarMereka lebih cenderung untuk
mengunakan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris di dalam kehidupan harian. Malah pelajar juga
dikatakan seringkali gemar menggunakan bahasa Melayu 'rojak' dan tidak berkemahiran
menggunakan bahasa Melayu standard di dalam perucapan mereka. Apakah kita rasa selesa dan
tidak kisah dengan keadaan seperti ini berlaku kepada remaja kita? Maka itu, pihak kementerian
perlu meneliti semula keupayaan serta meningkatkan kapasiti ruang untuk penggunaan bahasa
Melayu merentasi kurikulum yang lain. Selain itu, pendidikan menggunakan bahasa Melayu dengan
betul dan sistematik juga perlu dikemaskan kembali. Ketiganya, keperluan rasa keinsafan dan
keinginan bersungguh-sungguh khususnya di kalangan para pegawai tertinggi Kementerian
Pelajaran untuk meningkatkan pembangunan pendidikan di kalangan pelajar di pendalaman, luar
bandar serta setinggan di bandar.
Peruntukan khas juga sememangnya diperlukan untuk membantu kumpulan ini secara berterusan.
Kumpulan ini sebenarnya memerlukan lebih daripada apa yang ada sekarang. Di atas dasar
pendidikan untuk semua serta pendemokrasian pendidikan, kumpulan yang kurang bernasib baik
kerana kemiskinan ibu bapa perlu dibantu sehingga mereka dapat keluar daripada lingkungan
kedaifan untuk mendapat pendidikan. Perlunya satu dasar dan strategi yang besar untuk
menyelesaikan isu ini di pihak Kementerian Pelajaran. Sehingga kini, tiada satupun strategi yang
dapat dinobatkan sebagai berjaya meningkatkan peluang pendidikan bagi mereka yang tinggal di
pendalaman khususnya Sabah, Sarawak serta Kelantan. Begitu juga dengan kumpulan pelajar di
luar bandar yang hidup serba kekurangan dan juga anak-anak di kawasan setinggan yang tertekan
untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan berkualiti. Isu ke empat ialah penekanan yang
keterlaluan terhadap sains dan teknologi tidak akan melahirkan keseimbangan individu seperti yang
diharapkan di dalam falsafah pendidikan negara. Penekanan juga harus diberikan kepada
pembangunan estetika dan seni budaya kepada para pelajar. Ilmu muzik, tarian, seni tampak dan
seni halus perlu digabungkan di dalam kurikulum sekolah agar para pelajar memiliki jiwa yang halus
serta menghargai kehidupan dan budaya. Malangnya oleh kerana kesibukan pihak sekolah
mengajar sains dan teknologi akhirnya menghasilkan insan yang bukan sahaja tidakmempunyai
minat di dalam menghargai seni dan budaya tetapi jugamenipiskan jati diri serta identiti bangsa.
Pihak kementerian perlulah menyusun semula kurikulum agar lebih holistik dan menimbangkan
pembangunan pelajar secara menyeluruh dan seimbang. Akhir sekali, kita perlukan revolusi
pendidikan yang besar jika ingin melihat Islam sebagai agama yang memandu kehidupan anak-anak
kita apabila mereka dewasa nanti. Kolonialisme telah berjaya memecahkan kehidupan orang
Melayu kepada segmen-segmen yang kecil dan dilihat berasingan antara satu sama lain. Orang
Melayu pada akhirnya dibentuk untuk mengamalkan sistem pendidikan ala barat tetapi kemudiannya
kembali kepada Islam apabila tiba waktu untuk beribadat. Kejayaan kolonialisme telah
menyebabkan kita memisahkan pendidikan Islam daripada pendidikan arus perdana di negara kita.
Peranan pendidikan agama telah dikesampingkan dan diserahkan kepada pihak swasta atau orang
perseorangan untuk mengajarkan pendidikan Islam kepada anak-anak melalui sekolah agama

swasta atau belajar agama di rumah-rumah guru agama. Kecuali di negeri Johor yang berjaya
menguruskan sistem pendidikan agama, di negeri lain termasuk di Kelantan dan Kedah yang
terkenal dengan sistem pendidikan pondok pada suatu masa lalu, kini pendidikan agama diletakkan
di dalam kelas yang lebih rendah daripada pendidikan arus perdana. Manakala di sekolah, masa
yang diperuntukan untuk pendidikan agama sekitar empat hingga enam jam seminggu adalah terlalu
kecil dan tidak memadai. Maka pendekatan yang lebih radikal, drastik dan berani perlu dilaksanakan
supaya pendidikan Islam ditadbir urus secara menyeluruh dan menjadi teras kepada sistem
pendidikan arus perdana oleh pihak Kementerian Pelajaran. Walaupun isu-isu di atas sentiasa
dibualkan di kalangan rakyat, sejauh manakah tindakan telah diambil di dalam menangani isu ini.
Tindakan secara sekali sekala atau ad hoc bukan sahaja akan menemui kegagalan tetapi juga
seringkali menimbulkan keraguan di pihak ibu bapa.
Itulah sebabnya perlaksanaan konsep Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK),
pendidikan nilai dan kewarganegaraan serta perlaksanaan Bahasa Inggeris di dalam matematik dan
sains sering ditempelak, tidak lain dan tidak bukan kerana sifatnya yang ad hoc dan tidak dirancang
secara teliti dan berhati-hati. Walaupun pihak Kementerian Pelajaran telah berjaya meningkatkan
keupayaan pengurusan pendidikan, latihan guru serta lain lain hal yang berkaitan dengan
pendidikan tetapi sehingga kini perbincangan masyarakat massa menunjukkan lima isu di atas
sudah sampai ke tahap yang perlukan pengubahsuaian atau lebih baik merevolusikan sistem
pendidikan untuk kebaikan anak-anak cucu pada masa depan.

Anda mungkin juga menyukai