Anda di halaman 1dari 3

Masalah Kanak-Kanak Disleksia

Masalah Fonologi
Pengkodan fonologi merujuk kepada hubungan sistematik antara huruf dengan
bunyi. Secara ringkasnya, kanak-kanak disleksia lazimnya mengalami kesukaran
membezakan antara 'paku' dengan 'pasu'. Mereka juga tidak dapat 'mendengar' rima
akhir yang sama antara perkataan. Umpamanya, apabila ditanya apakah perkataan
yang bunyi akhirannya sama dalam "Jack and Jill went up the hill", mereka akan
menjawab, "Jack" dan "Jill".

Ini juga bermakna mereka keliru dan sukar membezakan harga sesuatu barang
dalam bahasa Inggeris, sama ada fifty cents atau pun fifteen cents. Kesukaran ini
bukanlah disebabkan oleh masalah pendengaran, sebaliknya berkait dengan
pemprosesan maklumat di dalam otak (Farrer, 1996).

Keprihatinan dan pengetahuan para guru berkaitan masalah kanak-kanak disleksia


sangat penting dalam usaha membantu mereka belajar. Umpamanya, kanak-kanak
itu perlu diberi tempat duduk yang paling hadapan di dalam bilik darjah. Dengan
cara ini, guru dapat memerhatikan kanak-kanak itu secara berterusan bagi
memastikan arahan dapat diikuti dengan jelas.

Masalah Mengingat Perkataan


Secara umumnya, kanak-kanak disleksia mempunyai kecerdasan yang normal.
Kebanyakan mereka mempunyai IQ yang normal dan sebahagian daripada mereka
mempunyai kecerdasan luar biasa. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai
masalah dalam mencari semula perkataan. Ini bermaksud apabila mereka
ditanyakan suatu soalan, mereka tidak dapat menjawab secara spontan. Mereka
juga sering didapati mengalami kesukaran mengingati nama rakan-rakan, malah
anggota keluarga dan merujuk individu itu sebagai "kawan saya di sekolah" atau
pun "budak lelaki itu". Ini juga bermaksud mereka sukar mengingati fakta-fakta di
sekolah apabila disoal oleh guru.

Seorang kanak-kanak disleksia mungkin dapat menghuraikan proses 'penyebaran'


dalam subjek sains dengan panjang lebar tetapi mengalami kepayahan
menyenaraikan contoh tumbuhan yang menggunakan angin sebagai mekanisma
penyebaran. Selain itu, kanak-kanak disleksia juga cenderung menjadi kaku dan
membisu apabila ditanyakan soalan.

Masalah Penyusunan Bersiri


Kajian menunjukkan kanak-kanak disleksia sukar menyusun sesuatu secara bersiri,
seperti susunan bulan dalam setahun, susunan hari dalam seminggu, susunan huruf
serta nombor. Justeru, mereka menghadapi masalah menghafal sifir atau pun
mengingat susunannya. Apabila ditanya secara spontan, "Berapakah nilai 5x7?",
mereka terpaksa membaca sifir daripada awal sehingga sampai kepada nombor
yang dikehendaki itu. Ini bermakna penyelesaian satu masalah matematik yang
mudah memerlukan jangka masa yang lama serta banyak tenaga dan usaha.
Masalah yang sama berlaku dalam operasi pembahagian.

Selain itu, kanak-kanak disleksia juga menghadapi masalah menentukan waktu


atau pun membaca jam, serta membuat kira-kira yang berkaitan dengan waktu.
Contohnya, soalan seperti "45 minit sebelum pukul 1.15 tengahari adalah ..."
sangat mencabar keupayaan mereka.

Sebahagian kanak-kanak disleksia menghadapi masalah dengan pengiraan yang


melibatkan wang, seperti mengira jumlah harga barang atau pun menentukan baki.

Masalah Ingatan Jangka Pendek


Ingatan jangka pendek atau pun ingatan bekerja merujuk kepada stor di mana
maklumat yang sedang digunakan disimpan. Kanak-kanak disleksia didapati
menghadapi masalah memproses maklumat yang baru masuk dan pada masa yang
sama mengambil maklumat dari stor ingatan jangka panjang. Kesemua proses ini
akan mengumpul maklumat di stor ingatan jangka pendek bagi digunakan pada
masa itu. Dalam erti kata lain, kanak-kanak disleksia tidak berupaya mengingat
arahan-arahan panjang yang diberikan oleh guru. Umpamanya, dalam subjek

lukisan, terdapat arahan seperti, "Lipat dua kad manila itu, potong di garisan
tengah dan seterusnya". Apabila arahan itu melibatkan lima langkah atau pun
lebih, lazimnya kanak-kanak disleksia teus hilang punca. Ini menyebabkan kanakkanak itu disangka tidak memberikan perhatian.

Di rumah umpamanya, apabila kanak-kanak itu disuruh, "Kamu naik ke tingkat


atas, simpan stoking dalam laci, panggil abang turun dan bawa turun buku
matematik sekali," kanak-kanak disleksia pastinya tertinggal atau pun terlupa
sesuatu. Akibatnya mereka sering dianggap sebagai degil atau pun tidak
mendengar kata.

Masalah yang serupa juga timbul apabila kanak-kanak disleksia berhadapan dengan
soalan aneka pilihan. Bagi memilih jawapan yang tepat, kanak-kanak itu perlu
'memegang' satu soalan dan empat pilihan jawapan dalam stor ingatan bekerjanya,
dan ini menimbulkan masalah kepada kanak-kanak itu. Sehubungan itu, mereka
didapati lebih berupaya menjawab dengan baik dalam soalan terbuka di mana
mereka dapat berfikir dan menulis jawapan yang dikehendaki.

Masalah Kesedaran Sintaks


Kesedaran sintaks atau sensitiviti pada tatabahasa merujuk kepada kebolehan
memahami sintaks suatu bahasa. Masalah ini wujud pada kanak-kanak disleksia di
mana mereka sukar memahami peraturan berkaitan sintaks dalam bahasa.
Umpamanya bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia mempunyai peraturan sintaks
berbeza, di mana frasa "black cat" dalam bahasa Inggeris disebut sebagai "kucing
hitam" dalam bahasa Malaysia. Kanak-kanak disleksia menghadapi masalah dengan
bahasa keduanya apabila peraturan sintaksnya berbeza daripada bahasa pertama.

Anda mungkin juga menyukai