Anda di halaman 1dari 11

PENGGUNAAN ORIGAMI HUKUM BAGI MEMBANTU MURID

TAHUN 3 CREATIVE MENGINGATI HUKUM-HUKUM


DALAM ISLAM
Oleh:
Adibah Binti Ibrahim, Suhaimi Bin Ramli
Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, IPG Kampus Dato Razali Ismail
adibahibrahim115@gmail.com, suhaimi@ipgmkdri.edu.my
ABSTRAK
Murid-murid tahun 3 Creative menghadapi masalah dalam memahami dan
mengingat konsep hukum-hukum dalam Islam. Melalui pemerhatian dan analisis
dokumen seperti lembaran kerja, didapati murid-murid gagal memberikan
jawapan yang betul bagi pengertian dan contoh bagi setiap hukum. Masalah ini
menyebabkan mereka hilang tumpuan semasa guru memberi penerangan. Untuk
menangani masalah ini, satu kajian telah dilakukan ke atas tiga orang peserta
kajian yang dipilih berdasarkan ujian bertulis. Kajian ini bertujuan untuk mencari
pendekatan terbaik menggunakan bahan yang menarik dan mudah untuk murid
memahami dan mengingat konsep hukum dalam Islam beserta contoh bagi setiap
hukum. Origami Hukum telah diperkenalkan. Origami Hukum ini digunakan untuk
membantu murid mengingati pengertian dan contoh bagi setiap hukum dalam
Islam. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan Origami Hukum ini berjaya
membantu semua peserta kajian menguasai konsep dan contoh bagi setiap hukum
dalam Islam. Mereka juga lebih memberi tumpuan terhadap penerangan guru.
Dapat dirumuskan bahawa murid dapat mengingat sesuatu konsep dalam jangka
masa yang lama dengan adanya bahan bantu yang menarik dan kaedah yang
sesuai dengan tahap mereka. Kajian tindakan ini bukan sahaja dapat mengatasi
masalah pembelajaran murid malah menunjukkan kreativiti dan inovasi guru
dalam pengajaran.
Kata kunci:Origami Hukum, Ingatan, Membantu, Hukum dalam Islam
REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengkaji telah menjalani praktikum fasa tiga di Sekolah Kebangsaan Gelugor, Kuala
Terengganu dan pengkaji diamanahkan untuk mengajar Pendidikan Islam tahun 3 Creative (3C)
yang mana kelas ini merupakan kelas ketiga daripada empat kelas tahun 3 di sekolah itu.
Majoriti murid di dalam kelas ini mempunyai tahap pembelajaran yang sederhana. Semasa
menjalankan sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdP) dalm bidang Ibadah bagi tajuk
Hukum dalam Islam, murid didapati menghadapi masalah dalam menguasai tajuk ini. Masalah
ini dikenalpasti apabila pengkaji meminta setiap murid menyebut pengertian hukum beserta
contoh yang telah dipelajari. Namun, maklum balas yang diterima daripada beberapa orang
murid amat menghampa dan mengecewakan pengkaji.
Pengkaji berasa bertambah yakin murid-murid mempunyai masalah untuk mengingat pengertian
ini kerana setelah melaksanakan sesi PdP ini guru mengedarkan lembaran kerja sebagai latihan
kepada murid-murid sekaligus ianya merupakan instrumen bagi memenuhi sistem Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) kerana murid tahun 3 berpandukan kepada Kurikulum Standard

Sekolah Rendah (KSSR). Hasilnya, pengkaji mendapati sekumpulan murid didapati menghadapi
kesukaran untuk melengkapkannya. Rajah 1 menunjukkan contoh kesalahan yang dilakukan
murid yang mana murid tidak dapat memadankan jawapan dengan betul.

Rajah 1: Contoh kesalahan murid menjawab lembaran kerja.


Masalah ini telah mendorong pengkaji untuk mencari punca dan alternatif lain yang boleh
digunapakai bagi memperbaiki masalah murid tahun 3C ini. Berdasarkan kepada pemerhatian
pengkaji, masalah utama yang dihadapi oleh murid-murid ini adalah kegagalan dalam mengingat
pengertian hukum-hukum dalam Islam beserta contoh. Ini disuarakan sendiri oleh mereka yang
sering merungut kerana menghadapi kesukaran untuk membezakan pengertian hukum-hukum
dalam Islam.
Apabila menghadapi situasi sebegini, pengkaji rasa bertanggungjawab untuk memperbaiki tahap
penguasaan murid berkaitan tajuk ini. Ini kerana hukum-hukum merupakan perkara yang amat
penting dalam kehidupan bagi menilai satu-satu perbuatan itu. Pengkaji merasakan bahawa
masalah ini harus diselesaikan dengan menggunakan satu bahan yang sesuai dan menarik supaya
dapat membantu murid menguasai fakta yang terdapat dalam hukum-hukum dalam Islam. Bahan
ini memudahkan murid untuk mengingat kerana maklumat ringkas dan padat, berbantukan
warna, gambar serta saiz yang sesuai bagi memudahkan murid merujuk jika mereka keliru.

SOROTAN LITERATUR
Menurut Kamus Dewan Bahasa edisi keempat (2010) perkataan hukum bermaksud peraturan
yang dibuat oleh sesuatu kekuasaan (negara dan lain-lain), adat yang dianggap mesti dipatuhi
iaitu undang-undang dan ketentuan (kaedah, kepastian, ketetapan) mengenai sesuatu peristiwa
atau kejadian (alam dan lain-lain). Manakala menurut Hisyamuddin Mohd Yusof (2011) pula,
hukum dari segi bahasa ialah kata putus atau keputusan. Manakala dari segi istilah pula ialah
titah atau khitab Allah taala yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang mencakupi
suruhan atau pilihan.
Pemahaman dan penguasaan serta mengingati konsep bagi tajuk Hukum dalam Islam adalah
penting bagi setiap murid. Perkara ini penting kerana murid dapat membezakan sama ada
perbuatan itu wajib dilakukan ataupun haram dilakukan. Kemahiran mengingat diperlukan bagi
menguasai tajuk hukum dalam Islam ini. Menurut Azizi Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi
Zakariya dan et.al (2005) mengatakan ingatan merujuk pada tempat maklumat, menyimpan

maklumat dan mendapatkan semula maklumat. Ingatan merekodkan pembelajaran penukaran


langsung tingkah laku daripada pengalaman.
Hanafi Ismail dan Sadali Othman (2001) pula berpendapat bahawa faktor-faktor yang
mempengaruhi daya ingatan seorang murid ialah sikap murid itu sendiri. Kenyataan ini disokong
oleh Kamarul Azmi Jasmi dan Abdul Halim Tamuri (2007) yang mengatakan bahawa ingatan
murid terhadap isi pengajaran dapat dikekalkan dengan lebih lama dengan adanya bahan. Bahan
pembelajaran yang hendak diingat hendaklah dalam bentuk yang padat, ringkas, mudah dibaca
dan difahami serta dapat menarik minat murid tersebut.
Menurut Mohamad Khirudin Bin Amdan, penggunaan bahan pelajaran dapat membantu pelajar
memahami konsep yang abstrak dengan mudah. Selain itu, menurut Kamarul Azmi Jasmi dan
Ab. Halim Tamuri (2007) mengatakan bahawa antara ciri yang perlu ada pada bahan ialah warna
yang menarik dan saiz yang tepat. Ini kerana murid lebih suka kepada bahan berwarna
berbanding dengan hitam putih. Penggunaan warna dapat menarik minat mereka sekaligus
menggalakkan pembelajaran. Selain itu, warna juga dapat menonjolkan fakta penting.
Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Nur Farah Ain Binti Rais (2012) terhadap peserta
kajiannya yang mempunyai masalah yang sama bagi tajuk hukum dalam Islam ini mengatakan
bahawa dengan menggunakan kaedah nyanyian menunjukkan peningkatan terhadap penguasaan
murid terhadap konsep hukum dalam Islam ini. Namun, tanpa penggunaan bahan yang boleh
dipegang dan bertulis tidak dapat mengekalkan ingatan murid dalam jangka masa yang lama.

TUJUAN KAJIAN
Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kemahiran mengingat bagi murid
lemah tahun 3C Sekolah Kebangsaan Gelugor dalam tajuk Hukum dalam Islam dengan
menggunakan Origami Hukum.
Objektif
Membantu murid lemah tahun 3C mennguasai dan mengingati konsep hukum dalam Islam
menggunakan Origami Hukum.
Persoalan Kajian
Bagaimanakah penggunaan Origami Hukum dapat membantu murid lemah tahun 3C menguasai
dan mengingati konsep hukum dalam Islam?

METODOLOGI KAJIAN
Kajian tindakan ini melibatkan tiga orang murid lemah tahun 3C yang mana kesemuanya murid
perempuan. Peserta kajian ini dipilih berdasarkan kepada pencapaian dalam ujian bertulis.
Pengumpulan data menggunakan instrumen analisis dokumen, pemerhatian dan temu bual. Data
kualitatif dianalisis secara deskriptif mengikut peserta kajian.
Analisis Dokumen
Pengkaji memberikan lembaran kerja dan latihan bertulis kepada setiap peserta kajian. Setiap
selesai satu sesi peserta kajian telah diedarkan dua lembaran kerja. Lembaran kerja ini bertujuan

untuk melihat peningkatan penguasaan peserta kajian mengingati konsep hukum dalam Islam
berbantukan Origami Hukum. Selain itu, pengkaji juga memberika ujian bertulis yang dipanggil
Ujian Pra dan Pasca kepada setiap peserta kajian.
Pemerhatian
Pengkaji telah melakukan pemerhatian secara tidak berstruktur yang mana pengkaji merekod
pemerhatian dan membuat catatan nota lapangan. Fokus utama pemerhatian ini dijalankan
adalah untuk melihat perubahan tingkah laku yang berlaku terhadap peserta kajian.
Temu Bual
Temu bual ini telah dijalankan secara bersemuka terhadap kesemua peserta kajian sebelum dan
selepas intervensi. Selain itu, pengkaji telah menemu bual setiap peserta kajian di akhir setiap
sesi. Pengkaji merekodkan sesi temu bual. Ini bertujuan untuk memastikan tidak ada maklumat
yang tercicir dan mudah ditranskripkan untuk dianalisis. Pengkaji telah menyediakan protokol
temu bual. Protokol ini disediakan untuk menjawab persoalan kajian.

SPESIFIKASI INTERVENSI
Bahan intervensi ini diberi nama Origami Hukum. Nama ini diberikan kerana bahan ini
diperbuat daripada kertas dan terhasil daripada lipatan. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan
Pustaka edisi keempat (2010), origami berasal daripada Jepun yang membawa maksud seni lipat
kertas untuk membuat objek hiasan yang berbentuk seperti manusia, binatang dan sebagainya.
Manakala hukum pula merujuk kepada lima hukum yang terdapat dalam Islam iaitu wajib,
haram, sunat, harus dan makruh.

Rajah 2: Origami Hukum


Origami Hukum ini mempunyai enam permukaan tetapi hanya dua permukaan yang dapat dilihat
dalam satu-satu masa. Ianya merangkumi pengertian dan contoh bagi kelima-lima hukum. Selain
itu, setiap hukum diwakilkan dengan satu warna iaitu hijau mewakili wajib, merah mewakili
haram, kuning mewakili sunat, oren muda mewakili makruh dan biru mewakili harus. Pengertian
juga mengikut warna. Hijau tua untuk buat, merah jambu untuk tinggal, biru untuk dapat pahala,
merah untuk berdosa, oren untuk tidak berdosa. Penggunaan Origami Hukum ini adalah dengan
membuka lipatan atas, bawah, kiri dan kanan sehingga memperolehi permukaan hukum yang
diperlukan.
Penggunaan warna ini disokong oleh kajian yang dilakukan Barry (1976) dalam kajian Norma
Hassan (2004) yang mana mengatakan warna memberi suatu dimensi untuk pemahaman yang

lebih. Fungsi warna adalah sebagai kod yang menyenangkan ingatan dan mengingat kembali
sesuatu imej.

Rajah 3: Langkah penggunaan Origami Hukum


Kajian ini dijalankan sebanyak empat sesi. Sesi pertama adalah untuk membantu peserta kajian
mengingati hukum wajib dan haram dengan menggunakan Origami Hukum. Sesi kedua pula
untuk membantu peserta kajian mengingati hukum sunat dan makruh dengan menggunakan
Origami Hukum. Sesi ketiga pula untuk membantu peserta kajian mengingati hukum harus
dengan menggunakan Origami Hukum. Sesi terakhir iaitu sesi keempat yang mana objektifnya
adalah peserta kajian dapat memadankan hukum dengan pengertian dan contoh dengan betul
tanpa menggunakan Origami Hukum.

DAPATAN KAJIAN
Peserta Kajian 1 (PK 1) ini merupakan murid yang aktif di dalam kelas yang mana dia suka
bercakap dan kurang fokus walaupun duduk paling hadapan di dalam kelas. Selain itu, PK 1
seorang murid yang mudah lupa dan mempunyai tahap pembelajaran yang lemah. Di dalam
kelas semasa sesi PdP dijalankan, PK 1 kelihatan menumpukan perhatian. Namun begitu,
apabila pengkaji mengajukan soalan selepas memberi penerangan mengenai Hukum-hukum
dalam Islam, PK 1 hanya mampu tersenyum dan mengambil masa yang agak lama untuk
menjawab soalan yang ditanya. Namun, jawapan yang diberikan salah. Antara soalan yang
diajukan guru, Apakah hukum apabila kita buat dapat pahala dan apabila kita tinggal
berdosa?.Jawapan PK 1, Emmm, (sambil sengih-sengih dan garu kepala) sunat ustazah.
Pengkaji kemudiannya menjalankan ujian bertulis yang dipanggil Ujian Pra. Berdasarkan
pemerhatian pengkaji, semasa menjawab ujian ini, PK 1 didapati kelihatan gelisah dan sering
melihat rakan-rakan yang lain ketika ujian sedang dijalankan. Selain itu, PK 1 kelihatan tergesagesa menyiapkan ujian ini kerana peserta kajian lain telah siap menjawab soalan ujian ini. Ini
dapat dikenalpasti bahawa PK 1 sememangnya tidak mengingati pengertian hukum dalam Islam.
Hasil daripada ujian mendapati PK 1 mengalami kekeliruan dalam menentukan pengertian bagi
dua hukum. Rajah 4 dan 5 menunjukkan kesalahan yang dilakukan.

Rajah 4: Jawapan soalan 1 Ujian Pra.

Rajah 5: Jawapan Soalan 3 Ujian Pra.


Hasil temu bual, PK 1 mengetahui hukum dalam Islam ada lima iaitu wajib, sunat, haram,
makruh dan harus. Namun PK 1 hanya memahami dan mengingati sebahagian konsep hukum
sahaja. Soalan yang ditanya kepada PK 1, Apakah pengertian hukum harus?. Jawapan yang
PK 1 berikan, Emmm, dop tahu gop ustazah, dop ingat (Emmm, tidak tahu ustazah, tidak
ingat). Ini membuktikan bahawa PK 1 sememangnya tidak mengingati pengertian dalam Islam.
PK 1 menentukan contoh bagi satu-satu hukum. Ini kerana berdasarkan hasil ujian yang
dijalankan PK 1 hanya dapat memadankan dua contoh sahaja dengan betul dan apabila ditanya
mengenai jawapan yang diberikan, PK 1 menjawab tidak ingat. Rajah 6 menunjukkan contoh
kesalahan yang dilakukan oleh PK 1 untuk Ujian Pra.

Rajah 6 : Transkrip jawapan Soalan 1 dan 2 Bahagian B Ujian Pra


Pengkaji telah menjalankan sesi intervensi kepada PK 1. Semasa sesi 1, PK 1 kelihatan seronok
dan gembira apabila diberikan Origami Hukum. PK 1 hanya fokus kepada Origami Hukum yang
diberi. Pengkaji memperkenalkan kepada PK 1 mengenai Origami Hukum ini dan memberi
penerangan mengenai hukum wajib dan haram sahaja menggunakan Origami Hukum.
Berdasarkan pemerhatian pengkaji semasa sesi 1 dijalankan, PK 1 kelihatan teruja dengan bahan
yang diberi. Selain itu, PK 1 juga kelihatan bersungguh-sungguh untuk mengetahui penggunaan
bahan itu. PK 1 berusaha untuk meneroka bahan yang diberi oleh pengkaji sebelum diberi
penerangan oleh pengkaji. Setelah diberi penerangan, pengkaji memberi masa dan peluang
kepada PK 1 untuk memahirkan diri dan mengingati pengertian dan contoh hukum wajib dan
haram dengan menggunakan Origami Hukum itu. Kemudiannya, pengkaji bersoal jawab dengan
PK 1 dan meminta PK 1 menerangkan pengertian dan contoh hukum wajib dan haram.
Hasilnya PK 1 dapat menjawab soalan yang diajukan oleh pengkaji. Seterusnya, untuk menguji
pemahaman, penguasaan dan ingatan PK 1 berkaitan hukum wajib dan haram ini pengkaji telah

memberikan latihan kepada PK 1. Pengkaji telah memberikan dua latihan kepada PK 1. Hasil
daripada latihan yang diberikan kepada PK 1 menunjukkan PK 1 dapat menguasai dan
mengingati dua hukum yang dipelajari iaitu hukum wajib dan haram. Ini kerana PK 1 dapat
menjawab kedua-dua latihan yang diberikan dengan baik sama ada latihan satu (lihat rajah 7)
mahupun latihan dua (lihat rajah 8).

Rajah 7: Jawapan PK 1 bagi latihan satu.

Rajah 8: Jawapan PK 1 bagi latihan dua.


Berdasarkan pemerhatian yang dibuat semasa PK 1 menjawab latihan ini, didapati PK 1
bersungguh-sungguh menjawab latihan yang diberi. Selain itu, PK 1 juga tidak mengambil masa
yang lama untuk menyiapkan latihan yang diberi malah PK 1 juga tidak melihat kepada jawapan
rakan yang lain. Ini menunjukkan PK 1 telah dapat menguasai dan mengingati konsep hukum
wajib dan haram dan perubahan tingkah laku telah berlaku kepada PK 1.
Di samping itu, pengkaji juga mengadakan temu bual dengan PK 1, dan apabila diajukan soalan
berkaitan dengan penggunaan Origami Hukum, PK 1 telah menjawab, Best guna benda ni
ustazah. Kite suke, mula-mula kite dop paham gop nok gune bende ni ustazah. Lepah ustazah
ajar kite gheti doh nok gune guane (seronok ustazah guna benda ni. Saya suka walaupun mulamula saya tidak faham cara nak guna benda ni ustazah tapi selepas ustazah ajar, saya dah tahu
cara untuk guna, mudah sahaja.).
Hasil daripada semakan dokumen, temu bual dan pemerhatian yang dilakukan semasa sesi 1
menunjukkan bahawa PK 1 dapat menguasai dan mencapai objektif pembelajaran bagi sesi 1 ini
sekaligus membuktikan bahawa PK 1 dapat mengingat pengertian dan contoh hukum wajib dan
haram dengan menggunakan Origami Hukum.
Kemudiannya, pengkaji menjalankan sesi 2 ke atas PK 1 yang mana sesi 2 ini berfokuskan
kepada dua hukum yang lain iaitu hukum sunat dan makruh. Sesi 2 ini juga dimulakan dengan
penerangan mengenai hukum sunat dan makruh dengan menggunakan Origami Hukum. PK 1

kelihatan masih bersemangat untuk meneruskan sesi 2 ini menggunakan Origami Hukum. Sama
seperti sesi 1, pengkaji memberi masa kepada PK 1 untuk mengingati hukum sunat dan makruh
menggunakan Origami Hukum.Pengkaji bersoal jawab dengan PK 1 berkaitan dengan hukum
sunat, makruh, wajib dan haram selepas selesai memberi penerangan kepada peserta kajian.
PK 1 juga didapati menjadi pembimbing kepada peserta kajian lain kerana PK 1 dilihat
memberikan tunjuk ajar cara untuk menggunakan Origami Hukum itu bagi hukum sunat dan
makruh kepada rakannya yang lain. Kemudiannya, pengkaji mengedarkan latihan bagi menguji
penguasaan PK 1 pada sesi 2 ini. Latihan yang diberi adalah sama konsepnya seperti sesi 1 tetapi
berubah kepada hukum sunat dan makruh. PK 1 didapati dapat menjawab latihan yang diberi
dengan baik dan jawapan yang diberikan semuanya betul untuk kedua-dua latihan (Rajah 10, 11
dan 12).

Rajah 9: Jawapan PK 1 latihan 1 sesi 2

Rajah 10: Jawapan PK 1 latihan 2 sesi 2


Rajah 9 dan 10 di atas telah membuktikan bahawa PK 1 telah menguasai dan mengingati
pengertian dan contoh bagi hukum sunat dan makruh. Berdasarkan pemerhatian pengkaji juga
mendapati PK 1 menunjukkan keyakinan yang tinggi semasa menjawab latihan yang diberi dan
sama seperti sesi 1 yang mana PK 1 mengambil masa yang singkat untuk menyiapkan kedua-dua
latihan yang diberi. Semasa temu bual, pengkaji bertanya Adakah anda telah mengingati
pengertian dan dan contoh bagi hukum sunat dan makruh?Jawapan yang diberikan PK 1
sewaktu ditemu bual, Saya sudah boleh ingat ustazah sebabnya pengertian bagi kedua-dua
hukum hanya bertukar, sunat kalau buat dapat pahala, makruh kalau buat tidak berdosa.
Kemudiannya, sesi 3 ini diteruskan ke atas PK 1 yang dimulakan dengan penerangan berkaitan
hukum harus menggunakan Origami Hukum dan pengkaji bersoal jawab berkaitan kelima-lima
hukum yang telah dipelajari dengan menggunakan Origami Hukum. PK 1 dapat menjawab
soalan yang diajukan. PK 1 juga kelihatan lebih fokus dan menumpukan perhatian terhadap

penerangan pengkaji. Kemudiannya, pengkaji memberi masa kepada PK 1 untuk mengingati


kelima-lima hukum dengan menggunakan Origami Hukum.
Seterusnya latihan satu dan dua juga diberikan untuk dijawab oleh PK 1. PK 1 telah menguasai
hukum harus berdasarkan latihan yang diberi (lihat rajah 13 dan 14).Berdasarkan pemerhatian,
PK 1 sekali lagi menunjukkan keyakinan semasa menjawab latihan dan menjawab dalam masa
yang singkat.

Rajah 13: Jawapan Latihan 1

Rajah 14: Jawapan Latihan 2


Hasil temu bual selepas sesi 3 ini dijalankan, PK 1 mengatakan bahawa dia suka menggunakan
Origami Hukum dan memudahkan PK 1 untuk mengingati pengertian dan contoh bagi kelimalima hukum kerana kesemua hukum terdapat dalam satu Origami Hukum. Ini menunjukkan PK
1 telah dapat mengingati pengertian dan contoh hukum dalam Islam dengan mudah dengan
menggunakan Origami Hukum.
Setelah melihat pencapaian PK 1 dalam sesi 3, pengkaji meneruskan kepada sesi yang keempat
yang mana sesi 4 ini memerlukan murid menjawab soalan Ujian Pasca. Ujian ini mempunyai
Bahagian A dan B. PK 1 didapati menjawab soalan Ujian Pos dengan cemerlang (lihat rajah 15).
PK 1 menunjukkan peningkatan dan dia telah menguasai serta mengingati konsep hukum dalam
Islam. Selain itu, PK 1 didapati tidak mengalami kekeliruan dan dapat membezakan pengertian
dan contoh bagi setiap hukum.

Rajah 15 :Contoh Jawapan Ujian Pasca


Pengkaji menjalankan pemerhatian tidak berstruktur semasa PK 1 menjalani Ujian Pos. Hasil
pemerhatian itu menunjukkan PK 1 dapat mengingat dengan baik. Ini kerana semasa menjawab
soalan ujian, PK 1 telah menjawab dengan penuh keyakinan tanpa melihat rakan-rakan yang
lain. Selain itu, PK 1 kelihatan menjawab soalan ujian dengan tenang dan tidak tergesa-gesa
malah PK 1 dapat menyiapkan ujian dalam masa yang singkat.
Pengkaji juga mengadakan sesi temu bual dengan PK 1. Semasa temu bual, PK 1 telah
menerangkan kepada pengkaji konsep beberapa hukum beserta contoh. Kemudian, apabila
diminta pandangan mengenai Origami hukum ini, PK 1 dengan gembira menyatakan
Suka.Walaupun tidak menggunakan Origami Hukum pun saya sudah boleh ingat.
Secara keseluruhannya, kesemua peserta kajian menunjukkan peningkatan dalam menguasai dan
mengingati pengertian dan contoh bagi kelima-lima hukum dalam Islam berdasarkan kepada
ujian dan latihan yang diberikan. Selain itu, kesemua peserta kajian menunjukkan perubahan
tingkah laku semasa setiap sesi dilakukan. Kesemua peserta kajian seronok dan bersungguhsungguh untuk menjalani setiap sesi. Tambahan pula dengan berbantukan Origami Hukum,
peserta kajian menjadi lebih fokus dan menumpukan perhatian kerana mereka boleh memegang
dan melihat bahan dengan lebih jelas. Rumusannya, Origami Hukum ini dapat membantu peserta
kajian mengingati konsep kelima-lima hukum dalam Islam.

KESIMPULAN
Penggunaan bahan konkrit dan berwarna serta ringkas sepertimana yang terdapat pada Origami
Hukum ini dapat membantu murid mengingati pengertian dan contoh hukum dalam Islam.
Bahan ini memudahkan murid untuk memahami konsep hukum dalam Islam sekaligus
menjadikan murid lebih fokus dan menumpukan perhatian semasa sesi penerangan dijalankan.
Isi penting ringkas dan difokuskan menggunakan warna dapat membantu murid hanya
mengingati isi penting.
Sebagai seorang bakal guru terlatih seharusnya lebih kreatif dalam menyampaikan ilmu kepada
murid-murid di sekolah dan perlu bijak dalam mewujudkan sesi PdP yang lebih berkesan
terhadap murid. Kajian tindakan yang dijalankan dapat menanamkan semangat dan motivasi
kepada pengkaji untuk membantu murid-murid yang bermasalah dalam pembelajaran. Selain itu,
pengkaji berasa setiap guru harus melakukan inovasi dalam sesi PdP yang dijalankan.
Kekuatan kajian tindakan ini ialah bahan yang digunakan memudahkan murid menguasai konsep
hukum dalam Islam. Selain itu, membantu murid lebih fokus dan menumpukan perhatian
terhadap sesi PdP dan bahan yang digunakan kecil, padat dan ringkas. Ciri ini penting kerana

memudahkan murid untuk merujuk pada bila-bila masa sahaja kerana mudah dibawa kemanamana. Namun begitu, kajian ini masih terdapat kelemahan seperti contoh yang dinyatakan terhad
dan tidak menggunakan aplikasi teknologi. Ini kerana penggunaan teknologi amat dititikberatkan
pada masa kini. Tambahan pula, bahan ini tidak tahan lama dan mudah rosak jika terkena air.
Pengkaji mencadangkan agar bahan ini diterapkan unsur teknologi seperti memasukkan unsur
bunyi-bunyian supaya semua deria murid dapat digunakan. Bahan yang mempunyai kelima-lima
unsur deria lebih membantu memudahkan murid mengingati sesuatu fakta.
Selain itu, pengkaji mencadangkan supaya bahan ini dibina dengan menggunakan bahan yang
tahan lama seperti plastik dan dijadikan seperti set permainan lego supaya wujud unsur
permainan dan guru boleh menjadikan permainan itu sebagai satu latihan kepada murid selain
daripada memberikan lembaran kerja. Kaedah permainan dapat mewujudkan sesi PdP yang lebih
menarik.

RUJUKAN
Buku
(2010). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi Zakariya dan et.al (2005). Aplikasi Kognitif dalam
Pendidikan. Bentong:PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Hanafi Ismail. Sadali Othman. (2001). Mencari Permasalahan Pelajar. Kuala Lumpur: AlHidayah Publishers.
Kamarul Azmi Jasmi. Ab. Halim Tamuri.(2007). Pendidikan Islam Kaedah Pengajaran dan
Pembelajaran. Johor Bahru: Penerbit UTM Press, Universiti Teknologi Malaysia.
Jurnal, Kajian Lepas
Norma Hassan (2004). Hubungan di Antara Penggunaan Bahan Bantu Mengajar dengan Minat
Pelajar Tahun Lima di Sekolah Kebangsaan Kem, Pengkalan Chepa, Kelantan. Kajian
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Nur Farah Ain Rais (2012). "TA'ARUF BIL HUKM": Strategi meningkatkan Penguasaan
Konsep Mengenal Hukum Dalam Kalangan Murid Tahun Tiga di SK Rusila.Kajian
Tindakan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Institut Pendidikan Guru Kampus
Dato Razali Ismail, Kuala Terengganu, Malaysia.
Internet
Hisyamuddin Mohd Yusof (2011). Pembahagian Hukum Dalam Fiqh Islamiy. diakses pada 4
April 2014, daripada Syara' & Fiqh.Online Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail
Petra:http://kias.edu.my/hukumfiqh.htm

Anda mungkin juga menyukai