Anda di halaman 1dari 2

Sumber: http://klikweb.dbp.my/wordpress/?

p=2622
Tajuk Artikel: Isu Sistem Bahasa dalam Pendidikan Bahasa Melayu
Tugasan pada 27 Oktober 2014
1.

Baca artikel dengan teliti.

2.

Kenal pasti isu utama yang dibincangkan.

3.

Buat ulasan dengan menggunakan ayat anda sendiri sepanjang


satu muka surat yang bertulis tangan.

Dr. Awang Sariyan


Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka

Isu yang hingga kini masih menyelubungi minda sejumlah pendidik bahasa Melayu berkaitan dengan isu sistem
bahasa, ialah kemantapan beberapa aspek bahasa yang menyentuh tatabahasa, kosa kata, ejaan dan sebutan.
Isu yang lebih besar daripada itu ialah kurang jelasnya sebilangan pendidik tentang diglosia yang seharusnya
menjadi kayu ukur dalam penentuan ketepatan berbahasa menurut konteks. Percampurbauran antara bentuk
bahasa yang rasmi dengan yang basahan, baik dalam hal kosa kata, tatabahasa dan sebutan masih menjadi
fenomena yang agak nyata.
Pada saat kita memperkatakan bahasa yang baik, timbul polemik tentang bahasa yang alamiah yang kononnya
tidak perlu tertakluk pada rumus-rumus bahasa, yang malangnya kadang-kadang dikaitkan dengan tohmahan
bahawa rumus-rumus bahasa itu dikhayalkan oleh ahli bahasa, bukan daripada realiti penggunaan bahasa.
Masalah yang dihadapi oleh sesetengah pendidik dan pelajar ialah tidak dapat membuat garis pemisah yang
jelas antara bentuk bahasa yang rasmi dengan bahasa yang basahan atau tidak rasmi. Tentulah dalam konteks
bahasa yang basahan, seperti dalam perbualan, tidak terterap sepenuhnya segala rumus bahasa seperti
tatabahasa dan sebutan baku.
Namun dalam bidang-bidang yang rasmi, profesional, ilmiah dan berkaitan dengan budaya tinggi, kod bahasa
yang patut dipilih ialah yang mewakili kod bahasa terbina, bukan kod bahasa terhad (daripada istilah
elaborated code dan restricted code yang diperkenalkan oleh Bernstein seperti yang telah dijelaskan dalam
bahagian yang lebih awal).
Maka itu, kedengaran di sana sini orang yang masih mempersoalkan rumus tatabahasa yang berkaitan dengan
binaan ayat aktif, ayat pasif, ayat majmuk dan sebagainya. Masih banyak ayat yang tidak keruan binaannya
oleh subjek dan predikatnya tidak padu, seperti ayat yang berbunyi Menurut Kementerian Sains dan Alam
Sekitar menyatakan bahawa banyak sungai yang telah tercemar.
Masih terdapat di sana sini penggunaan ayat pasif yang bercampur aduk antara yang menerapkan rumus ayat
pasif diri pertama dan diri kedua dengan rumus ayat pasif diri ketiga. Ayat pasif diri ketiga seperti Perkara
yang mereka bincangkan mendapat sambutan penonton. seakan-akan tidak dapat dikesan kesilapan rumus
sintaksisnya sebagaimana masih agak leluasa juga orang mengungkapkan ayat pasif diri pertama seperti Buku
yang dibincangkan oleh kami itu penting sebagai asas pegangan hidup. yang jelas tidak memenuhi rumus
sintaksis bahasa Melayu baku.
Masih juga nyaring suara tentang kekeliruan penggunaan imbuhan yang betul, seperti dalam hal imbuhan
apitan me--kan dan me--i dan yang lain. Masih ada yang tidak dapat membedakan makna
mengirimkan daripada mengirimi, menghadiahkan daripada menghadiahi dan contoh-contoh lain yang
sejenis dengannya. Masih nyata kekeliruan bilakah akhiran -kan perlu atau tidak perlu digunakan dalam
contoh seperti isikan borang ini atau isi borang ini, tuliskan ringkasan karangan atau tulis ringkasan
karangan, berikan pendapat atau beri pendapat.
Dalam hal penggunaan kata berimbuhan yang lain, masih agak nyata kekeliruan tentang penggunaan variasi
awalan me-, iaitu sama ada me-, mem-, men-, meng- atau menge-. Maka berterusan isu kekeliruan
adakah
bentuk
yang
betul
memastikan
atau mempastikan, mencintai atau menyintai, mewujudkan atau mengwujudkan, meyakinkan atau
menyakinkan dan sekian banyak yang lain lagi.
Apabila dijelaskan bahawa bentuk kata terbitan yang betul ialah berbahaya, bukan merbahaya (kerana
tiada awalan mer- yang diimbuhkan pada kata bahaya), masih banyak orang yang ragu dan tidak faham
akan alasannya. Tidak kurang juga yang terus keliru dengan mengatakan bahawa bentuk kata pemelajaran
menyalahi rumus morfofonem bahasa Melayu kerana bunyi /b/ dalam kata belajar tidak patut dan tidak
pernah dilenyapkan apabila menerima awalan pe-, walhal kata pemelajaran terbit daripada kata kerja
mempelajari yang sama sahaja polanya dengan bentuk pemerhatian (daripada kata kerja
memperhatikan), pemersatuan (daripada kata kerja mempersatukan), pemerolehan (daripada kata
kerja memperoleh) dan beberapa patah kata lain yang menerima awalan rangkap pemeR-, sebagai kata
nama terbitan daripada kata kerja berawalan rangkap mempeR-.
Ketiadaan atau kurang sedarnya sesetengah orang tentang konsep bahasa rasmi dan bahasa basahan turut
menyebabkan timbul perbalahan tentang sebutan baku. Orang yang tidak melihat bahasa sebagai sistem yang
bertatatingkat, iaitu menganggap bahasa setara belaka dalam semua hal, berasa pelik bin ajaib apabila diberi

penegasan tentang perlunya sebutan baku digunakan. Seakan-akan tidak disedarinya bahawa sebutan baku itu
ditegaskan penggunaannya dalam laras bahasa yang rasmi, bukan dalam perbualan, hatta dalam mimpi.
Semua bahasa yang maju memiliki ragam sebutan formalnya, yang memang tidak sama betul dengan ragam
sebutan bahasa sehari-hari.
Demikian juga, apabila ditekankan penggunaan kosa kata yang terpilih, sesuai dengan konteks rasmi, ada
sesetengah kalangan yang beranggapan bahawa saran itu sama sekali tidak alamiah dan tidak praktis kerana
kata-kata yang terlarang itu lazim digunakan dalam perbualan sehari-hari. Maka ada orang yang mengatakan
bahawa larangan penggunaan kata seperti bikin bagi buat sebagai perbuatan orang yang mengada-ngada.
Orang seperti itu ternyata tidak mempunyai maklumat tentang bagaimana kamus dalam semua bahasa besar
menetapkan, atau sekurang-kurangnya memberikan panduan tentang penggunaan kata yang rasmi, yang
baku, yang basahan, yang larangan dan sebagainya. Dalam kamus bahasa Inggeris, hal sebegitu ternyata
cukup diberi perhatian. Demkian juga dalam kamus bahasa Melayu yang baik.
Dalam pada itu, tetap saya akui bahawa memang ada beberapa aspek khusus yang belum mencapai tahap
kebakuan yang tinggi. Hal ini tidak berlaku dalam bahasa Melayu sahaja, misalnya dalam hal kosa kata dan
beberapa bentuk binaan kata terbitan dengan menggunakan imbuhan. Tentang kosa kata, memang mudah kita
terjebak oleh fahaman sama ada bersikap tulen melulu atau terbuka melulu. Pada dasarnya kita perlu
mengutamakan kosa kata yang sedia ada dalam bahasa Melayu, atau melakukan inovasi dengan menggunakan
sistem morfologi bahasa Melayu. Bagi kata yang tiada padanan dalam bahasa Melayu, dibolehkan kita
mencipta bentuk yang baru dengan mengambil bentuk asal kata itu tetapi diubahsuaikan menurut sistem
sebutan dan morfologi bahasa Melayu.
Oleh sebab adanya beberapa aspek sistem bahasa Melayu yang belum mantap betul dan masih memerlukan
ijtihad ahli-ahli bahasa, lalu terdapatlah pandangan yang berbeda dalam kalangan ahli bahasa, maka dibesarbesarkan orang perihal isu mazhab yang kononnya menyukarkan guru mengajar dan murid belajar bahasa.
Dalam buku kecil Penjelasan Isu Mazhab dalam Bahasa (1996), saya telah membuktikan bahawa peratusan
aspek bahasa yang belum seragam betul itu tidaklah besar dan dalam sesetengah aspek, seperti ejaan di
bawah 0.1%.
Ada pula yang mengatakan bahawa perubahan daripada tatabahasa Za`ba menjadikan bahasa Melayu terlalu
moden dan oleh itu sukar dipelajari dan diajarkan. Telah saya tunjukkan juga dalam beberapa banyak tulisan
saya bahawa rumus bahasa yang dikemukakan oleh Za`ba sebahagian besarnya masih dipertahankan, tetapi
mungkin dengan istilah yang berlainan, misalnya ayat bangun membuat menjadi ayat aktif, ayat bangun
kena buat menjadi ayat pasif. Perubahan istilah itu sama sekali tidak mengubah rumus atau aturan yang
dikemukakan oleh Za`ba. Sebilangan orang yang membesar-besarkan isu itu rupanya tidak pula mematuhi
rumus bahasa Za`ba dan hanya memainkan sentimen bergantung pada nama besar beliau, tetapi sebaliknya
menyimpang daripada tatabahasa susunan Zaba.
Maka itu, amat penting para pendidik mempunyai kekuatan penguasaan sistem bahasa untuk diterapkan dalam
pengajaran bahasa kepada anak didik. Sesudah lebih setengah abad sistem pendidikan kita berlangsung di
negara yang merdeka, sewajarnya aspek-aspek asas sistem bahasa telah mantap. Tidak sewajarnya timbul lagi
ajaran sesat di sesetengah sekolah seperti Kata kerana, dengan, untuk dan sebagainya tidak boleh
digunakan di pangkal ayat. Dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, tidak timbul masalah salah faham
yang sedemikian berat sehingga mengatakan kata tugas seperti with, to, because dan lain-lain menyalahi
tatabahasa.
Demikian juga, anak didik perlu dimantapkan penguasaan sistem bahasanya dan perlu senantiasa disedarkan
tentang pentingnya menguasai ragam bahasa rasmi di sisi ragam bahasa basahan supaya mereka dapat
menggunakan bahasa yang sesuai menurut konteks.

Anda mungkin juga menyukai