Anda di halaman 1dari 4

CATATAN REFLEKSI

TARIKH

21 APRIL 2015

1. ISU / PERKARA YANG DIFOKUS


TAJUK : SAINS HAYAT / TUMBUHAN
SKSP :
5.1.1 Membuat kesimpulan bahagian tumbuhan yang bergerak balas terhadap
rangsangan dengan menjalankan penyiasatan.
5.1.2 Menjelaskan pemerhatian melalui lakaran, TMK, penulisan atau lisan.

2. ANALISIS ISU/PERKARA YANG DIFOKUS


2.1 Kekuatan
Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan teratur. Empat komponen utama
yang perlu ada dalam kemahiran set induksi dapat saya aplikasikan dalam P&P saya
iaitu menarik perhatian, membangkitkan pemikiran, menstruktur kandungan dan
membuat cantuman pengajaran. Dalam kemahiran pengajaran juga adalah untuk
mengukuhkan pendekatan guru mengenai pelajaran yang ingin diajar, mengenal pasti
kemahiran yang perlu diperbaiki, meningkatkan kefahaman guru mengenai pelbagai
gaya pengajaran yang berkesan di samping menerima maklum balas yang berkesan
hasil pengajaran. Dalam menarik perhatian murid, saya telah menggunakan bahan
bantu mengajar di samping menggunakan gerak geri badan dan kepelbagaian nada
suara. Alat bantu mengajar yang saya gunakan dapat saya urus tadbir dengan baik. Di
samping itu juga komunikasi dua hala antara guru dan murid dapat dirasai.
Kepelbagaian nada suara adalah penting untuk menegaskan sesuatu perkara dan
memberi ingatan kepada murid isi penting pelajaran. Dalam mencungkil idea-idea
daripada murid-murid mengenai bahan yang disediakan saya juga menggunakan
kemesraan dan menunjukkan semangat serta kesungguhan mendengar idea-idea
yang disuarakan oleh murid. Sebagai contoh apabila seorang murid saya menyatakan
pendapat dengan suara yang agak perlahan dan samar-samar, saya dekati murid
tersebut dan menyebut semula idea yang disampaikan olehnya.

2.2 Kelemahan
Setiap pengajaran yang berlaku itu pasti ada kelemahannya, tidak kira ia kecil atau
besar, memberi kesan ataupun tidak, sama ada kita sedari ataupun tanpa kita sedari.
Selesai sahaja membuat P&P, saya bertanya kepada mentor yang turut sama berada
semasa P&P ini dilakukan tentang kelemahan, kekuatan dan aspek-aspek yang
memerlukan penambahbaikan. Melihat kepada rakaman dan mendengar komen
daripada rakan sejawat beberapa kelemahan telah dikenal pasti dan perlu diperbaiki
supaya pengajaran saya memenuhi ciri-ciri set induksi yang berkesan . Berdasarkan
pandangan mentor, ada beberapa penggunaan perkataan yang kurang tepat. Selain itu
juga saya dalam mengajukan soalan juga, saya telah memberi pembayang kepada
jawapan. Ini tidak memberi peluang kepada murid untuk berfikir dan menyatakan idea
mereka. Saya juga dapat merasakan pengajaran saya untuk tajuk ini agak kelam kabut.
Menurut mentor juga saya bercakap agak laju dan terburu-buru. Selain itu juga saya
tidak mengarahkan kepada murid untuk fokus kepada peralatan yang saya tunjukkan.
Ini dapat dilihat apabila terdapat beberapa orang murid yang melihat ke arah lain.
Pengajaran saya mungkin kurang berkesan kerana saya tidak dapat menghasilkan set
induksi yang bermakna kepada semua murid dari segi umur, kebolehan dan minat,
walaupun set induksi yang saya rancang itu berkait dengan isi pelajaran dan objektif
pelajaran.

3. CARA PENAMBAHBAIKAN
Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya, oleh itu setiap kekurangan dan
kelemahan semasa proses pengajaran perlu di atasi dengan usaha berterusan memperbaiki
dan terus memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang dilakukan dari semasa ke semasa. Bagi
mengatasi

kelemahan-kelemahan

yang

mengganggu

keberkesanan

pengajaran

dan

pembelajaran dalam pengajaran ini, beberapa cadangan dan tindakan perlu diambil dan
dilaksanakan serta merta agar saya dan murid mendapat manfaatnya.

Perkara pertama yang perlu saya lakukan adalah bersikap tenang dan profesional
dalam mengendalikan sesuatu emosi agar ia tidak memberi impak kepada pengajaran saya.

Tidak perlu tergopoh-gapah dalam menyampaikan pengajaran saya. Sifat terlalu takut
melakukan kesilapan juga antara punca yang telah saya kenal pasti. Saya akan lebih
memotivasikan diri untuk meningkatkan semangat dengan mendapat pandangan dan motivasi
dari siapa sahaja yang layak hatta pakar motivasi sekalipun.

Perkara kedua ialah saya juga perlu berjalan ke setiap sudut tempat murid bagi
memantau dan memastikan setiap murid-murid saya sedang mengikuti pengajaran yang saya
lakukan. Saya perlu bergerak ke bahagian belakang bagi memastikan murid yang berada di
bahagian belakang kelas menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang ingin saya
sampaikan dan melihat dengan jelas bahan yang saya sediakan. Jika saya berpeluang
membuat pengajaran ini semula, saya akan menyediakan set pengajaran yang boleh
melibatkan diri mereka sepenuhnya agar murid-murid boleh menggunakan deria lihat dan deria
sentuh mereka sendiri bagi tujuan kefahaman yang lebih mendalam.

Penggunaan bahasa dan ayat yang betul juga mempengaruhi keberkesanan


pengajaran. Oleh yang demikian, saya perlu lebih teliti dengan penggunaan perkataan dan
laras bahasa semasa sesi pengajaran supaya murid dapat memberi jawapan yang bersesuaian
dengan kehendak sebenar objektif pengajaran. Kesilapan dalam penggunaan perkataan dan
laras bahasa yang salah juga boleh memberi masalah kepada murid untuk menerima isi
pelajaran secara tepat dan secara tidak langsung mengakibatkan objektif pelajaran tidak dapat
dicapai.

Semoga refleksi ini dapat saya jadikan asas dan panduan untuk memperbaiki segala
kelemahan dan kekurangan serta memantapkan penyampaian saya dalam proses pengajaran
kepada murid-murid. Perubahan dan penambahbaikan ini bukan hanya untuk kepentingan diri
saya sendiri malahan untuk kepentingan semua murid . Proses pengajaran yang berkualiti dan
berkesan mampu membentuk modal insan yang berkualiti dan bertaraf dunia untuk kepentingan
pembangunan agama, bangsa dan negara.

________________________
Tandatangan Pelajar/ Guru Pelatih

Anda mungkin juga menyukai