Anda di halaman 1dari 10

Cerpen : Segunung impian ayah

1 May 2011
Kategori: Cerpen
16 ulasan

Oleh : Permata Nilam


Aku menatap tubuh melidi ayah tanpa pakaian yang tersandar lesu pada bilah-bilah
buluh yang sudah usang dengan seribu macam perasaan. Sedih, pilu, duka dan
simpati bercampur baur menjadi satu menghuni hatiku. Dari simbahan cahaya
pelita tanah yang sekejap meliuk ke kiri sekejap ke kanan dek sapaan hembusan
pawana malam yang menerobosi celah-celah dinding dan lantai buluh pondok uzur
ini, aku dapat menangkap raut wajah tua ayah yang kian tua. Sebetulnya usia ayah
lebih kecil berbanding gambaran fizikalnya sekarang. Kerahan kudrat yang
melampaui kemampuan telah menghukum ayah menjadi berganda ketuaannya,
meragut sedikit demi sedikit ketampanan ayah tika zaman mudanya dahulu.
Adik belajar bersungguh-sungguh. Bila dah besar nanti, jadi orang berjaya. Boleh
tolong mak dan ayah tutur suara ayah singgah ditelingaku.
Dia mengusap-usap lembut tubuh kecil adik bungsuku yang sudah tiga tahun
melangkah alam persekolahan. Bicara itu juga yang pernah ayah ungkapkan
padaku. Kemudian diwarisi oleh kedua-dua adik perempuanku dan sekarang ayah
mengulanginya pada anak bungsu keluarga ini.
Bila besar nanti Adik nak beli rumah dan kereta untuk ayah dan mak tutur Adikku
dengan satu harapan yang menggunung.
Ayah tersenyum lebar. Barangkali sedikit girang hatinya mendengar azam selangit
anak kecil itu. Itu jugalah yang tersemat dalam diriku. Aku ingin membayar
kesusahan ayah mengemudi keluarga ini, menyempurnakan keperluan biarpun
dalam kata sebenarnya tidak pernah lengkap kerana keperluan hidup selalunya
tidak seiring dengan kemampuan. Syukur juga dalam situasi kedaifan sebegini tidak
wujud istilah kehendak yang perlu dipenuhi. Adik-adikku seakan faham dengan
kemiskinan yang membelenggu hidup kami. Justeru, mereka tidak pernah berlebihlebihan meminta. Secara logiknya, aku sedar barangkali semua itu hanya
terpendam dalam hati lalu menjadi angan-angan untuk dikecapi pada masa
hadapan lantas mendorong kami untuk terus gigih berusaha.
Ayah, Along dan Adik, mari makan lembut suara itu.
Ayu, si gadis sunti yang kian menginjak dewasa berdiri di muka pintu dapur. Dalam
samar-samar aku nampak rambutnya yang bertocang dua. Nampak genit dan

menawan seperti mak. Aku sedar ramai pemuda yang jatuh hati dengan adik
perempuanku seorang ini.
Along, mari makan ajak ayah pula.
Kulepaskan seketika buku ditanganku. Aku membontoti ayah terbongkok-bongkok
yang memimpin tangan Adik melangkah ke dapur. Mak, Ayu dan Lina sedang
bersimpuh di tikar mengkuang menghadap santapan malam menanti penuh setia
kedatangan kami. Enam pinggan nasi sudah terhidang bersama sepinggan gulai
nangka dan beberapa ekor ikan sepat. Lazimnya berkongsi menikmati hidangan
malam seadanya.
Macam mana dengan pelajaran kamu semua? suara ayah memecah kelekaan
kami menjamah hidangan malam walaupun tidak seenak mana.
Keprihatinan ayah terhadap pelajaran tidak pernah susut. Kemiskinan tidak pernah
menghalang untuk kami berlumba-lumba menimba ilmu pengetahuan sebaris anakanak dari kalangan keluarga berharta dan ternama.
Alhamdulillah ayah, setakat ni semuanya baik. Cuma kelas sains ni kena banyak
buat ulang kaji dan latihan sendiri tuturku mendahului adik-adikku.
Ayah mengangguk-angguk.
Takde yang susah sangat kalau ada kemahuan dan kesungguhan nasihat ayah
menyemarakkan lagi kecintaanku terhadap ilmu pengetahuan.
Aku mengangguk akur. Bicara ayah sememangnya berasas.
Ayah, minggu depan hari terakhir nak bayar yuran SPM celah Ayu dalam suara
yang tenggelam timbul.
Kutatap wajah ayah dan mak silih berganti. Sepi seketika.
Wang yang mak simpan ada sedikit bakinya. Nanti bolehlah bayar yuran Ayu tutur
mak menenangkan hati gadis itu.
Kalau tak cukup, sehari dua ni ayah akan tambah duit tu. Harap-harap laut taklah
bergelora lagi tambah ayah pula.
Inilah hakikat kehidupan seorang nelayan yang kerapkali mempertaruhkan nasib
pada ragam samudera.
Lina ada sedikit simpanan dalam tabung. Nanti Lina keluarkan, boleh tambah wang
yuran Kak Ayu nanti celah adik perempuanku yang seorang lagi.
Tak perlu. Duit tu simpan saja untuk kegunaan Lina nanti tegah ayah tidak setuju.

Lina terdiam. Aku tahu ayah tidak akan sewenangnya mengambil jalan pintas.
Selagi dia berkemampuan selagi itu akan diusahakannya.
Kalau tak pun, biar Along ambik upah kerja dengan tauke Hong. Hari tu ada juga
dia tanya dengan Along kalau mahu kerja sambilan giliran aku pula yang
menawarkan diri untuk memecahkan masalah kesempitan wang yang sudah sebati
dengan keluargaku.
Tak boleh suara ayah agak tegas.
Along kerja lepas sekolah ayah. Along nak tolong keluarga kita
terangku seraya cuba memujuk meminta persetujuan ayah.
Ayah kata tak boleh kali ini suara ayah tinggi.
Aku diam. Kutatap wajah mak. Dia memberi isyarat agar aku tidak meneruskan
kasadku.
Tugas kamu adik beradik belajar. Yang selebihnya adalah tanggungjawab ayah dan
mak tegas ayah.
Ayah tak nak dengar Along ambil upah lagi. Ayah tak izinkan. Janji dengan ayah
Along putus ayah serius.
Aku terkedu. Kali ini ayah benar-benar serius dengan tindakannya. Barangkali ayah
mahu memberi peringatan kepadaku agar perkara yang lalu tidak berulang lagi. Aku
tetap ingat bagaimana murkanya ayah tika ayah mendapat tahu bahawa aku
pernah mengambil upah semata-mata untuk melangsaikan sendiri yuran SPMku
dahulu. Semalaman ayah senyap tanpa sebarang bicara denganku, simbol
protesnya lantaran tindakanku itu.
Ayah bangga dengan kamu semua, saling tolong-menolong dan saling sayangmenyayangi antara satu sama lain. Ayah lagi berbangga jika kesemua anak ayah
dapat belajar tinggi-tinggi. Itu impian ayah dan itu saja yang ayah harapkan
daripada kamu semua tutur ayah lembut tetapi cukup memberi kesan kepada jiwa
anak-anaknya.
Aku mengangguk dengan ketekadan yang tinggi tidak akan meleburkan harapan
ayah dan mak. Aku juga akan mempastikan adik-adikku akan sama-sama
mengecapi kejayaan dalam hidup ini.
Hanya pelajaran yang tinggi saja yang dapat mengubah kesusahan hidup kita ini
tutur ayah menyedarkan kami.
Along sebagai anak sulung bertanggungjawab mempastikan adik-adik tidak akan
tercicir mengikuti pelajaran ujar ayah mengingatkan aku tentang
tanggungjawabku.

Along janji ayah, Along akan pastikan semua anak ayah akan berjaya. Kami akan
kabulkan impian ayah tekadku disusuli anggukan adik-adikku sebagai kesediaan
kami untuk memikul amanah yang ayah berikan.
Selesai makan malam, aku dan Adik menyambung kembali kerja-kerja sekolah yang
harus dibereskan. Ayu dan Lina membantu mak mengemas dapur. Beberapa minit
kemudian mereka menyusuli kami membuat ulang kaji sendiri. Ayah tersandar
sambil terbatuk-batuk. Sesekali dia mengurut dadanya. Mak seperti biasa membuat
ramuan kuih-muihnya untuk dijual esok. Episod menggagah kudrat yang kian
mengecil bermula lagi tanpa ada penghujungnya.
Apabila subuh menjelma nanti iaitu sesudah menunaikan tanggungjawab terhadap
Tuhan, ayah akan berangkat ke laut. Tika fajar menyinsing dan selesai menyediakan
keperluan kami sebelum ke sekolah, mak akan menghantar kuih-muihnya ke gerai
auntie May, kawan sekolah mak dahulu yang telah banyak menghulurkan bantuan
kepada kami. Selepas itu, mak akan berangkat ke rumah jiran-jiran mengambil upah
mencuci baju. Hampir senja, mak yang selalunya ditemani Adik akan ke jeti
menyambut kepulangan ayah. Jika dapat hasil lebih sedikit, esoknya mak akan
menjemurnya menjadi ikan masin. Sisa-sisa masa sekembalinya dari laut, ayah
mengerahkan kudratnya pula untuk mengangkat cangkul berbakti di tanah
sekangkang kera di belakang rumah. Sesekali aku akan menolong ayah membatas
dan menanam apa sahaja sayuran yang boleh dipetik dalam masa terdekat bagi
menampung kos hidup kami sekeluarga. Keletihan yang belum habis lagi tidak
menjadi perhitungan semata-mata cuba mendapatkan pendapatan sampingan yang
tidak seberapa sebagai pengisi tembolok. Itulah rutin kehidupan ayah dan mak
yang berbakti sepenuhnya untuk anak-anaknya.
Batuk ayah masih berpanjangan. Bingkas aku bangun mendekatinya.
Biar Along urut ayah ujarku lalu selembut mungkin mengurut tubuh kerdil ayah.
Tulang-temulang ayah tertonjol sana-sini. Betapa kurusnya ayah. Deruan nafasnya
kedengaran begitu lesu. Ayah betul-betul sudah lelah untuk melangsaikan kerjakerja berat. Sedangkan kebelakangan ini batuk ayah tidak mahu diam.
Along rasa esok tak payahlah ayah turun ke laut pujukku kerana merasakan ayah
tidak cukup gagah untuk dipanah mentari dan dilambung ombak sepanjang hari.
Ayah geleng kepala. Bagi ayah mana mungkin sewenangnya dia akan melepaskan
sehari berlalu tanpa titik peluhnya. Semangat juang ayah kental tidak mudah
dipatahkan. Setakat demam biasa, ayah masih mampu berjemur di bawah terik
matahari, masih tahan dipukul gelora.
Kali ini batuk ayah lain daripada yang lain. Yang pastinya semakin teruk.
Batuk ayah semakin serius. Ayah perlu berehat pujukku masih mengharapkan
yang ayah akan mematuhi sahaja bicaraku.

Sakit sikit je, Long. Ayah mesti ke laut juga. Yuran peperiksaan Ayu mesti
dilunaskan luah ayah mematikan terus bicaraku.
Aku mengetap bibir menahan kepiluan hati. Aku semakin risau melihat ayah masih
terbatuk-batuk. Berkerut wajah tuanya setiap kali menahan batuk yang menerjah
dadanya lantas mempamerkan garis-garis tulangnya. Ayah menutup mulutnya
dengan telapak tangan. Tika ayah melebarkan telapak tangannya, aku tergamam
melihat ketulan darah yang ada di situ. Namun pantas sahaja ayah
menyembunyikannya. Aku dapat rasakan keadaan ayah semakin tenat sekarang.
Along mari makan
Aku berpaling. Mak sudah terpacak di depanku dengan wajah yang masih sugul.
Jangan bersedih lagi, Long. Semuanya dah kehendak Allah. Kita terima je dengan
redha pujuk mak lembut.
Aku menarik nafas panjang. Kulontar pandangan pada bilah-bilah buluh yang
semakin uzur itu. Semalam aku melihat ayah tersandar lesu di situ. Batuknya
berpanjangan. Tidak sangka rupanya itulah kali terakhir aku menatap wajah ayah.
Apapun yang berlaku kita kena teruskan hidup ni pujuk mak seraya memegang
lenganku.
Aku diam. Sebetulnya aku masih terkejut dengan kenyataan yang menimpaku.
Dalam sesingkat begini sukar untuk aku mempercayai yang ayah telah tiada lagi di
alam fana ini. Terasa diri ini bagai layang-layang putus tali.
Mari makan Long. ajak mak lagi.
Aku menghela nafas dalam-dalam. Kutatap wajah mak lalu kupegang tangannya.
Sekarang sudah sampai masanya untuk aku mengambilalih lantas memikul tugas
ayah.
Mak makanlah dengan Ayu, Lina dan Adik. Along takde selera nak makan tuturku
perlahan.
Mak menatap wajahku. Dia tiada kekuatan mengajakku untuk menjamah makanan.
Akhirnya dia meninggalkan aku dengan keluhannya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Beberapa bulan kemudian..
Mak tak setuju. Kalau arwah ayah kamu ada, dia pun pasti tak setuju. Biar mak
yang usahakan tentang yuran peperiksaan Along dan Lina tu tegas mak enggan
berkompromi.

Aku terdiam. Kematian akal untuk memujuk mak agar mengizinkan aku
meringankan bebanan yang digalas di bahunya.
Pasti Along masih ingat bagaimana penerimaan ayah kamu, tika Along
menyuarakan perkara yang sama ni ungkit mak memutar ingatanku pada peristiwa
lalu.
Tapi mak, Along anak sulung, anak lelaki. Dah kewajipan Along tolong mak
pujukku.
Tugas Along sekarang belajar bersungguh-sungguh, makbulkan impian ayah kamu
tu. Selebihnya biar mak yang lakukan. Mak masih kuat dan mampu menyara kamu
adik beradik tegas mak tanda tidak boleh dipengaruhi lagi.
Aku terdiam panjang. Keluhan beratku tercetus. Aku masih ingat janji kami pada
ayah untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Sumpah kami untuk menumpukan
perhatian sepenuhnya pada pelajaran. Mak masih terbatuk-batuk sambil melipat
kain. Keadaan itu berlanjutan seirama nyanyian gundah gulana hatiku.
Esok Along bawa mak pergi klinik
Tak payah Long sakit sikit je. Pergi jumpa doktor pun bukannya boleh terus
sembuh. Buat bazir duit je. Lagipun yuran peperiksaan Along dan Lina lebih
penting tutur mak bersahaja.
Pilu hatiku mendengar ungkapan itu. Kedaifan hidup memaksa pilihan dibuat.
Seperti biasa mak akan mendahulukan keperluan anak-anaknya lantas
mengetepikan keperluan dirinya. Aku terdiam dalam ketidakberdayaan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Aku menyeka peluh di dahi lalu menyandarkan basikal tua peninggalan ayah yang
kami warisi. Lina mengibar-ngibarkan tudungnya kepanasan lantas meletakkan beg
yang digalas di bahu di anak tangga.
Senyap je Long, mana diaorang ni pergi tuturnya sambil berhati-hati mendaki
anak tangga yang kian uzur.
Aku meninjau-ninjau di sekitar halaman rumah. Kalau-kalau ternampak bayangan
Adik yang sedang bermain-main. Mahupun Ayu yang sedang menjemur ikan masin.
Itulah kelaziman yang dilakukannya sebaik sahaja selesai menduduki SPM.
Assamualaikum.. Mak! Kak Ayu! Adik! satu persatu nama itu dilaungkan oleh
Lina.
Tiada suara yang menyahut. Aku dan Lina berpandangan. Hairan. Bahkan kerisauan
mula terdetik dihatiku.

Assalamualaikum.. Kak Ayu, Lina dan Along dah balik ni! laung Lina sekali lagi.
Masih tiada suara menyahut. Jari-jemari Lina bertalu-talu mengetuk daun pintu.
Takde orang kat rumah Long ujar Lina sambil menatapku dengan kegusaran.
Mungkin Kak Ayu dan Adik ikut mak pergi jeti tutur Lina membuat andaian
sekaligus menenangkan gelodak perasaan yang kian berputik. Mustahil pula.
Sangkalku dalam hati. Tiada pakaian yang tersidai di ampaian. Aku melontar
pandangan ke belakang rumah. Tapak jemuran ikan juga kosong.
Along, Lina.
Serentak aku dan Lina menoleh. Auntie May, jiran sebelah rumah yang telah banyak
berjasa kepada keluargaku sudah terpacak di depan kami. Ternyata perbezaan
bangsa dan agama tidak menghalang antara keluargaku dengan auntie May
menjalin hubungan yang akrab.

Ni kunci rumah kamu. Ayu dan Adik kat hospital. Mak kamu sakit cerita auntie
May perlahan dengan wajah simpati.
Aku dan Lina tergamam. Terasa tangan Lina berpaut dilenganku. Wajahnya pucat.
Bahkan air mata sudah menitis dipipinya. Belum sempat menukar pakaian seragam
sekolah, aku terus sahaja mengayuh basikal tua peninggalan ayah ke hospital. Jarak
tiga kilometer kuharungi dengan sekuat tenagaku. Kami tiada wang untuk
mendapatkan bas jauh sekali teksi agar segera sampai ke hospital. Lina tidak
mampu menahan tangisnya. Kulitku mahupun Lina kemerah-merahan dek dimamah
panahan mentari yang betul-betul sedang tegak di kepala. Di hospital, melihat kami
muncul di muka pintu, Ayu terus sahaja meluru memelukku dan Lina. Tangisannya
berpadu dengan tangisan Lina. Aku dapat rasakan bahawa satu dugaan yang maha
besar sedang melanda kami.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Aku tidak sudah-sudah melepaskan keluhan yang panjang. Ya Allah, sungguh hebat
dugaanMu ini. Terlalu kerdil diri ini dirasakan. Buntu. Kalut.
Ayu dah buat keputusan Long, Ayu redha saja putus Ayu nekad.
Tidak! Along tak setuju. Gunakan sahaja wang yuran peperiksaan Along dan Lina
tu. Nanti Along cari jalan untuk gantinya tegahku.
Aku tidak rela mengorbankan masa depan Ayu. Dia pelajar pintar. Aku yakin suatu
hari nanti dia akan merealisasikan cita-citanya untuk menjejakkan kaki ke menara
gading.

Ayu dah gunakan semua wang itu untuk kos perubatan mak, tapi semua tu tak
cukup lagi. Nyawa mak dalam bahaya. Pembedahan itu harus dilakukan juga. Along
dan Lina juga perlu menduduki exam demi arwah ayah dan mak tutur Ayu tenang.
Along akan cari jalan lain janjiku.
Sebetulnya aku sendiri buntu mencari jalan penyelesaiannya.
Bila? Ayu tak mahu ambil risiko. Ayu hanya nak mak selamat dan sihat semula. Ayu
nak Along dan Lina belajar sampai ke universiti ujarnya tulus suci.
Aku terkedu. Tidak tega rasanya memusnahkan impian Ayu. Sebagai abang aku
harus memikul semua ini bukannya Ayu. Malah ini juga ikrarku pada ayah suatu
waktu dulu.
Kita gadai saja tapak rumah kita usulku yang kematian akal.
Ayu geleng kepala. Dia bergerak mendekatiku, lantas memegang lenganku.
Pandangan kami bersatu.
Itu satu-satunya kenangan kita dengan ayah. Ayu dah buat keputusan muktamad.
Ayu akan terima lamaran itu. Biarlah kali ni Ayu berkorban. Cuma Ayu harap Along
dan Lina akan merealisasikan impian ayah, impian kita tuturnya tenang.
Aku tergamam lagi. Tanpa kusedar air mata lelakiku menitis. Pilu dan menyakitkan.
Ternyata aku telah gagal menunaikan janjiku pada ayah. Lembut tangan Ayu
mengesat titisan air mata itu. Dia tersenyum tawar.
Orang kaya suka ambil kesempatan atas kesempitan orang lain. Kenapa dia tak
tolong kita saja tanpa mengharapkan balasan keluhku kecewa dan lupa seketika
tentang adat dunia materialistik yang bertunaskan ganjaran.
Ayu geleng kepala. Masih tersenyum.
Ayu janji, andai ada kesempatan dan peluang Ayu akan pastikan impian ayah akan
terlaksana janjinya.
Aku tahu ramai pemuda yang telah jatuh hati kepada Ayu kerana setiap kali
beriringan balik dari sekolah ada sahaja mata yang mencuri pandang ke arahnya,
mahupun siulan dan usikan nakal. Bagi kalangan yang cukup berani, surat diutus
sebagai wadah pencurah perasaan. Aku rasa bangga kerana Ayu tidak pernah
terbuai dengan semua godaan itu. Dia lebih tahu tentang tanggungjawabnya
sebagai anak dan pelajar. Walau aneka dugaan yang dihadapinya, konsentrasinya
terhadap pelajaran sedikitpun tidak tergugat hinggalah SPM menjelang tiba. Aku
cukup berbangga dengan adikku ini. Namun aku tidak sangka akan begini
pengakhirnya kisah hidup Ayu.
Encik, makanan tengahari dah terhidang jemput Bibi pembantu rumahku.

Aku tersenyum sambil mengangguk. Mak sedang leka berbual dengan Adik.
Mak, jom makan ajakku sebaik sahaja mak meletakkan gagang telefon.
Mak tersenyum lebar. Kupeluk bahu mak sambil beriringan melangkah ke ruang
santapan.
Apa khabar Adik kat London tu? soalku memulakan bicara.
Sekarang musim sejuk. Dia tak tahan dengan salji cerita mak ceria.
Aku tertawa kecil.
Mula-mula memang macam tu. Lama kelamaan nanti akan biasalah tu
Mak sekadar tersenyum. Dia bukan tidak faham dengan perangai Adik yang manja
itu.
Tengok Lina tu, tak habis-habis dengan kerjanya. Bilakah agaknya dia nak kahwin?
Umur pun bukan muda lagi keluh mak.
Doktor memanglah macam tu mak. Bila-bila masa saja akan dipanggil. Kes
kecemasan bukan dapat diagak terangku.
Mak tersenyum. Bukan dia tidak faham tetapi sengaja cuba mengenakan aku.
Along bila lagi nak kahwin? Mak dah dapat menantu lelaki yang baik. Kali ni mak
nak rasa juga bermenantu perempuan. Nak tunggu Adik lama lagi luah mak
menjeratku.
Aku tertawa kecil. Syukur, walaupun pada awalnya aku tidak tega dengan
pernikahan Ayu, namun melihat kebahagiaan yang Ayu kecapi sekarang, ternyata
pengorbanannya suatu masa duhulu tidak sia-sia. Mujur Ayu mendapat suami yang
memahaminya. Akhirnya Ayu dan suaminya sama-sama berjaya menamatkan
pengajian kejuruteraan di USM dengan cemerlang dua tahun yang lalu. Tidak lama
lagi aku bakal menyambut kelahiran anak buah keduaku.
Along belum jawab soalan mak tadi suara mak menyentakkanku.
Aku tersenyum. Kupegang jemari mak. Erat.
Belum cukup rasanya Along berbakti pada mak. Along nak beri tumpuan
sepenuhnya pada mak. Along nak balas keperitan mak membesarkan dan menyara
Along dan adik-adik. Rasanya Along belum bersedia nak bahagi kasih sayang Along
pada orang lain luahku jujur.
Mak tersenyum. Anak matanya berkaca. Barangkali terharu mendengar bicaraku.
Kupeluk bahu mak lalu kukucup pipi tuanya.

Mak bangga punya anak-anak seperti kamu adik beradik. Kalau ayah kamu ada
pasti dia juga akan berperasaan yang sama tutur mak sayu sambil menggenggam
jemariku.
Aku mengangguk. Lantas pandanganku dan tatapan mak bersatu pada wajah ayah
yang tergantung di dinding.
Bang, anak-anak kita telah kabulkan impian abang tutur mak seolah-olah sedang
berbicara dengan ayah.
Ayah., Along, Ayu, Lina dan Adik telah berjaya menjejakkan kaki ke menara
gading. Kami akan jaga mak sebaik mungkin bisik hati kecilku melafazkan janji.
Kutatap lama wajah ayah. Senyuman yang terukir di bibirnya dapat aku rasakan
laksana senyuman kepuasan atas kejayaan kami. Syukran ayah! Ketegasan dan
impianmu menjadikan kami di kalangan orang yang berjaya. Kata-kata azimat yang
pernah kau ungkapkan dahulu bahawa hanya pendidikan yang tinggi sahaja yang
mampu mengubah kemiskinan ternyata ada kebenarannya lantas tersemat utuh di
hati ini.
TAMAT

Anda mungkin juga menyukai