Anda di halaman 1dari 2

Pada 22-24 Ogos yang lalu telah berlangsung Kem Sukan Sekolah 1 Murid 1 Sukan (1M1S)

bagi peringkat sekolah saya. Kem Sukan Sekolah 1 Murid 1 Sukan ini bertujuan untuk
mendedahkan murid kepada aktiviti sukan dan permainan dan juga merupakan salah satu
dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang rancak diperkenalkan dalam tahun
kebelakangan ini. Justeru penganjuran kem ini di sekolah saya, memang sangat-sangat dialualukan sesuai dengan kehendak dan tujuan program.
Untuk kali ini, Cikgu Lajang Anyie telah dilantik untuk menjadi Penyelaras Kem 1 Murid 1
Sukan peringkat sekolah, serta dibantu oleh Cikgu Kesavan sebagai Penolong Penyelaras.
Manakala Fasilitator pula terdiri daripada Cikgu Thomas Majing (Bola Sepak), Cikgu Abdul
Hakim (Badminton), Cikgu Shidin Dato (Bola Tampar), Cikgu Claudya (Bola Jaring), Cikgu
Mujiburrahman (hoki) dan saya sendiri, Cikgu Hailmi (Sofbol).
Hari Pertama
Pada hari pertama ini, perjalanan kem bermula selepas selesai sesi persekolahan dengan
dimulakan dengan pendaftaran peserta. Peserta adalah terdiri daripada 10 orang pelajar (5
lelaki dan 5 perempuan) daripada setiap rumah sukan yang ada di sekolah ini. Ada 6 rumah
sukan semuanya dengan mengambil nama pahlawan gagah berani dari seluruh negeri
Sarawak.
Pelajar telah diberikan sedikit taklimat oleh Kem Komandan berkaitan dengan perjalanan kem
dan juga disiplin yang perlu dipatuhi sepanjang mengikuti kem ini. Pelajar juga diberikan fail
berisi buku nota serta pensil dan pen untuk tujuan mencatat.
Hari Kedua
Pengisian hari kedua lebih menarik sebab pada hari ini aktiviti sukan dijalankan. Pelajar
didedahkan dengan 1 jam teori oleh 6 sukan permainan oleh fasilitator masig-masing yang
telah dilantik. Sesi awal pagi dimulakan oleh Cikgu Beatris Bangkang dengan Sesi
Memanaskan Badan dan diikuti oleh Cikgu Shidin Dato untuk permainan bola tampar.
Kemudian slot ketiga diisi oleh Cikgu Thomas untuk permainan bola sepak. Cikgu Hakim pula
untuk permainan badminton pada slot terakhir. Kemudian pelajar berhenti rehat seketika
untuk makan tengahari dan solat Jumaat.
Sesi sebelah petang dimulakan dengan sesi permainan bola jaring oleh Cikgu Claudya Nanny
dan diikuti dengan permainan sofbol oleh Cikgu Hailmi. Semasa slot teori Sofbol selama 1
jam, saya lebih banyak memperkenalkan sukan sofbol kepada pelajar, terutamanya dari segi
peralatan dan juga cara permainan. Seperti yang kita sedia maklum, sofbol bukan lah seperti
sukan bola sepak yang sudah diketahui cara permainan nya oleh hampir semua orang.
Justeru itu, ini lah peluang yang saya dapat gunakan untuk menarik lebih banyak penyertaan
pelajar dalam sukan sofbol. Idea-idea yang diperolehi semasa mengikuti Kursus Modul Sofbol
1 Murid 1 Sukan pada Mei lalu, juga banyak membantu saya untuk memahamkan pelajar
bahawa permainan sofbol itu, mudah!
Manakala sesi teori untuk permainan hoki oleh Cikgu Mujiburrahman dilakukan pada sebelah
malam, kerana waktu pada sebelah petangnya telah dikhususkan untuk sesi praktikal selama
3 jam. Sesi yang paling menarik!
Setiap sukan dan permainan telah diberikan 6 stesyen yang berbeza. Pada stesyen
berkenaan, fasilitator perlu melakukan aktiviti ringkas sukan masing-masing selama 20 minit
untuk setiap kumpulan yang terdiri daripada 10 orang peserta kem. Stesyen sofbol adalah
stesyen yang ketiga, di mana ada lebih kurang 13 orang pelajar yang akan membantu ketika
aktiviti saya nanti.
Oleh kerana sukan sofbol ini selalu dilihat oleh pelajar lain sebagai permainan yang sukar, jadi
saya telah mengambil tanggungjawab sebagai pitcher tetap dan berpencen untuk semua
kumpulan. Tujuannya supaya saya boleh membuat lambungan bola yang konsisten bagi
memudahkan peserta kem untuk cuba memukul. Bagi menaikkan semangat peserta untuk

mencuba sukan sofbol, saya biarkan peserta kem yang datang untuk mengambil giliran
memukul terlebih dahulu. Sebab? Perkara yang paling menarik dalam sukan sofbol adalah
ketika melakukan pukulan yang penuh gaya!
Pelajar yang membantu saya telah ditugaskan untuk memadang (fielding), dengan 4 orang
lagi pelajar pembantu saya yang lebih mahir akan membantu peserta kem pada setiap base.
Mereka terdiri daripada pemain senior sofbol yang mewakili Bahagian Sibu dan Sarawak, iaitu
Jicky Joseph, Pressly Palong, Selanjat dan Sylvester Jetik yang akan membantu peserta untuk
melakukan larian dari base ke base dan cara permainan.
Ternyata memang mereka sangat seronok! Terutamanya apabila buat kali pertama mereka
memegang kayu pemukul dan dapat pukul bola pergi jauh-jauh. Lagi excited bila dapat buat
Homerun (kononnya..).
Selepas selesai giliran semua 10 orang peserta memukul, mereka diberi peluang untuk
memadang pula. Untuk nak bagi sama adil, saya pilih pelajar-pelajar yang lebih kecil dari
tingkatan 1 atau 2 yang baru berjinak-jinak dengan sukan sofbol untuk memukul. Ini kerana
tidak mahu memberi tekanan kepada peserta kem dalam 'menumpaskan' pasukan lawan.
Saya biarkan juga peserta kem untuk cuba melakukan lambungan mudah seperti yang saya
lakukan.
Mengejutkan kerana ramai juga dalam kalangan peserta kem yang dapat melakukan
kemahiran asas sofbol dengan baik! Ada juga yang mula menunjukkan riak muka yang sangat
gembira dan tak sabar nak main lagi walaupun tak pernah turun padang sekalipun pernah
diajak oleh saya berkali-kali. Masa 20 minit yang diperuntukkan ternyata sangat lah tidak
mencukupi untuk sesi aktiviti yang dilakukan. Namun, saya yakin telah berjaya menimbulkan
minat kepada peserta kem untuk cuba bermain sukan ini pada masa akan datang!

Hari Ketiga
Pada hari terakhir ini, peserta kem telah diberikan peluang untuk cuba mengasah kemahiran
dalam sukan bola tampar dengan Mini Karnival Bola Tampar. Pertandingan antara rumah
sukan ini dilakukan di gelanggang bola tampar di dataran perhimpunan.Tak dapat nak fokus
sangat sebab ada sekolah gantian dan saya perlu masuk kelas. Sedar-sedar dari dalam kelas,
peserta kem di bawah dah pun menjerit kegembiraan dengan kemenangan kepada pasukan
dari rumah sukan Syarif Masahor! Tahniah..
Pada pendapat saya, pelaksanaan kem Sukan Sekolah 1 Murid 1 Sukan ini adalah sangat
berjaya jika dinilai pada pengaruhnya kepada peserta. Saya melihat peserta semakin
menunjukkan minat untuk cuba bersukan, terutamanya sukan yang asing bagi mereka
sebelum ini seperti sofbol. Bagi saya, biar lah minat mereka bermula dengan keseronokan
yang dirasai ketika kem. Sekiranya didapati berbakat dan minat yang menebal, maka boleh
lah diasah lagi bakat mereka ke tahap yang lebih baik.

Anda mungkin juga menyukai