Anda di halaman 1dari 10

Ahmad Shukri Mohamed

Target series "waiting For The Lover I",


Media Pelbagai,
176x182 cm, 1995
Rama-rama, kumbang dan bunga-bungaan adalah subjek rujukan dari alam yang menjadi
pilihan utama Ahmad Shukri (AS). Sekuntum bunga yang sedang mekar berkembang
dibahagian kiri karya pula mendominasikan komposisi karya beliau. Namun AS dengan
bijaknya mengalihkan dominasi tumpuan mata daripada tumpuan kepada sekuntum bunga
besar kepada kepada titik tumpuan yang berselerak. Titik tumpuan yang diperkembangkan
beliau dialihkan kepada pelbagai tumbuhan dibahagian kanan karya. Titik fokus berselerak
yang menggunakan konsep Cristallographic Balance ini diperkukuhkan lagi oleh AS dengan
memasukan bentuk kotak-kotak yang menjadi seakan bingkai karyanya.

Rama-rama, kumbang dan bunga-bungaan adalah kiasan kisah kasih AS. Sekitar 1995
sewaktu sama-sama bertugas di ITM dan tinggal di Meru, karya ini dihasilkan. Seperti insan
lain yang Allah kurniakan rasa mekar cinta, AS pun turut mengalaminya. Namun bak kata
pepatah lautan mana yang tidak dilanda badai, maka AS pun terkena badai juga. Barangkali
secara tidak disedari AS memindahkan kisah kasih tersebut didada kanvas. Biasanya kita
tidak menyedari proses intuitif tersebut. Gerak intuitif yang Allah ciptakan terserap secara
pengamatan melalui pengalaman dan persekitaran.

Pemindahan kisah kasih secara bawah sedar inilah, telah mengangkat karya AS sebagai
sebuah karya yang diabadikan dengan kandungan isi 'content' secara tulus. AS tidak
merangka kisah kasihnya secara sedar membuatkan apa yang di kata oleh Ismail Zain sebagai
"serapan peristiwa sehari-harian". Namun bagi mereka yang baru berjinak dengan karya seni
kebiasaannya kisah kasih ataupun tema cuba diterjemahkan ke kanvas secara intepertasi .

Syed Ahmad Jamal pernah menegaskan perbezaan diantara interpertasi dengan pengalaman
langsung. Beliau menghujahkan pengalaman beliau menghasilkan karya "Hujan Panas"
adalah selepas beliau pulang dari stadium merdeka setelah melihat, mendengar dan
mengalami peristiwa pengistiharan kemerdekaan secara langsung. Interpertasi secara tema
tambah beliau seumpama orang yang tidak melihat peristiwa tersebut secara primary, namun
hanya melihatnya melalui buku atau rakaman audio. Peristiwa yang dilihat mereka secara
secondary data tersebut dipindahkan kekanvas. Misalnya mereka melukis gambar Tunku
Abdul Rahman sedang mengangkat tangan melaungkan kemerdekaan. Mereka melukis
kembali imej tersebut dan memberinya tajuk laungan kemerdekaan 57.

Pemindahan karya secara intiutif ini, dan bukannya naratif telah meletakan karya AS sebagai
sebuah karya seni halus yang mempunyai nilai significant yang hebat dan membuatkan
karyanya dinamik, indah dan bertenaga. Keindahan sebuah kisah cinta yang Allah ciptakan
perasaan mekarnya telah pun dimiliki oleh AS. Kini mereka mengembeling tenaga untuk
mengangkatkan martabat seni negara dengan terciptanya rumah umi-shukri yang diberi nama
studio pati satu.

Kod 1977.20 " Gelora Gelombang Jugra ", Pastel, 51x54 cm

Siti Zainon (SZ) nama besar yang merpersadai kesenian tanahair melalui beberapa cabang
displin keilmuan. Beliau adalah pelukis, penyair dan budayawan negara. SZ tidak pernah
mensia-siakan bakat yang dianugerahkan Tuhan dengan mempelopori setiap cabang kesenian
dengan bersungguh-sungguh. Sebagai seorang sarjana beliau berusaha memanfaatkan bakat
anugerah Allah untuk menerangi orang lain. Seperti kata pepatah " Bagaikan dian yang
membakar dirinya".

Gelora Gelombang Jugra adalah meditasi seni beliau yang dilontarkan dalam nada penuh
kesenyapan. Beliau menganyam garisan lyrical dengan pastel sehingga membentuk perasaan
yang tenang dan shahdu. Bentuk bertextura kubah digandingkan dengan 'tumpal' dan bulan
purnama menjadikan komposisi karya ini ringkas (simplicity) dan berisi. Kekuatan beliau
menggunakan garisan lyrical yang di adun dengan menggunakan bentuk bertextura
menyebabkan syair dan puisi yang sebati dengan jiwanya mengalir keluar melalui tanda
tampak. Ulangan perkataan seakan-akan alif, lam,lam,ha yang memenuhi karyanya secara
tidak langsung adalah intipati perasaan dalamannya yang mengalunkan lagu cinta abadi
kepada yang maha Esa.

Bulan kuning diufuk biru adalah imejan tanda tampak yang dialirkan oleh SZ bagi
membangkitkan rasa shahdu beliau terhadap kejadian malam. Allah meminta kita berfikir
tanda-tanda kejadian ciptaanNya. Melewati karya ini SZ mengolah perasan tenteram
dalamannya yang khusyuk memikirkan kehebatan tanda-tanda ciptaan Allah , iaitu kejadian
malam. Allah menghiaskan malam dengan bulan menguning bersama udara nyaman. Allah
merekacipta perasaan yang halus dan gementar yang dimiliki setiap insan. SZ menggunakan

pandangan mata hatinya mentafsirkan kembali keindahan suasana malam tersebut lalu
memindahkan ke atas kertas, menjadikan karya ini segar dan tenteram

Imej kubah yang menjadi dominasi komposisi pula seolah-olah melindungi kehidupan.
Bentuk bertextura tumpal pula seperti kisah perjalanan menuju kesana (alam lain). Gabungan
kubah, tumpal dan bulan kuning diufuk biru melalui anyaman garisan lyrical telah
menjadikan karya SZ menepati ciri-ciri kesenian Islam. Menurut Titus Ibrahim Buchart seni
Islam mestilah membangkitkan perasaan dalaman pemerhati sebagai 'perasaan yang bebas,
lepas dan tenang. Sungguhpun kebanyakan kesenian Islam terutamanya arabes menggunakan
warna minimal (misalnya putih), namun SZ berjaya membangkitkan perasaan tenang tersebut
melalui perantaraan warna.

Perantaran warna yang beliau gunakan bersesuaian dengan perasaan puitisnya yang dialirkan
menerusi "Gelora Gelombang Jugra". Keindahan karya ini jika dilihat melalui sudut lain
ternyata cara SZ mengalunkan karya ini bertepatan seperti apa yang dibahaskan oleh Al
Faruqi mengenai kesenian Islam. Al Faruqi menyentuh sruktur kesenian Islam mestilah
menggunakan format keindahan Al Quran. Keindahan Al Quran diciptakan Allah diturunkan
melalui perantaraan kalam, namun persembahan kalamullah tersebut disampaikan secara
alunan lagu shahdu.

SZ berupaya menimbulkan getaran warna melalui kawalan garisan lyrical bertextura. Rentak
tidak senada ( random rhythm) yang beliau gunakan dalam komposisi karya ternyata
menimbulkan alunan shahdu yang senyap.

Dalam penulisan kali ini penulis memilih karya Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal
untuk dibincangkan. Perbincangan penulis sebenarnya akan berkisar kepada fokus
penyelidikan dan pendidikan. Untuk penulisan ini penulis akan membincangkan sebuah karya
yang dikira sarat dengansubjek rujukan, bentuk dan isinya. Karya tersebut bertajuk Bumi dan
Langit I. Apabila memasuki dewan utama Galeri Petronas di bangunan KLCC dan
berhadapan dengan puluhan karya yang berskala besar, penulis berasa amat kelu dan kagum.
Dengan usia melewati 60 tahun, SAJ masih bertenaga besar dan amat prolifik. Malulah
kiranya pelukis-pelukis muda yang mempunyai helah dan pelbagai alasan untuk berkarya.
SAJ bukan sahaja pandai berkarya semata-mata bahkan amat mantap dari segi keilmuan
ataupun teoritikalnya.

Karya beliau Bumi dan Langit I telah dihasilkan pada tahun 1998 mengunakan akrilik di atas
kanvas berukuran 203sm x 274.5sm. Namun begitu, secara keseluruhannya karya ini
menggunakan subjek alam tabii (alam semulajadi) sebagai teras pengkaryaannya. Melihat
pada format kanvas dari bawah ke atas didapati karya SAJ ini terbahagi kepada empat
bahagian.

Bahagian pertama di bawahnya terdiri daripada lapisan bumi, bahagian kedua pula terdiri
daripada tumbuh-tumbuhan dan bukit-bukau. Pada bahagian ketiga terdiri daripada awan,
jalur cahaya dan hujan. Seterusnya pada bahagian keempat di atasnya terdiri daripada langit
dan bintang-bintang. SAJ mengukuhkan struktur karyanya dengan kombinasi garisan, rupa,
bentuk, dan jalinan. Sementara komposisi karyanya diseimbangkan, dikontrakan, diulangulangkan, ditegangkan, dan diharmonikan.

Sapuan garisan yang pantas amat ketara sekali pada bahagian kedua karya iaitu terutamanya
dalam menghasilkan imej tumbuh-tumbuhan. Cadangan tumbuhan seperti lalang ataupun di
kawasan padang dihasilkan secara sapuan pantas dengan dominasi garisan condong (diagonal
line). Garisan condong yang diulang secara ketara dapat dilihat pada sebelah kiri karya.
Bagaimanapun, garisan cembung (curve line) dikontraskan terutamanya bahagian di antara
langit dengan bumi iaitu pada bahagian berwarna ungu gelap. Garisan cembung juga amat
ketara digunakan pada bahagian awan. Pun begitu, garisan melintang (horizontal line) pula
dibentuk melalui tanah yang berlapis-lapis di bahagian pertama ataupun bawah karya.
Garisan melintang juga agak jelas pada bahagian kiri permukaan langit dan bumi dalam karya
tersebut.

Terdapat pelbagai jenis karektor garisan; ada garisan perlahan, sederhana, pantas dan tegas.
Gabungan daripada berbagai-bagai jenis garisan tersebut lalu membentuk beberapa jenis
jalinan (texture), memperkayakan lagi karya SAJ. Secara keseluruhannya SAJ menggunakan
jalinan mujarad (abstract texture). Penggunaan rupa yang agak ketara dapat dilihat pada
bahagian pertama atau bawah karya iaitu rupa merah pada tanah yang berlapis-lapis.

Dari aspek elemen ruang pula, SAJ menggunakan `ruang mendatar dan `ruang cetek. Secara
keseluruhannya karya SAJ mendominasikan ruang cetek. Sementara ruang mendatar pula
dapat dilihat sedikit sahaja terutamanya pada bahagian pertama atau bawah karya iaitu
lapisan tanah yang berwarna merah. SAJ menggunakan `warna panas ke `warna sejuk
dalam pengolahan karyanya ini. Warna merah (warna panas) pada bahagian pertama atau
bawah karya. Diikuti dengan warna kuning (warna panas) memenuhi sebahagian kawasan
bumi. Warna biru muda (warna sejuk) di bahagian ketiga iaitu kawasan awan dan akhirnya
warna biru tua (warna sejuk) di bahagian langit dan bintang-bintang. Untuk membentuk
`keharmonian dari segi warna, warna-warna panas tersebut diulang-ulangkan pada bahagian
warna sejuk. Ini dapat dilihat terutamanya pada bentuk awan dan juga bintang-bintang.

Format kanvas empat segi tepat digunakan dengan memberi penekanan kepada
`kesinambungan tidak sama ukur (assymetrical balance). Namun begitu, SAJ juga
menggabungkan `keseimbangan kristal grafik (crystal graphic balance) ataupun `pandangan
saujana dalam istilah kesenian Islam (infinite patterning) di dalam karyanya. Keseimbangan
tak samukur dapat dilihat dengan perletakan imej yang tidak sekata. Malah warna merah yang
sedikit dikontraskan dengan warna biru yang dominan juga menimbulkan implikasi
keseimbangan tak samukur.

Sebaliknya imej dan bentuk seakan-akan lalang, tanah, gunung, hujan, awan dan bintangbintang pula membentuk struktur karya ini kepada titik fokus mencapah (keseimbangan
kristal grafik) ataupun tidak memusat. Titik fokus mencapah tersebut selari dengan

pandangan saujana dalam kesenian Islam. Keseluruhan format karya ini menggunakan
`rentak tidak senada (random rhythm) kecuali pada bahagian tepi sebelah kiri, di antara
langit dengan bumi. Di bahagian tepi sebelah kiri ini `rentak tersusun (regular rhythm) pula
digunakan terutamanya pada bahagian yang digambarkan seperti hujan.

Gabungan elemen dan prinsip seni lukis di dalam karya ini membentuk satu kesatuan yang
cukup mantap. Penyatuan elemen-elemen dengan komposisi serta pandangan saujana
antaranya menimbulkan keanekaan di dalam kepelbagaian. Kesatuan dan keanekaan di dalam
kepelbagaian itu telah membentuk karya SAJ sebagai karya yang kaya, sarat bahkan berisi
nilai-nilai falsafah dan budaya. Falsafah dan budaya yang mencerminkan pemikirannya,
masyarakatnya dan budayanya akan menjadi satu khazanah peradaban yang tidak ternilai
harganya. Dari aspek falsafah teras utama yang ditunjangi oleh SAJ adalah tauhid. Ini dapat
dilihat pada permulaan katalog pameran antara langit dan bumi (Muliyadi, 2000).

Sesungguhnya Tuhan kami ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam
masa, lalu ia bersemayam di atas arasy: ia melindungi malam dengan siang yang
mengiringinya dengan deras (silih berganti), dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan
bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah kepada Allah
jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci
Allah yang menciptakan dan mentadbirkan sekalian alam. (surah al-Araaf: 54).

Jika permulaan sesuatu katalog pameran itu menggunakan ayat-ayat Allah tidak bermakna
karya tersebut mempunyai unsur-unsur tauhid. Falsafah tauhid menurut al-Faruqi adalah
dengan mengesakan Allah. Dengan demikian, format yang dihasilkan oleh SAJ menepati ciriciri yang telah dibincangkan seperti di atas. Secara keseluruhannya dari aspek komposisi,
SAJ terpegun dengan alam tabii yang diciptakan Allah. SAJ tidak mengambil alam tabii
secara luaran yang bersifat sementara ataupun apa yang dikenali dengan istilah Barat sebagai
`realistik ataupun menurut istilah Islam sebagai `realiti semulajadi. Sebaliknya realiti
semulajadi tersebut diabstrakkan, dipermudahkan ataupun al-Faruqi melanjutkannya dengan
istilah `penggaya-gayaan (stylyzation) dan denutralisasikan (denaturalization).

Melalui abstraksi dan penggaya-gayaan SAJ menapis alam tabii yang bersifat semulajadi
tersebut kepada satu intipati yang bersifat dalaman. Secara tidak langsung penggunaan
perspektif biomorfik dan ruang mendatar dan cetek tersebut telah menolak ciri-ciri
semulajadi yang mendominasikan catan-catan Barat terutamanya pada zaman Renaisan dan
Realisme atau pun apa yang dikenali oleh Pak Mail sebagai ciri-ciri seni simbolis dan seni
memesis.

Penolakan ciri-ciri luaran (semulajadi) yang bersifat sementara dengan penarikan atau
memasukkan ciri-ciri dalaman (kerohanian) yang bersifat kekal, membuatkan karya-karya
SAJ mempunyai ciri-ciri ketauhidan. Dalam pengolahan karyanya, SAJ tidak merakamkan
situasi sesuatu lanskap, malah SAJ menghimpunkan pelbagai situasi di dalam sesuatu format.
Terdapat situasi malam, dingin, sejuk, panas, siang, petang dan senja umpamanya. Situasi
yang berlainan disatukan ke dalam sebuah karya lalu membentuk apa yang dikatakan oleh
Muliyadi (2000) sebagai Antara langit dan bumi, ia bukanlah suatu interpretasi langsung
tentang alam semulajadi, sejarah ataupun sesuatu peristiwa, sebaliknya merupakan garapan
idea, minda, dan cetusan hati tentang segala bentuk peristiwa dan kejadian di antara keduadua ruang; langit dan bumi.

Unsur kepelbagaian garisan, jalinan, rupa dan bentuk yang digunakan oleh SAJ juga bercorak
`islami. Sungguhpun karya beliau menggunakan nada ekspresionis, namun SAJ telah
membentuk kesan-kesan sapuan berusnya menjadi kesan yang terkawal. Bahkan penggunaan
sapuan berus dengan diselangselikan dan ditindani dengan kesan warna sembur, menjadikan
karyanya lebih terkawal. Pendek kata SAJ menggunakan ciri-ciri ekspresi Melayu yang
bertunjangkan kesenian Islam.

Sapuan ekspresi tetapi terkawal seolah-olah seperti pantun ataupun bentuk kiasan Melayu
umpamanya pukul anak sindir menantu. Konsep seperti kiasan ataupun pantun tersebut
dapat diperkukuhkan lagi dengan pendapat Muliyadi (2000) yang mengatakan, SAJ
meletakkan keindahan sebagai teras kreativitinya. Baginya karya seni seperti catan perlulah
indah, sekalipun membawa mesej atau penceritaan yang berat maupun menyedihkan.

Sebagai seorang yang arif tentang bentuk kesenian Melayu-Islam, SAJ sememangnya
mengambil pendekatan gaya al-Quran. Al-Quran walaupun menyampaikan cerita yang pedih
dan menyiksakan tetapi disampaikan melalui irama yang syahdu lagi merdu. Alunan irama
yang syahdu lagi merdu tadi adalah pokok kepada keindahan kerana `Allah itu Maha Indah
dan sukakan keindahan.

Melihat dari aspek format bawah ke atas juga, didapati penggunaan tanah dengan cadangan
berlapisan dapat menegaskan lagi sifat geografik bumi yang berlapis-lapis. Tumbuhtumbuhan, padang dan bukit diambil secara saripati, dipersembahkan secara abstrak
mengingatkan kita tentang tanda-tanda kebesaran Allah melalui penciptaan alam tabii.

Bentuk seakan-akan awan yang dihasilkan dengan penuh tenaga bagaikan jantung alam
semesta ataupun seperti guruh berdentum dengan memancarkan seperti jaluran kilat lalu

membentuk kesan hujan (garisan diagonal). Begitu juga dengan fenomena bintang bertaburan
dan langit yang berlapis-lapis, menandakan rakaman alam dalaman yang menyanjungi
pencipta-Nya.

Melihat secara keseluruhan komposisi karya SAJ ini jelas kelihatan mengandungi ciri-ciri
dalaman ataupun apa yang disifatkan oleh Salleh dan Fatimah sebagai ciri kerohanian. Ciriciri dalaman atau kerohanian tersebut selari dengan ciri-ciri tauhid seperti yang dibincangkan
oleh al-Faruqi. Bumi merah di bahagian bawah catan seolah-olah bumi yang gersang. Namun
begitu dengan tiupan angin yang membawa awan yang mengandungi hujan telah
menyuburkan bumi yang tandus, ataupun seperti apa yang difirmankan Allah melalui surat
al-Araf ayat 57 yang bermaksud, Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa
berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan): hingga apabila angin itu telah
membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus lalu Kami turunkan hujan
di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan.
Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu
mengambil pelajaran.

Melihat dari sudut warna pula, penggunaan warna panas ke sejuk juga dapat mengajak
pemerhati memikirkan sejenak tentang kehebatan alam tabii ciptaan Allah. Warna merah
seperti fenomena senja, kuning seperti petang, hijau seperti siang, biru seperti fajar dan biru
tua kegelapan seperti malam, mencerminkan ketelitian dan kehalusan SAJ membentuk format
`Bumi dan Langit I.

Menghubungkan elemen warna melalui komposisi catan dari atas ke bawah pula didapati
warna gelap (malam) mewakili warna waktu isyak, warna biru muda (fajar) mewakili waktu
subuh, seterusnya warna hijau (siang) mewakili waktu zohor dan kuning (petang) mewakili
waktu asar, dan akhirnya warna merah (senja) mewakili waktu maghrib. Kelima-lima masa
dan waktu yang berperingkat-peringkat ini selain menjadi nadi penting kehidupan orang
Islam, juga mencerminkan pergerakan masa mengikut kosmologi atau pun sunatullah.

Melihat dari aspek sejarah pula, karya `Bumi dan Langit I amat berjaya sama ada dari segi
bentuk, komposisi dan isinya. Penggabungan pelbagai budaya keilmuan berstrukturkan
format kesenian Melayu-Islam meletakkan karya SAJ ke hadapan, malah merentasi masa.
SAJ tidak berkarya secara membuta tuli seperti sesetengah pelukis muda, bahkan beliau
merupakan pengkaji dan penyelidik budaya. Dengan demikian karya-karya yang digarapnya
adalah tulen dan segar. Kekuatan ilmu dan saripati budaya Melayu-Islam yang menjadi teras
cara hidupnya amat terserlah sehinggakan memantulkan keindahan dalaman melalui tanda
visual pada karyanya.

SAJ bukan sahaja menggunakan tunjang budaya Melyu-Islam sebagai struktur karyanya,
bahkan mana-mana ilmu daripada tamadun Barat maupun Timur yang baik dan bersesuaian
digarapnya menjadi wadah pemikirannya. Suatu perkara yang penting, SAJ melalui karyanya
itu telah melompat dari unsur-unsur konversi kesenian Islam yang lampau. SAJ berjaya
membina fragmen masa baru yang menunjukkan penggabungan format kesenian Islam.
Format kesenian Islam termasuklah seperti pengulangan, pandangan saujana, kerumitan,
dinamik, gabungan berurutan dan meditatif dan seumpamanya. Kecekapan SAJ mencernakan
tunjang kesenian Islam dengan gabungan prinsip seni Barat seperti ulangan, harmoni,
keseimbangan dan kontras umpamanya membentuk suatu struktur baru dan teguh.

Biasanya khalayak akan tertanya-tanya bagaimanakah sesebuah karya itu dinilaikan atau
dianggap berbudaya tinggi. Sebenarnya, sesebuah karya itu menjadi bernilai bukan kerana
kehebatan pada permukaannya sahaja, tetapi juga kerana ketulenan, keilmuan, keperibadian
dan keindahan pengkaryanyalah yang turut menentukan nilainya.

Anda mungkin juga menyukai