Anda di halaman 1dari 3

Menulis esei untuk membincangkan sejauh mana keberkesanan Model Pengajaran

Sosial-Konstruktivis dapat digunakan dalam konteks sistem pendidikan di Malaysia.

Pendidikan merupakan suatu elemen yang maha penting dalam proses membentuk
sesebuah jati diri bangsa dan ketamadunan bangsa tersebut. Maka pendidikan adalah perkara
yang paling mendasar yang perlu disediakan modul dan model yang tepat. Pendidikan di
Malaysia merupakan tanggungjawab kerajaan persekutuan. Sistem pendidikan kebangsaan
merangkumi pendidikan dari pra-sekolah hingga pengajian tinggi. Model Sosial-Konstruktivis
adalah berdasarkan teori konstruktivisme sosial manakala, teori konstruktivisme berdasarkan
teori perkembangan kognitif Vygotsky. Konteks sosial memainkan peranan penting bagi model
ini.
Model tersebut telah memberi beberapa kesan positif terhadap sistem pendidikan
negara kita. Pertamanya, ia membantu kanak-kanak untuk berkembang secara sistematik.
Contohnya, bagi matapelajaran bahasa Melayu, mula-mulanya pelajar akan mengenali huruf
dan teruskan dengan mengenali suku kata, perkataan dan ayat. Maka di sini pelajar akan
mengenal sesuatu subjek daripada peringkat awal ke akhir dimana pelajar akan melalui
perkembangan secara sistematik dan teratur. Dengan ini, pelajar tidak akan keliru dan
pengetahuan mereka menjadi sangat kukuh. Pembelajaran secara sistematik merupakan salah
satu aspek yang amat penting dan sangat diberi perhatian oleh para pendidik kerana, ini akan
mempengaruhi pemikiran dan minda pelajar untuk memandang jauh ke masa depan atau
melakukan sesuatu perkara dengan cara, kaedah yang betul tanpa sebarang ragu-ragu.
Selain daripada itu, model ini memberi penekaan kepada pemikiran logikal dan unsur
intelek selaras dengan kehendak sistem pendidikan negara kita. Contohnya, pelajar akan
berfikir bagaimanakah kipas berfungsi dan memberikan angin. Maka, pelajar akan

berfikir

secara kreatif, kritikal dan reflektif untuk mencari jawapan yang mereka hendak. Ini akan
memperkembangkan pemikiran logikal dan unsur intelek pelajar. Dengan ini, pelajar dapat
berfikir secara lebih teliti dan mereka dapat membuat sesuatu keputusan yang betul. Selain itu,
mereka dapat berfikir untuk menyelesaikan masalah, menjana idea, dan membuat keputusan
yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran. Pemikiran logikal dan
intelek adalah satu elemen yang begitu penting untuk melahirkan generasi berfikiran aras tinggi
yang dapat memajukan negara kita dari segi ekonomi serta dapat mewujudakan pekerja mahir.

Seterusnya, model ini juga mewujudkan pelajar yang berilmu pengetahuan seperti
perkara yang diberi keutamaan oleh sistem pendidikan negara kita. Melalui pengamalan model
ini dalam pembelajaran, guru akan memberi penekaan kepada aktiviti berpusatkan pelajar.
Pelajar akan dipisahkan untuk membentuk beberapa kumpulan serta diberi soalan. Kumpulan
tersebut akan diduduki oleh pelajar pintar dan pelajar lemah. Pelajar pintar akan mengajar
pelajar lemah dan interaksi akan berlaku antara mereka. Interaksi ini menyebabkan pelajar
berkongsi pengetahuan masing-masing, dapat meningkatkan kerjasama, dapat memupuk
fikiran yang luas antara pelajar. Pengalaman mereka juga akan memberi beberapa
pengetahuan kepada mereka. Ini merupakan asas untuk membentuk sosio-budaya yang sihat
dan berilmu pengetahuan. Sosio-budaya yang sihat dan berilmu pengetahuan merupakan
tulang belakang kepada negara kita untuk mengaspirasikan wawasan 2020.
Selain itu, aspek tanggungjawab juga merupakan salah satu elemen yang diberi
perhatian oleh model ini sama seperti pendidikan negara kita yang mahu mewujudkan individu
yang bertanggungjawab. Sebagaimana yang kita mengetahui, model ini memberi peluang
kepada peljara untuk membina sendiri kefahaman mereka tentang sesuatu. Contohnya, pelajar
dikehendaki mencari jawapan sendiri bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi melalui
interaksi dengan ahli kumpulan atau dengan guru subjek. Pelajar juga akan mencari pelbagai
jalan penyelesaian untuk sesuatu masalah. Aktiviti seperti ini menjadikan pelajar lebih
bertanggungjawab serta menjadikan mereka lebih yakin kepada diri sendiri dan berani
menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi baru. Pelajar akan menyedari bahawa
setiap tugas dan tanggungjawab merupakan amanah dan harus dilaksanakan dengan baik.
Rakyat yang bertanggungjawab seperti ini diperlukan oleh negara kita untuk mewujudkan
generasi yang seimbang dan harmonis.
Bukan setakat itu sahaja, pendidikan negara kita memberi keutamaan kepada pemikiran
aras tinggi pelajar selaras dengan prinsip model sosial-konstruktivis. Pelajar yang berfikiran
aras tinggi adalah pelajar yang tergolong daripada generasi yang bakal menterajui kerusi
kerajaan dalam keadaan yang cemerlang dan harmonis selaras dengan impian Falsafah
Pendidikan Negara dimana dalam usaha melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejateraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara. Kesan kewujudan pelajar yang beraras tinggi akan memastikan sistem
pendidikan negara kita mengalami anjakan paradigma dengan mencapai prestasi yang
cemerlang dari segi kurikulum dan kokurikulum.

Selain daripada itu, model ini juga memeberi penekaan kepada peringatan pelajar
terhadap subjek tertentu. Aspek ini merupakan satu elemen dalam sistem pendidikan negara
kita yang mahu melahirkan rakyat yang berpendidikan. Dengan mengamalkan model ini dalam
pengajaran dan pembelajaran, pelajar akan melibatkan diri sendirinya secara aktif. Ini
menyebabkan mereka memahami sesuatu konsep dengan lebih senang dan mereka dapat
mengingati lebih lama. Pelajar juga dapat mengaitkan pengetahuan yang diterima dengan
pengetahuan yang sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Pelajar yang mempunyai
peringatan baik sememangnya akan menjadi pelajar yang pintar serta menjadi individu yang
berjaya dalam kehidupannya. Individu yang berjaya merupakan impian dan nadi kepada sistem
pendidikan kita.
Deduksinya, model Sosial-Konstruktivis ini merupakan salah satu asas bagi sistem
pendidikan negara kita. Model ini adalah satu pendekatan pengajaran berdasarkan kepada
penyelidikan tentang bagaimana pelajar belajar. Melalui model ini, pelajar dapat membina
sendiri pengetahuan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini,
murid akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk
membina pengetahuan baru. Sebahagian besar ahli pendidikan negara kita menyokong model
ini kerana ia telah memberi beberapa kesan positif terhadap sistem pendidikan kita. Dengan
pengamalan model ini dalam pengajaran dan pembelajaran, kita dapat mengaspirasikan visi
dan impian sistem pendidikan negara kita.

Anda mungkin juga menyukai