Anda di halaman 1dari 2

KEBAIKAN MENGGUNAKAN PENGANGKUTAN AWAM

Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia yang


semakin menuju ke status negara maju. Namun demikian, penggunaan
pengangkutan awam masih dipandang sepi oleh segelintir masyarakat.
Perkhidmatan awam kini adalah lebih baik jika hendak dibandingkan satu
dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya
dalam menambah baik kualiti perkhidmatan pengangkutan awam. Jika
diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang kita peroleh apabila
menggunakan pengangkutan awam.
Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas
yang sering menghantui jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini
bertambah runcing lagi apabila tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang
daripada bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat menggunakan perkhidmatan
awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah kesesakan ini tidak berlaku.
Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas awam untuk ke tempat
kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya
berkurangan.
Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan
menjimatkan masa individu yang menggunakannya. Hal ini demikian
kerana, penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Monorel yang tidak
melalui jalan raya pastinya mempercepat masa untuk sampai ke satu-satu
destinasi. Stesen-stesen LRT ini juga dibina di tempat-tempat tumpuan
orang ramai seperti Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral dan Pasar Seni. Secara
tidak langsung, kita tidak perlu menempuh jalan raya yang sesak dengan
kenderaan.
Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan
awam, kita dapat menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga
petrol yang tinggi dan juga bayaran parkir kenderaan pasti perlu ditanggung
jika kita menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja. Namun
demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu risau dengan kos petrol
dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang lebihan
berkenaan boleh dibuat tabungan kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi
bukit.
Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika
kita sepakat untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana
destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan
raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida yang
berbahaya kepada manusia turut berkurangan. Kesannya, kita dapat
mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara
tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan
sejahtera.
Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam yang efisien turut
mampu menarik minat pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita.
Justeru, pendapatan negara akan meningkat seiring dengan penambahan
jumlah pelancong tersebut. Hal ini membolehkan pihak kerajaan merangka
lebih banyak kemudahan dan prasarana untuk kegunaan rakyat tempatan.

Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam ini perlu digalakkan demi


memastikan kelangsungan penggunaanya dalam masyarakat.
Izharnya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan
awam di negara kita ini mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan
negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan
tebing bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan
dijaga dengan rapi untuk memastikan kelangsungan penggunaannya. Jika
semua perkara ini tidak dipandang enteng, tidak mustahil negara kita mampu
mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang dicitacitakan.

Anda mungkin juga menyukai