Anda di halaman 1dari 6

ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - 7

Membudayakan Masyarakat Penyayang


Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah
mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya
penyayang. Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun
Dr. Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang
dan budaya penyayang sebagai sistem sosial
yang mementingkan masyarakat lebih daripada
diri sendiri dengan kebajikan insan tidak berkisar
pada negara atau orang perseorangan, tetapi
sekeliling keluarga yang kukuh. Dengan kata lain,
masyarakat penyayang ialah masyarakat yang
hidup bermuafakat dengan anggota-anggotanya
yang mesra dan bertimbang rasa, berbakti,
memberi khidmat, menolong, berbuat jasa,
menabur budi, melakukan kebajikan,
menunjukkan rasa kasih dan belas kasihan.
Setiap orang saling memahami dan hormatmenghormati, iaitu yang muda menghormati yang
tua dan yang tua mengasihi yang muda. Cara
hidup ini juga dikenali sebagai budaya ikram.
Ungkapan ini memberikan seribu pengertian dan
gambaran yang sangat bererti kepada seluruh
insan di dunia ini tentang masyarakat penyayang
yang perlu dipupuk dan dibenamkan dalam
sanubari kita selagi kita bergelar makhluk berakal
yang dianugerahkan oleh Tuhan.

Kepentingan Menguasai Pelbagai Bahasa


Kemahiran menguasai bahasa asing dapat
memberi nilai tambah kepada pelajar untuk
bersaing dalam pasaran kerja. Untuk bersaing
dalam bidang pekerjaan, penguasaan pelbagai
bahasa dan kemahiran berkomunikasi memang
merupakan suatu pertimbangan penting yang
diambil kira oleh sesetengah majikan dalam
mana-mana syarikat antarabangsa atau
multinasional dan tempatan, serta di sektor awam
mahupun swasta. Pendek kata, menguasai
banyak bahasa asing merupakan suatu aset
penting dalam meningkatkan persaingan mencari
rezeki dalam era globalisasi ini. Kita dapat
melihat, sering kali syarikat elektronik terkemuka
dari Jepun mengalu-alukan pekerjanya menguasai
sedikit sebanyak bahasa Jepun, terutamanya
jurutera atau eksekutif yang perlu dihantar
berkursus ke Jepun. Tegasnya, bagi mereka yang
sedang mencari peluang pekerjaan terutamanya
yang kini sedang berhadapan dengan dunia
persaingan global, penguasaan bahasa asing
adalah faktor terpenting bagi meningkatkan kualiti
persaingan diri. Menguasai bahasa ibunda
semata-mata tidak mampu memberi kejayaan
pada seseorang untuk bersaing dalam arus
globalisasi. Pihak majikan lazimnya lebih tertarik
dengan bakal pekerja yang berpengetahuan luas
selain mahir bertutur pelbagai bahasa. Mahu tidak
mahu, kita perlu menguasai bahasa asing untuk
meningkatkan kualiti sumber tenaga manusia

agar mampu menimba ilmu dan teknologi


mutakhir. Walau bagaimanapun dalam konteks
Malaysia, hal ini tidaklah bermakna kepentingan
bahasa Melayu terus diabaikan, tetapi tetap
terpelihara.
Memperkasakan Tenaga kerja Berkemahiran
Tinggi
Secara ringkasnya, tenaga mahir sering didefinisikan
sebagai seorang yang telah diiktiraf berkebolehan
dan cekap dalam bidang tertentu yang diceburi dan
mempunyai mutu kerja yang berkualiti serta biasanya
dilakukan secara manual. Kepakaran atau kemahiran
yang dimiliki ini akan hanya diperoleh dengan
pengetahuan, pengalaman dan bakat seseorang.
Mereka juga lazimnya memiliki kelayakan diploma
dan ijazah bagi 44 sektor pekerjaan dalam negara
kita dalam pengkelasan pengurusan, profesional
serta juruteknik. Pengalaman akan hanya diperoleh
melalui pendedahan sesuatu bidang pekerjaan untuk
satu proses yang panjang. Manakala pengetahuan
dan bakat yang ada hendaklah sentiasa ditingkatkan
dengan pembelajaran yang berterusan. Oleh itu,
negara amat memerlukan tenaga kerja yang
berkemahiran tinggi sama di sektor awam mahupun
swasta sebagai penggerak dan pemacu kepada
kejayaan negara. Kejayaan melahirkan tenaga kerja
mahir yang berkeupayaan dan berinovasi serta yang
mampu meneroka bidang-bidang baharu merupakan

faktor yang akan menentukan daya saing dan


kemakmuran masa depan negara.
Menyuburkan Budaya Membaca
Sebenarnya, indikator bagi sebuah negara maju
adalah rakyatnya perlu membaca sekurangkurangnya 20 buah buku setahun dan kebanyakan
negara maju seperti Jepun telah melepasi tahap
berkenaan. Sebuah negara yang sedang menuju
tahap negara maju seperti Malaysia seharusnya
memiliki generasi muda yang minat membaca.
Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju
banyak bergantung pada kemampuan ilmu
pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Tetapi, ...di
negara ini amalan membaca dilihat masih rendah dan
belum menjadi budaya dan cara hidup. Kadar purata
pembacaan rakyat Malaysia yang pernah dilaporkan
media sebelum ini, iaitu antara 8 hingga 12 buah
buku setahun menunjukkan negara masih berada di
belakang, berbanding negara seperti Jepun dan
Amerika Syarikat. Namun, kadar itu dilihat petanda
positif jika dibandingkan pada 1996 kerana purata
rakyat membaca adalah dua buku setahun ketika itu.
Bagaimanapun, fenomena ini tidak boleh terhenti
pada kadar itu sahaja, sebaliknya pembacaan lebih
banyak perlu dilakukan bagi memastikan setiap
masyarakat berada pada landasan betul menuju ke
arah pembentukan sebuah negara maju.

Mengukuhkan Semangat Kejiranan


Jiran merupakan komuniti paling hampir dengan
kehidupan setiap individu dan menjadi kewajipan
ke atas kita untuk mengetahui, serta memahami
segala perkara yang berlaku kepada jiran
tetangga. Hubungan intim dengan jiran
membolehkan seseorang menjadikan jiran tempat
mengadu dan meminta bantuan atau pertolongan
apabila sesuatu kesusahan menimpa. Kehidupan
berjiran ghalibnya dipenuhi unsur kerjasama,
kesepakatan dan keprihatinan. Selain tuntutan
agama, kehidupan berjiran amat penting untuk
negara kerana keutuhan dan kekuatan sesebuah
negara boleh diukur melalui semangat kejiranan
yang ada pada warganya. Lebih-lebih lagi
Malaysia didiami pelbagai kaum yang memerlukan
rakyat bersatu mewujudkan negara maju. Oleh itu,
usaha ini tidak harus dipandang ringan dan sudah
tiba masanya kita mengorak langkah
menghidupkan semula semangat kejiranan demi
keharmonian hidup dan kesepaduan masyarakat
menjadi benteng kukuh kepada pertahanan
negara. Hal ini demikian kerana pemuafakatan
yang kuat antara jiran tetangga dapat membantu
kerajaan menjayakan agenda transformasi
nasional seperti usaha mencegah jenayah.
Seyogia diingatkan bahawa kemakmuran
sesebuah negara bergantung kepada kemantapan
dan keutuhan hubungan setiap lapisan
masyarakatnya. Masyarakat yang berkualiti juga
dilahirkan melalui persefahaman dan hubungan

erat yang bermula daripada sebuah hubungan


kejiranan yang bersatu padu dan saling
memahami antara satu sama lain.

Anda mungkin juga menyukai