Anda di halaman 1dari 8

Terima kasih, Cikgu!

Di suatu subuh yang hening, dia meraung kesakitan. Susuk tubuhnya yang kurus kering
dipenuhi dengan kesan calar-balar hampir pada seluruh tubuhnya. Kehidupan Syafikah
bertambah kusam setelah pemergian ibunya yang tercinta. Penderitaan ini menjadi lebih
parah apabila bapanya telah mengahwini seorang janda beranak satu yang lebih
mementingkan anaknya berbanding dirinya. Tidak lama selepas itu, bapanya pula
meninggalkannya akibat kemalangan jalanraya. Sudah jatuh ditimpa tangga begitulah
kehidupan Syafikah kini.
Aduh, sakitnya.Apalah malangnya nasibku ini.Sudahlah ibu pergi meninggalkanku, ibu
tiriku pula memperlakukan aku seperti haiwan..Kenapa? rintih Syafikah dalam kesedihan.
Bunyi kokokan ayam jantan bergegar gempita memecah kesunyian subuh yang jernih itu.
Syafikah mengesot-ngesot dalam kesakitan untuk bangun daripada tilam usang tempat
perbaringannya. Dia perlu menyelesaikan tugasnya dengan segeranya sebelum ke sekolah.
Jika tidak, dia pasti tidak dapat hadir ke sekolah sebelum deringan loceng berbunyi.
Syafikah, Syafikah. mana sarapan ni..cepat sikitnanti aku lambat ke tempat kerja!
Kalau kau lambat, jangan harap kau ke sekolah lagi..Apa yang kau buat ni
lambat.terhegeh-hegehNah, rasakan kau! Tanpa disedarinya sebuah rotan yang
hampir pecah hinggap ditangannya. Syafikah menahan kesakitan tersebut dengan hanya air
matanya. Mira, adik tiri Syafikah yang berusia dua tahun sedang menghabiskan sisa botol
susu yang masih berbaki.
Dalam keadaan tubuhnya yang lemah dan kakinya yang terketar-ketar Syafikah memulakan
langkahnya agar tidak lambat ke sekolah. Jam di tangannya menunjukkan pukul 7.45 pagi.
Semakin lambat terasa ayunan kakinya melangkah ditambah pula dengan kesakitan yang
membelenggung jiwa. Akhirnya Syafikah tiba di pintu kelasnya. Akibat kesakitan yang tidak
terperi, akhirnya Syafikah tersungkur di hadapan pintu kelasnya. Semua murid di kelas 6
Anggerik berlari ke arahnya. Cikgu Anita yang sedang menulis di papan hitam tergamam
apabila terdengar bunyi dentuman di muka pintu kelasnya.
Cikgu Anita segera mendapatkan Syafikah. Tubuh Syafikah yang bermaya itu segera
diangkat. Kawan karib Syafikah iaitu Nadia segera berlari menuju ke bilik air untuk
mendapatkan sedikit air. Kelopak mata Syafikah yang lebam itu mula menguak lebar sedikit
demi sedikit setelah direnjis dengan beberapa titik air. Nadia segera mendapatkan air

minuman di dalam beg sekolah Syafikah lalu menghulurkannya kepada Cikgu Anita. Bibir
Syafikah yang pucat lesi cuba meneguk beberapa teguk air minuman yang diberikan oleh
Cikgu Anita.Terima kasih cikgu, terima kasih Nadia.. Syafikah mula bersuara lemah
sambil memandang ke arah Cikgu Anita dan Nadia. Mereka hanya mengangguk-anggukkan
kepala di atas kata-kata Syafikah itu. Syafikah, kamu berehatlah dulu. Badan kamu terlalu
lemah. Nanti cikgu hantar kamu pulang ke rumah ye
Cikgu Anita memandang Syafikah dengan penuh kesayuan. Dia tidak mahu menambahkan
lagi bebanan fikiran Syafikah yang jelas terpancar di wajahnya. Biarlah Syafikah berehat
dahulu sebelum dia mengajukan beberapa persoalan yang membelenggunya semenjak
beberapa bulan kebelakangan ini. Syafikah yang merupakan murid harapan sekolah mula
menunjukkan kemerosotannya setelah kematian ibu dan disusuli pula pemergian ayahnya
yang tersayang. Cikgu Anita tahu betapa berat mata yang memandang pastinya lebih berat
lagi bahu yang memikul.
Cikgu Anita membawa Syafikah pulang ke rumah dengan menaiki kereta yang dipandunya.
Sebelum itu, dia mengajak Syafikah singgah di sebuah warung untuk menikmati hidangan
makan tengah hari. Tentunya Syafikah tidak memperolehi zat makanan yang seimbang
memandangkan wajahnya yang pucat dan tubuhnya yang tidak bermaya. Sambil itu,
mereka berbual-bual Cikgu Anita mula bersuara, Cikgu lihat sejak kebelakangan ini, kamu
seringkali lewat ke sekolah. Kamu mesti ingat Syafikah yang kamu akan menghadapi
peperiksaan UPSR tidak lama lagi. Kamu adalah murid harapan sekolah ini. Cikgu tidak
mahu kamu menghancurkan harapan pihak sekolah yang telah tergalas di bahu kamu.
Wajah kamu juga pucat lesi tidak seceria dulu. Cikgu tahu kamu telah kehilangan kedua-dua
insan yang kamu sayangi. Tapi kamu mestilah merelakan pemergian mereka.
Kata-kata yang tulus ikhlas yang lahir daripada hati nurani Cikgu Anita benar-benar
merentap hati Syafikah. Titisan manik-manik halus mula menyimbahi pipinya yang cengkung
itu. Bibirnya yang merekah mula memuntahkan kata-kata. Cikgu, saya memang berhasrat
untuk memenuhi impian arwah kedua-dua ibu bapa saya. Saya juga berazam untuk
mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR ini. Tapi itu hanyalah tinggal
impian yang tidak mungkin terlaksana umpama mimpi di malam hari. Apabila saya bangun,
mimpi itu hanyalah tinggal mimpi sahaja. Apalah maknanya sebuah kejayaan andainya tidak
dapat dikecapi bersama orang-orang yang saya sayang, cikgu.
Cikgu Anita segera memintas kata-kata Syafikah yang semakin kecewa dan patah harapan.
Dia tidak mahu anak didiknya terus hanyut dalam kekecewaan. Syafikah masih terlalu
2

mentah dan muda untuk mengharungi kehidupan. Perjalanan hidupnya masih terlalu
panjang. Dia perlu berubah demi mencapai kejayaan yang diimpikan agar kejayaan itu
berada di dalam genggamannya. Hanya melalui kejayaan seseorang itu boleh mengubah
nasib mereka suatu hari nanti. Syafikah, kamu perlu ingat yang kamu tidak berseorangan.
Kamu masih dikelilingi dengan insan-insan yang menyayangi kamu. Kamu masih ada guruguru dan rakan-rakan yang mengharapkan kejayaan kamu.
Syafikah terdiam. Dia termenung sambil memikirkan kata-kata Cikgu Anita itu. Tiba-tiba
Syafikah teringatkan wajah ibu tirinya yang garang. Dia segera melihat jam di tangannya.
Wajahnya bertukar menjadi pucat lesi..
Alamak dah dekat pukul 3 petang ni! Makan tengah hari belum disediakan lagi. Kain baju
belum dibasuh, rumah perlu dikemas. Matilah aku jika mak cik balik sekejap lagi. Abis aku
digulainya.. Syafikah bersuara gusar di dalam hatinya. Kegusaran itu jelas terpancar di
wajah Syafikah.
Cikgu Anita yang menyedarinya perubahan di wajah Syafikah mula bersuara,Kenapa
Syafikah? Kamu tak suka keluar makan dengan saya atau kata-kata saya tadi menyinggung
perasaan kamu?
Tidak, cikgu. Cikgu telah banyak memberikan kata-kata nasihat kepada saya. Saya amat
menghargai niat ikhlas cikgu ini. Tapi cikgu, saya perlu segera pulang ke rumah. Masih
banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan. Maafkan saya, cikgu.
Kereta Honda Sivic berwarna hitam itu dipecut laju oleh Cikgu Anita. Malangnya apabila tiba
di pintu rumah Syafikah, ibu tirinya sudah terpancul di muka pintu dengan muka yang bengis
sambil mencekakkan pinggangnya. Tanpa menghiraukan kehadiran Cikgu Anita, ibu tiri
Syafikah terus memekik bagai singa lapar ke arahnya. Syafikah, kamu ni memang anak
yang tak kenang diuntung..ke mana kamu pergi ha? Dah pukul berapa sekarang? Makan
tengah hari belum dimasak, baju belum dibasuhrumah berselerak..kamu nak jadi apa
hah? Kamu mesti ingat yang aku yang tanggung makan minum kamu selama ini. Kalau tak
kerana aku kau mati kebuluran!
Cikgu Anita mula naik berang apabila mendengar kata-kata Puan Marini iaitu ibu tiri
Syafikah. Dia mula bersuara. Puan, saya bukan bertujuan untuk masuk campur dalam
urusan keluarga puan. Tapi anak-anak bukanlah hamba untuk kita lakukan sesuka hati.
Mereka juga mempunyai hak untuk hidup dengan ceria dan bahagia. Tambahan pula,
3

Syafikah akan menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi. Puan perlulah menjaga hati
dan perasaan dia.
Syafikah, kamu dah pandai ye sekarang. Mengadu domba keluarga kita kepada orang lain.
Kamu memang tak kenang budi. Kalau bukan aku yang bela kamu pasti kamu merempat di
tepi jalan. Kamu ingat dengan belajar bersungguh-sungguh aku akan hantar kamu ke
sekolah yang lebih baik. Jangan mimpi la. Tahun depan kamu duduk saja di rumah. Uruskan
rumah ni!.
Puan tak boleh bersikap kejam kepada Syafikah begitu. Dia mempunyai potensi yang
besar di sekolah. Jika dia diberi peluang dia pasti akan berjaya kelak.
Puan Marini segera menarik tangan Syafikah ke dalam rumah. Dia tidak mahu mendengar
sebarang kata-kata yang banyak membela Syafikah daripada Cikgu Anita lagi. Melihatkan
keadaan yang sedemikian, Cikgu Anita mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah
itu. Tidak ada gunanya bertelingkah dengan orang yang mempunyai sikap egoistik yang
tinggi kerana ia hanyalah sia-sia umpama mencurah air di daun keladi. Cikgu Anita
memandu keluar keretanya meninggalkan perkarangan rumah Syafikah. Dia bernekad untuk
menjadikan Syafikah pelajar terbaik meskipun dibelenggu kesengsaraan hidup dan
ditentang sepenuhnya oleh ibu tiri Syafikah.
Hari berganti hari. Kehidupan syafikah bertambah ceria di atas dorongan dan kekuatan
semangat berbunga-bunga yang diberikan oleh Cikgu Anita. Syafikah dan Nadia seringkali
kelihatan bersama-sama dengan Cikgu Anita. Cikgu Anita telah banyak membantu mereka
mengulangkaji pelajaran dan memberikan tunjuk ajar tanpa jemu. Tambahan pula, mereka
akan menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi. Syafikah menggunakan segala
peluang yang ada dengan baik di waktu persekolahan. Dia akan pulang ke rumah seperti
biasa sebaik sahaja habis sesi persekolahan untuk menguruskan kerja-kerja rumah yang
masih terbengkalai. Dia tidak mahu lagi ibu tirinya mengalahkan Cikgu Anita lagi. Tambahan
pula, Cikgu Anita telah banyak membantunya serta menjadi sumber kekuatannya kini.
Hidup Syafikah kini berubah kerana dia telah mendapati arahnya dalam kehidupan. Dia ingin
menjadi murid yang cemerlang dan selalu berdoa agar pintu hati ibu tirinya terbuka untuk
menerimanya. Di kala suria memanahkan cahayanya menyimbah bumi, murid-murid sedang
berada di kantin sekolah untuk menikmati juadah di waktu rehat mereka. Tiba-tiba kelihatan
Nadia berlari-lari ke arah Syafikah. Dengan penuh tanda tanya, Syafikah cuma
mententeramkan jiwanya yang kacau itu. Apakah perkhabaran yang ingin disampaikan oleh
4

Nadia? Adakah ini suatu petanda buruk yang akan menjelma lagiAduh, apakah berita
itu..?, wajah Syafikah bertukar serta-merta. Jantung hatinya bergetar kencang secara
tiba-tiba.
Kenapa Nadia? Apa yang berlaku? Kenapa kamu berlari-lari? , soalan yang bertubi-tubi
keluar daripada mulut Syafikah tanpa henti-hentinya menggambarkan yang Syafikah sangat
khuatir dengan berita yang akan didengarinya.
Syafikah, kamu jangan terkejut dengan berita ini.tadi pihak hospital menelefon ke
pejabat sekolah.ibu tiri kamu berada dalam keadaan kritikal. Dia mengalami kemalangan
jalanraya. Sekarang dia masih di unit kecemasan hospital. Adik tiri kamu pula meninggal
akibat pendarahan di bahagian kepalanyaSyafikah
Tubuh Syafikah yang lemah itu jatuh terjelepok di lantai. Bayangan ibu tirinya yang bengis
dan seringkali meruntunkan jiwa Syafikah bertukar menjadi penuh simpati. Betapa jiwanya
tidak pernah menyimpan sedikit dendam meskipun tubuhnya menjadi mangsa habuan ibu
tirinya saban hari. Syafikah menganggap yang itu semua dugaan hidup yang harus
ditempuhinya. Tambahan pula, kata-kata semangat daripada Cikgu Anita telah banyak
mengubah persepsi dan tanggapan buruk terhadap ibu tirinya. Bayangan Cikgu Anita
segera terlintas di benaknya. Dia perlu segera mendapatkan Cikgu Anita untuk memohon
bantuan.
Pintu bilik guru diketuk kencang. Syafikah yang masih tidak bermaya ditemani oleh Nadia
untuk menemui Cikgu Anita. Dengan wajah yang terpinga-pinga, Cikgu Anita segera
bertanya, Kamu berdua ni kelihatan seolah-olah dirundung satu masalah yang besar. Apa
yang berlaku? Sekiranya cikgu boleh membantu, cikgu akan cuba membantu dengan
sedaya upaya cikgu.
Dengan nada suara yang bergetar-getar dan sebak, Syafikah mula mengaturkan bicaranya.
Nadia

yang

berada

di

sisi

Syafikah

hanya

diam

membisu

seribu

kata.

Cikgu, saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan..ibu tiri saya sekarang berada
dalam keadaan kritikal akibat kemalangan jalan raya. Adik tiri saya pula meninggal dunia.
Saya sedih cikgu.merekalah dunia saya kini. Saya tidak ada siapa-siapa lagi. Tolonglah
saya cikgu.saya mohon, cikgu..
Saya berasa sungguh terharu dengan sikap kamu Syafikah. Saya berbangga dengan
kamu. Kamu bukan sahaja seorang murid yang baik tetapi kamu juga merupakan seorang
5

anak yang patuh. Meskipun ibu tiri kamu tidak pernah melayan kamu seperti anaknya tapi
kamu tetap menganggapnya sebagai keluarga kamu sendiri. Kamu memang anak yang
baik. Cikgu doakan agar kamu memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Kamu tak perlu
bimbang. Mari cikgu hantarkan kamu ke hospital. Cikgu juga akan melancarkan dermaan
bagi memperoleh sedikit bantuan kewangan dalam membantu meringankan beban keluarga
kamu.
Terima kasih, cikgu.cikgu telah banyak membantu saya dalam meringankan segala
bebanan dan masalah yang menimpa saya. Terima kasih, cikgu. Nada suara Syafikah
bertambah sebak lalu ditenangkan oleh Cikgu Anita.
Sudah menjadi tanggungjawab cikgu untuk membantu kamu Syafikah. Anggaplah segala
pertolongan cikgu adalah hadiah untuk setiap kesabaran dan kebaikan kamu, Syafikah. Mari
kita ke hospital sekarang. Syafikah ditemani oleh Nadia mengikut Cikgu Anita ke
keretanya.
Laungan kereta Cikgu Anita yang menyusur jalan raya memecah kesunyian pagi itu.
Syafikah yang masih dalam kesedihan dipeluk erat oleh Nadia. Nadia sangat mengerti
segala kesedihan yang menyelubungi diri Syafikah. Pada saat ini, Syafikah sangat
memerlukan teman bagi menenangkan dirinya yang kacau-bilau itu. Mujurlah dia seringkali
ditemani oleh sahabat karibnya, Nadia dalam mengharungi hidupnya sama ada ketika dia
gembira mahupun berduka.
Setibanya di sana, kelihatan sekujur tubuh terbaring kaku di atas katil di Unit Kecemasan
Rapi itu. Tubuh yang dulunya bengis dan menggegarkan nyawa, kini hanya terbaring lesu
tanpa suara. Ditubuhnya kelihatan wayar-wayar yang berselirat menggerunkan mata yang
memandang. Nyawanya banyak bergantung dengan setiap alat pernafasan dan sumber
makanannya pula dialirkan menerusi saluran tersedia ada. Sungguh terseksa Syafikah
melihat penderitaan ibu tirinya di ruang yang sepi itu. Titisan-titisan mutiara berkaca mula
berlinang membasahi pipinya itu. Tubuh ibu tirinya yang tidak pernah dipeluknya itu kini
dipeluk erat. Cikgu Anita yang berada di situ segera menenangkan Syafikah. Dia tidak mahu
Syafikah terus bersedih lagi. Biarlah segala kesedihan berarak pergi daripada kehidupan
Syafikah yang suram.
Sepanjang ibu tiri Syafikah iaitu Puan Marini dirawat di hospital, Cikgu Anita dengan
ikhlasnya menumpangkan Syafikah buat sementara waktu di rumahnya. Setiap hari selepas
waktu persekolahan, Syafikah akan ditemani oleh Cikgu Anita untuk melawat ibu tirinya.
6

Cikgu Anita juga akan membantu Syafikah mengulangkaji pelajaran kerana UPSR akan tiba
tidak berapa lama lagi. Syafikah juga perlu menstabilkan emosinya kerana dia berada di
persimpangan antara memenuhi tuntutan sebagai seorang murid dan tanggungjawab
sebagai seorang anak kepada ibunya. Berkat kesabaran dan bimbingan yang berterusan
daripada Cikgu Anita, Syafikah menjadi seteguh karang di lautan biru. Jiwanya kini
bertambah kental. Syafikah mampu menempuh hari-hari yang mendatang dengan
memperbanyak doa dan memohon agar ibu tirinya beroleh kesihatan seperti sediakala serta
mendapat kejayaan yang cemerlang di dalam UPSR tidak lama lagi.
Kokokan ayam yang mengejutkan Syafikah daripada tidur yang lena itu. Kesegaran
tubuhnya terasa apabila desiran bayu pagi itu menjamah pipinya. Dia segera membersihkan
dirinya. Walaupun hari ini merupakan hari minggu, Syafikah tidak perlu ke sekolah tetapi dia
perlu ke hospital untuk menjenguk ibu tirinya yang masih belum sedarkan diri.
Hari ini sudah genap seminggu peristiwa ngeri itu menimpa ibu dan adik tirinya. Segala doa
dan hasrat Syafikah akhirnya termakbul. Tubuh kaku Puan Marini mula menunjukkan reaksi
yang memberangsangkan. Kaki dan tangannya mula bergerak-gerak dengan perlahanlahan. Syafikah amat bersyukur di atas reaksi itu. Dia segera mendapatkan doktor untuk
memberitahu tentang perkara tersebut.
Pesakit nampaknya semakin menunjukkan perkembangan yang positif. Sekiranya pesakit
terus menunjukkan perkembangan ini berkemungkinan pesakit akan boleh sembuh dengan
cepat. Walau bagaimanapun, Puan Marini memerlukan sokongan emosi dan mental yang
kuat terutama daripada ahli keluarganya kerana dia baru sahaja kehilangan anaknya dalam
kemalangan ngeri itu. Dengan lantasnya Syafikah bersuara, Doktor, saya akan lakukan
yang terbaik untuk ibu saya. Cikgu Anita mengusap lembut bahu syafikah dan turut
menambah, Syafikah tidak perlu risau, selagi cikgu mampu, cikgu akan sama-sama
membantu Syafikah. Syafikah memeluk erat Cikgu Anita.
Hari berganti hari. Terasa begitu pantas jarum jam berputar di atas paksinya. Syafikah kini
menunggu keputusan UPSR yang akan diumumkan tidak lama lagi. Kesihatan Puan Marini
juga beransur pulih. Dia juga sudah mula menerima kehidupan baru hidupnya kini. Puan
Marini bukan lagi Puan Marini yang dulu. Dia kini hidup sebagai Puan Marini yang baru. Dia
sudah boleh menerima kehilangan anaknya.
Saat yang dinanti-nanti tiba kini. Keputusan UPSR kini mula diumumkan dan murid-murid
tahun 6 berhimpun di perkarangan sekolah untuk mendapatkan keputusan masing-masing.
7

Syafikah tiba di perkarangan sekolah bersama ibu tirinya yang turut menemaninya. Kini
keputusan di dalam genggaman Syafikah. Alangkah gembiranya hati apabila impiannya
menjadi nyata. Syafikah memperoleh 5A dalam ujian penilaian tersebut. Sahabat baiknya
Nadia turut memperolehi keputusan yang sama. Berkat segala usaha dan titik peluh mereka
bersengkang mata belajar bersama-sama dengan bimbingan Cikgu Anita. Puan Marini yang
sangat gembira dengan keputusan tersebut melonjak kegirangan. Jelas di wajahnya
keriangan dan kesyukuran yang tidak terhingga. Lantas Syafikah memeluk ibu tirinya, Ibu,
saya memperoleh 5A..syukurlah!
Tahniah, Syafikah! Ibu sangat berbangga dengan kamu. Kamu seharusnya berkongsi
kegembiraan

ini

bersama

Cikgu

Anita.

Dia

yang

banyak

membantu

kamu..

Syafikah berlari menuju ke bilik guru untuk mendapatkan Cikgu Anita. Malangnya, Cikgu
Anita tidak ditemui. Jiwa Syafikah meronta-ronta ingin menunjukkan keputusan yang
diperolehnya itu kepada Cikgu Anita yang merupakan insan yang paling bermakna dalam
hidupnya. Alangkah sedihnya apabila Syafikah mendapat tahu yang Cikgu Anita telah
ditukarkan ke sekolah lain. Cikgu Anita meninggalkan sepucuk surat buat Syafikah yang
berbunyi.
Buat Syafikah,
Cikgu tahu yang Syafikah pasti memperoleh kejayaan yang cemerlang seperti yang diingini.
Maafkan cikg. Cikgu terpaksa meninggalkan sekolah ini tanpa memberitahu Syafikah. Cikgu
tidak mahu Syafikah sedih dan mengiringi pemergian cikgu dengan air mata. Cikgu gembira
melihat kegembiraan Syafikah kini. Syafikah sudah memperoleh ibu yang Syafikah ingini.
Teruskan hidup Syafikah untuk mengecapi kejayaan demi kejayaan. Andainya ada rezeki di
lain masa pasti kita akan bertemu lagi. Sampaikan salam cikgu buat ibu Syafikah dan tidak
lupa juga buat Nadia.
Walaupun surat itu ringkas tetapi membawa makna yang sungguh mendalam di jiwa
Syafikah. Surat yang berada digenggaman Syafikah jatuh menyimbah bumi bersama
deraian air matanya, Cikgu, cikgu tau betapa besarnya pengorbanan cikgu kepada saya.
Saya tidak akan melupakan setiap jasa dan budi baik cikgu. Terima kasih, cikgu..

Anda mungkin juga menyukai