Anda di halaman 1dari 4

KL menjerit, rempit tersepit,

kapitalis menggigit
Kita tidak perlu hairan apabila Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor secara tiba-tiba membuka mulutnya mencadangkan supaya komuniti rempit di
ibu kota mendapat peluang berlumba di jalanraya, dengan kerjasama dan pemantauan pihak
berkuasa.

Ini petanda mungkin ada orang cuba mahu dapatkan projek daripada menteri Umno tersebut.
Ya, semudah itu.

Maka jangan hairan dan mempersoal sama ada Tengku Adnan atau lebih dikenali Ku Nan
memang sebodoh itu mahu menghalalkan lumba haram. Tidak ada kena mengena langsung.

Ku Nan bukan orang bijak bestari yang akan membazir masa memikirkan langkah-langkah
menangani pokok pangkal permasalahan aktiviti lumba haram di kalangan anak muda kelas
pertengahan serta gejala-gejala sosial yang berlanjutan daripadanya. Ku Nan tidak sebegitu
cerdik.

Sekiranya Ku Nan ditanya pemberita, "Apa langkah yang mahu diambil bagi menangani
masalah lumba haram di Kuala Lumpur?" beliau hampir sahaja pasti tidak akan menjawab
mahu bikin lumba yang dihalalkan kerajaan. Kenapa? Sebab Ku Nan tidak punya pandangan
jauh.

Yang punya pandangan jauh adalah kaum pemodal. Kaum yang melihat peluang meraih
keuntungan daripada projek kerajaan. Mereka inilah yang hampir pasti terlebih dahulu
melakukan aktiviti "pitching" kepada pihak kerajaan untuk menganjur aktiviti itu dan ini, demi
mendapatkan peluang berniaga dan kaya hasil dana negara.

Lumba haram, gejala rempit dan segala yang berlanjutan daripada aktiviti berhimpun malam
minggu di Dataran Merdeka itu tidak boleh dibiarkan berlalu dengan sia-sia. Harus hukumnya,

mencari jalan supaya aktiviti tersebut dapat memberikan keuntungan wang ringgit, selain
faedah politik yang lain.

Sebelum itu kita harus jelas aktiviti berlumba adalah fitrah insani. Semua golongan dan kelas
ekonomi terlibat dalam perlumbaan. Bahkan arnab dan kura-kura juga turut berlumba.

Dan apabila wujud perlumbaan, akan turut wujud peluang ekonomi dan pekerjaan melibatkan
perlumbaan. Ini termasuklah aktiviti pertaruhan dan perjudian, yang pastinya membawa
keuntungan lumayan tanpa keperluan membayar cukai.

Kita melihat manusia melumba kuda, anjing, arnab, bahkan hamster. Hampir semuanya
melibatkan pertaruhan, selain kos penjagaan, penyeliaan, tempat, pengurusan dan sebagainya.

Kita juga melihat perlumbaan kereta Formula 1; yang menyaksikan pembinaan litar lumba di
serata ceruk dunia, juga melibatkan kos penganjuran yang besar, seraya menarik minat pelbagai
industri untuk menaja dan menjual cap dagang mereka. Perlumbaan adalah perniagaan yang
sangat menguntungkan.

Dan kemudian kita ada lumba kasta rendah, melibatkan "kapcai" yang dikorek bloknya di
samping aksi-aksi berani mati seperti "wheely", "wikang" dan yang sewaktu dengannya.
Lumba kasta rendah ini tidak punya tarikan banyak kerana diamalkan secara sorok-sorok, jauh
dari capaian pihak keselamatan terutamanya polis trafik; serta dilakukan untuk tujuan yang
pelbagai.

Memetik kata Ku Nan sendiri, golongan pelumba kasta rendah yang melazimi jalan-jalan
lengang kota raya Kuala Lumpur melakukannya demi kepuasan dan hiburan sendiri.

Katanya lagi, mereka berlumba kerana aktiviti lain tinggi kosnya, dan sebagai kasta yang tidak
berkereta mewah, para "rempit" ini hanya mampu berlawan motor siapa lebih "blah" dan aksi
siapa lebih jantan.

Dengan hati yang kering, mereka tidak perlu litar lumba. Cukuplah Kuala Lumpur menjerit
menyaksikan kejantanan mereka.

Ini sebabnya kenapa akan wujud kaum pemodal yang pastinya mahu mengaut untung daripada
aktiviti ini. Mesti ada yang mahu menawarkan khidmat mengurus, menyediakan kelengkapan
keselamatan, promosi mingguan, mengurus hadiah tunai dan banyak hal lagi yang berkaitan
dengan acara lumba.

Kaum pemodal ini tidak berlumba dengan "kapcai". Kaum pemodal yang merancang untuk
mengaut untung daripada aksi anak bangsa yang terjebak dengan gejala bahaya semasa dan
selepas berlumba, mereka ke sana ke mari dengan kereta mewah yang tidak dibuat berlumba.

Mereka sekadar menonton dan bertepuk tangan menyaksikan nasib taruhan mereka; sama sebiji
seperti di medan-medan lumba kuda, anjing, arnab dan hamster.

Yang menjadi mangsa adalah anak bangsa yang termakan dengan impian mahu menjadi
pelumba terkenal, bermodalkan motosikal yang baru dibeli dengan gaji kecil, bermotivasikan
populariti dan harapan untuk menemukan awek dan kegemilangan bergelar juara "cub prix" di
litar lumba.

Rasanya sudah cukup banyak filem-filem Ahmad Idham untuk dijadikan pengajaran. Yang
akan tersenyum riang pada akhirnya adalah para ahli politik dan kaum pemodal yang
membusung perutnya kenyang dengan hasil perniagaan menjaja aksi dan keberanian orang
lain.

Jadi kita tidak perlu hairan. Ku Nan bukannya sengaja mahu beri jalan untuk anak bangsa
berlumba sakan. Bahkan sebagai gula-gula cuma, supaya dia nampak "cool" dan bergaya
sambil cukong penganjur acara mengaut untung dan laba.

Dan kita pun bercakaran, berebut mahukan undi anak muda penggemar bunyi enjin kuat dan
aksi ligat. Tanpa kita sedari permasalahan yang mengakar adalah ekonomi dan terjeratnya
mereka dalam perangkap gaji rendah dan disesakkan kenaikan harga barang angkara cukai
barangan dan perkhidmatan (GST).

Eh, kalau gaji anak muda Malaysia ini tinggi dan tak kena GST, dia tak beli "kapcai" dan
merempit. Dia beli kereta potong, pasang turbo dan tayar drift, sekali sub woofer pasang lagu
"feng tau". Reti? 26 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The
Malaysian Insider.
- See more at: http://www.themalaysianoutsider.com/opinion/izmil-amri/article/kl-menjeritrempit-tersepit-kapitalis-menggigit

Anda mungkin juga menyukai