Anda di halaman 1dari 3

KISAH KETABAHAN NABI AYYUB

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,
guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,
Bermain pasir bersama rakan,
Kisah Nabi Ayub pilihan cerita,
Mari bersama kita dengarkan. (pantun)
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Tersebutlah kisah suatu cerita,
Kisah Nabi Ayyub diuji Ilahi,
Sifatnya alim, beriman dan bertakwa
Digoda iblis yang iri hati (Syair)
Rakan-rakan sekalian,
Salah seorang malaikat telah berkata; Aku tidak pernah melihat seorang manusia
yang hidup di atas bumi Allah yang lebih baik dari hamba Allah Ayyub. Dia adalah
seorang mukmin sejati dan ahli ibadah yang tekun. Walaupun mempunyai harta
yang banyak, namun sebahagiannya digunakan untuk menolong orang fakir
miskin. Hari-harinya terisi penuh dengan ibadah, sujud kepada Allah dan bersyukur
atas segala nikmat yang yang ada. Para malaikat mengakui kebenaran itu bahkan
menyebut lagi beberapa sifat dan tabiat yang lain yang ada pada diri Nabi Ayyub.
Hadirin sekalian,
Percakapan para malaikat yang memuji-muji Nabi Ayyub itu didengar oleh Iblis
laknatullah yang sedang berada tidak jauh dari tempat mereka berkumpul. Mereka
merasa panas hati dan jengkel mendengar kata-kata pujian para malaikat. Mereka
tidak rela melihat seorang dari anak cucu anak Nabi Adam menjadi seorang mukmin
yang baik, ahli ibadah yang tekun dan melakukan amal soleh.

Maka pergilah Iblis mendatangi Nabi Ayyub untuk melihat sejauh mana kebenaran
pujian para malaikat itu. Ternyata memang benar Nabi Ayyub patut mendapat
segala pujian itu. Siang dan malam sentiasa berada di mihrabnya untuk melakukan
solat, berzikir, bertasbih dan bertahmid. Iblis pun menggoda Nabi Ayyub supaya
asyik kepada dunia namun usahanya gagal. Telinga Ayyub pekak terhadap segala
bisikannya dan hatinya sudah penuh dengan iman dan takwa. Cinta dan taatnya
kepada Allah merupakan benteng daripada serangan godaan Iblis laknatullah.

Hadirin yang dikasihi,

Akan tetapi Iblis laknatullah masih tidak berputus asa lalu menghadap Allah untuk
menghasut. Ia berkata : Wahai Tuhan, sesungguhnya Ayyub yang menyembah,
bertasbih dan bertahmid menyebut nama-Mu, tidak berbuat demikian seikhlas dan
setulus hatinya kerana cinta dan taat pada-Mu. Ia melakukan semua itu kerana
takut akan kehilangan semua kenikmatan duniawi yang telah Engkau akurniakan
kepadanya.
Lalu Allah berfirman : Sesungguhnya Ayyub adalah seorang hamba-Ku yang sangat
taat kepada-Ku, ia seorang mukmin sejati, apa yang ia lakukan untuk mendekati
dirinya kepada-Ku adalah semata-mata didorong oleh iman yang teguh dan taat
yang bulat kepada-Ku.
Seterusnya Allah mencabar iblis supaya menggoda Nabi Ayyub yang terkenal
sebagai seorang yang beriman dan bertakwa.
Hadirin sekalian,
Setelah itu, iblis pun mengumpulkan syaitan-syaitan, pembantunya dan bersepakat
untuk merosakkan aqidah dan iman Nabi Ayyub. Caranya ialah dengan
memusnahkan harta kekayaannya sehingga ia menjadi seorang yang miskin,
mencerai-beraikan keluarganya sehingga ia menjadi sebatang kara. Nabi Ayyub
juga diuji dengan penyakit kulit yang teruk dan bermacam-macam penyakit yang
lain sehingga baginda menjadi sangat kurus. Isteri yang dikasihinya juga
meninggalkannya lantaran termakan pujukan syaitan durjana.
Maka tinggallah Nabi Ayyub sendirian dalam kesakitan namun baginda tetap tabah
dan sabar kerana yakin dan beriman bahawa Allah sentiasa bersamanya.
Rakan-rakan sekalian,
Nabi Ayyub dipilih sebagai nabi dan teladan yang baik bagi hamba-hamba-Nya
sehingga dikenali sebagai simbol kesabaran. Pengajaran dari cerita ini ialah :
Pertama : Kita hendaklah beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Kedua :

Kita hendaklah sabar dalam menghadapi apa jua dugaan dan cabaran. Allah
sentiasa bersama kita.

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai