Anda di halaman 1dari 5

Kemelut integrasi Uighur - Han

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL


rencana@utusan.com.my
BERBANDING Tibet, kemelut etnik di Xinjiang tidak begitu mendapat
perhatian media antarabangsa. Meskipun krisis itu sudah berpanjangan
kira-kira lima dekad lamanya, namun nasib yang menimpa penduduk
Xinjiang seolah-olah terpinggir.
Malah, Beijing sendiri tidak begitu serius dalam menangani permasalahan
sebenar yang membelenggu wilayah tersebut. Bagaimanapun rusuhan
etnik antara Uighur dan Han yang mengorbankan tidak kurang 180 nyawa
di bandar Urumqi, Xinjiang minggu lalu membuka mata banyak pihak.
Agak menarik, Beijing membuka pintu yang luas kepada wartawan asing
untuk membuat liputan mengenai konflik tersebut. Keadaan itu sangat
berbeza dengan dasar China sebelum ini yang mengenakan kawalan ketat
kepada media asing.
Ramai yang menilai tindakan Beijing itu kerana cuba menarik simpati
masyarakat antarabangsa. China tidak mahu dilihat sebagai pemerintah
yang gagal menguruskan hal dalaman sendiri ketika negara itu sedang
menuju sebagai kuasa ekonomi baru dunia.
Beijing juga sangat berhati-hati menangani konflik ini kerana bimbang ia
akan dilihat sebagai krisis agama memandangkan etnik Uighur
merupakan penganut Islam.
Sentimen agama sekiranya terus dimainkan boleh mendedahkan wilayah
itu kepada ancaman puak pemisah dan rangkaian kumpulan militan.
Terletak bersempadan dengan negara-negara seperti Mongolia, Rusia,
Kazakhtan, Kirgistan, Tjikistan, Afganistan, Pakistan dan India, ancaman
puak militan itu tidak boleh dipandang mudah.
Justeru, dasar buka pintu terhadap permasalahan yang berlaku di Xinjiang
antara lain diharapkan dapat memberi gambaran sebenar situasi yang
berlaku kepada masyarakat dunia.
Namun dalam keterbukaan itu, China tetap menolak permintaan
antarabangsa yang mahukan krisis itu dibincangkan di Majlis Keselamatan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Turki adalah antara negara yang lantang mendesak China menyelesaikan
konflik itu mengikut lunas-lunas antarabangsa.

Sebagai salah sebuah negara bersempadan, rusuhan etnik di Xinjiang


turut memberi kesan kepada Turki.
Sejak krisis itu meletus, ramai penduduk Uighur merentas sempadan
mencari perlindungan di negara itu. Bagaimanapun, China menempelak
desakan antarabangsa itu dengan mendakwa Beijing mampu mengurus
isu dalaman sendiri.
Namun China dilihat agak terlewat dalam menangani kemelut etnik di
Xianjiang apabila rasa tidak puas hati antara dua kaum majoriti iaitu
Uighur dan Han mula diluahkan di jalanan.
Sewaktu kerajaan komunis China pimpinan Mao Zedong dibentuk pada
1949, etnik Uighur merupakan penduduk majoriti di Xinjiang iaitu sebesar
kira-kira 76 peratus. Etnik Han pula hanya sekitar enam peratus dan
selebihnya merupakan etnik-etnik kecil yang lain.
Bagaimanapun, dasar Go West kerajaan komunis China ketika itu telah
membawa masuk penduduk Han ke wilayah berkenaan dalam jumlah
yang besar.
Etnik Uighur dan Han ketika ini menempati jumlah penduduk yang
seimbang di kalangan 21 juta penduduk di Xinjiang.
Meskipun etnik Uighur merupakan masyarakat pribumi, namun dasardasar kerajaan China lebih mengutamakan etnik Han.
Penduduk Uighur dilayan seperti masyarakat kelas kedua dan terpinggir
daripada dasar-dasar pembangunan kerajaan China. Mereka juga tidak
bebas menggunakan dialek daerah Turki, melaksanakan ibadah agama
dan meneruskan budaya hidup sendiri.
Kerajaan China juga dibayangi ketakutan terhadap penduduk Uighur
kerana dikatakan terlibat dengan kumpulan pemberontak dan menyokong
gerakan pemisah.
Kerana krisis kepercayaan itu juga, China tidak mahu meletakkan
kekayaan gas dan hasil bumi di Xinjiang ke tangan orang Uighur. Wilayah
yang terletak kira-kira 4,000 kilometer dari Beijing itu kaya dengan
minyak, timah dan emas lebih-lebih lagi di lembah sungai Tarim.
Sikap prejudis terhadap penduduk Uighur itu juga menyebabkan wilayah
Xinjiang dikawal ketat. Komunikasi di wilayah ini dihadkan kerana
bimbang berlakunya penyebaran maklumat yang berbahaya.
Dasar ketat Beijing itu sebenarnya ada kaitan dengan kedudukan strategik
Xinjiang untuk China untuk ke Timur Tengah.

Kawasan tandus dan kering yang luas di Xianjiang juga menjadi tapak
bagi ujian percubaan nuklear dan latihan tentera.
Xianjiang juga merupakan wilayah pertahanan di sebelah Barat sewaktu
China mengekang ancaman tentera negara Kesatuan Soviet selama kirakira 40 tahun.
Bagaimanapun dasar yang keterlaluan itu telah menekan penduduk
Uighur. Dalam masa yang sama, ia turut memuncak rasa curiga terhadap
etnik Uighur di kalangan penduduk Han.
Sentimen itu tidak memerlukan sebab yang besar untuk mencetuskan
rusuhan etnik yang dahsyat.
Rusuhan yang membunuh kira-kira 180 orang di Urumqi baru-baru ini
misalnya, hanyalah berpunca daripada pertengkaran yang berlaku di
sebuah gudang kain.
Meskipun keadaan kini kembali tenang dengan kehadiran lebih ramai
anggota keselamatan, namun kejadian itu pastinya menimbulkan
implikasi yang berpanjangan.
Perkara yang sama turut mendapat perhatian Pensyarah Kanan di Jabatan
Sejarah, Universiti Malaya (UM), Dr. Suffian Mansor.
Menurut Suffian, konflik di Urumqi membabitkan isu yang lebih besar iaitu
soal integrasi nasional dan ekonomi.
Ia juga membabitkan soal masa depan serta pengembalian hak kepada
penduduk asal yang seolah-olah dipinggirkan daripada dasar-dasar
kerajaan China.
Dasar Go West kerajaan China telah menimbulkan kebimbangan di
kalangan etnik Uighur mengenai nasib dan masa depan mereka serta
wilayah mereka.
Isu ini tidak hanya tertumpu di Urumqi di mana tercetusnya tragedi
berdarah itu, tetapi lebih besar lagi iaitu di seluruh Xinjiang itu sendiri.
Dari sudut ekonominya, penduduk Uighur sangat jauh ketinggalan
berbanding etnik Han. Kadar kemiskinan di kalangan penduduk Uighur
juga lebih tinggi.
Majoriti penduduk Uighur yang miskin juga tidak mampu membayar yuran
persekolahan menyebabkan mereka semakin ketinggalan.
Etnik Uighur juga terpaksa bersaing dengan kaum Han untuk
mendapatkan pekerjaan. Malah, mereka berasa ditindas apabila golongan

cerdik pandai tidak mendapat layanan dan diberi tempat yang sewajarnya
dalam tingkat sosial di Xinjiang.
Dasar pembangunan di Xinjiang juga secara beransur-ansur menyaksikan
pembukaan tanah untuk industri dan perlombongan terutamanya minyak.
Ia banyak membabitkan tanah-tanah pertanian dan kawasan penternakan
milik penduduk Uighur yang majoritinya merupakan petani dan
penggembala.
Perkara inilah yang ditakuti penduduk Uighur kerana mereka tidak pasti di
manakah kedudukan mereka di dalam rancangan pembangunan itu.
Kerana itu juga, etnik Uighur melihat dasar Go West sebenarnya menindas
mereka dan hanya menguntungkan etnik Han.
Dalam membincangkan pendekatan yang boleh diambil bagi merungkai
kemelut itu, Suffian berkata, antara penyelesaian yang boleh diambil ialah
dengan memberikan status autonomi dalam erti kata yang sebenar
kepada wilayah itu.
Menurut beliau, Xinjiang pada dasarnya memang sudah diberikan status
autonomi. Wilayah itu merupakan wilayah istimewa bagi etnik Uighur.
Namun, status autonomi itu tidak jelas dan tidak diberikan sepenuhnya
memandangkan masih dikawal oleh kerajaan China.
Mereka juga tidak pernah menaruh harapan yang tinggi terhadap Gabenor
Xinjiang meskipun beliau dipilih daripada etnik Uighur.
Ini kerana kuasa yang lebih besar terletak di tangan Setiausaha Agung
Parti Komunis China wilayah iaitu Wang Lequan yang merupakan seorang
etnik Han.
Dalam erti kata yang lain, status autonomi dan keistimewaan yang
diberikan terhadap Xianjiang itu langsung tidak memanfaatkan penduduk
Uighur.
Sebaliknya dengan status autonomi yang jelas tambah Suffian, penduduk
Xinjiang boleh menentukan hala tuju wilayah mereka sendiri dan
membangunkan wilayah berkenaan seiring dengan wilayah China yang
lain.
Dalam masa yang sama, kerajaan China perlu lebih adil dalam merencana
pembangunan ekonomi di Xinjiang supaya dapat dimanfaatkan oleh
semua kaum.
Hak berbahasa dan beribadat yang dijamin oleh Beijing juga perlu
diberikan kepada penduduk Uighur.

Paling utama jelas Suffian, kerajaan China perlu membuang imej


pengganas dan memberi kepercayaan kepada pemimpin Uighur untuk
bersama-sama dalam kerancakan pembangunan negara itu.
''Isu di Xinjiang adalah berkaitan dengan isu-isu kepercayaan, keadilan,
pembelaan dan masa depan. Selagi isu-isu ini tidak diselesaikan dengan
baik masalah Xinjiang ini akan menjadi momokan kepada China sampai
bila-bila," ujar beliau.

Anda mungkin juga menyukai