Anda di halaman 1dari 3

Tahap bola sepak..

Perjalanan pasukan bola sepak Malaysia masih jauh. Inilah hakikatnya, bukanlah
kerana Malaysia tewas dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa
menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Manchester City, tetapi ia
berdasarkan kepada prestasi keseluruhan pasukan bola sepak Malaysia. Pasukan
senior 'Harimau Malaya' gagal dalam kelayakan Piala Dunia, sementara pasukan
junior negara bawah pimpinan Ong Kim Swee pula gagal dalam kelayakan
Olimpik dalam kelayakan Piala Remaja Asia di Myanmar baru-baru ini; manakala,
pasukan bola sepak remaja Malaysia (sekiranya masih wujud) mungkin sedang
'bertatih' menuntut pelbagai jenis ilmu dan skil bermain bola sepak. Antara
alasan yang selalu diberi apabila pasukan bola sepak Malaysia mencatat
kekalahan sama ada dalam perlawanan rasmi ataupun persahabatan ialah 'nasib
tidak menyebelahi kita', 'pasukan lawan lebih bernasib baik', dan kadang-kadang
perlawanan membabitkan pasukan Malaysia seringkali dianggap sebagai
'perlawanan pemanas badan' bertujuan menguji semua pemain dalam skuad
bola sepak tersebut sebelum menyertai sesuatu pertandingan antarabangsa.
Persoalannya, sampai bilakah kita mesti disajikan dengan semua alasan
sebegini?

Satu ketika dahulu, prestasi bola sepak Malaysia boleh dikatakan setanding
dengan pasukan seperti Korea Selatan, Jepun, China dan beberapa negara Arab
seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait. Tetapi hari ini, semua
pasukan tersebut sudah pun berjaya melayakkan diri ke kejohanan berprestij
seperti Piala Dunia, Piala Asia dan Sukan Olimpik. Malaysia sebaliknya masih lagi
ketinggalan dan terus berada di takuk lama. Apakah kita harus berasa bangga
dengan pencapaian pasukan bola sepak Malaysia pada hari ini yang dahulunya
pernah digeruni oleh banyak pasukan bola sepak di negara-negara Asia? Apakah
kita patut bangga dengan keupayaan untuk mengekang pasukan Arsenal dengan
jumlah jaringan satu gol kosong selama lebih 40 minit? Apakah kita boleh
berbangga dengan beberapa 'komen positif' oleh pengurus dan jurulatih asing
mengenai pemain Malaysia? Jika inilah yang kita agung-agungkan, tiada makna
lagi sukan bola sepak di Malaysia. Bola sepak Malaysia mesti berubah untuk
berjaya di peringkat antarabangsa. Perkara pertama yang mesti berubah dalam
hal ini adalah persepsi kita mengenai sukan bola sepak itu sendiri. Persepsi kita,
khasnya pihak pengurusan, pemain, serta mereka yang mempunyai kepentingan
sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sukan bola sepak tidak
pernah berubah.

Bola sepak di Malaysia selalu dianggap sebagai satu daripada aktiviti sukan
semata-mata yang dilakukan untuk menyihatkan badan. Sementara penglibatan
Malaysia dalam pertandingan bola sepak di peringkat antarabangsa serta
perkembangannya di peringkat nasional mahupun negeri atau daerah adalah
kerana ia telah menjadi satu budaya dan mengandungi elemen-elemen 'prestij'
yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia sebagai sebuah negara anggota FIFA. Di
sinilah silapnya. Bola sepak tidak seharusnya dianggap demikian. Ia bukannya
semata-mata satu aktiviti sukan malah ia lebih daripada itu. Bolasepak

sebenarnya adalah 'maruah negara'. Penglibatan negara-negara dunia dalam


banyak pertandingan bola sepak antarabangsa anjuran FIFA seperti Piala Dunia
dan Sukan Olimpik boleh diibaratkan sebagai 'peperangan' antara negara-negara
bagi merebut 'mahkota' sebagai 'juara dunia'. Oleh yang demikian, tidak
hairanlah apabila kita melihat negara-negara yang tersohor dalam sukan bola
sepak seperti Brazil, Argentina, England, Jerman dan Itali bermatian-matian
berjuang dalam banyak pertandingan antarabangsa.

Bola sepak juga boleh dilihat sebagai satu bentuk industri yang mampu menjana
bukan sahaja keuntungan dari segi nilai imej dan prestij, tetapi juga nilai material
dan ekonomi. Program bola sepak untuk satu jangka masa panjang boleh
menghasilkan pemain-pemain muda yang berkaliber yang boleh 'dieksport'
untuk bermain dengan kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia seperti
Manchester United, Real Madrid, Bayern Munich, dan lain-lain. Atau sekurangkurangnya berpeluang bermain dengan kelab-kelab bola sepak profesional yang
bertaburan di benua Eropah dan Amerika Latin. Selain daripada melatih bakatbakat baru, pasukan bola sepak khasnya yang berstatus kelab boleh menjana
sumber ekonomi menerusi promosi dan penjualan barang-barang merchandise
berkaitan dengan pasukan atau kelab tersebut kepada para peminat dan orang
ramai. Di negara-negara Barat, semua ini wujud dan berkembang dengan pesat
sekali. Bola sepak di negara-negara Barat adalah satu bentuk industri yang
berprestij dan mampu membawa pulangan yang lumayan. Ia bukannya sukan
untuk memanas badan semata-mata. Pemain bola sepak di negara-negara Barat
bermain untuk 'hidup'. Bagi mereka, bola sepak adalah satu bentuk 'kerjaya
profesional' yang mana sekiranya seseorang pemain itu bermain dengan
bersungguh-sungguh, 'hasil lumayan' pasti menanti mereka.

Demikianlah berbezanya persepsi sukan bola sepak antara Malaysia dan negaranegara Barat. Maka tidak hairanlah kenapa pasukan bola sepak mereka mampu
menyaingi dan menewaskan Malaysia walaupun terpaksa bermain dalam cuaca
panas. Pun begitu, masih belum terlewat bagi Malaysia mengorak langkah baru
ke hadapan bagi menghadapi persaingan bola sepak di peringkat serantau dan
antarabangsa. Malaysia perlu merangka satu strategi dan program jangka
panjang untuk membangunkan semula sukan bola sepak di negara ini. Pihak
pengurusan bola sepak di Malaysia mungkin boleh memperkenalkan satu idea
baru dalam konteks pembangunan bola sepak Malaysia iaitu menjadikan semua
pasukan dalam Liga Malaysia daripada berstatus negeri kepada status kelab.
Sementara kelab-kelab bola sepak tempatan ini berkembang, persatuan bola
sepak negeri pula boleh menjadi pentadbir sukan tersebut di negeri masingmasing sambil 'bernaung' di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia. Kelab-kelab
bola sepak tersebut pula boleh menubuhkan syarikat bagi mengurus semua
aktivitinya termasuklah penubuhan akademi bola sepak, kedai menjual
merchandise untuk kelab, jualan tiket dan mungkin juga memiliki stesen radio
atau televisyen sendiri untuk manfaat peminat dan penyokong.

Dalam hal ini, Jepun dan Korea Selatan boleh dijadikan contoh. Apabila liga-liga
bola sepak di Jepun dan Korea Selatan dirombak secara menyeluruh, ia menjadi

sebuah liga bola sepak yang benar-benar profesional sebagaimana di Barat.


Kelab-kelab bola sepak di Jepun dan Korea Selatan ditukar kepada nama-nama
yang unik dan komersial seperti Nagoya Grampus Eight, Yokohama Marinos,
Albirex Niigata, Suwon Bluewings, Pohang Steelers, dan bermacam-macam lagi
nama hebat. Seperkara lagi yang mesti diberi perhatian adalah aspek
pengurusan bola sepak negara dan juga di negeri-negeri. Berilah tugas
mengurus dan mentadbir sukan bola sepak ini kepada mereka yang 'ahli' dan
tidak harus 'dipolitikkan'. Pihak pengurusan bola sepak di Malaysia perlu kerap
'turun padang' ke segenap ceruk rantau di Malaysia untuk menjejaki dan
mengenal pasti bakat-bakat baru yang boleh digilap dan diketengahkan sebagai
'bintang bola sepak negara'. Bola sepak bukanlah sekadar sukan semata-mata,
ia lebih daripada itu. Bola sepak adalah industri dan maruah negara

Anda mungkin juga menyukai