Anda di halaman 1dari 10

Bayu Dingin Mediterranean

BERITA jam lapan sedang ke udara. Pandangannya ditumpukan ke skrin kaca.


Perhatian diberikan segenapnya. Menyorot inti utama berita. Berita yang
berlegar-legar dalam skop yang itu juga. Topik yang sentiasa menjadi
pertikaian. Tidak pernah berkesudahan.

Dia mengerutkan dahinya. Sesekali mendengus. Muak dengan


perkembangan yang disampaikan. Liputan sidang damai yang sedang
berlangsung di Tel Aviv di antara Yasser Arafat dan Perdana Menteri Israel
Benjamin Netanyahu. Pertemuan diplomasi yang sudah termakruf akan
natijahnya. Ucapan kedua-duanya juga diselang-selikan dengan sedutan
beberapa siri sidang damai yang telah lalu, yang tidak pernah mendatangkan
manfaat bagi Islam.

Melambat-lambatkan kebangkitan!

Remote-control ditekan. Televisyen padam serta merta. Tubuh yang


letih disandarkan ke sofa lembut. Matanya melilau mengitari ruang tamu. Di
depan ada almari. Di atasnya ada televisyen, piala, medal, bunga, dan susunan
buku. Sebuah

radio tua mengisi di sudut kanan. Di dinding, ada foto berbingkai. Gambar
Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Ziyad merenung kubah kuning keemasan yang
seakan-akan maya. Lama. Tidak semena-mena rindunya terhadap Quds tanah
airnya semacam melimpah.

“Jangan engkau kuatkan azam untuk mendatangi melainkan yang tiga ini:
Masjidil Haram, Masjidil Aqsa, dan Masjidku ini.”

Suara uzur bapanya menuturkan hadis itu memancing tumpuannya. Buku


yang sedang dibaca segera dikatup. Ziyad menghadapi bapanya. Memandang
wajah tua yang putih bersih.

“Bapa teringatkan Quds?” sapanya. Dia melihat mata lelaki itu


berkaca.Syeikh Mahfodz tersenyum.
“Aku sedih. Umat Islam sekarang tak dapat melakukan apa yang disabda
oleh Rasulullah SAW,” luahnya, bernada kesal.

Matanya yang agak terperosok ke dalam meneliti mashaf al-Quran yang lusuh.
Menghayati maknanya barangkali. Bapanya seorang ulama. Seorang tokoh
mujahid yang kehilangan tanah air dan telah dilupakan.

Ziyad terus memandang bapanya yang lumpuh. Menanti-nanti kalimat


yang bakal terluah. Dia tahu; bila bapanya berkeadaan begitu, ada sesuatu
yang ingin diberitahu. Mungkin tentang mimpinya yang semakin gharib
kebelakangan ini. Bapanya pernah bermimipi Perang Teluk akan terjadi. Dan
mimpi bapanya terbukti benar.

Syeikh Mahfodz mulai membaca ayat-ayat suci al-Quran. Matanya

terpejam. Dia hafiz. Ziyad hanya mendengar. Surah al-Isra', ayat satu hingga
lapan. Dibaca secara tartil. Sayu.

“Quds adalah kiblat asal kita sebelum diubah ke Kaabah.” Dia menutup
mashaf. “Masjidil Aqsa sudah sebati dengan jiwa aku. Aku membesar di situ.
Belajar di situ. Madrasah tarbiah yang telah membentuk sakhsiahku.”

Ziyad mengangguk. Dia tahu asal-usul meraka. Sejarah bapanya


menentang penjajahan Yahudi. Bapanya berasal dari Rafat di Tebing Barat.
Tetapi dibesarkan di pinggir Masjidil Aqsa. Sejak berhijrah ke Jordan,
bapanya tidak pulang-pulang ke Palestin. Kesemua ahli keluarganya terbunuh
dalam perang, kecuali dia dan adik lelakinya yang masih menetap di sana.

“Mengapa bapa? Ada yang tak kena?” Ziyad terus menyoal. Dia sedar
bapanya mahu mengungkapkan sesuatu.

Syeikh Mahfodz menatap wajah anaknya dalam-dalam. Kemudian


mengangkat tangannya. Ziyad merapati bapanya. Lantas memeluk lelaki itu.

“Aku mahu kau juga jadi seorang pejuang.”

Air mata bapanya membasahi bahu. Air mata seorang bekas pejuang
yang tua dan lumpuh. Dia mengerti bapanya amat kesal kerana menjadi
pelarian ke Jordan, sementara adiknya masih lagi berjihad. Keadaan waktu itu
yang mendesak, yang memaksanya lari ke Jordan. Mereka tiada senjata untuk
melawan. Sekadar membiarkan leher disembelih Yahudi tanpa sebarang
ikhtiar, bukan caranya.Sebab itulah yang membawa bapanya ke sini. Biarpun
telah beberapa dekad ia berlalu, namun semangat jihad itu masih seperti
dulu.

Bayu padang pasir yang berhembus menggoyangkan langsir. Ziyad


kembali dari imbauan lampau. Dia mengesat birai matanya yang sedikit basah.
Terngiang-ngiang pesan bapanya di gegendang. Hajat bapanya yang mahu dia
menjadi pejuang; menyambung sisa-sisa perjuangannya sewaktu muda dulu.

Dua minggu selepas peristiwa itu, bapanya meninggal setelah angin ahmarnya
menyerang lagi. Itu empat tahun yang lalu. Sekarang dia mahasiswa tahun
akhir Kuliyyah Siasah Universiti Yarmouk, Irbid. Pengajian politiknya akan
berakhir musim panas ini. Tetapi, akhir-akhir ini dia sering
terpanggil.Bayangan Masjidil Aqsa acapkali mengganggu tidurnya.
Kerinduannya terhadap bumi berkat itu semakin membara. Mungkin perlu dia
menziarahi Palestin buat kali pertama.

Thariq yang muncul dari dapur menghidupkan radio. Di tangan kanannya


sepinggan humus dan falafil. Tangan kirinya menatang teko dan roti. Habibi
Ya Nural Ain dendangan Amru Dhiyab sedang berkumandang. Keheningan
segera terisi. Ziyad menceber. Irama arab cukup dibenci. Faudho.

“Sudah berapa kali aku kata, usah ingat dia lagi. Nawwal tak sesuai
dengan kau. Dia Masihi.Pegangan kita jauh berbeza.” Thariq mengomel.

Ziyad menggeleng-geleng. Kesal dengan anggapan itu. Adiknya yang satu


ini memang sering menuduhnya menggilai Nawwal – gadis Kristian yang
menjadi rakan sekuliah.

“Apa kena kau ni? Aku dah lupakan dia,” tegasnya. Dia mencubit roti, lalu
dicecah dengan humus sebelum disuap ke mulut. Thariq mencapai majalah Al-
Mujtama'. Menatap sekali imbas ilustrasi muka depan. Kemudian menyelak
helaian demi helaian.

“Aku nak ke Quds cuti musim bunga ini.”

Thariq masih leka membaca. Telinganya gagal menangkap jelas apa yang
dituturkan. Ditambah suara Amru Dhiyab yang lantang.
“Aku akan ke Quds sebelum semester musim panas ini,” luah Ziyad sekali
lagi.

“Kau gila?” Mata Thariq terbeliak. “Engkau tu tinggal satu semester lagi.
Ingat sikit, sejak Netanyahu berkuasa, semangat anti-Arab semakin
berleluasa. Semua pelawat dari Jordan disyaki pengintip.” Al-Mujtama'
dicampak ke tepi. Dia tidak

setuju dengan keinginan abangnya. Niat itu suci, tetapi agak gila.

Ziyad tersenyum polos.

“Adik, barangkali kau dah lupa pesan bapa. Lagipun, Pakcik Ma'mun ada
di sana. Mereka juga keluarga kita kan.”

“Aku tau. Tapi kenapa kau terburu-buru? Kau ada satu semester saja
lagi. Ibu tentu tak setuju. Nahas kalau terjadi apa-apa.” Thariq memandang
tepat wajah abangnya. Meminta penjelasan.

Ziyad geleng. Hatinya sudah bulat untuk ke Baitul Maqdis awal Jun
nanti. Sudah lama dia memikirkan keinginannya yang satu ini. Semangatnya
untuk menyaksikan sendiri intifadhah muslimin Palestin meluap-luap. Kalau
ibunya tidak setuju, tahulah dia bagaimana mahu memujuk. Jus limau yang
masih berbaki diteguknya sekali.

“Untuk apa takut? Ajal maut di tangan Tuhan,” selanya seraya bingkas
dan melangkah ke kamar.

Thariq terkasima. Memandang roti, humus,dan falafil yang terbiar. Dia


bagai tidak percaya dengan apa yang didengar.

* * *

Makcik Sarah menghidangkan sepiring kinafah yang telah dipotong. Bibirnya


dari tadi sentiasa mengukir senyum. Gembira dengan kedatangan anak
saudaranya. Pakcik Ma'mun menghirup teh yang masih berasap. Aroma
herbanya menusuk hidung. Sementara Ziyad mengeluarkan buah tangan yang
dibawanya dari Jordan. Kiriman ibu.

“Jordan masih macam dulu, pakcik,” selanya. Hadiah bertukar tangan.


Makcik Sarah yang peramah tidak putus-putus mengucapkan terima kasih.
Ziyad senyum. Hatinya terharu, selebihnya bersyukur. Dia sendiri tidak
menyangka akan berada di rumah bapa saudaranya. Setelah berjam-jam
bersoal jawab di kedutaan, bahkan disoal siasat hampir sehari suntuk di
sempadan, dia akhirnya beroleh visa. Bebas untuk menginjaki tanah airnya.
Tidak ramai rakyat Jordan yang beruntung dapat masuk ke Palestin.

“Lama betul pakcik tak ke sana, sejak kematian arwah bapa kau. Cuma,
selalu juga ikut perkembangan di televisyen.”

“Sama saja, pakcik. Baik di Jordan, Lebanon, mahupun Palestin. Nasib


kita orang Islam tak pernah berubah. Ditindas, ditekan di mana-mana.”

Siaran televisyen Israel 2 ketika itu sedang menyiarkan pertemuan Raja

Hussein Jordan dengan Bill Clinton di Rumah Putih. Ziyad mencemik. Meluat
dengan lakonan Barat. Sandiwara mereka tidak pernah tamat. Macam-macam
muslihat yang dibuat.

“Tengok tu. Sidang damai tak pernah putus. Tapi, semuanya membuang masa.
Membuang duit.” Ada nada kesal dalam suara Ziyad. “Begitulah pemimpin kita
… kalau sudah dicucuk hidung.”

Pakcik Ma'mun mengangguk. Segalanya sudah termaklum. Pemimpin Arab

tidak pernah mahu bersatu. Saling bertelagah. Terlalu mengikut telunjuk


Barat. Sedangkan kezaliman Yahudi kian bermaharajalela. Rakyat jugalah
yang menjadi mangsa. Seinci demi seinci bumi mereka dirampas.

“Pakcik dah tak mampu nak aktif macam dulu. Selalu sangat uzur. Tak daya
lagi nak berintifadhah. Cuma tinggal Munzir saja harapan kami.”

“Emm … hampir terlupa saya. Ke mana dia?” Ingatannya cuba membayangkan


sepupunya itu. Sudah empat tahun tidak bertemu. Kali terakhir ketika
kematian bapanya. Mereka hampir sebaya. Pelajar Universiti Hebron itu
barangkali sudah bekerja.

“Dia keluar sejak pagi.” Pandangan Pakcik Ma'mun tertancap pada jam di
dinding.
“Selalunya dia dah pulang waktu begini.”

Ziyad menjamah kinafah buatan Nablus yang terbiar sejak tadi. Cukup
manis. Sekali-sekala matanya terpandang kelibat Sandora sepupunya yang
berulang-alik ke dapur. Gadis itu cukup menjaga aurat dan pergaulannya.
Gadis-gadis arab memang terpelihara. Tidak sewenang-wenang bercampur
dengan lelaki ajnabi.

Seketika, loceng berbunyi. Seorang lelaki muncul di pintu. Munzir yang


baru pulang masuk ke ruang tamu. Terkejut campur gembira melihat
kehadiran sepupunya. Ziyad bingkas. Mereka segera bersalaman, berpelukan.
Dan akhirnya sama-sama duduk di kusyen lusuh.

“Ke mana kau tadi?” tanya bapanya.

“Bayt Lehem. Ada pertemuan dengan pelajar. Dengar cerita, lusa ada rapat
umum di Hebron. Netanyahu dan pimpinan tertinggi Likud akan melawat
penempatan Yahudi di sana.”

Ziyad sekadar mendengar. Di hatinya terbetik rasa tidak sabar. Dia


mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin dari keluarga ini. Malah, dia
mahu merasai sendiri derita Palestin yang sekadar didengar sekian lama.

“Kau terlibat?” Dia memandang Munzir. Lelaki yang melilit serban merah
di leher itu memang bercirikan seorang mujahid. Dengan tarbus merah di
kepala; mirip Hassan al-Banna. Tampak berani dan cekal.

Angguk. “20 ribu penduduk asal Muslim diusir. 400 pendatang haram
Yahudi dari Amerika akan membuka penempatan baru di sana. Kami akan
berdemonstrasi.”

* * *

Selesai solat zuhur di Masjidil Aqsa, mereka meneruskan perjalanan ke


Hebron kira-kira 60 kilometer ke selatan Quds. Munzir di sebelahnya
sentiasa berzikir. Dua lagi rakan Munzir yang berada di depan hanya menyepi.
Ziyad banyak membuang pandangannya ke luar. Tembok Baitul Maqdis semakin
ditinggalkan di belakang. Di kiri kanan jalan, poster Netanyahu begitu banyak
tertampal di sana sini. Beberapa slogan Yahudi juga turut terpampang sekali.
„Tidak bermakna Israel tanpa Quds, tidak bermakna Quds tanpa
Haikal'.

Propaganda Yahudi itu menjengah ruang mata. Sempat dia membaca tulisan
besar di tepi jalan yang ditulis dalam bahasa Arab. Tadi, semasa tiba di
Masjidil Aqsa, dia ingin melihat sendiri pembinaan terowong Haikal Sulaiman
yang digembar-gemburkan. Tetapi, Munzir melarang. Telah ramai yang tidak
pulang katanya bila mendekati kawasan itu. Hati Ziyad berasa amat benci
dengan Yahudi. Perangai mereka pun tidak pernah berubah sejak dahulu.
Tamak. Suka menindas. Memang wajarlah mereka dilaknat di dalam al-Quran.

Mereka melewati Bayt Lehem sebelum terus ke selatan. Ziyad teringat cerita
bapanya. Saudara-maranya begitu ramai tinggal di bandar tempat kelahiran
Nabi Isa AS ini. Itu dulu. Tetapi sejurus terjadinya Perang Arab-Israel pada
1967, ramai yang maut. Ada juga yang menjadi pelarian ke Lebanon.

“Sebelum sampai di sana, perbetulkanlah niat kita. Sekiranya kita


ditakdirkan mati, biarlah sebagai syahid.” Munzir yang tadinya ralit berzikir
menuturkannya. Mulutnya masih terkumat-kamit. Di wajahnya tiada sebarang
kegentaran. Tenang. Ziyad mulai menghitung-hitung dirinya. Mentajdid
niatnya kembali. Tidak pernah dia bermimpi akan berada di sini. Merasai
detik-detik perjuangan. Alangkah baiknya, jika Thariq turut ada bersama.
Kendatipun dia bersyukur, adiknya sanggup menjaga ibu dan keluarga
sepemergiannya.

Perjalanan tidak terasa terlalu lama. Masing-masing asyik dalam zikir.


Sepuluh minit, dua puluh minit. Sebentar kemudian mereka tiba di sebuah
bandar. Di sebuah papan tanda tertera perkataan „Al-Khalil', atau Hebron
dalam bahasa Ibrani. Ziyad memandang sepupunya.

“Rapat umum itu bermula pukul berapa?”

“Dua.” Munzir menjawab sepatah. Bibirnya sentiasa basah. Zikirnya


semakin deras.

Ziyad mengelih jam. 1:45 petang. Kereta terus bergerak. Satu kilometer

kemudian kereta berhenti. Di luar, ratusan anak muda sudah menanti.


Lengkap bersepanduk. Rata-ratanya menutup muka dengan kain serban;
mengelak dicam pihak berkuasa. Laungan takbir berbaur suara manusia
menjadikan suasana agak bingit.

Ziyad sekadar melihat. Suasana begini terlalu asing baginya. Dia menuruti
sahaja langkah Munzir. Lelaki bertarbus itu begitu sibuk. Bergegas ke sana ke
mari. Bagai seorang ketua, setiap katanya akan dipatuhi. Dia begitu dihormati.
Munzir mencapai pembesar suara. Kemudiannya, berucap seketika. Sejurus
itu, mereka mula berarak perlahan-lahan menuju ke pusat bandar. Gema
takbir terus kedengaran. Mereka mahu berdemonstrasi secara aman. Tatkala
itu, matahari bersinar terik. Langit bersih membiru. Tiada sedikit pun awan
yang berarak. Angin gurun yang bertiup dari tenggara sesekali mencium pipi.
Panas.

Ziyad terkejut apabila bahunya dicuit orang. Munzir yang tadi berada di
barisan paling depan sudah berada di sebelahnya. Mereka kini berada di
tengah-tengah perarakan. Beberapa orang kanak-kanak masih lagi sempat
berkejaran di celah-celah ratusan manusia.

“Aku harap kau mendapat pengalaman yang paling berguna. Inilah perjuangan
kami,” tutur Munzir. Suaranya masih dapat didengar sekalipun takbir kian
kuat. Dia menyarung topeng kain ke muka. Tidak lagi bertarbus. Yang nampak,
hanya dua biji matanya.

“Aku tak pernah bermimpi bersama-sama kalian.” Ziyad melilit serbannya ke


paras hidung.

“Munzir, kau yang merancang semua ini?”

Lelaki itu mengangguk. Ziyad tidak terkejut. Dari tadi dia sudah menjangka,
lelaki inilah yang memimpin golongan pelajar dan belia. Pengatur setiap
ucapan, rusuhan, dan tunjuk perasaan selama ini. Dia berasa dirinya terlalu
kecil. Mereka berdua hampir sebaya. Tetapi sepupunya nyata jauh lebih
matang. Malah, sudah bergelar seorang pejuang!

“Jihad tidak semestinya dengan senjata. Yang penting, kerana Allah,” bisik
Munzir di telinganya sambil menguntum senyum.

Mereka semakin hampir dengan pusat bandar. Ziyad cuba-cuba menyusup ke


barisan hadapan. Tiba-tiba, terdengar bunyi tembakan. Perarakan terbantut.
Orang ramai mulai kelam-kabut. Masing-masing cuba menyelamatkan diri.
Ledakan rifel bersimpang siur. Beberapa kedai di sekitar itu dihujani peluru
sesat. Nun di depan, berderet-deret trak askar sedang menuju ke arah
mereka.

Munzir segera menarik tangannya. Mereka berundur ke belakang. Berlindung


di balik tembok sebuah kedai. Bom gas pemedih mata yang ditembak dari jauh
bersepah di jalan. Askar-askar rejim Zionis semakin dekat. Beberapa orang
pelajar yang tidak sempat melarikan diri ada yang rebah. Masing-masing
panik. Tidak menyangka perarakan akan disekat sebegini cepat. Biasanya
askar-askar Israel akan bertindak bila rakyat memberontak.

Namun para pelajar yang tadinya bertempiaran cuba bertindak balas. Mereka
melastik dan membaling batu. Beberapa pelajar yang rebah mula menjadi
mangsa. Dipukul tanpa belas kasihan. Beberapa orang lagi yang gagal
melarikan diri diheret masuk ke trak. Munzir sempat mengarahkan beberapa
orang melempar bom asap. Setidak-tidaknya akan mengabui lawan;
membolehkan mereka melepaskan diri. Tanpa dijangka, beberapa jip muncul
dari arah belakang. Masing-masing sudah kehilangan arah. Suasana menjadi
semakin kalut. Mereka terkepung!

Munzir menjerit mengarahkan mereka supaya menyelamatkan diri. Dia gusar


semakin ramai yang akan ditahan pihak berkuasa. Buruk padahnya. Mereka
terus bertempiaran. Menerobos lorong-lorong di sekitar itu. Letusan senjata
api di mana-mana. Jeritan dan tempikan mula kedengaran. Ada pelajar yang
telah kena tembak. Ramai juga yang cedera.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, Ziyad mengikuti derap sepupunya. Mereka


berlari sekuat hati. Nahas jika tertangkap. Ada jip askar yang mengikuti di
belakang.

“Kita kena khianat. Celaka. Ada orang bocorkan rahsia!” Munzir menyumpah-
nyumpah. Langsung tidak menyangka rancangannya memprotes pengusiran
penduduk asal Arab dikesan lebih awal. Tentu ada yang jadi tali barut.
Wajahnya membersut geram.

Mereka terus berlari. Ziyad mulai termengah-mengah. Lariannya tidak


sederas tadi. Masing-masing kehilangan nafas. Tidak semena-mena, Munzir
rebah. Mata Ziyad terbelalak melihat bahu sepupunya ditembusi peluru.
Darah panas memancut-mancut keluar. Dia memangku Munzir.
“Lari!” Suruh Munzir, lirih. Tubuhnya semakin lemah.

Ziyad menggeleng. Tidak tergamak meninggalkan Munzir keseorangan nazak


di situ. Dia cuba memapah sepupunya. Namun apabila dia bangkit, beberapa
orang lelaki bersenjata api sudah berada di sekelilingnya.

* * *

Irbid macam biasa. Malam kelam. Bulan agak terlindung. Namun tiada tanda-
tanda hujan akan turun. Musim panas baru hendak bermula. Thariq berdiri di
jendela kamarnya. Pandangannya dibuang ke luar. Telinganya menangkap
suara pembaca berita stesen radio di Amman. Setiausaha Negara Amerika
Syarikat dilaporkan akan menemui Benjamin Netanyahu di Tel Aviv untuk
membincangkan proses damai di Timur Tengah. Thariq tidak berminat untuk
terus mendengar. Semua itu pembohongan semata. Sidang damai tidak pernah
menguntungkan Islam. Israel dan Amerika Syarikat sama sahaja. Cuma
mereka yang masih tidak sedar.

Thariq mematikan radio. Nafasnya ditarik panjang-panjang. Sejak tadi, dia


tidak keruan. Surat yang baru diterima dari Sandora hampir renyuk di
tangan. Berita yang cukup menyedihkan. Dia tidak tahu bagaimana mahu
memberitahu ibunya. Atmanya sendiri hampir tidak terkawal. Sukar untuk
menerima kenyataan.

Bayu dingin dari Mediterranean terus berpuput. Sejuk. Thariq merapatkan


jendela. Detik itu, sebak mula menggempur di dada. Hatinya bagaikan
merusuh dan meronta-ronta. Turut sama terasa derita Palestin yang
kehilangan tanah airnya. Sedang dia pula baru kehilangan saudaranya. Nasib
mereka barangkali memang telah ditakdirkan; serupa.

Penulis : Zaid Akhtar

Anda mungkin juga menyukai