Anda di halaman 1dari 6

KERTAS CADANGAN

Program Kesedaran Kepentingan Membaca Di


Kalangan Murid Sekolah Rendah

DILAKSANAKAN OLEH :
Guru-Guru
SK Taman Impian Emas,
81300 Johor Bahru
(Di Bawah Program Khas Pemulihan)
KANDUNGAN :

PENGENALAN

OBJEKTIF

MATLAMAT

TEMPAT

TEMPOH

PELAKSANAAN AKTIVITI

ANGGARAN PERBELANJAAN

PENUTUP
1. PENGENALAN
Membaca adalah salah satu cabang ilmu pengetahuan. Dengan membaca, kita akan mengetahui
pelbagai maklumat berguna dan terkini. Bahan bacaan yang bersifat positif akan menjana minda ke
arah pembentukan fikiran yang lebih matang. Namun, dengan membelakangkan amalan ini atau
menganggap soal ini remeh akan menyebabkan wujudnya penipuan, ketidak-adilan dan sebagainya.
Justeru memupuk amalan ini di kalangan umum wajar dijadikan sebagai salah satu amalan harian
setiap orang.
Lihat sahaja di negara-negara maju seperti Jepun. Menurut satu kajian di negara tersebut,
rakyat di negara itu secara purata telah menghabiskan membaca sebuah buku dalam masa sehari. Hasil
daripada amalan tersebut, mereka berjaya menghasilkan teknologi bertaraf dunia dan menghasilkan
produk ekonomi yang bermutu nilainya.
Berdasarkan pemerhatian saya sebagai guru Pemulihan Khas terhadap amalan ini di kalangan
murid-murid di Sekolah Kebangsaan Taman Impian Emas sepanjang tempoh Januari 2004 hingga
April 2005 adalah amat mendukacitakan. Hanya 10% daripada murid-murid di sekolah ini yang kini
mencecah angka 667 orang memupuk amalan membaca dalam diri masing-masing. Selebihnya di
dapati lebih banyak menghabiskan masa yang ada dengan pelbagai aktiviti yang tidak mendatangkan
‘keuntungan’ terhadap diri sendiri. Saya juga dapati, sebahagian besar daripada kelompok ini tidak
tahu akan peranan mereka sebagai murid di sekolah ini. Bagi mereka, sekolah adalah tempat untuk
‘berseronok’ bersama kawan-kawan dan akan belajar hanya apabila guru ada di dalam kelas sahaja.
Inilah sikap sebahagian besar kelompok murid di sekolah ini yang menyumbang kepada
masalah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hilangnya budaya mementingkan ilmu
pengetahuan menjadi punca runtuhnya disiplin yang cuba diterapkan di dalam diri murid. Atas
kesedaran ingin mengubah persepsi murid ke arah yang lebih positif, saya telah merangka satu
program bahasa bagi memupuk budaya membaca, mencintai dan menyedari kepentingan ilmu
pengetahuan di kalangan murid.

2. MATLAMAT
Realisasi daripada program ini diharap akan dapat mengurangkan jumlah murid yang tidak tahu
membaca, mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah, menambah kosa kata dan mendorong murid
menggunakan istilah-istilah bahasa yang mempunyai nilai murni dalam kehidupan seharian
berdasarkan bahan bacaan. Selain itu, murid akan dapat menghayati dan memahami isi kandungan
bahan bacaan yang dibaca dan mengaplikasi kemahiran berbahasa dalam pelbagai situasi.
3. OBJEKTIF

Program ini dibentuk atas kesedaran berikut :


 Melahirkan murid sekolah yang berilmu pengetahuan.
 Mengurangkan jumlah murid yang tidak tahu membaca (celik huruf).
 Mengisi masa lapang murid dengan aktiviti yang berfaedah.
 Memberi input dan maklumat terkini melalui saluran yang betul.
 Menjadikan kawasan persekitaran sekolah sebagai sumber ilmu.
 Melahirkan murid sekolah yang kaya dengan kosa kata dan mantap dari aspek bahasa.
 Menjana idea kreatif dan kritis secara tidak langsung.
 Mengukuhkan pemahaman melalui penghayatan membaca.
 Menjadikan aktiviti membaca sebagai amalan setiap murid tidak kira di mana jua mereka
berada.
.
4. TEMPAT DAN MASA

Dataran Kejat, SK Taman Impian Emas.


7.00 pagi hingga 7.20 pagi (setiap hari persekolahan)

5. TEMPOH
Bagi mengelakkan jumlah murid yang tidak tahu membaca dan banyak membuang masa meningkat,
eloklah sekiranya program ini dimulakan segera dan dijadikan program wajib sepanjang tempoh
tahun semasa.

6. PELAKSANAAN AKTIVITI
Setiap pagi, guru akan dapati murid tiba seawal jam 7.00. Malah, ada juga murid yang datang ke
sekolah lebih awal daripada itu. Pada kebiasannya, selepas murid tiba, mereka akan meletakkan beg di
dalam kelas dan mula mengatur strategi untuk membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah
seperti bermain sejenis permainan yang akan menyebabkan baju yang bersih menjadi kotor dengan
kesan-kesan peluh, debu-debu tanah dan sebagainya.
Justeru, saya mencadangkan supaya pada setiap pagi :
 selepas sahaja selesai murid cap jari untuk kehadiran, mereka perlu berada di tapak
perhimpunan dalam barisan kelas masing-masing bersama sebarang bahan bacaan. Setiap
murid dikehendaki membaca dan memahami sebarang bahan bacaan dalam tempoh 20 minit
pada setiap pagi setiap hari bersekolah.
 Untuk menjadikan program ini lebih menarik, setiap guru kelas dikehendaki menyediakan
sebuah bakul bagi menampung sejumlah bahan bacaan untuk setiap murid kelas masing-
masing dan disimpan di dalam bilik guru.
 Guru kelas boleh menetapkan sama ada ketua atau penolong ketua darjah untuk mengambil
bakul yang mengandungi bahan bacaan ini daripada guru kelas masing-masing pada setiap
pagi. Bahan bacaan ini tadi kemudiannya akan di bawa turun ke tapak perhimpunan untuk
dibaca oleh murid kelas yang berkenaan.
 Guru Bertugas Mingguan(GBM) pula dikehendaki memastikan pelaksanaan aktiviti ini pada
setiap pagi. GBM yang menjadi pengacara majlis pada hari berkenaan dikehendaki memilih
lima orang murid secara rawak untuk memperdengarkan bahan bacaan mereka kepada semua
murid. Tujuan murid ini dipanggil bagi memastikan mereka mengikuti program ini dan
menjadi pengukur kepada semua guru terhadap keupayaan murid. Adakah murid mengikuti
program yang dilaksanakan oleh guru? Adakah murid benar-benar faham akan bahan bacaan
yang dibaca?
 Bagi merealisasikan program ini, pihak sekolah wajar menjadikan program ini sebagai
program yang wajib di sekolah. Dengan berbekalkan pengalaman selama dua tahun di sekolah
ini, saya percaya pihak pentadbir sedia maklum akan sikap segelintir murid sekolah yang akan
menjadi ‘dalang’ kepada program yang bakal dilaksanakan ini. Sehubungan dengan itu, saya
berharap agar pihak sekolah dapat bertegas dengan program ini dan mungkin akan
mengenakan satu bentuk denda yang difikirkan sesuai terhadap murid yang mengingkari
pelaksanaan program ini.
7. ANGGARAN PERBELANJAAN

Bil Item Kuantiti Kos Seunit Jumlah


1 Bakul/Raga untuk guru 1 kelas = 1 bakul RM RM
kelas (untuk memuatkan
bahan bacaan bagi setiap
murid)
2 Bahan bacaan pelbagai 1 kelas = 30 orang murid RM RM
variasi. 30 orang murid = 30 buah
bahan bacaan.
3 JUMLAH BESAR RM

8. PENUTUP

Diharapkan agar program ini akan mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak dan seterusnya
mendatangkan manfaat kepada pembangunan akademik di sekolah ini.
Saya juga berharap dengan pelaksanaan aktiviti ini secara menyeluruh dan tegas, sasaran untuk
melahirkan setiap murid 100% celik ilmu akan tercapai dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Disediakan Oleh : Tarikh :


…………………………. …………………..
(NORHAIDI BIN SARPONEN)
Penyelaras,
Program Pemulihan Khas,
SK Taman Impian Emas,
81300 Johor Bahru.

Disahkan Oleh : Tarikh :


…………………………… ………………….

Anda mungkin juga menyukai