Anda di halaman 1dari 8

Menghadapai Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah mereka yang mempunyai masalah


neurologikal hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan,
penulisan, berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik.

Tidak semua kanak-kanak dapat menerima dan menguasai pembelajaran seperti


yang diharap dan dirancang. Terdapat beberapa golongan kanak-kanak yang tidak
bernasib baik sehingga menghalang proses-proses pembelajaran berlaku dengan
baik dan cemerlang. Antara golongan itu adalah kanak-kanak bermasalah
pembelajaran. Siapakah Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran? Kanak-kanak
bermasalah pembelajaran adalah mereka yang mempunyai masalah neurologikal
hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan, penulisan,
berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik. Mereka tidak mempunyai
kebolehan bagi mengikuti pelajaran secara formal seperti pelajar lain. Justeru,
mereka tidak mempunyai kebolehan untuk maju secara normal di sekolah. Prestasi
mereka menunjukkan mereka tidak ada kebolehan bergerak secara normal dalam
kerja-kerja sekolah. Mereka tidak dapat membuatu kerja-kerja kelas yang sesuai
dengan umur mereka. Jika dibandingkan dengan dengan murid lain dalam
lingkungan umur yang sama, mereka menunjukkan kelemahan yang nyata dalam
pelajaran. Mereka biasanya tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh guru
yang menggunakan kaedah dan prosedur pengajaran yang biasa disebabkan jangka
penumpuan yang pendek, kurang kebolehan memindahkan perkara-perkara yang
dipelajari. Mereka juga memerlukan lebih dorongan dan benda-benda yang nyata
ketika belajar. Kebanyakan mereka dikenal pasti mengalami masalah pembelajaran
semenjak tahun pertama persekolahan. Terdapat dua petunjuk utama masalah
pembelajaran. Pertama, walaupun pelajar berupaya belajar, kadar pembelajaran
mereka sangat perlahan. Ini disebabkan tahap perkembangan menyerupai kanak-
kanak yang lebih muda. Contohnya, tahun dua hanya permulaan belajar abjad,
membilang dan menulis namanya sendiri. Kedua, kebanyakan perkembangan
ditunda. Mereka gagal setanding dengan mereka yang membangun dalam
intelektual dan bahasa, pencapaian akademik, kecekapan sosial dan kemahiran
persediaan vokasional. Walaupun kadar pembelajarannya perlahan, mereka boleh
memperoleh pelbagai aktiviti di dalam kelas. Walau bagaimanapun, sebahagian
pembelajaran mereka sukar dipelajari. Contohnya kemahiran pemahaman
pembacaan adalah lebih sukar berbanding pembacaan biasa. Maksudnya, pelajar
kurang berjaya menyelesaikan masalah matematik berbanding pengiraan
matematik. Jelaslah pelajar ini sukar memohon kemahiran pembelajaran apabila
berhadapan dengan situasi baru. Punca Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran
Pada peringkat awal sudah disebut kanak-kanak yang mengalami masalah
pembelajaran adalah mereka yang mengalami masalah neurologi terutama otak.
Otak secara umumnya terdiri daripada dua bahagian iaitu: Bahagian atas yang
disebut cortex Bahagian bawah yang disebut medulla dan sekitarnya. Otak atas
yang terdapat pada manusia bersifat adalah dinamis dan potensinya dapat
dikembangkan seluas-luasnya. Otak bawah yang terdapat dalam spesies tinggi dan
juga spesies rendah seperti kucing, monyet dan sebagainya adalah bersifat statik.
Otak bawah memiliki fungsi-fungsi dasar seperti berikut: Medula berfungsi
mengendalikan pernafasan, pencernaan, detik jantung dan penelaan. Serebelum
berfungsi mengkoordinasi pelbagai gerakan organ jasmani dan refleks. Talamus
berfungsi sebagai penyambung maklumat yang diperoleh oleh deria melalui sub-
sub bahagian otak bawah ke otak atas atau cortex. Hipotalamus berfungsi
mengatur ekspresi yang berasal daripada dorongan-dorongan dasar seperti
dorongan rasa lapar dan seksual. Selanjutnya, memori terdiri daripada dua jenis
iaitu: Memori semantik iaitu memori khusus yang menyimpan pengertian
maklumat. Memori episodik iaitu memori khusus yang menyimpan maklumat
peristiwa. Dalam memori semantik, maklumat yang diterima ditransformasikan dan
diberi kod makna, lalu disimpan. Maklumat yang disimpan tidak dalam bentuk asal,
tetapi dalam bentuk kod yang bermakna. Pelajar yang memiliki maklumat hasil
proses semantik seperti itu dapat mempertahan dan menggunakannya dalam
waktu yang lebih lama dan dalam situasi yang lebih kompleks. Sesuai dengan
namanya, memori semantik berfungsi menyimpan konsep-konsep yang signifikan
dan bertalian antara satu dengan yang lain. Apabila Adam berkata, “Saya tahu
bangau adalah burung dan memiliki sayap”. Dalam kenyataan deklaratif ini, bangau
adalah superordinat bagi burung-burung lain seperti kenari, merak dan lain-lain.
Sayap adalah ciri-ciri bagi burung-burung pada umumnya. Maklumat yang
terungkap dalam burung dan sayap, selanjutnya dapat diperlakukan oleh memori
Adam bagi menjelaskan erti konsep burung yang lain yang memiliki superordinat
dan ciri-ciri serupa dengan bangau. Oleh yang demikian, butir-butir maklumat yang
tersimpan dalam memori semantik bersifat dinamis dan dapat diolah serta
diaplikasikan oleh akal Adam bagi memahami fenomena lain yang relevan dengan
butir-butir maklumat itu. Memori episodik adalah memori yang menerima dan
menyimpan peristiwa-peristiwa yang terjadi ataupun dialami pelajar pada waktu
dan tempat tertentu yang berfungsi sebagai referensi autobiografi. Apa yang kamu
makan pagi tadi, ke mana kamu pergi semalam, dan peristiwa yang kamu alami
pada hari pertama di darjah satu dan sebagainya adalah contoh-contoh maklumat
yang tersimpan dalam memori episodik. Walaupun penyebab lupa itu pelbagai,
namun yang penting yang perlu diperhatikan adalah faktor pertama di atas yang
merangkumi gangguan proaktif dan retroaktif kerana ia sudah dibuktikan melalui
penyelidikan. Di samping itu, ciri-ciri mereka adalah seperti berikut: Lemah dalam
penguasaan membaca, menulis dan mengira atau 3M. Keliru dengan nombor ‘13
dan 31’, menulis ‘p sebagai q’ dan tidak dapat mengingat turutan angka ataupun
huruf. Penguasaan yang lemah dalam sesuatu kemahiran kognitif jika dibandingkan
dengan rakan sebaya. Sukar mengikut arahan. Lemah dalam keseluruhan pelajaran.
Mempunyai darjah kecerdasan antara 70 hingga 90. Selalu gagal dalam latihan dan
ujian. Memerlukan jangka masa yang lama bagi menguasai sesuatu kemahiran.
Lemah dalam perkara-perkara yang abstrak. Mengulangi sesuatu aktiviti beberapa
kali tanpa berhenti. Keliru dengan hari seperti ‘hari ini’ disebut sebagai ‘esok’ dan
sebaliknya. Menunjukkan kesukaran dengan koordinasi motor kasar ataupun halus.
Lemah dalam menerima konsep yang baru. Tidak dapat menghubungkaitkan
konsep yang baru dengan yang lama. Lambat mengingat semula. Tidak dapat
menganalisis. Tidak dapat menyelesaikan masalah. Lemah dalam mengutarakan
idea. Mudah terganggu. Rendah diri. Gangguan emosi. Pemalu. Penakut. Tidak ada
motivasi. Tidak menunjukkan reaksi apabila tiba-tiba bunyi bising kedengaran
seperti tepukan tangan ataupun pintu ditutup dengan kuat ataupun mengelipkan
mata ataupun membuka matanya dengan luas bagi mencari arah bunyi itu. Tidak
memerhati bunyi-bunyian seperti bunyi motosikal dan sebagainya. Tidak
menunjukkan respons apabila namanya dipanggil. Tidak dapat membezakan bunyi-
bunyi. Tidak dapat mengingati apa yang didengar. Selalu menyebut “Saya tak
peduli” ataupun “Saya tak mahu.” Tidak dapat memahami perhubungan dan
konsep berdasarkan maklumat yang didengar. Tidak dapat membezakan bunyi-
bunyian yang penting daripada beberapa bunyi-bunyian latar belakang. Tidak dapat
melihat perbezaan dan persamaan saiz, bentuk, warna dan kedudukan. Sukar
mengingati semula apa yang dilihat. Punca Kecacatan Kecacatan pada kanak-kanak
dikenal pasti berlaku disebabkan oleh perkara-perkara berikut: Baka Apabila
dikaitkan dengan baka, ia bermula daripada hubungan seksual suami dan isteri.
Umumnya suami menghasilkan sperma dalam 23 pasangan kromosom. Begitu juga
dengan isteri menghasilkan telur dalam 23 pasangan kromosom. Ia berlaku dalam 2
jenis pewarisan. Pertama, ibu bapa mempunyai kecacatan dan diwarisi oleh anak.
Kedua, ibu bapa tidak cacat tetapi anak cacat. Setiap pasangan kromosom yang
wujud dalam pasangan itu menghasilkan empat percantuman apabila berlaku
persenyawaan. Dalam keadaan inilah anak mungkin mewarisi sifat cacat.
Ketidakseimbangan kromosom yang pertama iaitu ‘autosomal dominant’, di mana
pewarisan baka ini diwarisi oleh anak. Contohnya jika salah seorang daripada ibu
dan bapanya mempunyai baka cacat maka peluang mendapat anak bermasalah
pembelajaran serta kecacatan yang lain adalah 50% pada setiap kali kandungan.
Pewarisan kedua, ‘autosomal excessive’ iaitu kedua ibu bapa pembawa cacat. Jika
salah seorang saja pembawa baka cacat, maka anak yang dilahirkan tidak cacat
cuma masih sebagai pembawa baka cacat. Bagaimanapun, bagi pasangan yang
normal tetapi kedua-duanya pembawa baka cacat kemungkinan anak cacat tetap
ada kerana kedua-dua ibu bapanya adalah pembawa baka cacat. Peratus mendapat
anak cacat adalah 25%, 50% menjadi pembawa manakala 25% lagi mungkin
normal. Keadaan ini berlaku setiap kali kandungan. Contohnya daripada tiga
kandungan mungkin dua anaknya dilahirkan normal kerana penerimaan baka
normal. Oleh itu, sebahagian ibu bapa yang normal juga mempunyai anak cacat.
Pengambilan ubat Biasanya wanita hamil mengambil ubat sama ada bagi
meneruskan rawatan penyakit yang dialaminya sejak sebelum hamil ataupun
meredakan sebarang gejala yang berlaku akibat kehamilan. Kesan ubat-ubatan ke
atas janin tidak diketahui dengan jelas. Walau bagaimanapun, segala pendedahan
kepada bahan asing dapat memberi kesan pada janin terutama pada peringkat 1
sehingga 3 bulan kandungan. Risiko kecacatan pada peringkat 4 sehingga 9 bulan
adalah kurang berbanding pengambilan ubat sewaktu trimester pertama, namun
ubat-ubatan masih dapat mengganggu perkembangan normal otak, jantung dan
organ-organ lain. Masalah timbul apabila anak dilahirkan. Pada peringkat ini ubat
yang terkandung di dalam badan bayi perlu disingkirkan daripada badan melalui
proses metabolisme ubat yang berlaku di hati ataupun penyingkiran melalui buah
pinggang. Organ-organ ini masih lagi belum matang dan anak itu mempunyai risiko
yang tinggi akibat bahan kimia ubat yang digunakan. Wanita-wanita hamil juga
memerlukan vitamin dan zat galian tambahan. Walau bagaimanapun, sebelum itu
pemeriksaan teliti perlu dilakukan. Ini disebabkan terdapat vitamin jenis larut lemak
seperti vitamin A, D, E dan K dapat berkumpul di dalam badan dan mengakibatkan
kesan buruk ke atas bayi yang dikandung. Wanita hamil tidak disarankan
mengambil multivitamin ataupun multi-galian tanpa mendapat nasihat doktor
ataupun ahli farmasi. Lagipun, pemakanan yang seimbang berupaya memenuhi ke-
perluan vitamin dan zat galian ibu. Penggunaan Aspirin ketika hamil harus dielakkan
walaupun pada fasa ketiga kehamilan. Aspirin yang diambil pada dos tinggi
dikaitkan dengan kelahiran bayi yang kurang berat badan dan juga mati ketika
dalam kandungan. Penggunaan aspirin semasa trimester ketiga dikaitkan dengan
pendarahan yang berlebihan semasa melahirkan anak. Lagipun, aspirin dapat
mengganggu pernafasan dan fungsi jantung anak yang baru lahir. Kopi, teh, coklat
dan beberapa minuman perasa kola mengan-dungi kafein. Kopi mempunyai
kandungan kafein yang tinggi dibandingkan dengan minuman lain. Walau pun tidak
terdapat sebarang bukti dan kaitan mengenai kesan minuman kopi dengan
kecacatan janin manusia, namun ia memberi kesan pada janin haiwan.
Mengurangkan meminum kopi kepada hanya empat cawan kopi sehari sahaja iaitu
kurang daripada 600mg kafein adalah dibenarkan. Bahan-bahan semburan seperti
insektisid ataupun dalam bentuk gas, khususnya mereka yang bekerja di tempat di
mana terdapat banyak gas seperti di kilang dapat menyebabkan kecacatan bayi.
Bahan-bahan pengawet makanan juga dikenal pasti dapat memberi kesan yang
sama. Sesetengah daripada bahan-bahan pengawet makanan ini mempunyai kesan
tidak baik pada pembentukan jasad bayi di peringkat awal. Oleh itu, wanita yang
sedang hamil di peringkat awal digalakkan memakan makanan yang segar yang
tidak mengandungi bahan pengawet. Sinar-X Sama ada kita sedar ataupun tidak,
tubuh kita sering terdedah kepada radiasi daripada matahari, batu, pasir dan
sebagainya. Amat menakutkan jika kita terdedah dengan dos radiasi yang tinggi
dan dos ini membahayakan janin sebelum dilahirkan. Pendedahan kepada radiasi
yang berlebihan sememangnya mem-bahayakan. Begitu juga dengan dos radiasi
yang sedikit tetapi pendedahannya berlarutan, juga membahayakan. Sinar-X yang
dianggap sebagai kaedah terpenting perubatan adalah bahaya kepada janin
sebelum dilahirkan. Sekiranya seseorang ibu yang mengandung hendak melakukan
Ujian Sinar-X terutama Sinar-X yang kuat bagi mengesan penyakit di dalam perut,
penyakit buah pinggang dan sebagainya, mereka hendaklah berbincang terlebih
dahulu dengan doktor pakar Sinar-X. Tarikh haid yang terakhir harus diberitahu
kepada doktor. Ini kerana persenyawaan benih biasanya berlaku di pertengahan
pusingan haid, iaitu pada hari yang ke-14 selepas hari pertama haid. Jika Sinar X
dilakukan selepas hari ke-14 dan ditakdirkan kandungan berlaku, ada kemungkinan
janin terdedah kepada pancaran Sinar X dan ia dapat mencacatkan bayi.
Menghalakan Sinar–X jauh daripada bahagian pelvis juga adalah langkah-langkah
yang wajar dilakukan. Bahagian pelvis tidak sepatutnya didedahkan kepada Sinar-X
walau sedikit sekalipun. Kajian menunjukkan ibu yang terdedah kepada radiasi
semasa hamil adalah dua kali ganda berkemungkinan mempunyai anak yang
menghidap leukemia. Jangkitan kuman Kuman yang menjangkiti wanita dalam
peringkat awal kandungan dapat menimbulkan kecacatan. Masa tiga bulan pertama
adalah masa yang terpenting pembentukan jasad dan anggota bayi. Jika terdapat
unsur-unsur luar yang dapat mengganggu proses pertumbuhan janin maka
kecacatan mungkin timbul. Secara amnya, penyakit berjangkit adalah disebabkan
oleh pelbagai organisma halus seperti bakteria, protozoa dan virus. Berbagai-bagai
jenis organisma ini berada di sekeliling kita sama ada siang ataupun malam.
Organisma ini membiak dan membawa bersama penyakit. Bakteria ialah organisma
yang dapat hidup di mana-mana. Kuman inilah yang menyebabkan batuk kering,
jangkitan streptococcus dan staphylococcus, demam skarlet atau demam merah,
demam kepialu, sifilis, gonorea dan apendisitis. Protozoa juga sel organisma yang
dapat menyebabkan penyakit pada tubuh manusia. Penyakit yang bahaya adalah
seperti malaria dan toxoplasmosis. Virus pula berbeza daripada bakteria. Ia
memerlukan tisu hidup untuk membiak. Virus menyebabkan penyakit dengan
memasuki sel dan apabila terlekat pada sel, ia menyebabkan gangguan. Antara
penyakit yang dikaitkan virus ini adalah campak, beguk dan rubela. Kuman sifilis
amat membahayakan bayi. Kuman sifilis boleh aktif dalam darah tanpa
menimbulkan tanda pada badan. Apabila seseorang wanita mengandung, maka
kuman sifilis dalam darah dapat menjangkiti janin dan merosakkannya
menyebabkan janin itu gugur ataupun mati dalam kandungan ataupun lahir cacat.
Pemakanan Kekurangan makanan yang sangat teruk sehingga menyebabkan
kebuluran dapat menjejaskan pertumbuhan bayi. Ibu hamil mungkin rasa sihat dan
kelihatan sihat tetapi jika pemakanannya berkurangan sedangkan kandungan
sedang membesar, janin tetap mengalami masalah kekurangan zat protein. Satu-
satunya khidmat ibu yang hamil untuk anak di dalam kandungan adalah
menyediakan pemakanan yang baik. Dadah dan arak Walaupun penagihan dadah di
kalangan ibu jarang berlaku namun jika ini berlaku di kalangan wanita yang sedang
hamil dan dadah yang digunakan berbahaya seperti morfin, kokain dan sebagainya,
ada kemungkinan perkembangan janin boleh terganggu dan salah satu daripada
masalah adalah kecacatan janin. Tabiat merokok juga dapat menyebabkan
kecacatan bayi. Asap tembakau yang mengandungi nikotina menyerap ke dalam
darah ibu melalui mukus membran di dalam mulut dan tekak dan juga paru-paru. Di
samping itu terdapat juga nikotina daripada asap tembakau bertindak pada sel-sel
saraf dan pusat pernafasan. Walaupun tidak ada laporan yang menunjukkan
nikotina yang terkandung dalam rokok ataupun alkohol dalam arak dapat
menyebabkan kecacatan, tetapi ia dapat mengganggu kehamilan serta menjejaskan
perkem-bangan bayi dalam bentuk yang berlainan. Nikotina kemungkinan dapat
menyebabkan kerencatan pertumbuhan ataupun gangguan pertumbuhan otak bayi.
Cubaan menggugurkan anak Amalan menggugurkan kandungan sangat meluas
berlaku. Ada kalanya ibu berkenaan menggunakan pelbagai cara antara dengan
memakan tapai, nanas muda, jamu, akar-akar kayu, ubat singse dan seterusnya
memakan pil hormon daripada doktor ataupun men-dapat suntikan daripada doktor.
Ini kerana mereka percaya cara-cara itu dapat memaksa haid keluar ataupun
menggugurkan kandungan. Ramai juga yang gagal memaksa haidnya keluar dan
kehamilan berkembang terus tanpa disedari. Percubaan itu mungkin merosakkan
pertumbuhan janin serta menyebabkan kecacatan pada anggota janin ataupun
lainnya. Perbuatan seperti ini adalah dianggap sebagai penganiayaan pada janin.
Tindakan menggugurkan bayi adalah salah baik di sisi undang-undang mahupun
agama. Bagi mereka yang belum bersedia ataupun tidak mahu mengandung, lebih
baik menggunakan cara dan kaedah merancang keluarga daripada menyeksa
ataupun menganiaya janin. Umur ibu Ibu yang berusia 35 tahun ke atas
berkemungkinan mempunyai kesihatan yang kurang baik dan mula menunjukkan
tanda-tanda kesihatan yang dikhuatiri. Walau bagaimanapun, mereka boleh
mengandung dan tidak perlu bimbang masalah yang berkaitan dengan kehamilan
ataupun kemungkinan kecacatan bayi dengan syarat mereka berada di bawah
jagaan doktor pakar. Kejadian bayi cacat, Sindrom Down misalnya hanya meningkat
selepas ibu itu berumur 45 tahun di mana kadarnya lebih kurang satu ataupun dua
dalam 100 kelahiran. Bagi ibu yang berumur 40 tahun ke atas, risiko melahirkan
bayi Sindrom Down adalah satu dalam 200 kelahiran. Tegasnya, kadar bayi cacat,
khususnya bayi Sindrom Down di kalangan ibu-ibu yang berumur 40 tahun ke atas
tidak begitu menggemparkan. Walau bagaimanapun, sebaiknya ibu-ibu yang ingin
melahirkan anak pada umur itu, perlu menjalani ujian biopsi korion dan seterusnya
analisis kromosom ketika umur kandungan dua bulan, bagi mengesan kecacatan
Sindrom Down. Umur yang paling sesuai untuk mengandung adalah pada usia 23
hingga 29 tahun. Mereka mempunyai peluang yang lebih besar memiliki anak sihat
dan normal. Ibu yang berumur antara 17 hingga 23 tahun dikhuatiri akan
mengalami anak lahir prematur ataupun mati dalam kandungan, ataupun
pertumbuhannya tidak sempurna. Ini kerana sistem pembiakan mereka belum
matang iaitu masih di peringkat nubility iaitu masa apabila telur mula dikeluarkan
dari kilang dan bersedia disenyawakan. Pada masa ini sistem hormon endokrin
bekerja keras melengkapkan semua fungsi organ. Di akhir peringkat ini, barulah
kilang pituitari mengeluarkan hormon yang digelar prolaktin. Hormon ini
menyebabkan ovari mengeluarkan hormon progesterone yang menyediakan rahim
untuk kehamilan. Apabila ini berlaku, sistem pembiakan sudah matang. Kekurangan
oksigen Bayi dalam kandungan mendapatkan oksigen melalui uri. Melalui uri ini,
oksigen masuk ke tubuh bayi melalui pusatnya. Oksigen ini dibawa ke jantung dan
dari sana ia dipamkan ke seluruh tubuh, ke tisu yang sedang bercambah dan
terbina bagi membolehkan percambahan terus berlaku. Dengan oksigen yang
mencukupi dalam aliran darah bayi yang dikandung, anak itu membesar mengikut
ketetapan tertentu. Kesan kekurangan oksigen atau anoxia yang paling serius
kepada anak adalah kerosakan otak. Sebarang kerosakan otak adalah serius, kerana
ia berlaku dengan cepat dan kesannya berkekalan. Sel otak lebih mudah rosak
berbanding sel-sel lain di dalam tubuh. Apabila sel ini rosak, ia tidak dapat tumbuh
semula seperti sel kulit apabila luka. Tidak ada proses penyembuhan pada sel otak.
Lagipun otak mengawal pergerakan manusia dan apabila sebahagian otak itu rosak
maka bahagian yang dikawal turut rosak. Cerebral palsi berlaku apabila bahagian
otak yang mengawal otot-otot dan koordinasinya rosak. Epilepsi berlaku kerana
sistem saraf rosak. Kecacatan mental adalah tanda sesuatu sudah mengganggu
perkembangan sempurna pada alatan berfikir. Sesetengah daripada penyakit otak
adalah kerana kerosakan pada bahagian otak yang berkenaan. Bukan semua
keadaan ini berlaku kerana kekurangan bekalan oksigen. Sekalipun langkah-langkah
diambil bagi mengurangkan kes-kes kekurangan bekalan oksigen, kes-kes cerebral
palsi, epilepsi dan kecacatan mental tetap berlaku kerana sebab-sebab lain. Kenan
Kecacatan tidak boleh dikaitkan dengan kenan. Jika ada ibu bapa yang menganggap
anaknya cacat kerana kenan atau sebagainya itu tidak benar. Seperti yang
dijelaskan, kecacatan anak hanya disebabkan oleh semua perkara di atas terutama
baka. Kemalangan Kemalangan melibatkan kepala dapat menjejaskan fungsi otak
seseorang. Penyesuaian Perlu diingat apabila membincangkan mengenai bantuan
yang ingin diberikan kepada kanak-kanak istimewa ini, ia merujuk kepada semua
aktiviti yang dilakukan yang memerlukan mereka belajar. Aktiviti tersebut
merangkumi perkara seharian seperti usaha seorang pelajar meningkatkan
kemahiran pembacaannya serta kemahiran bermatematik. Ia merujuk juga kepada
cara membuat kerja-kerja rumah yamg diberikan oleh guru dengan lebih efisien. Ia
juga merujuk kepada bagaimana guru-guru meningkatkan kebolehannya sebagai
guru. Ia juga merujuk kepada ibu bapa yang cuba meningkatkan usaha memberi
sokongan, penjagaan kesihatan dan sebagainya yang berkaitan dengan anak
mereka. Rancangan sekolah selalu dibuat berdasarkan kepada murid yang
sederhana dan cerdik. Kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran seolah-olah
dipaksa menghadapi kegagalan serta kekecewaan dan akan berdepan dengan
kesukaran mengembangkan psikoemosi yang emosi. Dalam situasi sekolah seperti
ini, kanak-kanak merasakan dia akan gagal dalam hidup, cita-citanya tidak
diendahkan, terbantut atau dimusnahkan. Dia juga mungkin percaya dia diarah
supaya percaya dia tidak akan berjaya. Bagi membantu seseorang itu belajar,
sebagai guru mereka perlu tahu pelajar itu sendiri, sifat, keperluan serta latar
belakangnya. Mereka perlu mempertimbangkan bagaimana membantu pelajar
menangani situasi yang dihadapinya, merangsangnya supaya terus belajar,
mempermudahkan proses pem-belajarannya dan menyediakan persekitaran yang
membolehkan kanak-kanak ini mengamalkan apa yang dipelajari. Ada antara kanak-
kanak ini boleh berjaya di sekolah dan dalam hidup jika minat mereka dirangsang
dan mereka diberikan peluang. Mereka boleh dipimpin supaya menguasai banyak
perkara abstrak yang mudah. Perbendaharaan kata yang mudah harus digunakan,
bahan bacaan mesti ditulis berkaitan kepentingan hidup, serta pengajaran am dan
kadar pembelajaran mestilah dilambatkan. Dengan itu barulah mereka boleh
menerima faedah yang banyak dan menjadi pelajar yang berjaya. Sebahagian
daripada kegagalan mereka yang bermasalah pembelajaran dikaitkan oleh
segolongan pendidik tidak berwibawa yang menempatkan kanak-kanak ini ke dalam
situasi di mana mereka tidak boleh berjaya dan kemudiannya tidak membuat
sesuatu bagi menolong penyesuaian mereka. Kanak-kanak ini memerlukan semua
bantuan psikologi yang boleh diberikan kepada mereka. Penulis pernah melawat
sebuah kelas bermasalah pembelajaran yang menggunakan sebuah bilik darjah
yang biasanya diberi nama 4B. Walau pun peringkat akademik ahli-ahli dalam
kumpulan ini bukan seperti kanak-kanak darjah empat, tetapi oleh kerana umur
mereka dimasukkan ke darjah ini. Pada hari itu, nama darjah mereka diubah kepada
2B. Kanak-kanak ini membantah kerana mereka sangat bangga berada dalam
darjah 4B. Mereka berasa marah kerana kehilangan martabat di kalangan rakan-
rakan sekolah akibat pertukaran tersebut. Penetapan status darjah berdasarkan
pencapaian adalah hak bagi kumpulan ini. Mereka patut diberi sesuatu yang positif
dan merangsangkan oleh pihak sekolah. Mereka berhak mendapat status yang
sepatutnya yang akan mengembangkan sikap ke arah pencapaian yang lebih
membanggakan. Meletakkan tanda 4B, mereka seolah-olah sudah mencapai suatu
corak hidup pelajar yang memuaskan.Walau pun kanak-kanak ini mempunyai
kecerdasan antara 55 hingga 70, namun mereka boleh bergerak balas kepada
teknik yang sudah diubah suai dalam latihan yang baik penyusunannya serta yang
mempunyai kakitangan yang bijak. Kumpulan yang rendah hanya boleh bergerak
balas kepada rangsangan bagi keperluan asasnya untuk hidup. Kebiasaannya, ibu
bapa mempunyai pengaruh yang besar pada tingkah laku emosi anak-anak. Ada
antara ibu bapa sentiasa memaksa anak-anak mereka dari sejak lahir hinggalah
seterusnya. Sebenarnya masih terlalu ramai ibu bapa yang tidak boleh menerima
hakikat bahawa dalam masa tahun-tahun awal seorang kanak-kanak, ia mungkin
tidak berjaya dalam kerja sekolahnya ataupun menunjukkan kecerdasan otak dalam
perhubungan di rumah atau di tempat-tempat lain. Ibu bapa kerap kali percaya
kerencatan itu adalah disebabkan oleh perkembangan yang lambat dan akhirnya
akan dapat diperbetulkan. Selepas kanak-kanak mencapai umur belasan tahun, ibu
bapanya tidak lagi boleh menyalahkan proses perkembangan sebagai penyebab
kerencatan. Selepas itu, dengan tidak mengira bagaimana hampanya perasaan ibu
bapa, kanak-kanak ini menjadi korban sikap ini terhadapnya. Bimbingan Kefahaman
mengenai kanak-kanak adalah asas kepada sebarang pertolongan atau bimbingan
yang mungkin diberikan kepada mereka. Kanak-kanak ini sedang maju ke hadapan
dan perlu mempunyai jalan yang disediakan untuknya. Dia mesti dapat memahami
nilainya dan mengenal pasti rintangan-rintangan serta potensinya. Justeru, semua
pihak hendaklah bertanggungjawab membantu kanak-kanak ini menuju ke sesuatu
matlamat yang ingin dicapai. Bimbingan ialah sebarang bentuk bantuan atau
pertolongan yang direka bentuk dengan betul bagi membantu kanak-kanak ini
menyesuaikan diri dengan persekitannya. Sudah menjadi tugas ibu bapa dan guru
menyelesaikan masalah pembelajaran mereka ini. Antara keadaan yang
merungsingkan kanak-kanak ini adalah kegiatan masa lapang, sikap terhadap orang
lain, sikap orang lain kepada mereka, peringkat rasa selamat serta darjah kejayaan
di sekolah. Penutup Proses pembelajaran adalah suatu aktiviti yang kompleks
kerana banyak perkara sebenarnya berlaku serentak pada masa yang sama.
Sewaktu sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran dikendalikan, terlalu banyak
perkara yang perlu diberi perhatian oleh kanak-kanak bagi memastikan mereka
menguasai apa yang diajar guru. Proses tindan-tindih begini tidak dapat dilakukan
secara maksimum oleh sistem neurologi seperti yang diharapkan. Walau
bagaimanapun, pembelajaran boleh dimudahkan dengan wujudnya keadaan seperti
berikut: Terdapat objektif yang jelas dan berpotensi dicapai. Pelajar mempunyai
motivasi untuk belajar. Pelajar disediakan dengan tugasan pembelajaran yang
sesuai yang memberi mereka peluang mengamalkan tingkah laku yang diperlukan.
Apabila pembelajaran berlaku, pelajar mendapat peluang mengamalkan tugas yang
lebih sukar yang mendorongnya supaya belajar lebih lanjut. Pelajar diberitahu
mengenai kemajuannya dan dibantu supaya mencapai objektif yang dimahukan.
Terdapat peluang belajar mengamalkan tingkah laku yang diperlukan di tempat di
mana dia boleh menggunakannya. Apabila pelajar mengamalkan tingkah laku yang
diperlukan di tempat di mana dia boleh menggunakannya, pelajar diberi maklum
balas mengenai kemajuan pembelajarannya.

Mengurus Kanak-kanak yang Susah Belajar, Mohd. Sharani Ahmad

Anda mungkin juga menyukai