Anda di halaman 1dari 3

Oleh Hafizah Iszahanid

Jika ibu bapa was-was terhadap gigitan berbisa anak perlu dirujuk kepada doktor

SENGATAN binatang berbisa seperti lipan, kala jengking, labah-labah, lebah dan ular
sebenarnya sangat berbahaya sama ada ia terjadi pada orang dewasa atau kanak-kanak.

Kematian seorang suri rumah baru-baru ini akibat sengatan lipan misalnya, menunjukkan
sengatan binatang berbisa yang tidak dirawat dan merebak berupaya mengundang maut.

Apatah lagi jika terkena kepada kanak-kanak, rasa panik dan kesakitan bercampur aduk. Dalam
keadaan banjir misalnya atau persekitaran rumah yang hampir dengan belukar atau semak
samun, sikap berwaspada ibu bapa penting dalam menyelamatkan nyawa anak.

Jangan ambil mudah walaupun anak mungkin hanya disengat tebuan. Walaupun mungkin
sedikit, tetapi jika ibu bapa tidak ada pengetahuan dan was-was, lebih baik anak dirujuk kepada
doktor.

Menyapu minyak gamat atau sebarang minyak herba lain mungkin boleh membantu mangsa.
Begitupun, ia hanya boleh menolong jika sengatan itu bersifat jangkitan setempat (local
infection). Sebaliknya jika sudah merebak dan bertambah sakit, anak harus dibawa ke hospital.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Abdul Ali Raja
Mohamed, berkata sengatan binatang berbisa memberi reaksi berlainan pada individu. Bisa
sengatan atau gigitan juga bergantung kepada jenis serangga atau binatang yang menyerang.

“Dua risiko paling teruk akibat kesan gigitan atau sengatan adalah alahan yang boleh membawa
maut dan jangkitan,” katanya.

Justeru tegasnya, bagi mereka yang hipersensitif tahap satu, sengatan binatang berbisa boleh
menyebabkan anafilaksis (reaksi alahan yang sangat teruk) dan mangsa boleh meninggal dunia
dalam tempoh kurang 20 minit jika tidak dirawat. Untuk rekod, di Amerika 500 orang meninggal
dunia kerana anafilaksis.

Tetapi bagi individu lain, sengatan itu mungkin akan menyebabkan jangkitan setempat. Jika
tidak merebak ke kawasan lain, rasa sakit juga surut, sengatan itu tidak berbahaya.

“Paling penting ibu bapa harus tahu apa simptom yang membezakan jenis binatang menyengat
anak. Kemudian ibu bapa juga harus tahu untuk bertindak di masa kecemasan begitu,” katanya.

Sesetengah serangga tergolong dalam kelas ‘hymenoptera’ yang mampu menyuntik bisa kepada
manusia. Serangga jenis ini termasuk lebah madu, kumbang dengung (bumble bees), tebuan dan
semut api.
Bisa yang disuntik ke dalam tubuh mangsa sebahagiannya adalah protein. Protein dalam bisa ini
yang menjadi penyebab reaksi alahan terhadap mangsa.

Bukan semua orang alah terhadap bisa sengatan. Kepada mereka yang tidak mengalami alahan,
bisa hanya akan menyebabkan kemerahan, rasa gatal, sakit dan bengkak pada kawasan yang
disengat. Hanya dengan membersihkan kawasan itu dan menekap dengan ais misalnya boleh
melegakan simptom.

Bagi mereka yang alah tahap sederhana, bisa akan menimbulkan rasa sakit dan bengkak di
kawasan yang disengat. Tapi jika reaksi itu semakin serius, bengkak membesar dan merebak,
segera berjumpa doktor untuk rawatan.

Jika mengikut pecahan binatang paling berbisa, ular tentunya menduduki tempat pertama.

Begitupun, ular berada dalam tiga kategori, keluarga ular air (sea snake), keluarga ‘elapid’ dan
keluarga ‘viper’.

Ular air kata Dr Ali, paling bahaya kerana ia boleh hidup di darat. Apatah lagi jika di kawasan
banjir, pergerakan air tidak mustahil menyeret ular berbisa ini. Perlu diketahui ular jenis ini
memang biasa ditemui di laut sekitar Asia Tenggara.

Sengatan ular air boleh meracuni tubuh mangsa, menyebabkan kekejangan abdomen yang sangat
serius, kesakitan amat sangat dan mangsa boleh meninggal dunia dalam masa dua hingga 12 jam.
Paling menggerunkan, sengatan ular air tidak ada antivenom!

Bagi sengatan ular dari keluarga elapid, contohnya ular tedung ia biasa ditemui di kawasan estet
getah dan ladang kelapa sawit. Bisa ular keluarga elapid boleh menyebabkan ‘neurotoxic’ yang
menjejaskan saraf.

Ia berupaya melemahkan otot mata atau disebut sebagai ‘ptosis’. Diikuti bengkak yang kecil,
kegagalan pernafasan dan boleh menyebabkan kematian dalam tempoh 48 jam jika tidak dirawat.
Tetapi gigitan ular keluarga elapid memiliki anti venom.

Gigitan ular dari keluarga viper pula menyebabkan kelumpuhan, pendarahan diikuti dengan
cardiogenic shock (renjatan) pada tubuh dan membawa kematian dalam tempoh 72 jam jika tidak
dirawat. Tetapi gigitan ular keluarga Viper memiliki anti venom.

Sengatan kala jengking, lipan, labah-labah dan tebuan boleh menyebabkan anafilaksis bagi
sesetengah orang. Tapi selalunya mangsa hanya mengalami jangkitan setempat yang ditandai
dengan rasa sakit, bengkak, kemerahan dan gatal.

Begitupun kata Dr Ali, bagi gigitan tikus sedikit berbeza. Ini kerana tikus boleh menyebabkan
penyakit disebabkan virus yang disebarkan menerusi air liur.

Selalunya jika berlaku jangkitan bakteria disebabkan gigitan tikus, mangsa akan demam.
Bila harus mendapatkan rawatan?

 Sengatan menyebabkan rasa sakit, bengkak, merah dan gatal.


 Jangkitan setempat seperti gatal, bengkak, kemerahan dan kesakitan yang merebak. Rasa
sakit juga bertambah.
 Rasa sakit bertambah, bengkak semakin besar untuk beberapa hari.
 Jika anda pernah berhadapan dengan masalah alahan kerana sengatan serangga berbisa.
 Bengkak dan ruam di seluruh badan, sukar bernafas atau rasa tercekik. Kepala pening atau
pitam (anafilaksis).

http://ttuyup.wordpress.com/2007/01/24/sengatan-berbisa-beri-reaksi-berbeza/

Anda mungkin juga menyukai