Anda di halaman 1dari 8

Cara Pemerolehan Bahasa Kedua

PENDAHULUAN
Lazimnya kita mengetahui bahawa penguasaan bahasa pertama berlaku secara semula
jadi semenjak kecil lagi. Pada tahap ini, pengetahuan bahasa diperolehi secara tidak
langsung atau tidak formal. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998) :

“Mereka dapat menguasai bahasa itu dengan cara ‘memperoleh’ bukan melalui
proses pembelajaran. Mereka hanya perlu didedahkan kepada bahasa ibunda mereka
dan secara tidak disedari mereka akan pandai dengan sendirinya menggunakan
bahasa itu.”

Hal ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua. Bahasa mesti dipelajari
secara formal dan hanya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Oleh itu,
dorongan (rangsangan) dan sikap positif adalah perlu.
 
Dalam konteks pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama kepada
pelajar Melayu tidak banyak masalah. Sebaliknya, mengajar bahasa kedua kepada
bukan penutur jati (orang Melayu misalnya) memerlukan lebih perhatian. Pelajar
perlu melalui rancangan-rancangan dan aktiviti-aktiviti yang tersusun dengan kaedah-
kaedah tertentu.
Menghuraikan masalah pembelajaran bahasa kedua, Abdullah Hassan (1980)
menjelaskan :

“Mungkin salah satu masalah yang besar ialah bahasa Melayu yang diajar itu amat
formal dan tidak ada kegunaan atau persamaannya dengan bahasa yang digunakan
hari-hari, sehingga murid-murid terpaksa mempelajari suatu dialek yang berlainan
yang tidak boleh mereka tuturkan di luar kelas.”
Adalah jelas bahawa mempelajari bahasa kedua merupakan satu proses
mempelajari perlakuan baru. Justeru, dalam proses pembelajaran, gangguan daripada
bahasa ibunda sering terjadi. Lingkungan kebudayaan dan bahasa ibunda pelajar
sering mempengaruhi proses pembelajaran bahasa kedua mereka. Oleh itu,
pengajaran bahasa kedua hendaklah dirancang dan dilaksanakan secara bersistem.
dan formal.

DEFINISI BAHASA KEDUA


Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998) maksud bahasa kedua “adalah bahasa yang
kedua dipelajari oleh seseorang itu di samping bahasa kandung yang dia peroleh.
Bahasa kedua ini adalah bahasa asing yang dipelajari untuk tujuan-tujuan tertentu.”

PENGUASAAN PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA


Pengajaran bahasa kedua berbeza dengan  penguasaan bahasa pertama. Bahasa kedua
diperoleh dan dikuasai melalui pembelajaran. Pembelajaranbya bersifat formal,
menekankan banyak latihan dan pengulangan hingga membentuk satu tabiat. Rivers
W. M (1964) menyatakan pembelajaran bahasa asing pada dasarnya adalah merupakan
satu proses mekanikal yang membentuk tabiat.

Oleh itu, cara penguasaannya adalah sama dengan proses pembentukan


tabiat yang lain seperti belajar menaip, berenang, memandu, dan lain-lain. Proses
pembelajaran menetapkan jika sekali berjaya dilakukan dengan baik maka ia akan
dapat diulangkan untuk seterusnya secara automatik. Proses penguasaan bahasa
kedua pada peringkat awal kanak-kanak berkemungkinan sama dengan proses
penguasaan bahasa pertama. Namun, proses penguasaan bahasa kedua selepas
peringkat awal kanak-kanak akan mengalami cara yang berbeza dengan proses
pemerolehan pengetahuan bahasa pertama. Hal ini ditegaskan oleh Brown (1980) :

“Adult, more cognitively secure,appear to operate from the solid foundation of the
first language and thus manifest more interference.”
Seterusnya, Rivers melalui teori pendekatan mengajar bahasa iaitu ‘pendekatan
dengar sebut’ menyatakan bahawa :

Ø  Pembelajaran bahasa asing pada asasnya adalah merupakan satu proses yang mekanikal
membentuk tabiat.
Ø  Analogi memberi asas yang lebih kukuh terhadap pembelajaran bahasa asing
berbanding analisa.

Daripada kenyataan tersebut dapatlah diandaikan bahawa tabiat terbentuk


melalui peneguhan. Tabiat berbahasa kedua boleh dibentuk dengan cara mempelajari
atau latih tubi. Ia memainkan peranan penting bagi menggalakkan tabiat berfungsi.
         Menurut pendekatan kognitif (Chomsky), mempelajari bahasa ialah satu proses
menguasai pola-pola fonologi, sintaksis dan leksikal bahasa berkenaan. Teori ini
menekankan kepentingan pemahaman murid terhadap struktur bahasa. Kesenangan
murid mempelajari bahasa kedua akan menyebabkan penguasaan kognitif mereka
terhadap struktur bahasa itu mudah berkembang.

PRINSIP-PRINSIP PENGAJARAN BAHASA KEDUA


a)    Pembelajaran bahasa kedua ialah satu proses mekanis. Proses ini akan membentuk
perlakuan dan tabiat baru menguasai kemahiran bahasa, iaitu melalui latihan-latihan
dan peneguhan.
b)    Bentuk bahasa pertuturan dipelajari terlebih dahulu. Pengajaran bahasa kedua mesti
didahulukan dengan kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran bermula
daripada kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan
kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar menyebut perkataan sebelum bentuk-bentuk
tulisan.
c)    Pembelajaran secara membuat analogi. Pelajar cepat menerima dan memahami
makna perkataan dengan cara melihat persamaan dan perkaitannya dengan objek
yang dianalogikan. Analogi digunakan untuk menunjukkan persamaan ciri atau sifat.
Cara ini akan mempermudah guru mengajar tanpa perlu menghabiskan masa panjang
untuk menjelaskan konsep-konsepnya.
d)    Makna dipelajari dalam konteks. Makna haruslah dipelajari dalam konteks yang dapat
menerangkan makna itu dalam konteks agama, adat dan adab, dan sosio budaya teks
atau rujukan teks.

PERBEZAAN CARA PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA DENGAN  CARA PEMBELAJARAN


BAHASA KEDUA

1)    Dari Segi Prinsip

Ø  Penguasaan Kemahiran Bahasa


Dalam pemerolehan bahasa pertama, penguasaan sesuatu kemahiran bahasa berlaku
secara beransur-ansur. Mula-mula mereka mengeluarkan bunyi-bunyi, kemudian
mencantumkan unit-unit bunyi menjadi perkataan dan selepas itu mencantumkan
perkataan-perkataan menjadi ungkapan atau ayat. Kanak-kanak memerhati dan
menangkap sebarang kemahiran bahasa ibunda daripada penutur lain. Lama-kelamaan
mereka akan menjadi mahir dengan sendiri. Proses kefahaman boleh wujud lebih awal
daripada proses melahirkan ucapan.
Manakala pembelajaran bahasa kedua adalah merupakan satu proses mekanis
yang membentuk lakuan baru, iaitu lakuan kemahiran bahasa. Latihan-latihan
peneguhan diberikan untuk membentuk tabiat bahasa yang dipelajari.

Ø  Penguasaan Aspek Bahasa


Dalam pemerolehan bahasa pertama setiap kemahiran bahasa dikuasai dengan cara
yang perlahan. Cara ini membolehkan beberapa aspek bahasa dapat dikuasai secara
sekali gus. Sebagaimana diketahui, bahasa mempunyai banyak rumus dan peraturan.
semuanya itu dikuasai secara serentak. Kanak-kanak umpamanya dapat menguasai
bunyi, perkataan, pengimbuhan, makna, dan penggunaannya dalam ayat secara sekali
gus.
Hal ini berbeza dengan pengajaran bahasa kedua yang mesti didahulukan
dengan kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran bermula daripada kemahiran mendengar,
kemudian bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar
menyebut sesuatu kata itu dahulu sebelum mengajar bentuk-bentuk tulisan. Cara ini
akan menghasilkan satu pengajaran bahasa kedua yang berkesan.

Ø  Mempelajari Penggunaan Bahasa


Dalam pemerolehan bahasa pertama, prinsip ini menerangkan bahawa kanak-kanak
tidak mengkaji tatabahasa untuk menguasai bahasa tersebut. Mereka belajar
menggunakannya. Kanak-kanak tidak diminta menjelaskan sebab binaan ayat itu
adalah betul atau salah, tetapi mereka diberi tahu betul dan salah ayat itu. Dalam
aspek tatabahasa misalnya, kanak-kanak tidak diminta mengkaji rumus-rumusnya
tetapi cukup sekadar menggunakannya dalam ayat-ayat yang betul.
Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua, pelajar belajar secara
membuat analogi. Pembelajaran cara ini membolehkan pelajar menerima pelajaran
dengan cara melihat persamaan dan perkaitan antara bentuk-bentuk yang diajar.
Mereka diberi latih tubi dalam pola-pola yang diajar. Analogi digunakan untuk
menghasilkan penguasaan struktur bahasa tanpa menghabiskan masa dan tenaga
untuk menjelaskan konsep-konsep tatabahasa. Mereka diberitahu sebab binaan bahasa
yang digunakan itu adalah salah atau betul.
  
Ø  Penggunaan Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak belajar menggunakan bahasa
melalui pemerhatian atau pendengaran dan kemudiannya menggunakan unsur yang
sama dalam keadaan yang serupa bagi memberikan maknanya. Walaupun tidak
memahami sistem tatabahasa, tetapi mereka amat mengetahui hubungan antara
perkataan dalam ayat dan hubungan antara satu ayat dengan ayat lain. Mereka
menggunakan sesuatu perkataan dalam konteks makna, bukannya dalam konteks
tatabahasa. Semasa mengajar, guru perlulah mencari konteks makna bagi
menjelaskan makna perkataan itu. Pelajar diberi latihan dan latih tubi pemakaian
makna dan perkataan yang betul.
       Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua, makna haruslah dipelajari dalam
konteks yang dapat menerangkan makna itu sendiri. Makna perkataan perlulah diajar
dalam konteks agama, adat dan adab, dan budaya. Ini adalah cara yang difikirkan
berkesan dalam memberikan makna.

Ø  Kebiasaan Mempelajari Bahasa


Dalam pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak mempelajari pertuturan menurut
kebiasaan tertentu. Kebiasaan ini mungkin kebiasaan seseorang individu atau
kelompok penutur. Mereka mempunyai kumpulan sendiri dan mempunyai tabiat
bertutur yang tersendiri. Kanak-kanak tidak perlu dihalang mengembangkan
kebolehan mereka berbahasa secara tersendiri.
Hal ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua. Pembelajaran berlaku
secara formal dan mempunyai guru. Peluang pembelajaran hanya dapat diikuti di
tertentu sahaja.

2) Strategi

Ø  Tatacara Penguasaan
Cara memperolehi bahasa pertama tidak sama dengan cara menguasai bahasa kedua.
Pemerolehan bahasa pertama melalui proses tidak formal. Sebaliknya, pembelajaran
bahasa kedua memerlukan usaha gigih dan perancangan teliti. Manusia tidak perlu
berguru dalam institusi formal untuk membolehkan mereka bertutur dengan baik
dalam bahasa ibunda. Sebaliknya, seseorang perlu berguru secara formal untuk
mempelajari bahasa kedua, walaupun tidak menjamin orang berkenaan bertutur
dengan fasih dan lancar dalam bahasa tersebut.
            Proses-proses yang menghasilkan kemahiran berbahasa dalam bahasa pertama
dan bahasa kedua adalah berbeza. Hal ini dapat dilihat dari istilah yang digunakan.
Bagi bahasa pertama, istilah ‘penguasaan’ atau ‘pemerolehan’ digunakan, manakala
bagi bahasa kedua, istilah ‘pemelajaran’ digunakan. Dalam hal ini, Kamarudin (1988)
menyatakan :

“Berbeza dengan pemelajaran bahasa pertama, penguasaan bahasa kedua bukanlah


didapati melalui pemerolehan tetapi dikuasai melalui pemelajaran. Ini dilakukan
dalam keadaan yang lebih formal, memerlukan banyak latihan dan pengulangan
hingga menjadi sesuatu tabiat.”

Ø  Fungsi
Tujuan yang menguasai pengetahuan bahasa pertama dan mempelajari bahasa kedua
adalah berbeza. Berlainan dengan proses pemerolehan bahasa pertama, pembelajaran
bahasa kedua merupakan usaha yang ditentukan oleh manfaat yang bakal diperoleh.
Tujuan mempelajari bahasa kedua biasanya dikaitkan dengan peranan bahasa
dalam kehidupan seseorang pengguna. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua sering
mengarah kepada sesuatu tujuan yang tertentu.

Ø  Kebebasan Memilih
Dalam konteks ini, proses pemerolehan bahasa pertama merupakan satu proses yang
tidak ada pilihan. Manakala proses penguasaan bahasa kedua pula adalah proses yang
ada pilihan. Proses penguasaan bahasa kedua didorong oleh sebab-sebab tertentu.
Biasanya kanak-kanak bahasa pertama mendapat dorongan dan motivasi yang kuat
untuk mempelajari bahasa itu bersungguh-sungguh. Ini kerana mereka mempunyai
keperluan untuk menggunakan bahasa itu. Ia agak berbeza dengan pemelajaran
bahasa kedua. Keinginan untuk mempelajari bahasa ini tidak kuat walaupun mereka
sedar bahasa kedua itu berguna.
Corak perasaan dan bentuk pemikiran akan menentukan sama ada seseorang itu
akan berusaha gigih atau tidak mempelajari bahasa kedua. Bagi bahasa pertama pula,
penguasaan pengetahuannya berlaku secara semulajadi, dan tidak ada kanak-kanak
normal yang terkecuali daripada menguasai pengetahuan bahasa pertama.

Ø  Kejayaan Penguasaan
Penguasaan pengetahuan bahasa oleh penutur bahasa pertama dan bahasa kedua
adalah berbeza. Dalam bahasa pertama, kanak-kanak, secara genetik, telah
diprogramkan untuk berjaya dalam proses penguasaan bahasa pertama. Proses
tersebut merupakan proses menyesuaikan pengetahuan bahasa semula jadi yang sedia
ada dengan sistem bahasa pertama mereka.
Sementara pembelajaran bahasa kedua pula, faktor genetik tidak memainkan
peranan penting. Faktor-faktor luaran yang menentukan kejayaan proses 
pembelajaran bahasa kedua berkenaan. Berkenaan hal ini, Abdullah Hassan (1987)
menegaskan :

“…pemerolehan bahasa ibu tidak berlaku di kalangan kanak-kanak secara tidak


formal, yakni tidak perlu diajar. Bahasa kedua pula terpaksa dipelajari dan hanya
berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Bukan itu sahaja yang berlaku, kita
mesti mempunyai dorongan dan sikap yang sihat untuk dapat belajar dengan
berkesan.”

Ø  Masa
Dari segi masa, kanak-kanak mempelajari bahasa kedua sering mengalami kesulitan.
Mereka tidak mempunyai masa yang cukup dan tidak pula dapat menumpukan
perhatian sepenuhnya terhadap bahasa yang dipelajari itu. Bahasa yang dipelajari
tidak dapat dipraktikkan sepenuhnya, sebagaimana mereka menggunakan bahasa
ibunda sehari-hari. Peluang mempelajari dan menggunakannya berlaku di dalam
kelas-kelas sahaja.

RUJUKAN

 http://www.geocities.com/pendidikmy/cikgupjj/bahasapertamabahasakedua.html

http://www.google.com.my/search?
q=pemerolehan+bahasa+kedua&btnG=Search&hl=en&sa=2

http://massofa.wordpress.com/2008/01/28/pemerolehan-bahasa-pertama-dan-
bahasa-kedua/

Anda mungkin juga menyukai