Anda di halaman 1dari 5

ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN

Muaqaddimah

Apa yang termuat dalam risalah ini, sebahagian besarnya, adalah petikan daripada pendapat
ulamak-ulamak muktabar yang jelas fikrah serta iltizam dan intizam dengan kehidupan
Islam. Saya hanya sekadar menyambung lidah, menyampaikan buah fikiran dan pengalaman
mereka di sepanjang hidup dalam berbagai-bagai waqi’.

Sepatutnya tajuk “Islam Sebagai Penyelesaian” menghuraikan skop dan ruang lingkup yang
luas meliputi berbagai aspek kehidupan manusia. Tetapi apa yang saya akan ketengahkan di
sini menyentuh perkara asas yang menjadi dasar kepada penyelesaian masalah hidup
manusia dari semasa ke semasa hingga alam ini diwarisi kembali oleh Allah SWT.

Konsep penyelesaian tersendiri

Persoalan penting, apakah yang hendak diselesaikan oleh Islam? Apakah masalah sebenar
manusia yang tidak mampu diselesaikan oleh mana-mana sistem atau peraturan kecuali
Islam?

Sebelum persoalan ini dijawab, perlulah difahami bahawa Islam tidak boleh dipisahkan
daripada realiti hidup manusia. Kerana manusialah Islam ditanzilkan (diturunkan). Firman
Allah SWT:

“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk seluruh manusia,
untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan.” - Surah Saba’: ayat 28

Risalah Muhammad Rasulullah SAW adalah untuk kepentingan manusia. Manusia


mempunyai sifat dan tabiat yang unik. Manusia terdiri daripada tiga fakulti iaitu rohi, ‘aqli
dan jasmani. Ketiga-tiga fakulti ini perlu dipandu dan dikawal oleh satu sistem yang lengkap
dan bersepadu untuk melahirkan manusia atau insan yang dapat berperanan sebagai
khalifah Allah SWT di muka bumi mengikut nilai Rabbani, sekali gus memperlihatkan
kematangan serta kedewasaannya dalam kehidupan di dunia dan layak mengecapi
kebahagiaan di akhirat kelak.

Kita mengetahui bahawa setiap undang-undang atau peraturan mempunyai falsafah dan
konsep tersendiri. Undang-undang dan peraturan-peraturan itu, dalam perlaksanaannya,
tetap akan menghadapi masalah dan mempunyai cara-cara penyelesaian tersendiri pula.

Adalah tidak logik dan tidak adil seseorang menuntut undang-undang tertentu untuk
menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul akibat daripada perlaksanaan undang-undang
yang lain.

Islam adalah undang-undang dan peraturan hidup yang lengkap. Setiap juzuk berkaitan dan
berhubungan secara bersepadu membentuk kesatuan hakiki mencakup seluruh aspek
kehidupan. Sekiranya Islam diberikan peluang agar tau’iyah dan tarbiyyahnya ditegakkan
berdasarkan prinsip-prinsip da’wah Islamiyyah sebenar, berqudwahkan Rasulullah SAW dan
berpandukan sumber wahyu Allah SWT. sehingga lahir masyarakat yang rela melaksanakan
undang-undang dan peraturan Islam, maka dikala itu logik dan adillah Islam
dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Lihatlah
apakah Islam mampu atau tidak?
Cara Islam Menyelesaikan Permasalahan Hidup

Untuk mengetahui cara Islam menyelesaikan permasalahan hidup manusia, seseorang perlu
kembali meneliti dan memahami Fiqh Da’wah Rasulullah SAW. Yakni da’wah yang dibimbing
oleh wahyu Allah SWT, al-Quran al-Karim. Di waktu yang sama seseorang perlulah melihat
realiti masyarakat sewaktu Rasulullah SAW. diutuskan dari segi politik, ekonomi dan sosial
kerana dalam bidang-bidang inilah sering timbul masalah-masalah yang dihadapi oleh
sesuatu masyarakat, bangsa atau negara.

Ketika mana Muhammad Rasulullah SAW diutuskan, negeri Arab seperti Syam dan Yaman
yang subur dan kaya dengan hasil mahsul dikuasai oleh Romawi dan Parsi. Tinggallah Hijaz,
Tihamah dan Najd yang kering kontang, dilitupi padang pasir dan dimiliki secara bebas oleh
orang-orang Arab yang berpuak dan berqabilah.

Kalau difikirkan secara biasa, tanpa meyakini bahawa setiap tindakan baginda bersabit
dengan konsep Da’wah Islamiyyah sebenar dan metod penyampaian baginda adalah
bimbingan wahyu Allah SWT, maka sudah tentu seseorang akan membuat andaian-andaian
bahawa:

1. Dalam kesempatan Muhammad Rasulullah SAW yang memiliki sifat-sifat kepimpinan,


kewibawaan dan pernah diberi kepercayaan oleh pembesar-pembesar Quraisy untuk
menyelesaikan masalah-masalah tertentu, maka sebelum baginda menjalankan Da’wah
Islamiyyah kepada masyarakat, sudah tentu dengan senang baginda dapat menyatupadukan
umat Arab yang berpuak dan berqabilah di bawah slogan Qaumiyyah ‘Arabiyyah demi
membebaskan bumi Arab dari dijajah oleh Romawi serta Parsi dan mengembalikan kuasa
politik ke tangan umat Arab. Setelah umat Arab bersatu, buminya dirampas kembali dari
tangan Rumawi dan Parsi dengan semangat Qaumiyyah ‘Arabiyyah dan setelah kedudukan
Muhammad sebagai pemimpin kukuh maka dapatlah baginda, dengan kuasa dan kedudukan
yang dimiliki, memantapkan ‘Aqidah Tauhid untuk dianuti oleh masyarakat dan seterusnya
mewartakan Islam sebagai cara hidup mereka. Dengan cara ini, tentulah pada andaian
seseorang yang hanya menggunakan aqal, Muhammad Rasulullah SAW tidak akan
menghadapi berbagai-bagai halangan, rintangan, siksaan dan tentangan yang keras
daripada Kafir Qura’isy selama 13 tahun dalam usaha untuk menanamkan ‘Aqidah Tauhid ke
dalam hati masyarakat dan menegakkan Islam sebagai ad-Din (sistem hidup). Tetapi andaian
ini bukanlah jalan yang sebenar.

2. Kesempatan yang lain, realiti ekonomi dan sumber kekayaan di zaman Rasulullah SAW
dikuasai oleh segolongan kecil dari masyarakat jahiliyyah. Mereka menguasai aktiviti
perniagaan berasaskan riba’. Majoriti rakyat hidup miskin dan melarat. Berdasarkan
kesempatan ini, mungkin seseorang mengandaikan jika Muhammad Rasulullah SAW
berusaha mengajak majoriti masyarakat yang miskin dan melarat, lalu menyatupadukan
mereka dalam satu saf bagi melepaskan diri daripada cengkaman golongan feudal dan
meningkatkan taraf hidup mereka, nescaya Rasulullah SAW dengan senang dapat
mempengaruhi dan menyatukan mereka. Selepas itu bolehlah Rasulullah SAW menegakkan
‘Aqidah Tauhid dan seterusnya mentatbiqkan undang-undang Islam dalam kehidupan
masyarakat, tanpa bersusah payah menghadapi tentangan masyarakat Quraisy yang agresif
hingga ke tahap ingin membunuh baginda. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

3. Kesempatan yang lain pula, realiti sosial dari sudut moral dan akhlak orang-orang Arab
ketika itu amatlah menyedihkan. Sesiapa yang kuat dialah berkuasa. Permusuhan, kezaliman
dan pergeseran sesama sendiri sering berlaku. Anak gadis ditanam hidup-hidup. Kemabukan
arak, perjudian, amalan pelacuran dan seumpamanya berleluasa. Mungkin seseorang
mengandaikan sekiranya Muhammad Rasulullah SAW mengisytihar dari awal-awal lagi suatu
bentuk Da’wah Islamiyyah yang bertujuan membaiki moral, membentuk disiplin dan
membangunkan akhlak tanpa menekankan permasalahan iman, nescaya Rasulullah SAW
akan mendapat sambutan dan sokongan majoriti penduduk tanah Arab. Lebih-lebih lagi
pada ketika itu masih terdapat di kalangan orang-orang ‘Arab yang mempunyai sifat-sifat
dan `basic morality’ yang baik. Tidak perlu Rasulullah SAW bersusah payah selama 13 tahun
berda’wah mengajak manusia supaya beriman kepada Allah SWT dan mentauhidkan-Nya.
Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

Allah SWT Maha Mengetahui

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui bahawa semua andaian di atas bukan jalan yang
betul untuk menyelesaikan masalah hidup manusia. Allah SWT Maha Mengetahui bahawa
masalah hidup manusia tidak dapat diselesaikan tanpa melalui proses pembentukan jiwa
berasaskan ‘aqidah yang sahih. ‘Aqidah yang akan menentukan sikap dan nilai sebenar.

Apabila ‘aqidah tauhid mengambil tempat dalam hati dan jiwa para sahabat Rasulullah SAW,
dalam suasana mereka menghadapi berbagai halangan dan tentangan yang keras, maka
terbentuklah ‘Aqidah Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT. Aqidah tauhid menjadi
keyakinan dalam jiwa mereka. Syari’ah dan peraturan Islam menjadi praktik hidup mereka.

Pencetus Dan Pengawas Yang Kuat

Apabila manusia mengenal Ilah, beribadah kepada-Nya semata-mata, membebaskan diri


daripada kesultanan manusia serta hawa nafsu dan apabila kalimah Lailaha Illallah
menguasai jiwa manusia, pada ketika itu Allah SWT akan menyempurnakan untuk mereka
segala sesuatu termasuklah andaian-andaian seperti tersebut di atas tadi. Dalam masa lebih
kurang suku abad sahaja, bumi Arab yang terdahulu dijajah oleh Romawi dan Parsi telah
dapat dikuasai oleh generasi yang dibentuk oleh Rasulullah SAW melalui proses keimanan
kepada Allah SWT dan prinsip-prinsip keimanan yang lain.

Bersihlah masyarakat ‘Arab daripada sebarang bentuk kezaliman. Tertegaklah peraturan


Islam pilihan Allah SWT yang adil dan saksama untuk manusia. Bersihlah jiwa dan moral
masyarakat daripada saki baki jahiliyyah hingga jarang sekali hukum hudud, qisas dan ta’zir
dijalankan pada generasi yang unik ini.

Inilah pencetus dan pengawas yang kuat dan rapi bertapak di dalam hati dan jiwa mereka.
Pencetus dan pengawas dalaman bukan luaran semata-mata. Mereka melaku atau
meninggalkan sesuatu kerana Allah SWT dan inginkan balasan yang baik daripada-Nya. Inilah
rahsia sebenar yang mungkin tidak terfikir dan difikir oleh orang ramai ketika ini.

Realiti Umat Islam Kini

Sering terdengar percakapan-percakapan dan perbincangan-perbincangan di kalangan


pemuda-pemuda dan ahli-ahli fikir Islam dewasa ini mengenai keperluan umat Islam
terhadap kekuatan harta benda, ilmu pengetahuan dan pelbagai bidang ikhtisas untuk
menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi umat Islam dan membangunkan hidup
mereka agar lebih maju dan makmur. Namun, amat sedikit didapati perbicaraan dan
tindakan yang serius tentang keperluan umat Islam terhadap keimanan sebenar,
perhubungan hati dengan Allah SWT, kepatuhan kepada titah perintah-Nya dan mencari
keredhaan-Nya dalam semua amalan.
Tegasnya, seseorang perlulah faham dan sedar bahawa setiap amalan yang lakukan dan
wasilah yang dimiliki, tanpa bersandarkan kepada dasar keimanan terhadap Allah SWT, akan
sia-sialah segala amalan dan wasilah itu di sisi Allah SWT. Begitu banyak harta yang menjadi
milik orang-orang Islam tetapi tidak menguntungkan Islam. Begitu juga halnya dalam
bidang-bidang lain.

Rahsia Kejayaan Generasi Awal

Kejayaan generasi para sahabat yang dibentuk Rasulullah SAW dalam mengejar matlamat
hidup bukanlah kerana mereka memiliki pelbagai wasilah dan alat kelengkapan yang cukup.
Rahsia kejayaan mereka ialah keimanan sejati, kepatuhan maksimum terhadap titah
perintah Allah SWT dan cita-cita mendalam untuk mendapat keredhaan serta pahala
daripada-Nya. Inilah rahsia menyebabkan mereka bersedia penuh menyahut setiap hajat
dan keperluan Islam dari masa ke semasa. Juga rahsia yang mendorong mereka berkorban
dan bangun melaksanakan setiap tuntutan Islam tanpa rasa berat walaupun menghadapi
pelbagai kesukaran.

Islam berhajatkan kerja-kerja da’wah. Maka tampillah para du’at yang jujur, berani dan
sabar menyampaikan risalah Allah SWT melalui lisan dan contoh teladan meskipun
menghadapi berbagai halangan dan tentangan daripada musuh. Mereka tetap meneruskan
kerja-kerja da’wah tanpa takut atau mundur ke belakang.

Islam memerlukan pengorbanan harta benda. Maka tampillah mereka yang memiliki harta
benda dan kekayaan, lalu menginfaq kepada Rasulullah SAW dengan penuh rela tanpa rasa
bakhil atau sayang kepada harta benda itu. Hinggalah terdapat di kalangan mereka yang
berkata kepada Rasulullah SAW, “Apa yang tuan ambil daripada kami adalah lebih baik
daripada apa yang tuan tinggalkan.”

Islam berkehendakkan pengorbanan jiwa untuk mempertahankan kesuciannya daripada


dicemari musuh. Maka berlumba-lumbalah mujahid-mujahid dan pejuang-pejuang Islam
memberi khidmat suci demi menyahut panggilan Allah SWT. Sungguh banyak pengorbanan,
sumbangan dan khidmat bakti mereka untuk kepentingan Islam semata-mata.

Islam Bermula Dengan Usul, Tidak Dengan Furu’

Islam tidak memulakan da’wah dengan mengenegahkan permasalahan furu’ tetapi


memulakannya dengan perkara usul (perkara asas atau dasar). Islam di peringkat awal, di
zaman Rasulullah SAW, tidak meminta manusia agar bangun berjihad di medan peperangan,
berpuasa, berzakat, meninggalkan arak, menjauhkan judi dan sebagainya. Tetapi Islam di
peringkat awal meminta dan menuntut supaya beriman kepada Allah SWT semata-mata.
Tegasnya Islam bermula dengan ‘aqidah, tidak bermula dengan taklif atau kewajipan.
Aqidahlah yang menjadi asas dalam perlaksanaan taklif (kewajipan). Islam bermula dengan
batin , hati dan fikiran manusia sebelum sesuatu yang lain. Dari titik tolak aqidah yang
bertempat di hati akan berlakulah perubahan dan pembangunan yang hakiki, yakni
pembangunan insan di tengah-tengah alam kebendaan.

Apabila perkara dasar ini menguasai hati dan fikiran mereka yang dibentuk oleh
Rasulullah SAW, lahirlah keperibadian ummah yang berorientasikan iman. Keperibadian itu
menjadi kenyataan. Mereka iltizam dan intizam kepada titah perintah Allah SWT dan
Rasulullah SAW dalam berbagai aktiviti hidup pada setiap masa tanpa berhajatkan
pengawasan luar. Segala sesuatu yang terdahulu menjadi masalah dalam kehidupan mereka
dapat diatasi dan diselesaikan dengan senang.
Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menyelesaikan permasalahan arak hanya
melalui tiga potong ayat al-Quran al-Karim. Firman Allah SWT:

“Mereka bertanyakan engkau (Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah bahawa
kedua-duanya dosa besar dan ada manfaat-manfaat kepada manusia, dosa kedua-duanya
lebih besar daripada manfaatnya.” Surah al-Baqarah: ayat 219

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solah ketika kamu mabuk
hingga kamu tidak ketahui apa yang kamu katakan.” Surah an-Nisa’: ayat 43

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan tenung nasib
adalah kotor dari amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya agar kamu mendapat
kejayaan.” Surah al-Maidah: ayat 90

Dengan tiga potong ayat tersebut permasalahan arak dapat diselesaikan oleh
Rasulullah SAW. Sebaliknya, kerajaan Amerika suatu ketika dahulu pernah melarang
rakyatnya meminum arak. Dijalankan dia’yah (kempen) kepada masyarakat umum
menentang minuman arak. Media massa kerajaan digunakan untuk tujuan tersebut.
Hinggalah undang-undang pengharaman arak dikuatkuasakan di Amerika. Kerajaan Amerika
menanggung beban perbelanjaan bagi melaksanakan undang-undang tersebut sebanyak 250
juta dollar. Akibat daripada pengharaman undang-undang arak itu, seramai 300 orang
dikenakan hukuman mati bersabit kesalahan arak dan 500,000 orang dipenjarakan. Denda
yang dikumpulkan sebanyak 400 juta dollar. Namun akhirnya, pada tahun 1933, kerajaan
Amerika terpaksa memansuhkan undang-undang pengharaman arak.

Perhatian

Setiap Muslim dan Muslimah perlu memahami secara sedar bahawa Islam sebagai
peraturan hidup manusia merupakan Qadhiyyah Ilahiyyah (Permasalahan Uluhiyyah) yang
bersifat samawi, tidak layak disamakan dengan peraturan-peraturan hidup ciptaan manusia.
Umat Islam yang memahami hakikat ini sekali-kali tidak akan menyamakan Islam dengan
mana-mana peruntukan hasil pemikiran makhluk.

Setiap Muslim dan Muslimah perlu meyakini bahawa Islam merupakan Din Allah
SWT untuk manusia sejagat. Mereka perlu yakin bahawa Islam sahaja mampu
menyelesaikan masalah manusia lantaran Islam ditanzilkan oleh Pencipta manusia. Sesiapa
yang memilih din yang lain maka dia menempa kerugian seperti mana yang diperingatkan
Allah SWT dalam Firman-Nya:

“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai Din (peraturan hidup) maka sesekali tidak
diterima dan ia di akhirat kelak dari golongan mereka yang rugi.” Surah Ali Imran: Ayat 85 .

Anda mungkin juga menyukai