Anda di halaman 1dari 3

Persediaan Bulan Rejab (Oleh ustaz Zahazan - Zahazan.

net)

Bulan Rejab termasuk didalam salah satu bulan-bulan Islam yang dianggap suci oleh umat
Islam.Bulan Rajab ini menduduki senarai yang ke 7 dalam bulan-bulan Qamariyyah.

Firman Allah  didalam surah At-taubah ayat 36 yang bermaksud: “Sesunguhnya bilangan
bulan-bulan disisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam kitab
Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan yang dihormati,
ketetapan yang demikian ialah agama yang betul lurus,maka janganlah kamu mengganiayai
diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu(dengan melanggar larangannya). Dan
perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu
seluruhnya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.

Empat bulan yang dihormati sebagaimana disebutkan dalam ayat tersebut ialah Zulkaedah,
Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Inilah yang telah disepakati oleh para mufassirin.
Penghormatan terhadap bulan Rejab adalah bersempena penghormatan yang telah
diberikan kepadanya semenjak zaman jahiliah lagi dimana mereka mengharamkan 
peperangan didalam bulan tersebut. Inilah sesuatu pengiktirafan oleh Allah SWT terhadap
bulan Rejab disamping bulan-bulan haram yang lain.

Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku didalam bulan
rejab, diantaranya ialah:

Pertama-Peristiwa israk dan mikraj yang berlaku pada 27 Rejab  mengikut pendapat
sebahagian besar ulama Islam, ia adalah peristiwa dimana Rasulullah s.a.w telah
diperjalankan dari Mekah ke Baitil Muqaddis dan kemudiannya diangkat kelangit untuk
bertemu Allah SWT, disinilah bermulanya kefarduan solat lima waktu kepada umat
Muhammad s.a.w.

Kedua-Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habshah oleh beberapa orang sahabat
Rasulullah s.a.w termasuk Saidina Uthman Bin Affan ra dan isterinya Ruqayyah binti
Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan aqidah disamping keselamatan
diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.

Ketiga-Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan hijrah. Ia adalah
peperangan yang menguji iman para sahabat kerana ia beraku pada musim
panas.Pertempuran ini dipimpin oleh Rasulullah s.a.w sendiri untuk menentang tentera Rom
yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab. Walau bagaimana
pun pertempuran tidak berlaku kerana tentera Rom membatalkan hasrat mereka lantaran
perasaan gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.

Selain daripada itu,terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku didalam bulan yang
mulia ini seperti kelahiran Imam ahlis sunnah, Imam As-Shafie yang menjadi ikutan
mazhab umat Islam ditanah air iaitulah dalam bulan rejab tahun 150 Hijrah bersamaan 767
Masihi.Demikian juga peristiwa bersejarah iaitu pembebasan semula Palestin dan kota
Baitul Maqdis oleh Solahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera solib juga berlaku dalam
buan Rejab iaitu sekitar 27 Rejab 538 Hijrah.

Kaum muslimin Rahimakumullah,


Sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat didalam bulan rejab. Sesetengahnya pula
akan pergi menunaikan umrah, kerana menganggap umrah yang mereka lakukan didalam
bulan ini ada fadilatnya yang khusus. Tidak kurang juga terdapat umat Islam yang berusaha
memperbanyakkan sedekah pada bulan ini dengan beranggapan mereka akan mendapat
ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.

Walau bagaimanapun, kebanyakkan ulama mutakhirin menyatakan bahawa tanggapan


ibadah-ibadah sunat ini akan mendapat ganjaran berpuluh kali ganda atau beribu kali ganda
adalah tanggapan yang tidak benar. Apa yang pasti bahawa bulan ini adalah termasuk
didalam kelompok bulan-bulan haram dimana umat Islam digalakkan memperbanyakkan
ibadah-ibadah sunat sama ada solat sunat, berpuasa, bersedekah atau lain-lain lagi.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Hakikat ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang yang beramal soleh hanya
dia sahaja yang maha mengetahui. Oleh kerana itu sudah sewajarnyalah didalam bulan
Rejab ini dan juga bulan-bulan yang lain diisi dengan perkara-perkara yang dapat
meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT dan mendapat keredaannya.

Sesungguhnya terdapat banyak hadis-hadis nabi dan ayat-ayat Al-Quran yang memberikan
galakkan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadah tanpa mengira didalam
bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh kerana itu, bersempena datangnya bulan Rejab
ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan seperti mana juga didalam bulan-bulan
yang lain, diantaranya,

1. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan
Rejab.   

Amalan berpuasa sunat adalah merupakan satu galakan daripada Allah SWT kepada umat
Muhammad s.a.w sebagaimana disebutkan didalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Al-
Bukhari  yang bermaksud,

 “Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah SWT berfirman bahawa puasa itu adalah untukKu maka
Akulah yang akan membalasnya”.

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim Al-Ansori, beliau (Uthman)
pernah bertanyakan kepada Said bin Jubair mengenai puasa Rejab. Said menjawab “Aku
mendengar Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa rejab sehingga kami
menyangka baginda tidak berbuka (terus menerus berpuasa) dan baginda berbuka
sehingga tidak nampak berpuasa”.

2. Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan  oleh Hakim bin Hizam yang bermaksud
“Tangan yang diatas (pemberi) lebih baik  dari dari tangan yang dibawah (penerima)”.

3. Memperbanyakkan zikirullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan


sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ra''d ayat ke 28 yang bermaksud: “Hanya dengan
mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia”.
Demikianlah sebahagian amalan-amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam
untuk melaksanakannya. Amalan ini sekiranya diamalkan dengan penuh keikhlasan, sudah
pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. Ini
sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara
maksiat dan masalah sosial yang lain. Malangnya, amalan mulia sebegini sering
ditinggalkan oleh sebahagian umat Islam sama ada oleh golongan muda mahupun golongan
tua. Akibatnya, mereka lebih banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu dan terlibat dengan
pelbagai bentuk kegiatan jenayah.

Saudara-saudariku seaqidah sekalian,

Al-Imam al-Nawawi mengkhususkan suatu bab dalam karya ulungnya Riyadhus Salihin tentang
keutamaan beriltizam dengan surah-surah yang tertentu, juga wirid-wirid yang khusus sebagai
satu komponen yang penting membentuk peribadi salih.Ini termasuk keutamaan membaca al-
Fatihah, ayatul Kursiy, 2 ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Mulk dan 3 Qul ( al-Ikhlas, al-
Falaq & al-Naas ) .

wirid-wirid yang tertentu juga amat mustahak diamalkan kerana ia adalah supplement ruhani
yang sering diabaikan menyebabkan berlakunya kecenderungan melakukan perbuatan-perbuatan
yang haram.Kita juga seharusnya tidak melupakan firman Allah SWT yang menyatakan
bahawa dengan zikrullah, hati mereka akan merasa aman dan tenteram.

Di samping itu ramai umat Islam yang melupakan sabda Rasulullah s.a.w tentang
keutamaan berpuasa untuk mengelakkan diri dari perkara- perkara maksiat.  Inilah
merupakan sebahagian dari program pengabdian diri bagi melahirkan rasa ubudiyyah buat
menongkah perangai mazmumah sebagai persiapan menyemarakkanisemangat Ramadhan.

Marilah kita bersama memulakan tazkiyyah ini dengan melakukan senarai semak atau
bermuhasabah  agar amalan-amalan sunat ini didalam membentuk jiwa dan peribadi yang
sempurna. Dengan bermulanya bulan Rejab ini, anak-anak muda khususnya dan umat
Islam umumnya harus diberikan kesedaran dan sedikit suntikan semangat supaya bersama-
sama menghidupkan amalan-amalan mulia ini dan seterusnya dapat membangunkan diri
mereka menjadi insan yang bertaqwa disisi Allah SWT.

Apa yang kita harapkan agar amalan-amalan didalam bulan Rejab ini dilakukan dengan
penuh keikhlasan dan akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan
kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Firman Allah dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8  bermaksud: “Maka sesiapa yang berbuat
kebajikan seberat zarrah nescaya akan dilihatnya(dalam suratan amalannya)dan sesiapa
yang berbuat kejahatan seberat zarrah nescaya akan dilihatnya(dalam surat amalannya)”.

Anda mungkin juga menyukai