Anda di halaman 1dari 6

oleh 

Cikgu Ghalib pada pada 13hb Februari 2011 pukul 10.35 ptg

MEMORANDUM MEMPERTAHANKAN NOVEL INTERLOK


 
Kepada:
 
YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
 
Izinkan kami menyatakan pendirian kami dengan ikhlas.
 
Isu novel Interlok perlu ditangani dengan bijaksana dan berhemah. Percampuran
antara politik dengan bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan hanya
akan menimbulkan pergeseran yang tidak berkesudahan. Apatah lagi, isu ini telah
dijadikan modal politik untuk mengugut kerajaan dalam pilihanraya DUN Tenang
baru-baru ini. Sekiranya tuntutan politik itu dilunasi, kita bimbang akan berlaku lagi
tuntutan lain yang tuidak munasabah. Implikasinya ialah rasa kecewa dalam
kalangan orang Melayu apabila kerajaan dilihat terlalu tunduk kepada ugutan kaum
tertentu di samping mengabaikan maruah orang Melayu.
 
Kami tidak melihat isu ini lagi dari sudut ilmiah semata-mata tetapi sudah memasuki
ruang politik. Pihak masyarakat India kini tidak lagi diwakili oleh MIC semata-mata
tetapi telah melibatkan pertubuhan-pertubuhan lain yang semuanya bebas bersuara.
Akhirnya kerajaan terpaksa berdepan dengan kecelaruan tuntutan tanpa mengetahui
pihak manakah yang sebenarnya harus dilayani.
 
Apabila hujah-hujah yang dikemukakan oleh wakil MIC dalam pertemuan dengan
wakil Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipengerusikan YB Fuad Zarkashi,
Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia berjaya dijawab secara ilmiah, wakil MIC tetap
bertegas mahu novel itu ditarik balik daripada menjadi buku teks. Keadaan menjadi
lebih rumit apabila mereka mengemukakan alasan tambahan bagi menolak novel
tersebut.
 
Kini timbul pula isu lain seperti ketidaktepatan fakta tentang penari Kathakali,
bahawa Maniam bukan daripada golongan paria berdasarkan cara kedatangannya ke
Tanah Melayu yang tidak mengikut sistem Kangani, geografi India, soal lembu
sebagai binatang suci, perilaku tidak bermoral watak India, dan sebagainya.
Permintaan itu jelas mencabuli hak penulis, kebebasan bersuara, dan kebebasan
dalam sastera. Kita faham setakat mana unsur sensitif yang mesti dielakkan dalam
karya sastera tetapi permintaan mereka benar-benar melampaui batas.
 
Dari sudut ilmiah semua itu dapat dibahaskan, dan dari sudut sastera ketidaktepatan
fakta dalam karya sastera bukanlah suatu kemestian. Namun demikian mereka
mahu semua itu dibetulkan supaya kejelekan orang India ditiadakan langsung.
Permintaan ini langsung tidak munasabah kerana karya sastera tidak boleh dibaca
secara terpisah-pisah tetapi mesti dibaca secara menyeluruh untuk mendapatkan
intipatinya. Secara keseluruhan novel ini diakui bagus oleh semua pihak yang
menyertai dialog yang diadakan beberapa kali.
 
Walau apa pun hujah yang kita berikan dan telah sekian banyak masa dan tenaga
serta wang ringgit dihabiskan untuk melayan kerenah mereka secara beradab,
mereka tetap bertegas meminta buku ini ditarik balik jika tidak dilakukan pemurnian
mengikut senarai yang semakin bertanbah hari demi hari.
 
Mereka mengambil kesempatan daripada kelembutan kerajaan membuat keputusan
demi kepentingan mereka sehingga sanggup mempermain-mainkan kredibiliti
Kementerian Pelajaran Malaysia, dan kerajaan amnya, dan lebih teruk lagi maruah
orang Melayu. Orang Melayu kini tidak lagi dipandang sebagai bangsa yang
berdaulat di negara ini kerana masyarakat India menggunakan helah demokrasi dan
kertas undi sebagai tiket untuk menyamatarafkan kedudukan mereka dengan
bumiputera. Akhirnya, tidak mustahil suatu hari nanti kedudukan istimewa orang
Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit dalam Perlembagaan sekiranya kita tidak
menghentikan gelagat biadab mereka.
 
Oleh hal yang demikian, kami mendesak kerajaan agar bertegas memenuhi
permintaan kami (orang Melayu yang merupakan majoriti dan tuan di negara ini.
Kerajaan tidak perlu melayan sebarang tuntutan bersifat perkauman, terutama yang
dikemukakan secara kasar. Oleh itu, tuntutan mereka yang berkaitan dengan novel
Interlok mesti ditolak kerana ini merupakan tindakan simbolik mereka untuk menguji
ketegasan kerajaan, dan kerajaan juga mesti bertindak secara simbolik untuk
menegaskan pendiriannya.
 
Sekiranya kerajaan berlembut dengan mereka, masalah akan berlarutan kerana akan
banyak lagi tuntutan yang tidak munasabah akan dikemukakan. Akhirnya berlakulah
resam yang sering ditakuti dalam bidalan Melayu: kera di hutan disusukan, anak di
rumah mati kelaparan.
Menghakimi sebuah buku yang sudah lama wujud dalam persuratan Melayu samalah
seperti kita telah menjatuhkan hukuman kepadanya sedangkan ia tidak wajar
diperlakukan demikian. Sekarang kita seolah-olah telah menyifatkan buku itu
sebagai pihak yang bersalah lalu kita mencari hujah untuk menyatakan ia tidak
bersalah. Kita menjadi terlalu apologetik terhadap orang lain yang tidak pun
mempedulikan semangat setiakawan kita secara jujur dan ikhlas.
 
Seyogia diingat bahawa pematuhan kerajaan terhadap permintaan dan tuntutan
bersifat perkauman yang melampau daripada masyarakat India hanya akan
menghiris perasaan orang Melayu. Sekarang, orang Melayu sedang menanti
tindakan sebenar kerajaan dan akan menunjukkan reaksi mereka dalam jangka
pendek mahupun dalam jangka panjang, iaitu pilihan raya. Sekiranya orang India
berani membuat ugutan kepada kerajaan, orang Melayu juga yang jumlahnya lebih
besar akan menuntut perkara yang sama.
 
Permintaan ini perlu difahami sebagai suara orang Melayu keseluruhannya, dan tidak
sama sekali berniat jahat atau menggugat kerajaan. Kami hanya menjaga
kepentingan dan maruah orang Melayu sebagai pemilik ketuanan di negara dan
tanah air kami.
Persatuan Penulis Nasional (PENA) yang sejak awal telah menangani isu ini melalui
beberapa tindakan yang berhemah, termasuk mengadakan diskusi imiah, dialog
antara NGO, dan penghantaran memorandum, sekali lagi meminta kerajaan di
bawah pimpinan YAB Dato’ Sri amnya dan Kementerian Pelajaran Malaysia
khususnya, mengekalkan novel Interlok sebagai teks KOMSAS dalam mata pelajaran
Bahasa Malaysia tingkatan lima tanpa pindaan. Bagi kami, tiada unsur penghinaan
sama sekali dalam novel itu. Pembacaan secara objektif dan akal yang waras tentu
sahaja tidak menemukan sebarang unsur penghinaan terhadap kaum India
sebagaimana yang disuarakan oleh wakil masyarakat India.
Kami ulangi asas pendirian kami sebagaimana yang telah kami nyatakan dalam
memorandum pertama kepada YAB Dato’ Sri pada 11 Januari 2011 seperti yang
berikut:
 
1. Novel Interlok ialah novel sejarah pembinaan bangsa dan pembentukan sebuah
negara Malaysia yang merdeka. Daripada novel tersebut dapat dipelajari susur galur
pembentukan negara dan bangsa Malaysia yang wujud hari ini. Dengan kata lain,
sejarah sosial negara ini dapat diikuti secara halus kerana paparannya dalam bentuk
seni. Secara tidak langsung pelajar dapat mmahami sejarah sekali gus mempelajari
nilai sastera dan bahasa melalui novel tersebut.
 
2. Novel Interlok menampilkan peranan penting tiga kaum terbesar di Tanah Melayu
yang saling membangunkan kegiatan ekonomi, politik dan sosiobudaya, iaitu
Melayu, Cina dan India tanpa prejudis dan bias perkauman. Gambaran realiti
masyarakat tiga kaum terbesar di Tanah Melayu dipaparkan tanpa menghakimi
mana-mana kaum tetapi menggagaskan harapan wujudnya perpaduan yang mutlak.
 
3. Interlok menceritakan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah
Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan
sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Ia juga mengisahkan
kehidupan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah dan
diceritakan dalam bentuk mozaik budaya, tetapi menjurus kepada pertemuan
penyatuan bangsa seperti dalam bab akhir (bab 4), iaitu Interlok.
 
4. Interlok tidak menghina mana-mana kaum di negara ini sebaliknya menonjolkan
gagasan perpaduan untuk melestarikan kemerdekaan bagi sebuah negara yang baru
dibentuk dan berdaulat.
 
5. Setelah 40 tahun novel yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis
Novel Sempena 10 tahun Merdeka itu diterbitkan, tidak pernah timbul sebarang isu
atau kesan negatif dalam masyarakat dan ini membuktikan novel Interlok tidak
mengandungi unsur penghinaan. Malahan sebelum ini pun novel Interlok sudah
menjadi teks sastera bagi tingkatan enam. Kenapakah tiada masalah kekeliruan
timbul pada waktu itu. Adakah pada waktu itu masyarakat India tidak
menyedarinya?
 
6. Kami meragui hasrat dan niat pihak yang mempersoalkan perkara tersebut pada
masa sekarang setelah empat dekad diterbitkan. Kami bimbang tanggapan negatif
kelompok tertentu akan mencetuskan gejala yang tidak sihat kepada perpaduan
yang telah wujud di negara ini. Melayani tuntutan yang tidak munasabah seperti itu
hanya mendedahkan kerajaan kepada risiko sindrom takut pada ancaman
demagogue politik.
 
7. Tuntutan yang dibuat oleh mereka adalah tidak munasabah dan boleh
menyebabkan kerajaan sukar untuk menjalankan tugasnya sebagai pemerintah yang
tegas dan berwibawa, serta akan mengganggu suasana harmoni persekolahan di
negara ini.
 
8. Teks tersebut telah dikaji secara mendalam sebelum diluluskan oleh panel yang
berwibawa dan diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh itu, tidak
wajar kepercayaan yang telah diberikan ditarik balik. Penulis pada asalnya
mengarang novel ini sempena Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka
anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1967. Peraduan ini diusulkan oleh
Tun Abdul Razak (pada masa itu Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan
makan malam anjuran PENA. Tun Abdul Razak ialah seorang pemimpin yang sangat
prihatin tentang soal perpaduan, dan beliau pernah berkata dalam satu ucapan:
"Masalah-masalah yang kita hadapi sekarang dan di masa-masa yang akan datang
adalah adalah berlainan dengan masalah-masalah yang ada sebelum 13 Mei 1969."
(Noor Azam. 1981. Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 7).
 
Novel ini memenangi hadiah sagu hati dan diterbitkan pada tahun 1971 atas arahan
Tun Abdul Razak. Antara panel juri yang menilai penyertaan peraduan ini adalah
mantan Ketua Hakim, Tan Sri Mohamed Suffian Hashim (Pengerusi Panel), termasuk
sarjana universiti, sasterawan, wartawan serta pegawai tinggi kerajaan yang
meminati sastera sebagai panel. Jika novel Interlok dipinda atau diubah isi
kandungannya, ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan panel juri yang terdiri
daripada kalangan mereka yang profesional dalam bidang masing-masing.
 
Saranan
 
1. Bagi mengatasi kekeliruan dalam kalangan pelajar seperti yang didakwa oleh
pihak tertentu, kami menyarankan agar guru yang mengajarkan teks tersebut
dilengkapi kemahiran bersepadu dengan ilmu bantu supaya mereka dapat
membimbing pelajar dalam nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok.
Penjelasan tentang konsep pariah dan nilai dalam agama Hindu yang disentuh dalam
novel tersebut boleh dijelaskan oleh guru secara mudah sekiranya diperlukan.
Malahan inilah antara perkara yang patut disentuh dalam kurikulum di sekolah
mahupun dalam subjek Hubungan Etnik di institusi pengajian tinggi.
 
2. Penubuhan sebuah jawatankuasa baharu untuk mengkaji dan meminda buku itu
tidak relevan sama sekali kerana segala penjelasan telah diberikan oleh para
sarjana.
 
3. Kami menggesa Interlok dikekalkan kerana novel tersebut berperanan penting
dalam membina generasi muda yang celik sejarah dan budaya dan menjunjung
tinggi perlembagaan negara.
 
4. Sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan mata pelajaran sastera secara lebih
serius pada peringkat sekolah dan universiti tanpa mengira aliran pengajian. Dengan
pewajiban itu banyak manfaat akan diperoleh kerana kesusasteraan terbukti
memiliki nilai pendidikan, moral, kehalusan rasa, intelektualiti, dan kreativiti yang
dapat menjana pemikiran pelajar atau generasi muda negara ini. Pemisahan sastera
daripada pelajar beraliran sains dalam bentuk dikotomi merupakan sistem yang
lapuk dan jauh ketinggalan daripada sistem pendidikan di negara-negara maju.
Negara-negara maju tidak pernah meninggalkan kesusasteraan dalam sistem
pendidikannya walaupun bagi aliran sains, tekonologi, dan sebagainya.
 
Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
5 Februari 201

Anda mungkin juga menyukai