Anda di halaman 1dari 2

ISL MINGGU 1 PSV 3101

Seni

Seni adalah suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah. Seni
memenuhi keperluan-keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi oleh
faktor-faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan yang tertentu. Hal ini
telah melahirkan kepelbagaian pengertian seni seperti tradisi, moden dan pascamoden,
mengikut zaman dan masyarakat yang tertentu. Penghayatan dan penghargaan
terhadap seni lazimnya mengambil kira aspek-aspek formal, makna dan konteks
penghasilan sesuatu karya. Seni juga mempunyai pelbagai peranan yang bersifat
psikologi dan sosiologi. 

Secara umum, seni berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang
merangkumi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu mahupun masyarakat. Seni
ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah,
terutamanya dalam bentuk visual (Hornby, 1974: 43). Seni juga disifatkan sebagai
suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan
untuk melahirkan idea dalam bentuk yang nyata (Martin, 1986: 12). Hauser
berpendapat, seni adalah komunikasi (1959). Herbert Read pula menjelaskan bahawa
seni adalah penciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Seni adalah penjelmaan
rasa estetika (1959: 16). 

Seni Visual

Seni visual merangkumi aspek pengkaryaan yang dihubungkan dengan disiplin seni
halus, dan perekaan, yang meliputi bidang-bidang komunikasi visual, reka bentuk
teknologi, dan reka bentuk persekitaran. Ringkasnya, ia merangkumi seni lukis dan seni
reka. Karya seni visual ialah suatu ekspresi visual akan sesuatu idea ataupun
pengalaman yang dibentuk menerusi penggunaan sesuatu bahan ataupun medium
dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu. Pengkarya dan pereka lazimnya
memilih bahan yang sesuai dengan idea ataupun perasaan yang ingin disampaikannya.
Khalayak menikmati karya seni visual apabila bahan yang digunakan pengkarya
dengan cara-cara tertentu membolehkan sesuatu objek atau persembahan itu difahami
ataupun digunakan mereka. 

Karya seni visual yang terbentuk menerusi kombinasi bahan-bahan berbeza disebut
bahan campuran ataupun mixed media. Selain daripada fotografi dan filem yang dirintis
pada abad kesembilan belas, menjelang pertengahan abad kedua puluh, teknologi
ISL MINGGU 1 PSV 3101

moden telah menghasilkan media seni visual yang baru seperti video dan komputer.
Sebagai suatu bentuk komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang
bertolak daripada pemikiran, perasaan, dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank,
1999). 

Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni


visual, justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai contoh, istilah-
istilah seni halus dan seni gunaan telah muncul pada abad ke-18. Seni halus merujuk
kepada penghasilan seni yang berasaskan konsep keindahan ataupun estetika, dan
merangkumi bentuk-bentuk seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi
dan muzik (Osborne, 1979: 407), sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni
berasaskan fungsi seperti produk-produk seni grafik, tekstil, seramik, seni industri,
fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan dalaman, seni landskap,
multimedia dan animasi. 

Di samping seni halus dan seni gunaan, terdapat juga istilah-istilah seni tradisi, seni
keagamaan, seni moden dan seni pascamoden. Seni tradisi lazimnya disifatkan
sebagai bentuk-bentuk seni yang diwarisi oleh sesebuah bangsa dengan penampilan
ciri-ciri tertentu yang boleh mencerminkan identiti masyarakat tersebut. Sebagai contoh,
identiti dalam kesenian tradisi Melayu seperti seni ukir, seni tekstil dan anyaman dapat
dihayati menerusi keseragaman motif-motif dan maknanya. Seni keagamaan pula
mendukung prinsip-prinsip agama tertentu dan ia berbeza di antara satu dengan yang
lain lantaran setiap agama memiliki konsep, tatacara, kaedah dan prinsip yang
tersendiri. 

Kepelbagaian ruang lingkup seni, sama ada dari segi bentuk, makna, teknik, bahan,
dan hubungannya dengan konteks penghasilan, termasuklah pengkarya dan
persekitaran, serta penghayatan khalayak terhadapnya menjadi perkara-perkara asas
kepada bidang Sejarah Seni Visual. Justeru itu, Sejarah Seni Visual adalah suatu
bidang ilmu yang mengkaji perkembangan tamadun manusia menerusi penelitian
terhadap kerja-kerja seni. 

Anda mungkin juga menyukai