Anda di halaman 1dari 8

Rahsia Senjata Melayu yang 

Terkubur

Beribu-ribu tahun dahulu, di Lembah Bujang, terdapat satu peradaban yang makmur.Kota-kota yang
besar dan istana-istana yang mengagumkan. Di satu kawasan, terdapat kilang-kilang membuat peralatan
logam;kilang melebur besi.

Zaman berganti zaman. Tahun berganti tahun. Peperangan demi peperangan. Hasad dengki, khianat,
kekejaman dan penipuan menghiasi tabir. Jatuh dan bangun. Bina kembali peradaban. Berperang lagi…
hancur semuanya…bangkit kembali membina empayar…perang saudara…kedatangan bangsa Eropah
yang tamak….dijajah…dijajah…dijarah…

Bangkit kembali…tentang penjajah…akhirnya merdeka. Kemudian bina negara…bina peradaban kembali.


Perlahan-lahan.

Anak-anak Melayu pun membuka buku sejarah. Apa yang dilihat mereka? Hulubalang Melayu memegang
tombak. Panglima Melayu menghunus keris. Selak lagi..apa dilihat lagi? Gambar lukisan raja Melayu di
atas gajah, dengan askar-askar Melayu menentang penjajah Portugis menggunakan tombak dan keris.
Bertembokkan pancang-pancang kayu dan batang pisang. Gambar askar Melayu mati ditembak istinggar
musuh. Gambar rumah beratap rumbia musnah dibedil meriam. Selak lagi….gambar gabenor British
bercekak pinggang dengan orang-orang Melayu berpakaian selekeh di satu sudut.

Selak lagi…selak lagi…gambar orang-orang Melayu pasca-penjajahan yang berimejkan selekeh, miskin
dan nampak kurang berpendidikan. Membosankan.

Dalam artikel ini, saya akan mendedahkan realiti sebenar peperangan yang disertai orang-orang di
Semenanjung mahupun di pulau-pulau Nusantara (Indonesia). Siri akan mendedahkan betapa antara
orang-orang Melayu pada masa dahulu pandai mencipta meriam dan menggunakan senjata api..Ini
sekaligus menafikan anggapan popular ketika penjajahan dahulu “hendak buat sebatang jarum pun tak
mampu”

Benarkah begitu?

‘Musketeers‘ dan ‘Gunners‘ Melayu

Ketika saya masih kecil lagi, saya masih teringat satu filem lama tahun 80-an berlatar belakangkan
zaman dahulu, mungkin sekitar abad ke 17. Kalau tak silap saya, Dato Rahim Razali ada berlakon dalam
filem itu. Keistimewaan filem ini ialah, ia memaparkan orang-orang Melayu dahulukala berperang
menggunakan meriam-meriam kecil, dalam istilah Melayunya ‘Lela Rentaka’.

Meriam-meriam ini boleh dikendong menggunakan tenaga dua orang, di bawa ke sana sini. Terdapat
satu adegan di mana tentera-tentera bergegas membawa meriam-meriam ini ke medan perang melintasi
sawah-sawah padi.Ada adegan tentera yang tumpas terkena bedilan. Aksi letupan yang begitu ‘real’ dan
suasana selepas perang di mana mayat-mayat bergelimpangan di sawah padi dihurung lalat dengan
darah bersemburan di sana sini. Filem ini begitu istimewa di mata saya, berbanding filem-filem tipikal lain
yang juga berlatarbelakangkan sejarah namun imej peperangan yang membosankan dan kurang tepat;
asyik-asyik berperang menggunakan keris dan lembing. Penggunaan meriam yang meluas di dalam filem
ini amat menarik dan sehingga kini saya masih teringatkan filem itu yang unik dan menimbulkan misteri
kepada saya.
Semakin dewasa dan kelebihan menggunakan maklumat yang banyak di perpustakaan semasa
melanjutkan pengajian ke luar negara membuatkan saya semakin tertanya-tanya; apakah peranan
meriam di dalam budaya orang-orang Melayu dahulukala? Mengapa apabila saya membaca catatan-
catatan para conquistador, pengembara Eropah, pedagang dan duta-duta asing, menyebutkan saiz kapal,
penggunaan meriam dan kemewahan orang-orang Melayu sebelum era penjajahan? Mengapa apabila
membaca buku-buku sejarah di sini, nadanya berlainan? Mengapa catatan pengembara Perancis
berlainan sekali dengan catatan Stamford Raffles dan Leyden? Mengapa pandangan para cendekiawan
Portugis seperti Eredia dan Pires berlainan dengan pandangan para gabenor dan imperialis Inggeris?

Apa yang ingin mereka sembunyikan dari kita?

Apabila orang Thai mengeluarkan filem-filem menceritakan sejarah Patani, mereka menggambarkan
orang-orang Melayu Patani biasa menggunakan pistol dan senapang, apatah lagi meriam. Ini tidak kalah
dengan filem-filem mereka yang menceritakan peperangan menentang tentera Burma. Mereka betul dari
segi sejarah.

Mengapa saya kata begitu? Kerana apabila teknologi meriam semakin maju pada abad ke-14, seluruh
dunia berlumba-lumba mendapatkan teknologi ini. Kerajaan-kerajaan Eropah, wilayah-wilayah bekas
Empayar Abbasiah dan Turki uthmaniyyah, Emperium China dan kerajaan Ayutthia berusaha tidak
ketinggalan dalam soal mengambil tahu atau memiliki meriam malah merekrut rakyat mereka
mempelajari cara membuat meriam. Jadi

ADAKAH SULTAN-SULTAN MELAKA YANG MEMILIKI PELABUHAN PALING KAYA DI TIMUR


MENJADI PEKAK, TULI, BUTA DAN BISU DENGAN PERKEMBANGAN INI?

Padahal raja-raja Melayu Brunei dan Sulu ketika itu sudah biasa bermain dengan pistol dan menjadi
pengeluar meriam kecil terbaik dunia? Sebab itu Sepanyol gerun dan tidak mampu mencabut
‘kemelayuan’ mereka.

Adakah para pedagang yang tiba di pelabuhan Melaka semuanya berpakat untuk menyorokkan berita-
berita tentang meriam, istinggar (musket) dan ubat bedil? Adalah amat tidak logik jika Sultan Melaka
yang pernah menakluk sebahagian Sumatera dan tanah semenanjung malah mengalahkan tentera Siam
menggunakan keris dan lembing sahaja. Tiada satu pun kerajaan yang boleh mengalahkan Melaka ketika
itu KECUALI GABUNGAN TENTERA PORTUGIS,KERAJAAN-KERAJAAN KECIL DI SUMATERA
DAN JAWA, ASKAR-ASKAR UPAHAN DARI GOA, JAWA DAN SIAM DITAMBAH DENGAN
PEMBELOT DAN PENGKHIANAT DALAMAN DARI PARA PEDAGANG ASING DAN ORANG-
ORANG MELAYU SENDIRI.

Hanya filem-filem dan drama pendekar di Malaysia sahaja menggambarkan pendekar Melayu berperang
menggunakan keris dan lembing selepas bergaduh di warung berdinding buluh dan beratapkan rumbia.
Sungguh memalukan.

Apabila orang luar membuat filem tentang Melayu, mereka menggambarkan pendekar Melayu
menggunakan pistol, meriam dan senapang. Malah pendekar Melayu memakai baju kulit dan
sesetengahnya memakai baju zirah; baju besi untuk mengelakkan serpihan peluru meriam melukai
daging kulit. Dari mana mereka mengorek rahsia ini? Dari catatan-catatan sejarah mereka yang diluar
kawalan Raffles,Winsted,Swettenham dan Leyden.

Malah semua senjata ini, yang diwar-warkan asing bagi bangsa Melayu, mempunyai istilah Melayunya
sendiri:
*Cannon = Meriam,Lela

*Portable Cannon/swivel gun = Lela Rentaka

*Flintlock Musket = Istinggar

*Blunderbuss = Pemuras

*Pistol = Terakol

Mari kita lihat antara senjata-senjata ‘terahsia’ Melayu ini:

Pemuras

Pemuras adalah antara senjata yang gemar digunakan oleh orang-orang Melayu dahulukala. Dalam
Perang Naning, catatan askar Inggeris menyatakan orang-orang Melayu amat pandai menggunakan
Pemuras ini sehingga Inggeris terpaksa menghantar beberapa kali pasukan tenteranya menentang Dol
Said dan Perang Naning juga berlaku dalam beberapa siri. Orang-orang Melayu Borneo khususnya orang
Brunei dan Sulu adalah mereka yang selalu menggunakan Pemuras. Pemuras atau dalam bahasa
Inggeris, blunderbuss adalah sejenis alat bedil muat hadapan dengan laras berkaliber pendek, besar,
yang mempunyai muncung peledak hadapan yang berbentuk kembang (funnel-shaped muzzle ).
Pemuras ini menggunakan peluru timah hitam (lead)

Ia digunakan untuk menembak dalam jarak dekat dan selalu digunakan oleh pasukan berkuda
(Dragoons). Perkataan Dragoon ini berasal dari penggunaan Pemuras yang telah dimajukan bentuknya,
menjadi lebih kecil, seperti pistol.

Orang-orang Melayu memanggilnya sebagai Terakol atau Tarkul. Dragoon atau Terakol inilah asal-usul
pistol pada hari ini. Pemuras juga adalah senapang atau bedil yang pertama sekali dicipta untuk tujuan
pertahanan. Dalam masyarakat Melayu, senjata Pemuras dan Tarkul adalah agak popular berbanding di
dunia barat. Penggunaan Pemuras adalah lebih kerap digambarkan di dalam peristiwa perang Melayu
berbanding istinggar atau Flintlock Musket. Mengapa?

Ini kerana pada masa dahulu orang Melayu adalah pelaut dan pengembara yang gigih. Penggunaan
blunderbuss ini adalah amat popular dikalangan pelaut, lanun dan pedagang. Ini kerana ia sesuai untuk
pertempuran secara pantas dan berdepan kerana ia mampu mencederakan beberapa orang musuh
dengan hanya satu tembakan dari jarak dekat.

Pemuras biasanya amat pendek, dengan laras kurang dari 60 cm (dua kaki), pada ketika laras senapang
lantak biasanya melebihi 90 cm (tiga kaki) panjang. Satu sumber menggambarkan senjata dari awal
hingga pertengahan abad ke-17, menyenaraikan panjang laras Terakul kancing roda (wheel lock) sekitar
28 cm (sebelas inci), berbanding 41 cm (enam belas inci) panjang bagi Pemuras.

*Betapa segaknya panglima Melayu menyandang Pemuras berkilat seperti ini.


Dalam budaya masyarakat Melayu, Kesultanan Brunei adalah diantara salah sebuah Kerajaan Melayu
yang menggunakan Pemuras sebagai salah sebuah alat kebesaran kerajaan atau regalia. Ia menjadi
lambang kebesaran Brunei dengan panggilannya yang tersohor ‘Pemuras dan Karga’. Karga ialah bekas
menyimpan peluru pemuras yang dibuat cantik dan berseni.

Pemuras sering dihiasi dengan ukiran yang amat halus dan cantik. Ada juga Pemuras yang dibuat
daripada logam berharga seperti Emas dan Perak serta ditatahkan dengan intan permata. Di dunia barat
penggunaan Pemuras adalah lebih kerap digunakan oleh pasukan berkuda kerana ia mudah digunakan
terutama ketika mengisi peluru.

Jika Soviet meletakkan lambang Avtomat Kalashnikova (AK-47) di duit syililing mereka,Mozambique
meletakkannya di bendera mereka, bayangkan, kerajaan Melayu seperti Brunei ini meletakkan
blunderbuss atau Pemuras ini sebagai lambang kerajaan.

Terakol

Terakol atau Tarkul adalah antara senjata popular dikalangan pelaut, pedagang dan lanun-lanun Melayu.
Tarkul pada awalnya menggunakan teknologi ‘wheel lock’ (kancing roda) di mana kemajuan teknologi ini
membolehkan ia membakar serbuk bedil secara automatik tanpa memerlukan ‘fius’. Terakol berbentuk
seperti pistol dan ia adalah perubahan bentuk dari Pemuras yang dikecilkan. Terakol digunakan di dalam
peperangan Rajah, Datu dan Sultan-sultan di Filipina melawan Sepanyol, juga askar Brunei menentang
Rajah Brooke.

Terakol juga digunakan di Patani dan Melaka. Dalam Perang Naning juga senjata ini digunakan. Sekitar
tahun 1530, Terakol telah menjadi maju dengan penggunaan teknologi flintlock (kancing batu api) dan
sejak itu ia lebih dikenali sebagai pistol di Barat. Ketua Lanun,Laksamana dan Syahbandar Melayu sering
bergaya menyelitkan Terakol ini di pinggang bersama-sama keris mereka.

Istinggar

Istinggar (Bahasa Inggeris:musket) pada awalnya ialah sejenis senjata api jenis berat dengan
penggunaan fius atau wheel lock. Kemudian ia menjadi sejenis senapang yang menggunakan teknologi
flintlock (kancing batu api). Penggunaan flintlock ini meningkatkan kadar tembakan dan mengurangkan
kos pembuatan senjata api. Mula diperkenalkan pada 1630 sebagai flintlock musket, istinggar dengan
pantas menggantikan teknologi picu senjata api lebih awal, seperti mekanisme kancing sumbu
(matchlock) dan kancing roda (wheel lock).

Istinggar juga kerap disebut di dalam hikayat-hikayat lama seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan
juga Hikayat Megat Terawis. Dalam Hikayat Megat Terawis, dikatakan bahawa Megat telah berjaya
membunuh seorang hulubalang yang kebal dan hebat bernama Tun Saban. Tun Saban dikatakan sebagai
seorang yang tidak lut kepada segala jenis senjata kecuali istinggar yang dibuat khas pelurunya.
Istinggar yang digunakan untuk membunuh Tun Saban dikatakan adalah hadiah daripada ulama dari
Hadra-maut kepada raja Pagar Ruyung.

Istinggar inilah yang dikumpulkan terlalu banyak di dalam kota Melaka oleh tentera-tentera Portugis.
Istinggar juga digunakan oleh tentera Johor-Riau terutama ketika membantu Belanda menyerang
Portugis. Istinggar juga digunakan oleh penduduk di Perak ketika menyerang Belanda yang membina loji-
loji di Sungai Perak.

Lela Rentaka

Kehadiran Gabenor negeri-negeri selat SirAndrew Clarke ke Pahang bersama 4 buah kapal yang
dilengkapi meriam dan senjata perang dan beratus-ratus askar Inggeris yang siap memegang senapang
disaksikan oleh seluruh rakyat Pahang ditebing sungai Pahang.Mereka disambut oleh Bendahara Ahmad
yang sudah termakan umpan Inggeris dengan kenduri dan seekor kerbau ditumbangkan!

Kedatangan mereka ini membuatkan hati pahlawan pahang terutamanya Mat Kilau mendidih dan
membuak-buak. Ditambah dengan muncung meriam yang sengaja dihalakan kedepan, nampak sangat
mereka sengaja hendak menunjuk-nunjuk!

Kata Mat Kilau kepada Bendahara Ahmad :

“ Datuk Bendahara, Alangkah baiknya sekiranya kedatangan tuan gabenor ini kita sambut dengan
tembakan meriam rentaka sebanyak tujuh kali sebagai tanda penghormatan” .

“Kita terlupa pula untuk berbuat begitu”

kata Bendahara Ahmad sambil tersenyum seolah-olah faham maksud tersirat Mat Kilau itu.

Gabenor Inggeris itu amat terkejut lalu bertanya

“ adakah kamu sudah mempunyai meriam seperti kami?”

tanyanya dengan penuh kehairanan!

“Orang Pahang sudah ada meriam sejak zaman kesultanan melayu melaka lagi, tetapi ketika Melaka di
serang Portugis, kami tidak sempat menolong Melaka”

jawab Mat Kilau bangga.

“bolehkah kami melihatnya”

kata Gabenor itu lagi.

“Tidak boleh, kita menyimpannya di tempat yang selamat, hanya sewaktu perang saja kita akan
mengeluarkannya”

kata Mat kilau lagi.

Rentaka, adalah sejenis meriam mudah alih, ringan dan kecil dari meriam biasa. Dalam Bahasa Inggeris,
ia disebut Lantakas (gabungan Lela dan Rentaka). Rentaka adalah senjata khas orang Melayu, kerana
mereka sendiri yang menciptanya, sebab itu orang Inggeris menyebutnya dengan Lantakas. Ini adalah
sesuatu yang menarik kerana Rentaka adalah setanding dengan keris dan ia adalah senjata Melayu yang
terkenal di dunia Barat. Rentaka inilah yang saya lihat di dalam filem tahun 80-an itu.
Kebiasaannya rentaka dibuat menggunakan tembaga atau besi dan berukuran diantara 50cm hinggalah 2
meter. Bagi yang berukuran lebih daripada 1 meter kebiasaannya ia di panggil Lela dan ada yang
dipanggil sebagai ekor Lotong kerana mempunyai pelaras yang panjang dan lentik seperti ekor Lotong.
Bangsa penjajah pertama yang merasa penangan rentaka ialah Sepanyol. Mereka menggelarnya sebagai
arquebuses, portable cannons or swivel gun yakni meriam mudah alih. Berbanding dengan meriam biasa,
rentaka kebiasaanya mempunyai hiasan yang lebih terperinci dan cantik seperti ukiran awan larat, naga,
buaya, cicak, ikan lelumba malahan turut diukirkan corak pucuk rebung.

Apa yang unik mengenai senjata ini ialah ianya adalah sebuah meriam mudah alih yang pertama didunia.
Rentaka mempunyai mekanisme yang membolehkan ianya dipusing-pusingkan keatas dan kebawah serta
boleh dipikul dan dipacakkan di kota, tanah atau belebas kapal dan perahu. Hal ini amat berbeza dengan
meriam barat yang sedia di ketahui adalah amat berat dan tidak mudah dialihkan. Ciri mudah alih
Rentaka juga menyebabkan bidikannya lebih mudah untuk kena pada sasaran.

Pahlawan Moro adalah diantara pahlawan rumpun Melayu yang dikatakan sebagai pembuat rentaka yang
terbaik . Orang Moro telah menggunakan rentaka sebagai senjata api utama ketika diserang oleh
Sepanyol dan ketika mereka menyerang kapal-kapal Sepanyol. Tentera Sepanyol dikatakan amat takut
dengan senjata tersebut kerana diantara banyak-banyak senjata, rentaka adalah salah satu senjata yang
menyebabkan kematian dan kerugian terbesar bagi pihak mereka. Selain daripada orang Moro, Kerajaan
Brunei juga dikenali umum di kalangan para pedagang dan penjajah sebagai pengeluar rentaka
terbanyak dan terbaik di Alam Melayu. kebanyakan daripada rentaka yang ada di Muzium di seluruh
dunia sekarang ini adalah berasal dari Brunei kalau tidak Filipina. Di Semenanjung, Jawa dan Sumatera,
penggunaan rentaka adalah kurang terutama setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

Kehebatan senjata api buatan bangsa Melayu ini menjadi buah mulut dan kekaguman para penjajah
barat seperti Portugis, Sepanyol dan Belanda sehinggakan mereka telah meniru teknologi pembuatan
rentaka bagi melengkapkan persenjataan mereka. Sehingga abad ke 18 dikatakan penghasilan rentaka di
Alam Melayu semakin berkurangan malahan negara yang mengeluarkan rentaka terbaik dan terbanyak
adalah negara Belanda.

Meriam/Lela

*Meriam Seri Patani yang diletakkan dihadapan bangunan Kementerian Pertahanan


Thailand

Meriam mempunyai sejarah yang panjang, terahsia dan digelapkan dalam sejarah Melayu. Meriam
digunakan di tembok-tembok kota Melaka. Meriam digunakan di semasa peperangan melawan penjajah
di Selangor. Meriam digunakan di Pasir Salak. Meriam digunakan di Singgora melawan Thai dan Inggeris
dan Belanda. Meriam adalah cukup sinonim dengan seni peperangan Melayu. Jika Brunei dan Sulu
terkenal mengeluarkan Rentaka (meriam mudah alih) terbaik, maka Patani pula adalah pengeluar meriam
paling terbaik di Asia Tenggara suatu ketika dahulu.

Sebelum kemunculan meriam, pada awalnya teknologi artileri atau bedilan ini diperkenalkan oleh orang-
orang Cina. Kemudian meriam diperkenalkan oleh Empayar Turki Uthmaniyyah, yang juga merupakan
pembuat meriam yang menggerunkan seluruh Eropah ketika itu. Kemudian pedagang Belanda pula
memperkenalkannya.
Meriam yang paling terkenal dalam masyarakat Melayu ialah Seri Nagara, Seri Patani dan Mahalela. Dan
meriam Seri Nagara dan Seri Patani ini adalah meriam yang terbesar di Asia Tenggara! Menariknya bukan
orang lain yang membuat dan memilikinya, tetapi orang Melayu juga!

Meriam-meriam ini adalah milik Kerajaan Patani. Sebagai tindak balas berikutan khabar angin akan
serangan Siam ke atas Patani, Raja Kerajaan Melayu Pattani pada waktu itu iaitu Raja Biru (1616-1624)
telah menugaskan seorang lelaki Cina-Islam yang bernama Tok Kayan (Lim To Khiam) untuk mengetuai
pembinaan meriam-meriam kerajaan. Tiga buah meriam telah dibina iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan
Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama manakala Mahalela pula lebih kecil iaitu
hanya sepanjang 5 hasta 1 jengkal. Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam
ke atas Patani iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638.

Selepas kejatuhan Ayutthaya pada 1767, kerajaan Patani di bawah pemerintahan Sultan Muhammad
(1776-1786) telah cuba untuk membebaskan diri daripada ancaman Thai (yang telah mengalahkan
kerajaan Ayutthaya). Bagaimanapun, pada 1785 pasukan tentera Thai di bawah kepimpinanan Panglima
Phraya Kalahum telah berjaya menewaskan Patani. Dua buah meriam besar iaitu Sri Patani dan Sri
Nagara telah diambil sebagai rampasan perang, bagaimanapun Sri Nagara telah jatuh ke dalam laut di
Kuala Patani semasa hendak dipindahkan ke dalam kapal. Meriam Mahalela pula telah hilang tanpa dapat
dikesan.

Pada 1787, Raja Rama I telah mengarahkan pembinaan meriam yang sama saiz dengan Sri Patani yang
dinamakan sebagai Narai Sanghan untuk diletakkan bergandingan dengan Seri Patani yang telah di
tawan. Jika anda melihat kepada gambar meriam seri Patani di atas, bolehkah anda bayangkan kekuatan
meriam tersebut ketika ia membedil kapal-kapal perang Thai. Menurut Hikayat Patani tiga buah meriam
kerajaan Pattani ini telah berjaya mengaramkan banyak kapal Thai ketika Kerajaan Thai menyerang
Pattani. Anda boleh membayangkan suasana meriam-meriam ini digunakan dan peperangan tersebut
dengan menonton filem Queen of Langkasuka. Meriam-meriam Melayu boleh dilihat juga di Kota
Melawati dan Pasir Salak pada hari ini.

Setelah mengetahui fakta sejarah yang digelapkan dari pengetahuan kita ini, adakah kita masih berfikir
nenek moyang kita berperang menggunakan sumpit, lembing dan keris? JIka nenek moyang kita
berperang dengan senjata-senjata itu sahaja, alamat kita sekarang bukanlah duduk di Malaysia, tetapi di
sebuah negeri Inggeris lain, seperti Australia. Sebab orang-orang Melayu mempunyai senjata-senjata
beginilah mereka mampu mempertahankan takhta raja-raja mereka dan sedikit sebanyak mengawal
tindak tanduk penjajah yang ganas dan tamak .Bayangkan betapa gigih nenek moyang kita dahulu
memikul rentaka, membawa Pemuras di samping parang dan keris, menentang ketamakan dan kebuasan
penjajah. Jika nenek moyang kita dahulu lembik tidak berjuang mempertahankan tanah air, mungkin hari
ini kita akan menjadi seperti Red Indian atau aborigine Australia. Inggeris walaupun buas dan kejam,
namun masih menjaga ‘standard’ mereka cuba menghormati perjuangan orang-orang Melayu
mempertahankan warisan. Mereka cuba mengawal alter amuk para musketeers (ahli senjata api) dan
gunners (ahli meriam) Melayu dengan cuba meletakkan para residen mereka terlebih dahulu di setiap
negeri Melayu. Apa salahnya Inggeris membawa balatenteranya meranapkan takhta-takhta raja-raja
Melayu ini terus atau menghalau mereka sepertimana mereka menumbangkan raja-raja Tamil, Hindi dan
Maharaja Moghul di India. Sultan Abdullah memang dibuang ke Pulau Seychelles, namun yang peliknya
Inggeris berusaha mengadakan raja baru di Perak dengan membiarkan institusi beraja Perak menabalkan
pengganti Sultan Abdullah. Pelikkan? Apa salahnya Inggeris melantik sahaja Hugh Low menjadi ‘Raja
Perak’ sebagaimana James Brooke menjadi Raja Sarawak. Biar warisan raja-raja Perak hancur
sebagaimana mereka berjaya menghancurkan dinasti raja China dan India. Tetapi ini tidak berlaku.
Bukan sahaja orang Melayu, malah ‘Mat Salleh’ pun berdegil ‘mempertahankan’ takhta raja-raja Melayu
.Lucu dan aneh. Sebenarnya jika kita bersemangat mempertahankan warisan budaya kita
sendiri, orang lain pun akan segan dan hormat pada kita.
Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, dengan pendedahan ini yakinlah kita bahawa orang Melayu adalah bukanlah
bangsa yang lemah dan hanya mengenal keris dan tombak sahaja malah pandai menggunakan meriam
dan membuatnya juga! Orang Melayu juga biasa menggunakan musket (Istinggar) dan pistol (Terakol).

Terakol juga terkenal kerana buatannya yang berseni dan berukiran halus.Sehingga ke hari ini saya
masih terngiang-ngiang jeritan hulubalang Melayu meledakkan Rentakanya di dalam filem 80-an itu.
Adegan dua orang hulubalang mengandar batang Rentaka yang diikat pada sebatang kayu sambil meniti
batas-batas sawah meninggalkan misteri yang aneh kepada saya. Kenapa drama dan filem lain tidak
seperti filem yang satu ini? Siapa pengarah filem ini? Sungguh, saya betul-betul tabik pada pembuat filem
itu,malangnya saya terlupa tajuk filem itu.

Jadi fikirkan,adakah Inggeris dan Belanda takutkan orang-orang Nusantara yang menentang mereka
menggunakan sumpit,lembing dan keris (kesampingkan ilmu mistik,kita bercakap soal realiti)? Tidak
sama sekali. Para musketeers dan gunners Melayu inilah antara ‘penggerun’ mereka dan membuatkan
Inggeris berfikir 10 kali untuk menghapuskan raja-raja Melayu, mengkristiankan seluruh orang Melayu
dengan paksaan dan menjadikan Tanah Melayu seperti Amerika dan Australia. Alangkah bagusnya kalau
dalam buku-buku sejarah terdapat gambar ini.Betapa megahnya hulubalang Melayu menyangkutkan
blunderbassnya (Pemuras) di bahu.

Dalam legenda Melayu, berkaitan ilmu mistik dalam kategori ilmu kebal, antara pantang orang yang
mengamalkan ilmu kebal ialah peluru emas. Dan ini adalah benar, dan askar Belanda menggunakan
peluru emas untuk menundukkan pahlawan-pahlawan Melayu di Sumatera dan Jawa. Malah Tok Janggut 
juga dikatakan dikhianati orangnya sendiri berkenaan rahsia ini. Jadi fikirkan,dalam amalan mistik Melayu
itu sendiri menyebutkan perihal peluru emas, masakan orang Melayu ketika itu masih terkebil-kebil
memegang lembing berhadapan dengan askar Portugis yang bersenjatakan matchlock musket,
blunderbuss dan cannon?

Bibliografi:

Melayu Nusantara

Sejarah Kesultanan Brunei

Sulalatus Salatin

Surat-surat Antonio de Pigafetta dan Maximilius Transylvanus

Dan kajian persendirian yang lain

Anda mungkin juga menyukai