Anda di halaman 1dari 2

Bicara Canseleri: Kenang jasa guru

GURU ibarat lilin yang menerangi, tugas murni mereka kini semakin dianggap sepi. Tidak
dinafikan sebagai manusia biasa mereka juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan yang dilihat
sebagai menghukum untuk kebaikan. Bagaimanapun tindakan itu dihakimi masyarakat tanpa memikirkan
kesannya kepada institusi pendidikan. Ikuti pandangan peranan guru dan cabarannya oleh Naib Canselor
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayub kepada wartawan unit pendidikan,
Norliza Abdullah.
HARI Guru yang jatuh pada 16 Mei setiap tahun disambut meriah di seluruh negara. Pelajar
meraikan jasa guru dan ibu bapa mengucapkan terima kasih kepada golongan pendidik itu, manakala
Kementerian Pelajaran juga mengadakan pelbagai acara bagi meraikannya. Sempena hari bersejarah ini
marilah kita merenung pepatah Melayu ‘Guru ibarat lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain’.
Pengertian ini sangat mendalam. Ia bermakna, guru sedia berkorban, masa dan tenaga demi memastikan
anak didiknya berjaya. Namun, kebelakangan ini, rasa hormat dan sayangkan guru semakin terhakis bukan
saja pelajar atau murid sudah tidak begitu hormat kepada mereka, malah ibu bapa juga menunjukkan sikap
angkuh dan rendahkan guru, kadang-kadang di hadapan pelajar sendiri. Oleh itu, amatlah wajar sekali kita
mengembalikan rasa hormat kepada guru dalam apa cara sekalipun di Hari Guru ini untuk mengenang jasa
mereka kita. Guru adalah manusia biasa, ada kala mereka melakukan kesilapan, tetapi berapa kerat yang
berbuat begitu?
Boleh dikatakan 99 peratus daripada lebih 360,000 guru di Malaysia adalah mereka yang sentiasa
mempunyai rasa tanggungjawab dan detik hati kecil untuk membantu anak didiknya berjaya. Tidak ada
guru yang akan berfikiran sebaliknya malangnya masyarakat suka dan cepat melihat keburukan daripada
kebaikan dengan memberi tumpuan kepada kejadian yang dilaporkan media mengenai keburukan dan
menghukum dengan pandangan serong serta prasangka, khususnya ibu bapa. Keadaan ini
membimbangkan kerana kerap berlaku ibu bapa tanpa usul periksa hanya mendengar sebelah pihak dan
menyerang guru dengan mengambil tindakan yang menjejaskan kewibawaan mereka. Kata orang ‘hormat’
tidak boleh diminta kerana ia adalah balasan daripada rasa hormat ditunjukkan. Kini profesion perguruan
diberi pengiktirafan kerajaan dengan adanya Skim Gred Khas C dan Pengetua Jusa C serta gred lain yang
membolehkan ramai guru menikmati gaji lebih tinggi berbanding 10 atau 20 tahun lalu.
Latihan diterima semakin tinggi dan kini semua guru sekolah menengah dan hampir 50 peratus di
sekolah rendah mempunyai sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda, berbanding 10 tahun lalu di mana
kelayakan mereka sekadar diploma atau sijil perguruan. Dengan adanya latihan dan kelayakan lebih tinggi,
guru lebih berpengetahuan mendidik pelajar di sekolah. Ramai juga di kalangan mereka kini mempunyai
Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. Saya rasa bangga kerana guru mempunyai kelayakan
akademik tinggi berbanding rakan mereka di negara membangun lain, seperti India, Pakistan, Thailand,
Indonesia, malah China sekali pun. Dari segi kelayakan, guru kita cukup berkelayakan. Tetapi mengapakah
kita masih mendengar rungutan dan laporan pelbagai masalah di sekolah? Bagi saya ada pelbagai faktor
yang perlu dipertimbangkan. Paling utama ialah desakan dan harapan ibu bapa, mereka sentiasa mahu
anak masing-masing berjaya, mencapai gred A dan cemerlang dalam peperiksaan.
Tetapi mereka tidak melakukan sesuatu bagi membantu dan mendidik anak yang sentiasa
dahagakan kasih sayang, memberi masa berkualiti kepada anak untuk memberi teguran dan nasihat. Ibu
bapa mungkin mampu menghantar anak mereka ke kelas tuisyen kerana mahukan keputusan cemerlang.
Tetapi sejauh mana mereka mampu memberi perhatian mendidik supaya mempunyai akhlak baik,
berdisiplin dan berbudi bahasa.Di sekolah, guru tetap mendidik, tetapi mereka juga memerlukan masa
mengajar silibus yang padat. Cabaran yang mereka hadapi amat berat. Oleh itu, ibu bapa mestilah
bersama-sama melaksanakan tanggungjawab membina budi pekerti dan disiplin pelajar supaya mereka
dapat dilahirkan sebagai modal insan berjaya dan cemerlang. Tanggungjawab guru pada abad ke-21 lebih
mencabar berbanding dekad sebelumnya. Cabaran daripada kesan globalisasi, liberalisasi dan
perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menuntut mereka terus gigih berusaha bagi mendidik
anak bangsa yang mampu bersaing.
Guru harus mempunyai semangat dan daya juang tinggi. Tidak ada sikap tidak boleh, tidak yakin,
tiada masa, tiada kemahiran dan sebagainya. Ciri guru yang lebih berdaya saing ialah mempunyai
keyakinan diri, kemahiran terkini, masa yang mencukupi, kreatif dan inovatif,menolak segala alasan dan
menerima segala cabaran.Hal ini bertepatan ungkapan “Teachers open the door. You enter by yourself”,
yang bermaksud, guru sedia memberi segala ilmu yang ada dan terpulang pelajar mencorakkan keadaan
yang akan datang. Oleh itu, kita menjadi saksi bahawa profesion perguruan bukanlah satu pekerjaan
mudah dan boleh dipandang ringan. Walau apa sekalipun, setiap guru mesti bersedia menghadapi cabaran
mendatang, sama ada daripada murid, ibu bapa atau ahli masyarakat pelbagai lapisan dengan tabah,
profesional, beretika dan jujur serta penuh berakauntabiliti. Dengan itu guru sudah menjunjung
profesionnya ke tahap tinggi.

Anda mungkin juga menyukai