Anda di halaman 1dari 4

Keistimewaan Surah ali-Imran

Tafsir Al-Quran & Asbabun Nuzul

Mukadimah
Surah al-Imran.
Segala puji bagi Allah SWT selepas selesai surah al-Baqarah, pada kali ini akan dibincangkan
berkenaan dengan surah ali-Imran. Nama surah ini dengan ali-Imran iaitu keluarga Imran kerana
terdapat kisah mereka dalam ayat 33 hingga beberapa ayat selepas itu. Surah ini mengandungi
200 ayat.

Kebanyakan ulama dan ahli tafsir menganggap ia termasuk dalam surah Madaniah iaitu
diturunkan di kota Madinah selepas hijrah seperti riwayat Ibnu Abbas.

Al-Qurtubi berkata: “Surah ini merupakan surah Madaniah secara ijmak..”

Al-Hafiz Ibn Kathir dalam tafsirnya mengatakan: “Surah ini mempunyai kelebihan yang
disekalikan dengan surah al-Baqarah seperti sabdanya: Hendaklah kamu pelajari surah al-
Baqarah dan ali-Imran kerana kedua-duanya ibarat dua zahrawani yang memayungi pembacanya
pada Hari Kiamat atau kedua-duanya seolah-olah awan yang memayunginya.”

Sebahagian ulama menafsirkan maksud al-Zahrawani dengan dua cahaya.

Mengikut riwayat Muslim dalam sahihnya, surah ini dan surah al-Baqarah digelar sebagai al-
Zahrawani iaitu dua bunga (lambang keelokan dan kecantikan).

Surah ini mempunyai beberapa nama yang lain antaranya digelar dengan al-Aman (keamanan),
al-Kanz (simpanan dan khazanah), al-Muinah (yang menolong), al-Mujadilah (yang berdebat)
dan juga digelar sebagai surah al-Istighfar.

Mengikut riwayat al-Tabrani dan al-Haithami dengan sanad yang daif: “Rasulullah SAW
bersabda: Siapa yang membaca surah yang disebut padanya ali-Imran pada hari Jumaat nescaya
Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atasnya hingga tenggelamnya matahari.”

Ibnu Abi Shaibah meriwayatkan daripada Abd. Malik bin Umai katanya: “Seorang lelaki telah
membaca surah al-Baqarah dan ali-Imran. Kemudian Kaab berkata: “Lelaki ini telah membaca
dua surah, sesungguhnya pada kedua-dua surah tersebut terdapat nama Allah apabila dia berdoa
nescaya diterima Allah SWT.”

Kaitan dan hubungan surah ini dengan surah al-Baqarah


Al-Alusi dalam Ruh al-Maani berkata: Wajah munasabahnya menyebut bahawa banyak
permasalahan mujmal disyarahkan di dalam surah ini.
Surah al-Baqarah sebagai mendirikan hujah dan surah ini sebagai menghilangkan segala syubhat
dengan sebab itu diulangi padanya dengan matlamat menyatakan kebenaran dan kesahihan kitab
daripada Allah SWT yang berfungsi sebagai petunjuk ke jalan yang sebenar.

Sheikh al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya
adalah seperti berikut:

- Kedua-dua surah dimulai dengan menyebut al-Kitab dan keadaan manusia yang dipimpin oleh
al-Quran. Pada surah yang pertama disebut tentang orang yang beriman dan yang tidak beriman
kepada al-Quran, dan golongan yang ragu-ragu. Sedangkan pada surah yang kedua disebut
segolongan orang yang menyeleweng, iaitu orang yang mengikut ayat-ayat mutasyabihat, ayat
yang menimbulkan salah faham.

Mereka berbuat demikian dengan tujuan untuk menimbulkan fitnah. Sementara itu, sebahagian
lagi orang yang ilmunya sangat mendalam. Merekalah orang yang beriman kepada ayat-ayat
yang muhkamat dan mutasyabihat.

Seterusnya, mereka menyatakan bahawa kedua-dua surah ini datang daripada Allah SWT.

- Pada surah yang pertama disebutkan penciptaan Nabi Adam a.s.. Pada surah yang kedua,
disebutkan penciptaan Nabi Isa a.s.

Persamaan di antara surah kedua dengan yang pertama adalah kedua-dua kejadian tersebut
berlaku di luar ketentuan Allah SWT yang sering berlaku.

- Kedua-dua surah ini mengandungi bantahan terhadap ahli kitab. Akan tetapi pada surah yang
pertama, huraian bantahan dinyatakan dengan panjang lebar mengenai kaum Yahudi, tetapi
huraian secara ringkasnya tentang kaum Nasrani. Walau bagaimanapun pada surah yang kedua
adalah sebaliknya.

Hal ini disebabkan kaum Nasrani datang selepas kaum Yahudi. Oleh itu, pembicaraan tentang
mereka menyusul selepas pembicaraan pertama.

- Pada akhir kedua-dua surah ini mengandungi doa. Pada surah yang pertama, doanya memohon
kemenangan ke atas orang yang mengingkari dakwah dan yang memerangi pendukungnya, serta
permohonan dihilangkan beban yang di luar kemampuan. Hal seperti ini selaras dengan proses
permulaan Islam.

Pada surah yang kedua pula, doanya mengajak manusia menerima seruan agama dan memohon
ganjaran di akhirat kerana kesediaan menerima agama Islam.

- Surah yang kedua diakhiri dengan masalah yang sejajar dengan permulaan surah yang pertama.
Ia dianggap sebagai pelengkap. Surah yang pertama dimulai dengan penegasan bahawa
kebahagiaan hanyalah untuk orang yang bertakwa dan surah ini di akhiri dengan firman Allah
SWT: Dan bertakwalah kamu kepada Allah SWT supaya kamu berbahagia.

Isi kandung surah ini :

Sheikh Muhammad Abu Zahrah dalam kitab tafsirnya Zahratu al-Tafasir berkata:
Kandungan surah ini seperti berikut:

- Penjelasan dengan al-Quran dan pembahagiannya sama ada ayat muhkam dan mutasyabih.

- Dinyatakan kisah keluarga Imran, kelahiran Mariam, kisah Nabi Yahya dan Isa yang
menunjukkan kekuasaan Allah SWT dan kesempurnaan iradat-Nya terhadap makhluk-Nya.

- Penjelasan berkenaan mukjizat Nabi Allah Isa atas beberapa kurniaan seperti mengubati yang
buta menjadi celik.

- Mujadalah Nabi SAW dengan Kristian dan Yahudi serta pendedahan akhlak mereka dan juga
gambaran sebenar hati mereka.

- Penerangan bahawa Islam pada dasarnya dan maknanya merupakan agama setiap Nabi kerana
itulah agama Allah SWT yang kekal abadi.

- Penjelasan berkenaan kefarduan haji dan kesatuan Islam diperlihatkan juga bentuk dan
wasilahnya. Begitu juga kefarduan amal makruf dan nahi mungkar.

- Penjelasan berkenaan dengan kewajipan pemimpin umat supaya tidak menjadikan pemegang
amanah setia. Di samping itu, menerangkan berkenaan peperangan Uhud dan sebab
kekalahannya.

- Menerangkan berkenaan dengan amalan orang munafik dan sikap mereka ketika menang dan
kalah.

- Menjelaskan kepada Nabi jika ia didustakan, sebenarnya Nabi-nabi terdahulu telah didustakan
seperti ayat 184.

- Penerangan bahawa Allah SWT pasti menguji orang beriman bertujuan untuk menggilap
keimanan mereka.

- Penerangan berkenaan dengan akhlak orang yang beriman dan fikiran mereka dan berkaitan
penciptaan langit dan bumi. Begitu juga doa dan tadarruk mereka.

- Surah ini Allah SWT menutupi dengan mengajak orang yang beriman supaya berjihad terhadap
golongan musyrikin dengan bertakwa dan sabar, di samping membuat persediaan seperti
termaktub dalam ayat 200.
Semoga kita menjadi golongan yang mencintai surah ali-Imran dengan membaca, mengkaji,
tadabbur, seterusnya mengamalkannya supaya kita menjadi golongan yang benar-benar
mendapat petunjuk dan hidayah al-Quran. Amin

Anda mungkin juga menyukai