Anda di halaman 1dari 2

LAMPIRAN

Petua Membina Keyakinan Diri


Oleh : Esa Alhaj
(IPG, KTI JB)

Seseorang yang berkeyakinan diri pada umumnya, mampu mengatasi masalah dengan lebih
mudah dan berkesan. Keiltizaman yang terhasil dalam diri serta kematangan membuat
pertimbangan dalam pemikiran memudahkan seseorang membuat keputusan yang lebih jitu dan
tepat semasa menyelesaikan satu-satu masalah dalam kehidupan. Hidup manusia pasti akan
berdepan dengan pelbagai ujian sama ada ujian kesenangan mahu pun kesulitan. Ujian-ujian
sedemikian sebenarnya menjadikan diri kita lebih matang dan lebih bersedia untuk meneruskan
kehidupan selanjutnya.
Seterusnya, kemahiran mengawal diri merupakan pelengkap kepada set mental keyakinan
diri. Sebagai contoh, seseorang yang ingin menyampaikan sesuatu ucapan di hadapan
sekelompok audiens pasti memerlukan satu set mental kemahiran mengawal diri di hadapan
audiens. Kemahiran mengawal diri sebenarnya menghasilkan satu bentuk keyakinan diri untuk
seseorang melaksanakan sesuatu tugas atau aktiviti sesuatu pekerjaan. Namun, dalam masa yang
sama, kita perlu mengelakkan perasaan sombong setelah berjaya mencipta sesuatu kejayaan.
Perasaan tersebut boleh membunuh kreativiti diri seseorang, malah boleh menyebabkan diri
sendiri tidak disenangi oleh rakan-rakan. Bersyukurlah kepada Allah s.w.t atas kejayaan yang
anda capai dan berusahalah selagi ada kemampuan untuk mencipta kecemerlangan dalam
kehidupan.
Berikut disenaraikan beberapa tips untuk membina keyakinan diri:
1. Pelajari kemahiran yang diperlukan dalam satu-satu kemahiran khusus. Rasa yakin diri
akan terbina setelah kita mempelajari atau menguasai kemahiran yang diperlukan dalam
sesuatu pekerjaan. Sebagai contoh, jika seseorang guru ingin mempunyai keyakinan diri yang
tinggi, guru tersebut disarankan mempelajari pendekatan, kaedah dan teknik-teknik
pengajaran yang sesuai dengan aras pengetahuan dan kemahiran pelajar. Begitu juga dengan
pekerja-pekerja sektor lain yang perlu menguasai kemahiran dalam bidang tugas yang
diceburi.
2. Buat latih-tubi atau ulangan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi sesuatu
situasi. Sebagai contoh, pidato,deklamasi sajak, ucapan, atau atau temu bual berdasarkan
situasi yang diperlukan. Ingatlah bahawa latihan adalah asas kesempurnaan.

1
3. Buat tinjauan awal dan dapatkan maklumat sebenar tentang sesuatu situasi sebelum kita
menetapkan anggapan atau kesimpulan terhadap situasi yang dijangkakan menimbulkan
masalah.
4. Jangan jadikan kesilapan sebagai halangan untuk berjaya. Anda boleh jadikan kesilapan
itu sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri dan bukannya untuk membunuh kreativti dan
semangat. Tumpukan perhatian pada situasi atau keadaan yang sedang atau akan dihadapi.
5. Fikirkan sesuatu yang menarik dan positif tentang orang yang akan dihadapi dalam satu-
satu situasi tertentu. Namun, anda juga harus bersedia untuk menghadapi sebarang
kemungkinan sebagai langkah berwaspada.
5. Setiap manusia tidak sunyi dari membuat kesilapan. Hal yang demikian jelas
menggambarkan situasi rasional untuk anda supaya lebih redha terhadap sebarang
kemungkinan yang berlaku.
6. Sering amalkan sikap bersyukur dan berterima kasih. Buat catatan, refleksi atau
kenyataan positif dalam jurnal atau diari bagi membantu kita membentuk sikap yang positif
terhadap kehidupan ini.
7. Kita harus bersedia untuk menerima kritikan. Jangan mudah berkecil hati hanya dengan
sebab-sebab kecil yang tidak berasas. Kawal minda anda agar berfikir secara rasional dan
seimbang.
Kadang-kala anda mungkin dihujani dengan pelbagai kritikan semasa menjalankan
tugas.Dalam hal ini, kita harus sedara bahawa manusia memang ada pelbagai cara untuk
mengkritik. Ada yang mempunyai kemahiran menegur secara membina dan tidak kurang pula
yang kurang kemahiran bahasanya. Apatah lagi, memang terdapat segelintir manusia yang
kurang sedikit adabnya. Tenangkan diri buat seketika jika sekiranya anda menerima sebarang
kritikan terutama yang bersifat destruktif. Setelah itu, anda perlu bangkit kembali dengan
langkah yang lebih mantap, dada yang lapang dan fikiran yang terbuka. Ingatlah bahawa
anda mempunyai agenda yang lebih besar iaitu meningkatkan kualiti diri anda tanpa perlu
memikirkan soal remeh-temeh. Latihan minda dan pujukan diri sendiri perlu dipraktikkan
dalam proses memaafkan orang-orang yang yang sedemikian. Kesimpulannya, keyakinan diri
dapat dibina melalui ilmu, amalan, kemahiran serta keazaman untuk mencapai kejayaan
dalam kehidupan yang diredhai oleh Allah s.w.t.

Anda mungkin juga menyukai