Anda di halaman 1dari 4

Bendung sikap anak suka menipu

Oleh Hafizah Iszahanid

Ibu bapa, rakan dan persekitaran dorong kanak-kanak berbohong

WALAUPUN anda biasa bertemu dengan kanak-kanak yang suka menipu, tetapi kecenderungan
itu sebenarnya tidak normal. Ia sikap yang tidak baik dan jika dibiarkan boleh terbawa-bawa
hingga dewasa.

Ada banyak perkara menyebabkan kanak-kanak menipu. Misalnya, dia melakukan perkara yang
tidak disukai ibu bapa. Justeru, bagi mengelak dimarahi, kanak-kanak lebih rela menipu. Kanak-
kanak membentuk sikap dan peribadinya menerusi pemerhatian. Kadangkala kanak-kanak
menipu kerana pengaruh kawasan atau suasana dia dibesarkan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti
Malaya (UM), Dr Mariani Md Noor, berkata sikap ibu bapa yang banyak memberi jawapan ‘tidak’
kepada setiap permintaan anak tanpa memberi alasan logik menyebabkan kanak-kanak suka
menipu.

“Mungkin mereka tidak faham mengapa ibu bapa menolak permintaan mereka. Justeru, mereka
lebih teruja untuk terus melakukan perkara yang dilarang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kadangkala ibu bapa memberi alasan yang mudah, misalnya jangan
makan ais krim nanti demam. Jawapan itu terlalu mudah dan tidak jelas.

“Mungkin ibu bapa boleh kata, tidak boleh makan ais krim kerana proses membuatnya kotor atau
tidak menggunakan air yang dimasak,” katanya.

Dr Mariani berkata, setiap alasan itu mesti rasional dan berdasarkan kefahaman kanak-kanak
selain keupayaan dia berfikir. Jangan memberi alasan yang dia tidak faham.

Selain itu, arahan ibu bapa yang tidak konsisten juga menyebabkan kanak-kanak menipu.
Misalnya, ibu bapa melarang dia merokok atau menonton televisyen hingga larut malam,
sebaliknya ibu bapa pula yang merokok. Dalam konteks ini anak mudah keliru.

Dr Mariani berkata, anak juga memerhati sikap adik beradik yang lebih tua. Mungkin abang dan
kakaknya dapat mencapai sesuatu tanpa pengetahuan ibu bapa. Jadi dia pun turut terpengaruh.

Contoh mudah, ibu bapa mungkin tidak membenarkan anak bermain di jalan raya tetapi apabila
ibu bapa keluar bekerja, mereka bermain juga di jalan raya.

“Pada kanak-kanak, menipu bukan sesuatu yang salah, sebaliknya mereka merasakan ia sebagai
cara untuk memenuhi keinginan,” katanya.
Dr Mariani berkata, selain suasana di rumah, persekitaran di sekolah juga menggalakkan kanak-
kanak menipu kerana terikut-ikut dengan kawan.

“Kanak-kanak belajar daripada proses peniruan. Mereka memiliki ‘absorb mind’, apa yang
dilihatnya waktu kecil dan sepanjang proses pembesarannya. Ada sebahagian memori itu kekal
dalam ingatannya untuk tempoh panjang. Pada waktu dan konteks yang sesuai, kanak-kanak akan
menggunakannya,” katanya.

Beliau berkata, menipu harus dibezakan dengan berdalih. Berdalih atau beralasan selalunya
membabitkan perkara yang munasabah dan boleh diterima akal. Bagaimanapun, menipu
bermaksud mengatakan sesuatu yang tidak masuk akal.

“Sebagai ibu bapa, anda perlu dekati dan kenal pasti punca anak suka berbohong. Bagaimanapun,
jangan dekati anak dengan cara yang keras jauh sekali mengugut.

“Mungkin anda terlalu marah dan menengking anak anda. Beri tahu mama kenapa abang tipu?
Anak tidak akan memberitahu anda apa-apa. Bila anda ugut, cakap cepat kalau tidak ayah rotan,
anak langsung tidak akan memberitahu anda apa-apapun,” katanya.

Justeru, Dr Mariani berkata, dekati anak dengan lembut dan cuba cungkil rahsianya dengan cara
bercerita mengapa dia menipu.

“Kanak-kanak suka bercerita. Melalui cerita dia mudah meluahkan perasaannya. Dalam konteks
ini, ibu bapa sepatutnya bersikap ‘autoritatif’ bukan ‘autoritarian,’,” katanya.

Bagaimanapun, jika sikap anak yang suka menipu itu terbawa-bawa hingga awal remaja dan
keterlaluan, dia perlu dirujuk kepada kaunselor.

“Ibu bapa perlu peka pada perubahan anak. Jangan hanya memberi keperluan material saja
sebaliknya psikologi dan sikap ambil tahu amat penting. Sikap suka menipu mesti dibendung
kerana jika tidak ditegur kanak-kanak akan berasa dia betul,” katanya.

Katanya, secara umum, kanak-kanak mula menipu apabila usianya menjangkau lima tahun. Ketika
itu, dia sudah boleh berfikir secara simbolik dan logik. Kadangkala ada juga kanak-kanak menipu
apabila mula bersekolah dan bergaul dengan rakan sebaya.

Dr Mariani berkata, proses perkembangan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada tiga peringkat.
Daripada kosong hingga dua tahun (zaman awal kanak-kanak), dua hingga enam tahun (zaman
kanak-kanak pertengahan) dan daripada enam hingga 11 tahun (zaman kanak-kanak akhir).

Pada setiap peringkat usia, banyak pengalaman dan pemerhatian yang dikutip dan disimpan. Pada
peringkat awal kanak-kanak, mereka banyak belajar daripada pemerhatian dan mula berinisiatif
sendiri.
Pada zaman kanak-kanak pertengahan, mereka mula menunjukkan sikap suka bersaing antara
rakan sebaya dan selalu mahu menang. Justeru, jika kalah, dia mula berasa rendah diri dan akan
berbuat sesuatu yang lebih baik untuk menang sekali gus mungkin menipu.

Sebagai contoh mungkin anda pernah mendengar perbualan kanak-kanak yang membanding-
bandingkan siapa lebih hebat.

“Misalnya, saya ada banyak kereta mainan. Dibalas pula oleh kawannya saya lagi banyak.
Bagaimanapun, kadangkala anak itu tiada kereta mainan pun.

“Ibu bapa mungkin hanya kenal anaknya sebagai anak tetapi tidak mengenalinya sebagai rakan
atau remaja. Justeru, ibu bapa perlu mengambil tahu mengenai perkembangan anak. Jika anak
suka menipu tanya diri sendiri di mana silapnya didikan yang diberikan. Mungkin ibu bapa terlalu
garang atau terlalu berlembut.

“Atau jika bukan ibu bapa puncanya, ambil tahu kawan-kawannya. Mungkin pergaulan dengan
kawan-kawan seusia yang membuat dia menipu,” katanya.

Dr Mariani berkata, ibu bapa boleh mengetahui sama ada anak menipu tidak menerusi gerak
gerinya. Apabila menipu, sikapnya akan berubah. Misalnya, dia kerap meminta wang membeli alat
tulis tetapi alat tulisnya sentiasa ada dan anda membeli stok yang banyak.

FAAKTA: Mengenai Menipu

- Kanak-kanak kecil tidak faham apa itu menipu.

- Apabila mula bersekolah, mereka mula memahami konsep betul dan salah atau adil.

- Kanak-kanak menipu kerana mahu sentiasa menang.

- Selalunya apabila semakin dewasa, dia akan meninggalkan tabiat menipu.

Mengapa kanak-kanak menipu?

- Untuk mendapat perhatian ibu bapa

- Kurang komunikasi

- Kurang kasih sayang

- Kurang pengiktirafan daripada ibu bapa

- Kurang penghargaan
- Kurang belaian

Mengapa kemenangan sentiasa penting pada kanak-kanak?

- Kemenangan membuatkan mereka sentiasa ‘penting’ dan paling bagus antara rakan sebayanya.

- Ada kala kanak-kanak sukar untuk berdepan dengan kekalahan.

- Jika kanak-kanak tiada jati diri atau tertekan kerana apa saja sebab, kemenangan menyebabkan
mereka berasa selesa.

Apa yang ibu bapa boleh buat jika anak menipu

- Beritahu dia apa yang dimaksudkan dengan menipu. Kanak-kanak kecil tidak faham dan tidak
tahu menipu itu satu kesalahan. Bagaimanapun, apabila dia mula bersekolah, dia akan lebih
mengetahui konsep betul, salah dan adil. Justeru, dia lebih memahami mengapa menipu itu satu
kesalahan.

- Cari punca mengapa dia menipu. Mungkin ada perkara yang membuat dia tertekan hingga
terpaksa menipu.

- Kanak-kanak bukanlah jahat jika dia menipu sebaliknya beritahu dia anda kecewa dengan
sikapnya itu tetapi masih sayangkan dia. Bagaimanapun, anda masih di sisinya untuk membantu.

- Berikan contoh terbaik. Jika mendidik anak menonton televisyen hingga larut malam itu tidak
elok, anda juga jangan lakukan.

- Bincang dengannya tekanan yang dihadapi sesama rakan sebaya. Mungkin persaingan sesama
mereka membuatkan dia tertekan dan menipu.

Anda mungkin juga menyukai