Anda di halaman 1dari 5

Menjawab kekeliruan UMNO terhadap PAS

Sesungguhnya Umno menyambung kerja Inggeris, sebab itu mudah bagi dia untuk
mempengaruhi rakyat yang sekian lama terdidik secara sekular. Kita, PAS pula
menyambung kerja Nabi Muhammad SAW sehingga semua manusia yakin kerja
politik dan agama tak boleh dipisahkan. Sebab itu Umno marah kepada PAS
kerana melaksana kerja Nabi yang berlawanan dengan ajaran sekular. Pagar kita
diceroboh oleh ayam kambing mereka. Kita kena tutup pagar kita daripada
diceroboh, walaupun dimarah oleh Umno.

Persoalannya, apakah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu serupa
dengan kehendak sekular (agama lain, politik lain). Kalau serupa dengan kehendak
sekular, tidakkah tindakan Nabi Muhammad menyampaikan salam perjuangan,
buat perjanjian, mengadakan hubungan diplomatik dengan ketua-ketua kerajaan
di Eropah itu adalah semata-mata untuk menyampaikan dakwah Islam.
Menunjukkan Islam yang dibawa oleh Nabi itu bukannya ajaran serupa sekular
yang menjadi pegangan Umno.

Nabi dan politik bernegara


Demikian pula, Nabi sendiri ada cop mohor (cincin). Ia suatu lambang kuasa dalam
urusan kerajaan dan politik bernegara. Dan di dalam al-Quran sendiri
menyebutkan masalah muamalat, jenayah dan pemerintahan. Bukan hal spiritual
sahaja. Hal kerajaan, peperangan dan perdamaian. Malah ketika peperangan
turut dijelaskan aturan dan peraturan yang boleh dan tak boleh (do’s and don’t).
Misalnya, ada pantang larang tak boleh bunuh orang tua, kanak-kanak, hatta
golongan ‘ahbar’ yang berada di dalam gereja/biara tak boleh dibunuh semasa
peperangan.

Kalau Islam untuk spiritual sahaja apa maknanya, sampai Allah pelihara Nabi
selama 23 tahun menjalankan dakwah dan dan bertugas sebagai nabi dan rasul.
Nabi telah menempa segala macam ujian dan rintangan serta penentangan
daripada pelbagai pembesar Quraisy dan pihak berkuasa.

Sementara Umno sejak dari PAS ditubuhkan, malah sebelum itu sebuah gerakan
Islam bernama Hizbul Muslimin, sentiasa menjadi serangan fitnah. Kelihatan
sangat, Umno begitu dengki kepada PAS, kerana PAS boleh buat apa yang dia tak
boleh buat, iaitu melaksanakan apa yang Islam suruh dan mencegah apa yang
Islam larang.
Islam di sisi Umno
Sebenarnya, Islam di sisi Umno adalah ‘pecah-belah’ dan kita tidak sepatutnya
terperangkap dengan tuduhan liar dan fitnah yang dicanang oleh mereka itu.

Umno sepatutnya terima Islam, kalau benar dia parti yang dipimpin oleh orang
Islam, dan kalau nak jadi parti yang mewakili umat Islam. Apakah yang susah
sangat bagi Umno nak ubah dasar? Tak kena di mana Islam, berbanding dengan
dasar kebangsaan mahu pun demokrasi.

Bab demokrasi pula, benarkah Umno yang memerintah negara sekarang ini
benar-benar melaksana demokrasi? Lihat saja apa yang berlaku, sampai ke
peringkat parti pembangkang tak terasa, bagaimana demokrasi sebenar.

Demokrasi tempang
Sebaliknya, setiap kali pilihan raya, berlaku keadaan ‘padang tak sama rata’
kerana Umno dan parti-parti di bawah BN mendapat segala kemudahan atas
nama kerajaan untuk berkempen. Sedangkan kita PAS dan rakan Pakatan Rakyat
ditekan dan dinafikan hak berkempen secara bebas. Natijahnya tiada kebebasan
bersuara, berkempen dan terlalu berat sebelah. Munasabahnya demokrasi kita ini
adalah demokrasi tempang––demokrasi pun tidak Islam jauh sama sekali––
diamalkan oleh Umno sekarang ini.

Malah, melihat kepada amalan demokrasi di beberapa negara jiran, mereka lebih
berjaya. Demokrasi subur di Indonesia, Thailand dan Kemboja. Sedangkan mereka
negara baru dalam dunia demokrasi. Amalan demokrasi di negara tersebut,
mereka lebih telus, terbuka dan hak parti bertanding dilayan secara adil dan ada
kebebasan serta keamanan berkempen termasuk dalam media milik kerajaan.
Misalnya, dalam isu daftar pemilih peraturannya mudah, pengundi boleh
mendaftar di saat akhir menjelang pilihan raya dan boleh mendaftar melalui wakil
badan pilihan raya di tempat mereka akan mengundi.

Bandingkan dengan tempat kita, peraturan yang ada menyulitkan kerana


dilaksana secara berpusat, masanya panjang, paling cepat empat bulan lepas
mendaftar baru sah sebagai pemilih. Kenapa susah sangat nak pinda peraturan
pendaftaran pemilih? Nampak sangat Umno guna ruang daftar pemilih sebagai
penyelamat kuasa. Perkara ini boleh dijadikan modal dan penjelasan seluas-
luasnya kepada rakyat sebagai asas menolak Umno dalam pilihan raya nanti.
Minta PAS berbaik
Justeru kita perlu menegaskan, Islam sentiasa mengutamakan hak rakyat sebagai
pendukung utama kepada sistem yang adil. Maka pihak yang berkuasa perlu
melaksanakan apa sahaja keadilan untuk semua rakyat sebagaimana diajar di
dalam Islam.

Seperkara lagi, Umno kebelakangan ini nampak sangat cemas dan kalut. Sehingga
guna orang tertentu dan NGO, minta PAS berbaik dengan Umno atau minta
masuk BN. Setengahnya pula kata PAS yang beria-ia nak berbaik.

Kita kena katakan kepada mereka, sejarah dulu bukan PAS yang beria-ia masuk
BN. Masa itu, yang datang pujuk adalah Tun Razak. Atas maslahat masa itu, kita
terima pujukan. Tapi apa yang terjadi budi kita tidak dikenang, selepas mereka
kuat kita ditendang keluar.

Atas prinsip ini, kita harus tegaskan bahawa PAS dan Umno adalah tak sama.
Hatta Rais Yatim pun satu ketika dalam Semangat 46 dulu menyebutkan slogan
PAS dan Umno adalah tak sama. PAS ada prinsip akidah perjuangan Islam, Umno
pula kebangsaan Melayu. Jika masuk Umno, maknanya kita bersama kebangsaan
Melayu dan ketika itu mungkin Islam diketepikan. Ia mustahail bagi sebuah
gerakan Islam. Melainkan Umno sedia tukar dasar perjuangannya dan terima
Islam.

PAS bersama semua


Sekarang pula, PAS semakin mendapat sokongan golongan bukan Islam. Selain itu,
kita berjaya tubuh dewan himpunan PAS yang dianggotai rakan kita, orang bukan
Islam, kita juga sudah berkawan rapat dan berjaya merapat jurang hubungan
antara kaum melalui parti DAP. Paling penting ialah DAP yang sebelum ini
ditohmahkan sebagai anti-Islam, kini sudah menyokong perjuangan PAS. Malah
boleh duduk bersama memerintah Negeri. Tunggu masa, insyaAllah boleh
bersama memerintah Negara!

Kesemuanya adalah nikmat yang diraih oleh PAS setelah bertahun-tahun


bersendirian berjuang melawan Umno untuk membuktikan keadilan Islam.
Mungkin atas dasar itu, Umno sekarang berminat kepada sokongan PAS. Malah
Umno dilihat semakin dengki kepada PAS kerana berjaya menganjurkan program
keagamaan seperti sembahyang hajat perdana dan munajat anak muda.
Hakikatnya, Umno tak layak menganjurkan program sebegitu kerana akan
menjadi bahan ketawa orang. Meskipun bersama mereka ada menteri bahagian
agama dan ulama muda. Masakan nak bermunajat dan sembahyang hajat,
sedangkan dasar perjuangan Islam mereka tolak. Mereka ambil perjuangan
sekular.

PAS berbeza dengan Umno


Semua perkara yang dinyatakan ini adalah hakikat berbezanya perjuangan Islam
di bawa PAS dengan perjuangan kebangsaan-sekular Melayu dibawa oleh Umno.
Atas dasar berbeza itu, kini PAS semakin mendapat sambutan pelbagai lapisan
rakyat.

Justeru pengalaman PAS di Kelantan hari ini cukup jelas untuk Umno berfikir.
Bahawa PAS bukan lagi parti ‘tok lebai’ seperti yang disyarahkan oleh tukang
syarah Umno. Dalam mengurus Negeri (menjalankan kerajaan) di Kelantan, ia
merupakan gandingan mantap mereka yang pakar dalam pelbagai bidang. Ada
doktor, loyar, pensyarah, bekas tentera, aktivis ABIM, JIM yang cukup berwibawa.
Di manakah kurangnya PAS berbanding Umno? Sebaliknya Umno itu dianggap
kurang kerana tidak mahu terima Islam sebagai dasar parti dan dasar
pemerintahan Negara.

Tambah lagi, dalam Islam ada segala-galanya, termasuklah Islam mengajar


umatnya tentang hari akhirat yang ada pembalasan. Prinsip pembalasan di akhirat
ini turut dipakai dalam perjuangan PAS. Justeru kita PAS yakin atas semua perkara
yang kita perjuangkan menerusi PAS ini akan dihisab nanti di akhirat. Inilah PAS
dan itulah Umno yang tidak menerima prinsip adanya pembalasan di akhirat.
Maka apa jaminan Umno untuk berdepan dengan kiamat, syurga dan neraka. Jika
menghayati peringatan Allah SWT dalam persoalan ini, sebagaimana firman-Nya
(surah Al Infitaar ayat 13-15):

“(Gunanya catatan malaikat-malaikat itu ialah: Untuk menyatakan siapa yang


berbakti dan siapa yang bersalah) kerana sesungguhnya: Orang-orang yang
berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang
penuh nikmat. Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam
Neraka yang menjulang-julang. Mereka menderita bakaran Neraka itu pada hari
pembalasan.”
Apakah persoalan hari pembalasan sebegini termasuk di dalam perkiraan Umno?
Apakah dasar Umno dapat melepas diri daripada bakaran Neraka Allah?Demikian
pula firman-Nya (surah At Takweer ayat 25-29):

“Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.
(Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu
masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)? Al-Quran itu tidak lain hanyalah
peringatan bagi seluruh penduduk alam. Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu
tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. Dan kamu tidak dapat menentukan
kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh
Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.”

Demikian sedikit gambaran dari Allah SWT tentang kedudukan kita ketika di
akhirat. Apakah Umno sedia memasukkan agenda akhirat ini dalam
perjuangannya. Bahawasanya, perjuangan Islam sahaja yang layak bercakap
mengenai urusan akhirat kerana akhirat itu salah satu rukun iman yang dijulang
dan diyakini oleh setiap perjuang Islam. Bagaimana pula Umno menilai
diri/partinya mengenai akhirat?

Akhirnya, beringatlah kita semua, ‘bila jiwa (roh) di langit masuk balik ke dalam
tubuh’  maka akan berhadapanlah kita di padang Mahsyar. Hanya Allah yang
Maha Adil atas setiap perbuatan hamba-Nya. Firman Allah (surah az-Zilzaal ayat
7-8):

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam
surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan
dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

Semoga kita semua berada di landasan kebaikan dan sentiasa menjauh diri
daripada kejahatan. Demikian jaminan Allah untuk kehidupan yang hasanah di
dunia dan akhirat.

Anda mungkin juga menyukai