Anda di halaman 1dari 9

‫بسم اهلل الر حمن الر حيم‬

KELAHIRAN

‫…يخلقكم في بطون أمهتكم خلقا من بعدخلق في ظلمت ثلث ذلكم اهلل ربكم له الملك آلإله إالهو فأنى تصرفون‬
(6 :‫( الزمر‬

…Ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu
kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap gelita. Yang demikian (kekuasaanNya) ialah
Allah Tuhan kamu; bagiNyalah kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan Dia; oleh
itu bagaimana kamu dapat dipesongkan (dari mematuhi peraturanNya)?
Az-Zumar : 6

Setiap pasangan suami isteri pastinya menginginkan kelahiran seorang cahaya


mata untuk menambah lagi seri kehidupan berumahtangga seterusnya membuktikan
kesucian cinta sejati di antara dua jiwa. Namun demikian, kelahiran yang dinantikan
bukanlah suatu fenomena yang ‘disukai ramai’. Banyak kesusahan yang terpaksa
ditempuhi sebelum si ibu boleh menatap wajah bayi comel mereka. Selepas lebih kurang
9 bulan 10 hari ‘menggendong’ sang anak yang seberat kira-kira tiga kilogram dengan
penuh sabar, proses kelahiran itu sendiri menuntut kesabaran yang lebih lagi daripada si
ibu.

Di halaman yang berikutnya kita boleh sama-sama mengetahui bagaimana sesuatu


proses kelahiran yang normal itu berlaku, bermula dari kecutan pada rahim hinggalah
kepada terkeluarnya uri dari perut ibu. Biasanya seseorang wanita itu akan bersalin
ataupun melahirkan anak pada minggu ke-38 hingga ke-42 kehamilan yang dikira bermula
sejak kedatangan haid yang terakhir.

Pada masa kini di mana ilmu perubatan telah berkembang maju, proses kelahiran
ini biasanya tidak mendatangkan sebarang kemudharatan, baik kepada ibu ataupun
anaknya. Bagaimanapun perkembangan bidang perubatan yang terlalu pesat ini kadang
kala telah mengganggu proses kelahiran secara semulajadi dengan segala ubat-ubatan
dan peralatan moden yang digunakan. Harus diingat, kaum wanita telah mula melahirkan
anak lama sebelum wujudnya ilmu perubatan samada perubatan kuno, lebih-lebih lagi
perubatan moden yang ada pada hari ini.

Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Walaupun pakar perubatan pada
hari ini dapat meramalkan bilakah seseorang wanita yang hamil itu akan melahirkan anak,
tidak mustahil sesuatu yang di luar jangkaan boleh berlaku. Apakah yang akan anda
lakukan jika tiba-tiba anda terpaksa menjadi ‘bidan terjun’ untuk satu kes kelahiran? Oleh
itu adalah agak penting juga untuk kita mengetahui bagaimana untuk mengendalikan
kelahiran kecemasan ini.

Ada beberapa tanda sudah dekat waktu bersalin. Tanda yang pertama ialah
kecutan pada otot-otot rahim. Pada mulanya kecutan ini berlaku secara tidak seragam dan
pada selang masa yang agak lama. Apabila semakin hampir untuk bersalin, kecutan ini
menjadi lebih seragam dan lebih kerap. Sebenarnya, rahim sentiasa mengalami kecutan
sepanjang tempoh kehamilan yang biasanya tidak disedari oleh si ibu kecuali pada
minggu-minggu terakhir kehamilan. Kecutan ini dikenali sebagai Braxton Hicks’
contraction. Ia sering disalahtafsirkan sebagai tanda untuk seseorang itu melahirkan anak
(false alarm). Oleh itu, untuk mengetahui jika masa untuk melahirkan anak telah tiba,
kecutan pada rahim tersebut biasanya akan diikuti oleh beberapa tanda-tanda yang lain.

Bagi wanita yang hamil, terdapat satu ketulan mukus yang yang bertindak sebagai
pendinding dan terletak di antara rahim dan vagina. Sebelum bersalin, ketulan mukus ini
akan dikeluarkan dalam bentuk rembesan yang bercampur dengan darah. Fenomena
yang dipanggil sebagai ‘the show’ ini merupakan salah satu lagi tanda bahawa proses
kelahiran telah hampir tiba.

Tanda lain bagi wanita yang akan melahirkan anak ialah tumpahan air (breaking
water). Air yang dimaksudkan di sini ialah cecair amniotic yang mengelilingi fetus. Ia
berlaku apabila selaput yang melindungi cecair ini pecah. Tumpahan ini boleh terjadi
samada dalam bentuk titisan daripada vagina ataupun dalam bentuk pancutan secara
tiba-tiba.

Apabila kesemua tanda-tanda ini telah berlaku, itu bermakna proses kelahiran telah
terlalu hampir. Pada masa ini doktor biasanya akan melakukan pemeriksaan vagina untuk
memastikan yang fetus berada dalam kedudukan yang normal.
Proses kelahiran ini mempunyai tiga peringkat. Peringkat pertama bermula apabila
berlakunya kecutan yang membantu membuka bahagian cervix untuk membolehkan fetus
keluar. Dengan setiap kecutan yang berlaku, cervix akan ditarik ke atas supaya
bukaannya menjadi lebih luas hingga akhirnya bukaan cervix menjadi sama dengan
bukaan rahim. Bukaan maksima terjadi apabila diameternya mencapai sehingga 10 cm
dan kepala bayi mula kelihatan.

Peringkat pertama ini pada kebiasaannya memakan masa 12 jam untuk bayi yang
pertama dan 4 hingga 8 jam untuk kelahiran yang seterusnya. Bagi sesetengah wanita
yang akan melahirkan anak untuk kali yang pertama, peringkat ini boleh menjangkau
sehingga 24 jam manakala bagi wanita yang telah beberapa kali melahirkan anak, ia
kadang kala hanya mengambil masa beberapa minit.

Peringkat kedua pula bermula apabila kecutan yang berlaku semakin kuat. Pada
peringkat ini, bayi akan mula ditolak keluar ke saluran peranakan. Pada masa ini, ia akan
memberi tekanan pada bahagian rektum yang membuatkan si ibu terasa seolah-olah ingin
membuang air besar. Doktor biasanya akan menasihatkan supaya ibu meneran semasa
kecutan berlaku. Ini adalah supaya satu tolakan yang kuat dapat dihasilkan. Ia juga
penting untuk memberi ruang masa kepada si ibu untuk menyimpan tenaga dengan
berehat sebentar di antara dua kecutan. Apabila bayi mula keluar daripada saluran
peranakan, doktor mungkin akan melakukan satu pembedahan (episiotomy) untuk
melebarkan vagina supaya memudahkan proses kelahiran bayi tersebut. Pembedahan ini
dilakukan untuk mengelakkan kekoyakan yang tidak diingini pada bahagian vagina yang
mengambil masa untuk disembuhkan semula.

Peringkat kedua ini berakhir apabila bayi telah keluar sepenuhnya dari saluran
peranakan. Tali pusat yang menghubungkan bayi dengan placenta (uri) seterusnya akan
diikat dan dipotong. Peringkat ini mengambil masa 2 hingga 3 jam untuk kelahiran
pertama dan lebih kurang satu jam sahaja untuk kelahiran seterusnya.

Peringkat terakhir ialah untuk mengeluarkan placenta. Otot-otot rahim akan terus
mengecut tetapi kecutannya tidaklah sekuat kecutan pada peringkat pertama tadi. Proses
ini biasanya akan disertai dengan sedikit pendarahan dan mengambil masa lebih kurang
15 minit.
KELAHIRAN KECEMASAN (EMERGENCY CHILDBIRTH)

Dalam dunia moden hari ini, jarang untuk seseorang itu terpaksa menjadi bidan
terjun dan mengedalikan kes kelahiran kerana biasanya wanita yang hamil akan
mempunyai cukup masa untuk pergi ke hospital. Bagaimanapun, sekiranya ia berlaku,
berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk membantu proses
kelahiran tersebut. Jangan sekali-sekali cuba untuk melengahkan kelahiran kerana ia akan
lebih membawa keburukan daripada kebaikan.

Persediaan sebelum kelahiran

1) Sediakan satu tempat yang sesuai dan selesa untuk si ibu. Sebuah bilik yang
mempunyai katil sudah memadai. Pastikan juga terdapat banyak bantal supaya wanita
tersebut boleh diletakkan dalam keadaan berbaring dengan menampung bahagian
belakangnya

2) Sediakan juga tempat untuk meletakkan bayi yang akan dilahirkan nanti. Laci meja
yang dialas dengan kain yang tebal boleh digunakan untuk tujuan ini. Pada musim
sejuk, pastikan kain yang ada cukup tebal untuk mengekalkan suhu badan bayi pada
tahap normal kerana cuaca yang terlampau sejuk boleh membahayakan nyawa bayi.

3) Alas katil dan lantai dengan kain atau kertas yang bersih untuk mengelakkan kekotoran
daripada pendarahan yang berlaku semasa proses kelahiran kelak. Pada bahagian
bawah si ibu pula, alas dengan tuala yang bersih.

4) Pastikan semua yang tidak berkenaan keluar daripada bilik tersebut terutamanya
mereka yang mempunyai jangkitan seperti sakit tekak, selsema ataupun penyakit-
penyakit yang lain.

5) Pastikan juga terdapat simpanan air panas yang mencukupi untuk membasuh segala
peralatan yang digunakan. Basuh tangan anda dengan sabun dan air panas untuk kira-
kira selama 5 minit.
Semasa kelahiran

1) Pastikan si ibu berada dalam kedudukan yang tenang dan pada posisi yang betul iaitu
dengan membengkokkan kaki serta mengangkang sedikit serta tangan diletakkan pada
bahagian lutut.

2) Setiap kali berlaku kecutan pada rahim, arahkan si ibu untuk meneran. Jangan benarkan
si ibu meneran di antara dua kecutan kerana ini hanya akan meletihkannya.

3) Pastikan anda tidak membuat sesuatu untuk menangguhkan proses kelahiran tersebut
seperti dengan menahan kepala bayi daripada keluar atau sebagainya. Tutup mulut dan
hidung anda dengan sapu tangan yang bersih untuk mengelakkan jangkitan dan pakai
sarung tangan plastik (jika ada).

4) Teruskan arahan agar ibu meneran sehingga bahagian kepala bayi telah keluar daripada
saluran peranakan. Pada tahap ini, arahkan agar si ibu berhenti meneran, sebaliknya
bernafas dengan cepat sehingga keseluruhan badan bayi telah keluar.

5) Tampung kepala bayi dengan tangan anda tetapi jangan cuba untuk menarik bayi
tersebut supaya keluar dengan lebih cepat. Jika terdapat sebarang selaput pada
bahagian muka bayi, buang selaput ini kerana ia akan mengganggu pernafasan bayi.

6) Biasanya apabila kepala bayi keluar, mukanya akan mengadap ke bawah dan selepas
beberapa ketika akan berpusing ke sisi. Tampung kepala bayi tersebut tanpa
mengganggu pergerakan ini.

7) Seterusnya anda boleh melihat bahagian leher bayi. Pastikan tiada tali pusat yang
terbelit pada bahagian ini.

8) Kemudian bahu bayi pula akan keluar. Anda boleh membantu bahu pertama keluar
dengan merendahkan sedikit kepala bayi. Bahu yang kedua pula akan lebih mudah
keluar jika anda meninggikan sedikit kepala bayi tersebut. Bahagian badan bayi yang lain
akan keluar dengan lebih mudah.
9) Apabila keseluruhan badan bayi telah keluar, pegang dengan berhati-hati kerana ia agak
licin dan letakkan di atas perut ibunya.

10) Anda akan dapat melihat tali pusat yang menyambungkan si bayi dengan placenta.
Jangan tarik atau potong tali pusat ini kecuali bagi mereka yang mempunyai kelayakan
atau kemahiran untuk melakukannya.

11) Jika bayi tidak menangis selepas dilahirkan, bersihkan kawasan mulut bayi dengan sapu
tangan yang bersih. Jika bayi tidak bernafas selepas seminit dilahirkan, lakukan bantuan
pernafasan mulut ke mulut kepada bayi tersebut.

12) Apabila bayi telah bernafas, selimutkannya untuk mengelakkan daripada kesejukan dan
berikan kepada si ibu untuk memegangnya.

13) Kira-kira 15 minit selepas kelahiran, placenta akan keluar daripada saluran peranakan.
Bersihkan semua kesan darah dan letakkan tuala yang bersih pada bahagian vagina
wanita tersebut.

KELAHIRAN AKTIF (ACTIVE BIRTH)

Kelahiran aktif merujuk kepada satu jenis proses untuk melahirkan anak apabila si ibu
adalah dalam keadaan aktif sepanjang proses tersebut, berbeza dengan kaedah biasa di
mana si ibu hanya terbaring di atas katil.

Beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai wanita yang mengamalkan kaedah ini
kerana mereka mendakwa ia lebih ‘semulajadi’ dan lebih selesa jika dibandingkan dengan
kaedah biasa yang diamalkan di hospital. Malahan, adalah dipercayai bahawa kaedah
bersalin dalam keadaan berbaring di atas katil hanya mula diamalkan sejak awal abad ini
menggantikan kaedah kelahiran aktif yang telah diamalkan sejak sekian lama sebelum itu.

Mereka juga mengatakan bahawa kelahiran cara ini boleh mengurangkan rasa sakit
semasa bersalin dan sekaligus mengurangkan pergantungan seseorang wanita yang akan
melahirkan anak terhadap painkillers yang boleh memberi kesan kepada anak di dalam
kandungan.
Melalui kaedah ini si ibu akan berada dalam keadaan melutut (lutut dibengkokkan 90’) dan
kaki dikangkangkan sedikit. Dengan cara ini, selain daripada daya kecutan dan daya
meneran yang cuba menolak bayi keluar, terdapat satu lagi daya yang membantu iaitu
daya graviti. Berbeza dengan kaedah biasa yang diamalkan di mana daya graviti langsung
tidak membantu untuk mengeluarkan bayi dari saluran peranakan sebaliknya ia memberi
tekanan kepada bahagian belakang yang akan menghasilkan rasa sakit kepada si ibu tadi.

Bagaimanapun, jika anda ingin mencuba cara ini, anda perlulah berbincang dengan doktor
anda sejak peringkat awal kehamilan lagi dan seterusnya menghadiri kelas yang
disediakan. Biasanya beberapa senaman akan dilakukan di kelas tersebut bertujuan untuk
memudahkan proses kelahiran nanti.

KELAHIRAN DALAM AIR (WATER BIRTH)


Kelahiran adalah suatu proses yang menyakitkan bukan sahaja bagi si ibu, tetapi juga
kepada anak yang baru dilahirkan. Ini kerana sepanjang proses kelahiran, bayi tadi akan
‘dipeluk’ dengan agak kuat oleh otot-otot pada saluran peranakan. Kemudian, sebaik
sahaja keluar dari saluran peranakan, bayi itu akan terdedah pula kepada banyak unsur-
unsur asing yang tidak pernah dialaminya selama 9 bulan lebih di dalam kandungan
seperti kesan tarikan graviti, udara yang agak tercemar, cahaya yang terang dan bunyi
yang bising.

Oleh itu, ada pakar perubatan yang beranggapan bahawa bayi akan merasa lebih selesa
jika ia dilahirkan ke satu medium yang sama seperti yang terdapat di dalam perut ibu iaitu
cecair. Melalui kaedah ini juga, bayi tidak akan terus terdedah kepada gangguan bunyi
dan cahaya yang tidak menyenangkan.

Kelahiran dalam air ini biasanya dilakukan di dalam sebuah tab yang menyerupai tab
mandi cuma mempunyai saiz yang lebih besar. Si ibu akan berbaring di dalam tab ini dan
melahirkan anak seperti biasa di bawah pengawasan pakar perubatan yang hanya akan
membantu sekiranya berlaku sebarang komplikasi semasa proses kelahiran tersebut.

PEMBEDAHAN CAESAREAN
Pembedahan Caesarean ini sebenarnya bukanlah satu kaedah alternatif dalam proses
melahirkan anak. Sebaliknya ia hanya dilakukan jika doktor mendapati akan timbul
kemudharatan samada kepada ibu ataupun anaknya sekiranya kelahiran secara biasa
dijalankan.

Kadang kala si ibu mempunyai pelvis yang agak kecil untuk membolehkan bayi keluar
melalui saluran peranakan dengan selamat. Si ibu itu juga mungkin mempunyai penyakit-
penyakit lain yang menyebabkannya menjadi lemah dan tidak mampu untuk menahan
kecutan atau meneran semasa proses kelahiran biasa.

Biasanya bahagian kepala bayi akan keluar terlebih dahulu dan diikuti oleh anggota badan
yang lain. Tetapi jika bayi itu berada dalam keadaan songsang, bahagian kaki akan keluar
dahulu dan kepala hanya akan keluar pada peringkat akhir. Keadaan ini boleh
membahayakan bayi tersebut kerana dikhuatiri kepala bayi akan tersekat di dalam saluran
peranakan. Oleh itu pakar perubatan akan cuba untuk mengubah posisi bayi ini dua
minggu sebelum tempoh kelahiran. Jika usaha ini gagal, maka kaedah caesarean ini akan
menjadi pilihan doktor untuk melahirkan anak dalam kandungan tersebut.

Pembedahan ini dinamakan ‘Caesarean’ kerana dihikayatkan bahawa maharaja Emperor


Rom yang terkenal iaitu Julius Caesar dilahirkan dengan cara ini. Ini kerana dalam bahasa
latin, perkataan ‘caesar’ bermaksud memotong atau membedah. Bagaimanapun pada
zaman moden ini, pembedahan caesarean menjadi terkenal pada kurun ke-16 apabila
seorang petani dari Sweden yang bernama Jacob Nufer telah melakukan sendiri
pembedahan ini setelah doktor mengatakan bahawa isterinya tidak mempunyai harapan
lagi untuk melahirkan anak dengan selamat. Hasilnya, bayi berjaya dilahirkan dan isterinya
juga berjaya diselamatkan, malahan isteri petani ini telah hamil beberapa kali lagi
kemudiannya.

Walaupun bunyinya agak menakutkan, tetapi pembedahan ini amat senang untuk
dilakukan dan biasanya memakan masa tidak lebih dari satu jam. Bahagian bawah perut
ibu akan dipotong sehingga ke bahagian rahim, seterusnya ke bahagian amniotic. Selepas
itu bayi akan ditarik keluar dari perut ibu dengan menggunakan forceps. Rahim dan
bahagian abdomen ibu akhirnya akan dijahit.
PENUTUP

) 28 : ‫( األنفال‬ ‫واعلموا أنما أمولكم وأولدكم فتنة وأن اهلل عنده أجر عظيم‬

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi
ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
(Al-Anfal : 28)

sumber rujukan :Sunburn Handguides: Firsd Aid by Doctor David Delvin


The A-Z of First Aid & Family Health (Blitzard Editions)
Complete Family Health Encyclopedia (British Medical Association)
Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

HAK CIPTA TERPELIHARA


TIDAK DIBENARKAN MENERBITKAN SEMULA BAHAN INI DALAM APA JUA BENTUK SEKALIPUN,
MELAINKAN SETELAH MENDAPAT KEIZINAN MANHAL PMRAM. HARGAILAH PENGORBANAN
ORANG LAIN YANG BERTUNGKUS LUMUS MENYIAPKANNYA. MENCETAK SEMULA DAN
MENERBITKANNYA DALAM APA JUA BENTUK SEKALIPUN DIANGGAP SEBAGAI JENAYAH DAN
.DIKIRA BERCANGGAH DENGAN SYARIAH ISLAM

MANHAL PMRAM 2000©

Anda mungkin juga menyukai