Anda di halaman 1dari 2

Assalamualaikum wbt Barangsiapa yang membaca kitab fekah, sudah tentu sering bertemu dengan persoalan hukum wajib,

haram sunat, makruh dan harus. Tetapi apabila membaca kitab Tasawwuf banyak pula kita bertemu dengan perkataan sabar, redha, syukur, tawadhuk, pemaaf, berkasih sayang, riya, pemarah, takbur, ujub, sum'ah, cinta dunia dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan soal-soal hati. Kecenderungan seseorang di dalam menguasai ilmu feqah akan membawa pengaruh ilmu Feqah itu kepada dirinya dan ia akan menjadi seorang yang suka menghukum. Manakala kecenderungan seseorang kepada ilmu Tasawwuf akan membentuk dirinya supaya lebih tenang, sabar dan redha menghadapi hidup. Ahli Tasawwuf lebih banyak berdiplomasi daripada ahli Feqah. Feqah tanpa Tasawwuf akan melahirkan watak kasar. Manakala Tasawwuf tanpa Feqah akan melahirkan orang yang berdiplomasi tetapi lemah fikirannya Dan mudah jatuh ke dalam tipuan syaitan. Sebaik-baiknya ialah menguasai dan menjiwai kedua-dua aliran ilmu tersebut. Dengan ini barulah lahir ahli Feqah yang berjiwa sufi. Iaitu orang yang mempunyai pendirian tegas tetapi lemah lembut. Namun orang yang berjiwa begini bukan mudah untuk ditemui. Tambahan pula di akhir zaman ini. Ilmu pengetahuan membentuk watak manusia. Cuba lihat watak orang-orang yang belajar di sekolah-sekolah agama sejak kecil dan tidak tidak pernah belajar di sekolah-sekolah berpendidikan selain daripada agama. Watak mereka sangat berbeza dengan mereka yang bersekolah yang tidak pernah mengenal pendidikan agama. Mereka lebih halus di dalam akhlak dan lebih mencari ketenangan hidup daripada memburu kesenangan hidup. Oleh kerana ilmu membentuk watak, maka setiap bangsa tidak kira kafir atau muslim sangat mementingkan pendidikan. Lihatlah sistem pendidikan dalam negara yang mempunyai ideologi. Negara akan cuba mendidik rakyatnya supaya menelan ideologi negara. Ideologi akan dirancang sebaik mungkin supaya rakyat meyakininya, seperti Indonesia membentuk rukun negara dengan nama Pancasila yang mana rakyat mesti menganutnya sama ada kafir atau Islam. Hasil daripada mendalami ideologi Pancasila dan menjiwainya, maka lahirlah umat Indonesia yang berjiwa Pancasila. Kalaupun dia Islam, tetapi fahamannya dan keyakinannya berbeza dengan umat Islam yang lain seperti di Mesir atau di Libya, yang mana Muslim di kedua buah negara Arab itu lebih berjiwa nasionalis atau sosialis, atau boleh jadi masih ada yang fanatik dengan Islam, itu pun kalau ada. Seorang Muslim yang sudah berfahaman Pancasila, akan memandang semua agama itu baik. Pada mereka Islam dengan Kristian itu sama sahaja. Islam dan Buddha pun sama sahaja. Inilah pengaruh ilmu dan pengaruh doktrin. Berbalik kepada persoalan ilmu mempengaruhi watak, bukan sahaja ilmu itu mempengaruhi watak manusia, tetapi ahli ilmu juga sangat besar pengaruhnya di dalam membentuk pengaruh di dalam jiwa pengikutnya. Penganut Mazhab Syafie misalnya agak berbeza sedikit wataknya daripada penganut Mazhab Hanafi. Penganut Mazhab Maliki berbeza sedikit wataknya daripada penganut Mazhab Hambali. Orang yang terpengaruh dengan keilmuan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berbeza daripada golongan yang fanatik kepada Hujjatul Islam Imam Al Ghazali. Inilah kesan daripada pengaruh peribadi ahli ilmu dan kesan ilmu itu sendiri kepada masyarakat. Oleh itu, berbalik kepada persoalan asas, ambillah pertimbangan yang sebaiknya dengan jalan yang telah dilalui oleh para Imam Mujtahidin dan Imam-Imam sufi dengan mendahulukan hujjah daripada Al Quran kemudian diikuti dengan Sunnah dan seterusnya dilihat kepada pandangan Jumhur ulama' dan Qiyas . Timbangkan segalanya dengan ilmu dan muzakarah bukan dengan kejian

dan mujadalah. Nilailah sesuatu daripada pandangan semua sudut. Ingatlah Rasul berpesan bahawa " Ikhtilaf Di antara Umatku Itu Adalah Rahmat."

Anda mungkin juga menyukai