Anda di halaman 1dari 2

ekerjaya.

com

Kuasai Bahasa Inggeris


August 8, 2007 Kategori: Kerjaya

Penguasaan Bahasa Inggeris kini menjadi elemen penting yang bakal memisahkan calon kerja mahupun mereka yang sudah berkerjaya. Malah kini pegawai kerajaan pun perlu menguasai Bahasa Inggeris. Walaupun kepentingan Bahasa Inggeris seringkali ditekankan di dalam media oleh kerajaan dan pihak swasta, malangnya, ramai orang mengambil langkah tidak ambil pusing dengan perkara ini. Sebenarnya, ini tidak mengejutkan. Daripada mengambil langkah untuk memajukan diri sendiri, mereka memilih untuk menyisihkan diri. Seolah olah belajar Bahasa Inggeris akan memberikan trauma dalam kehidupan mereka. Seolah olah mereka tidak mungkin akan menguasai Bahasa Inggeris sampai bila bila. Antara sebab utama mengapa orang yang tidak mahir dalam Bahasa Inggeris tidak berusaha untuk mempelajarinya adalah mereka sangka mereka memerlukan masa yang tertentu untuk menguasai sepenuhnya. Contohnya, mereka perlu belajar dalam masa 2-3 bulan, jika mereka gagal menguasainya, bermakna mereka gagal. Sebenarnya, proses untuk mengusai Bahasa Inggeris ini adalah satu proses yang berterusan. Sebaik sahaja ia bermula, ia tak akan berhenti. Apa yang perlu kepada kita adalah untuk memulakan momentum tersebut. Ini paling susah. Malah, dalam pelbagai benda yang kita cuba alami perkara yang paling susah ialah untuk memulakannya. Sebagai contoh, kita telah lama teringin untuk mengurangkan berat badan kita tetapi selama ini kita hanya cakap kosong saja. Hari ini cakap. Esok cakap. Lusa pun cakap. But there is no action. Tiada langkah yang diambil. Tetapi jika anda berjaya memulakan usaha ini, lambat laun anda akan mendapat momentumnya, dan selepas itu, tiada siapa lagi yang bakal menghalang anda. Apa langkah langkah yang boleh saya ambil untuk bermula menguasai Bahasa Inggeris? Anda bertanya. Ada beberapa petua yang boleh anda mulakan. Ia adalah petua yang mudah dan tidak memerlukan masa, kos dan usaha yang terlalu banyak. Yang penting, istiqamah. Buat sikit sikit tetapi pastikan ia konsisten. Sikit sikit lama lama jadi bukit kan. 1. Beli buku, akhbar dan majalah Bahasa Inggeris Mulakan tabiat membaca buku dan majalah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai mediumnya. Anda tidak perlulah membeli buku yang terlalu tebal, buku setebal 100-200 mukasurat sudah memadai. Antara buku yang boleh saya cadangkan di sini ialah Dare to Fail tulisan Billi Lim, seorang pakar motivasi dan Silent Millionaire oleh Dr Rusly Abdullah (Chef Li). Kedua dua buku ini mempunyai cetakan bahasa Melayu, tetapi anda belilah versi Bahasa Inggeris. Harganya pula amat berpatutan (antara RM30-RM40 sahaja). Kedua dua buku ini, Dare to Fail dan Silent Millionaire ditulis dalam Bahasa Inggeris yang amat mudah difahami dan tidak menggunakan vocab yang susah. Lagipun, isi kandungan buku buku ini amat menarik dibaca, malah ia mungkin merubah hidup anda, sebagaimana ia merubah hidup saya!

Selain daripada itu, saya juga suka membeli akhbar The Star. Harganya cuma RM1.20-RM1.50 sahaja tetapi isinya cukup padat. Selain daripada mendalami vocab vocab terbaru, anda juga boleh melihat iklan kerja! Jadi, anda boleh menyelam sambil minum air. 2. Pastikan kamus menjadi teman anda. Saya tahu, ramai mereka di sana tidak mempunyai kamus. Saya dulupun begitu. Dulu saya menganggap kamus tidak penting. Kamus juga mahal, dan tidak mampu dimiliki. Satu hari sebelum menghadapi peperiksaan Bahasa Inggeris pada keesokan harinya, saya melihat beberapa rakan yang memang terkenal dengan kehebatan Bahasa Inggeris membelek belek kamus Bahasa Inggeris. Bukan seorang tapi kebanyakan daripada mereka. Saya pun peliklah dan saya tanya kepada mereka, Kenapa kalian sibuk membelek kamus? Jawapan mereka, kamus penting kerana mereka boleh mempelajari vocab vocab (perkataan) terbaru dengan cepat dan pantas. Ini memberi kelebihan kepada mereka terutamanya apabila tiba peperiksaan jenis pembinaan karangan. Sudah pasti cikgu pun akan kagum dengan penggunaan vocab terkini dalam karangan mereka. 3. Bergaul guna Bahasa Inggeris. Ini juga satu pengalaman yang leceh buat ramai orang. Alasannya, mereka takut rakan rakan mempersendakan mereka. Rakan rakan akan memperlecehkan mereka. Rakan rakan akan kata mereka berlagak. Jika anda menerangkan kepada mereka dengan berhemah, mereka mungkin akan turut serta dalam pergaulan menggunakan Bahasa Inggeris ini. Alasan alasan seperti di atas sebenarnya telah lapuk ditelan zaman. Jika anda tidak percaya, anda lihat apa yang bakal terjadi kepada mereka selepas 3 tahun. Dalam 3 tahun ini juga, anda berusaha untuk meningkatkan prestasi percakapan dan penulisan Bahasa Inggeris anda. Selepas 3 tahun, anda akan dapati perubahan yang besar. Yang pertama, keyakinan anda lebih tinggi daripada mereka. Kedua, ada kemungkinan jawatan anda lebih tinggi daripada jawatan yang dipegang oleh mereka sekarang. Ini bermakna, dalam 3 tahun sahaja, anda telah dapat membuktikan mereka salah dan anda juga telah memimpin diri anda sendiri ke tahap yang terbaru. Anda juga mungkin mendapat tawaran kerja yang jauh lebih lumayan daripada syarikat lain kerana kelebihan anda dalam Bahasa Inggeris. Mereka pula? Tepuk dahi sajalah. Kesimpulan Saya harap anda semua akan mengambil langkah proaktif untuk memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris anda. Insyaallah, anda akan sedar, bahawa ia akan memberi impak yang besar dalam kehidupan anda. Jika anda memegang jawatan kerajaan, kemungkinan anda dihantar ke luar negeri untuk menjadi duta! Itu hanya satu contoh kelebihan sahaja. Tak perlu buat terlalu terburu buru, biar lambat asalkan anda sampai ke destinasi. Yang penting, hidup di dunia ini perlulah diselami dengan usaha kita untuk mempelajari ilmu ilmu terbaru. Dalamilah ilmu sehingga ke penghujung hayat.

Comments
Responses to Kuasai Bahasa Inggeris Shima on August 30th, 2007 8:56 am Kita mesti kuat semangat untuk memperbaiki kelemahan kita agar orang tak pandang rendah pada kita lagi.Pedulikan apa orang kata.apa sahaja untuk berjaya kita akan melalui pelbagai cabaran.Lalui sahaja cabaran itu, yang penting kita kena berusaha, akhirnya akan tiba masanya kita berjaya!

Anda mungkin juga menyukai