Anda di halaman 1dari 6

Minggu Kelima (konsep Ibadah Dalam Islam)

KONSEP IBADAH DALAM ISLAM

OBJEKTIF
1. Ahli usrah memahami tentang konsep ibadah di dalam Islam.
2. Ahli usrah memahami bagaimana sesuatu amal perbuatan dapat
mencapai status ibadah.
3. Ahli usrah memahami kepentingan ibadah dalam membina
ummah.

KANDUNGAN
1. Pengertian ibadah bahasa dan istilah
2. Hubungan aqidah dan ibadah
3. Ruang lingkup ibadah dalam Islam
4. Pengkhususan ibadah umum dan khusus
5. Syarat amal untuk mendapat status ibadah
6. Salah faham terhadap pengertian ibadah
7. Kepentingan ibadah dalam membina ummah

PENGERTIAN IBADAH
Abu Al-Ala Al-Maududi telah mentarifkan ibadah daripada segi bahasa
dan istilah di dalam bukunya Asas-asas Islam seperti berikut:
Bahasa: Merendah diri, tunduk, patuh dan taat
Istilah : Taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah. Jelasnya,
ibadah ialah pengabdian dir sepenuhnya kepada Allah
subhaanahu wa taaala.
Al-Quran menjelaskan bahawa ibadah sebagai ubudiyyah dan
ketaatan. Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang
baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan
bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat
kepadanya. (Al-Baqarah:1-2)

HUBUNGAN AQIDAH DAN IBADAH


Bila seseorang itu telah mempunyai aqidah yang kukuh maka:
Hidupnya hanyalah untuk beribadah kepada Allah
sebagaimana firman Allah:
Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah
kepadaKu. (Adz-Dzariyat:56)
Perintah dalam ayat ini adalah perintah untuk beribadat kepada
Allah semata-mata, menghambakan diri dengan sepenuhnya
kepada Allah dan hikmah diciptakan jin dan manusia.
Menolak segala kepatuhan dan ketaatan yang selain dari
ketaatan kepada Allah.
Firman Allah:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap
umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah dan jauhilah thoghut.
(Al-Nahl:36)
Thoghut ialah semua yang disembah atau yang dipatuhi selain
Allah.
Membina kehidupan di dunia menurut peraturan-peraturan
Allah

RUANG LINGKUP IBADAH DALAM ISLAM


Islam amat istimewa hingga menjadikan seluruh kegiatan manusia
sebagai ibadah apabila diniatkan dengan penuh ikhlas kerana Allah
demi mencapai keredhaanNya serta dikerjakan menurut cara-cara
yang disyariatkan olehNya.
Islam tidak membataskan ruang lingkup ibadah kepada sudut-sudut
tertentu sahaja. Seluruh kehidupan manusia adalah medan amal dan
persediaan bekalan bagi para mukmin sebelum mereka kembali
bertemu Allah di hari pembalasan nanti.
Hakikat ini ditegaskan oleh Allah di dalam Al-Quran:
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk
menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu
yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu),
lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (Al-Mulk:2)
Oleh itu ruang lingkup ibadah dalam Islam sangat luas. Ia adalah
seluas tempoh hayat seseorang Muslim dan kesanggupan serta
kekuatannya untuk melakukan apa saja amal yang diredhai oleh Allah
dalam tempoh tersebut.

PEMBAHAGIAN IBADAH UMUM DAN KHUSUS


Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:
Ibadah khusus
Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana
yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat,
haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir
dan seumpamanya.
Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis
yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan
berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara dan
sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sallallahu
alaihi wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau
membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah
sallallahu alaihi wasallam:
Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku
sembahyang. (Sahih Bukhari)
Ibadah umum
Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah
khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari
keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam
kehidupan sehariannya.

SYARAT AMAL UNTUK MENDAPAT STATUS IBADAH


Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Ibadah Dalam Islam telah
memberikan syarat-syarat supaya sesuatu itu mendapat status ibadah:
Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan
hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.
Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik atau kerana
Allah.
Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi
menepati oleh Rasulullah:
Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu
membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya. (Muslim)
Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah sentiasa menurut
hukum-hukum syara dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi
orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain
dan merampas hak-hak orang.
Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, dan
sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum.

SALAH FAHAM TERHADAP PENGERTIAN IBADAH


Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan
amalan agama-agama lain atau kepercayaan-kepercayaan lain. Ianya
bukan perbuatan mengasingkan diri, ianya juga tidak terbatas kepada
tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui
perantaraan orang-orang tertentu.
Konsep-konsep seperti ini tidak wujud di dalam syariat Islam. Namun
demikian pengaruh konsep asing ini telah dapat juga meresap ke
dalam kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat Islam. Oleh
itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah. Ada yang
menganggap ibadah itu hanya tertumpu kepada solat, puasa, zakat
dan haji sahaja, terdapat juga di kalangan ummat Islam yang mengaku
beribadah kepada Allah, tetapi tindak-tanduknya menunjukkan bahawa
ia melaksanakan ubudiyyah kepada sesuatu yang lain daripada Allah.
Malah terdapat juga orang yang berpendapat bahawa ruang lingkup
ibadah itu tidak ada kaitan langsung dengan urusan masyarakat,
terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan. Semua ini adalah
tanggapan-tanggapan yang amat salah.

HIKMAH DAN FALSAFAH IBADAH SOLAT, PUASA, ZAKAT, DAN HAJI


Solat
Dalam solat jelas tergambar ibadah lisan dengan membaca ayat-
ayat Al-Quran, bertakbir, bertasbih dan berdoa. Demikian juga
dengan ibadah perbuatan dengan berdiri, duduk, ruku dan sujud.
Terdapat di sana ibadah aqal dengan berfikir, dan merenung makna
Al-Quran. Di sana terdapat ibadah hati dengan ikhlas, khusyu
mencintai Allah dan merasakan Allah senantiasa memerhati dan
mengamati amal hambaNya.
Solat juga menjadikan seseorang itu benar-benar menyedari
kedudukannya sebagai hamba Allah. Setiap kali dia bertakbir, maka
ia mengingatkan dirinya tentang kebesaran Allah. Rasa takut dan
berharap terhadap Allah yang ditanam oleh ibadah solat ini akan
memimpin di dalam seluruh hidupnya hinggakan seluruh tindak-
tanduknya dipengaruhi oleh sifat-sifat yang terkandung di dalam
solat tersebut.
Zakat
Zakat bereti kesucian dan kebersihan. Ini bererti kesucian dan
kebersihan jiwa seseorang mukmin tidak mungkin dapat dicapai
tanpa dia memberikan hak saudara-saudaranya yang miskin
terhadap harta bendanya melalui zakat. Oleh itu di dalam Islam
zakat adalah satu asas persaudaraan Islam. Ia melenyapkan sikap
mementingkan diri sendiri yang selalu menjadi punca kelemahan
sesuatu masyarakat. Zakat adalah di antara asas penting bagi
penubuhan sebuah masyarakat Islam yang bertaqwa.
Puasa
Matlamat utama puasa ialah supaya kita menjadi orang yang
bertaqwa kepada Allah subhaanahu wa taaala. Sebagaimana
firman Allah:
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar
kamu bertaqwa.
Dalam ibadah puasa, orang-orang beriman dilatih supaya bersedia
untuk berkorban demi untuk kepentingan Islam melalui
menanggung kesusahan, kelaparan, kedahagaan dan keletihan.
Puasa yang disyariatkan sebulan penuh bertujuan untuk
meningkatkan dalam diri mukmin daya juang, keikhlasan dan sifat
konsisten (istiqamah) yang mana kesemuanya akan menambahkan
ketaqwaan kepada Allah subhaanahu wa taaala.
Haji
Allah telah berfirman:
Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji,
nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan
berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang
kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang
jauh. (Al-Hajj:27)
Seseorang Mukmin yang telah melalui seluruh proses haji ini kan
kekal bersama-sama pengalaman melaksanakan ibadah tersebut.
Hinggakan kesannya tidak akan hilang selama bertahun-tahun.
Malahan hatinya akan sentiasa rindu untuk terus berkunjung
semula ke Tanah Suci demi untuk mencurahkan rasa kecintaannya
kepada Allah di Baitullah.

KEPENTINGAN IBADAH DALAM MEMBINA UMMAH


Tiang-tiang ibadah mengembangkan kebaikannya kepada seluruh
ruang lingkup kehidupan manusia sehingga manusia dibanjiri dengan
kebaikan dan kemanfaatan melaluinya. Solat yang benar-benar khusyu
akan mempengaruhi seluruh kehidupan seseorang itu sehingga ia
merasakan jijik untuk dan benci untuk melakukan sebarang kejahatan
dan kemungkaran. Sebagaimana firman Allah:
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan
kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun);
sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji
dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar
(faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa
yang kamu kerjakan. (Al-Ankabut:45)
Ruh yang dibawa oleh sistem zakat pula mengembangkan daya kerja
yang tinggi di kalangan orang-orang beriman. Orang yang benar-benar
beriman menganggap bekerja dan menambah rezeki adalah dengan
satu tujuan sahaja iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah dengan
mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi ke
jalan Allah iaitu dengan memberikan sedekah dan membayar zakat
dan jihad fisabilillah.
Tujuan utama puasa pula ialah untuk mewujudkan taqwa kepada para
mukmin. Puasa yang mengukuhkan sifat taqwa di dalam jiwa mukmin
akan menjadikan seseorang itu ikhlas dengan sepenuh hatinya dalm
melaksanakan segala perintah Allah, sanggup melakukan tugas-tugas
yang berat dalam mentaati Allah dan lebih mengutamakan
kepentingan ummat Islam daripada kepentingan peribadinya.
Manfaat haji yang besar adalah dorongan bagi seluruh ummat Islam
mengukuhkan kesatuan Muslim. Kesatuan ummat Islam merupakan
tunjang kekuatan yang paling utama yang dapat memimpin ummat
manusia.
Kesimpulannya, setiap ibadah itu jika dilaksanakan dengan
bersungguh-sungguh akan dapat melahirkan ummah yang kuat,
bersatu dan diredhai oleh Allah subhaanahu wa taaala.

BAHAN RUJUKAN
1. Konsep-konsep Umum Islam Abu Urwah
2. Al-Ibadah Fil Islam Dr Yusuf Al-Qardhawi

SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN
1. Apakah yang dimaksudkan dengan ibadah dalam Islam?
2. Apakah yang anda faham dengan ibadah umum dan ibadah
khusus?
3. Apakah unsur-unsur yang perlu diberi perhatian untuk
memastikan sesuatu amal itu mendapat taraf ibadah?
4. Mengapakah ibadat itu penting?

Anda mungkin juga menyukai