Anda di halaman 1dari 8

Pengukuran,Pengujian dan Penilaian

PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN PENGENALAN

Dalam menempuh kehidupan seharian, kita seringkali berhadapan dengan apa yang dikatakan sebagai pengujian, pengukuran dan penilaian dalam semua keadaan yang memerlukan kita membuat sesuatu pertimbangan atau keputusan. Guru perlu membuat pertimbangan atau keputusan berhubung dengan pelajar dalam bilik darjah kendaliannya tentang pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung. Apakah telah mencapai objektif yang telah ditetapkan atau memerlukan tindakan pengulangan semula dan sebagainya.
Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah antara beberapa konsep penting dalam dunia pendidikan. Sering kali istilah ini bertukar ganti digunakan. Misalnya, sesetengah guru apabila mengedarkan kertas ujian, mereka mungkin mengatakan mereka mengukur prestasi pelajar atau menilai prestasi pelajar dalam sesebuah bilik darjah tanpa mengambil hirau maksud sebenar atau maksud khusus yang mendukung istilah berkenaan. Secara khususnya, ketigatiga istilah berkenaan mempunyai makna yang lebih spesifik dan ketiga-tiganya mempunyai perbezaan. Dalam dunia pendidikan, penilaian yang sistematik, dengan mengambil kira semua faktor yang boleh mempengaruhi maklumat atau dapatan yang diperolehi akan membantu guru dalam membuat sebarang keputusan yang tepat. 1.1 KONSEP PENGUJIAN, PENGUKURAN DAN PENILAIAN

Sebagai insan yang hidup di muka bumi ini, kita tidak lari dalam membuat keputusan. Dalam membuat sebarang keputusan tersebut sama ada mudah atau sukar, penilaian wajar dilakukan terlebih dahulu. Dalam konteks ini penilaian yang dijalankan melibatkan penentuan objektif, mendapat maklumat, memproses maklumat dan membuat kesimpulan serta keputusan. Apabila proses yang dijalankan itu dijalankan secara sistematik dan saintifik, maka keputusan yang diperolehi lebih tepat dan seterusnya tindakan yang diambil benar-benar bersesuaian. Sebenarnya aktiviti penilaian dalam bidang sain perlakuan, sains kemasyarakatan bermula dengan percubaan kajian yang dijalankan oleh Galton dan Binet dengan mengukur kebolehan individu. Bermula dengan kajian tersebut, konsep penilaian telah berkembang sehingga muncul beberapa istilah yang berkaitan seperti pengukuran (measurement), penilaian (evaluation) dan pentaksiran (assessment). Dalam pengukuran, individu didedahkan kepada pemboleh ubah yang sama dalam keadaan terkawal. Sebagai contoh pengukuran yang dijalankan bagi menguji kecerdasan kanak-kanak melalui ujian oleh Stanford-Binet, Raven-Matrices, Weschler dan A.C.E.R.
Apabila sesuatu penilaian ingin dijalankan, sekurang-kurangnya dua keputusan yang utama perlu diambil. Pertama, berkaitan dengan sebab ataupun tujuan penilaian dijalankan. Misalnya ingin taraf bacaan murid di sekolah rendah dengan berpendapat taraf bacaan itu sudah tidak memuaskan dan satu tindakan yang baru perlu diambil. Kedua, berkait dengan pemilihan model, alat-alat prosedur menjalankan dan cara penganalisisan. Seseorang penilai akan memilih model yang dirasai dapat memberikan maklumat yang lengkap kepadanya.

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian akan membolehkan anggaran dapat dibuat sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Misalnya dalam pendidikan, masalah yang dapat diselesaikan ialah pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan seperti menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) kepada murid sekolah rendah. Dalam membuat penilaian anda mungkin sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah. Misalnya tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian anda akan dapat merancang langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

Apakah maksud pengujian?


Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus. Pengujian dapat dianggar sebagai proses penyerahan set soalan yang standard yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar. Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Misalnya, skala bernombor seperti angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100 untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula seperti ekstrovert atau introvert bagi ujian personaliti, atau rabun warna bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah Haji Sabran (1991) yang menegaskan bahawa:

Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan. (Raminah 1991:2)
Hasil daripada jawapan yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai markat akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji. Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan (pentadbiran ujian) dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui proses pengujian inilah seseorang guru dapat mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai sebanyak mana kemahiran yang telah dipelajari.

Apakah yang dimaksudkan pengukuran?


Pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding dengan pengujian. Pengukuran membawa definisi sebagai suatu proses mendapatkan penjelasan secara numerik atau melalui angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan instrumen. Atau dalam erti kata lain langkah menentukan tahap sejauh mana seseorang individu memiliki sifat-sifat tertentu. Biasanya kita mewakilkan sesuatu indeks berbentuk angka kepada prestasi seseorang individu supaya status individu berkenaan lebih tepat dan dapat mewakili sifat tertentu. Misalnya, Ramli mendapat markah 60 peratus dalam ujian Matematik. Kita tidak menyatakan prestasi Ramli berkenaan sama ada baik atau sebaliknya. Dalam hal ini, kita hanya mengukur tanpa menentukan nilai. Justeru, pengukuran adalah hanya penentuan status atau tahap. Pengukuran boleh dilaksanakan tanpa pengujian. Sebagai contoh, proses mendapatkan maklumat berbentuk kuantitatif menggunakan proses pencerapan atau penggunaan skala pemeringkatan. Berbeza dengan pengujian yang ingin mendapatkan maklumat sebanyak mana prestasi yang diperolehi, pengukuran pula menjurus kepada banyak mana skor atau markat yang diperolehi dengan menggunakan proses tertentu. Seperti pengujian, pengukuran juga tidak bersifat mutlak. Pengukuran ketinggian mental seseorang individu sudah tentu lebih sukar dan tidak dapat dilakukan dengan tepat berbanding pengukuran ketinggian fizikal seseorang individu menggunakan alat ukur yang tepat seperti penggunaan pembaris. Misalnya, seseorang murid yang mendapat skor 90 tidak boleh dianggap mengetahui dua kali ganda murid yang mendapat skor 45 walaupun skor 90 itu dua kali angka 45. Manakala seseorang yang mendapat skor sifar pula tidak juga boleh dianggap sebagai tidak mempelajari sebarang perkara atau tidak memahami sebarang perkara tentang sesuatu pelajaran yang dilalui. Ini jelas menunjukkan pengukuran aspek berkenaan bukanlah petunjuk yang tepat sebagaimana mengukur ketinggian murid menggunakan kayu ukur atau pembaris. Dengan itu, seseorang guru harus menggunakan instrumen yang tepat bagi menghasilkan keputusan yang tepat. Jika instrumen yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah hasil yang diperolehi daripada ukuran yang dijalankan itu juga tidak tepat.

Apakah yang dimaksudkan penilaian?


Penilaian ada suatu istilah yang boleh didefinisikan dengan banyak cara. Menilai boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam memberikan nilai mutu, kualiti, harga bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai the process of delineating, obtaining, and providing useful information for judging decision alternatives. Definisi ini menjangkau melepasi daripada maksud pengujian dan pengukuran. Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Ini berbeza dengan pengukuran yang melibatkan pemberian nombor-nombor (numeric) tertentu yang lebih bersifat kuantitatif.

Terdahulu daripada itu, Popham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran itu ditentukan. Dalam sesuatu bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau guru menilai pencapaian pelajar. Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan bahawa guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan yang dilakukan guru dengan menggunakan keputusan ujian itu berserta maklumat lain yang berkaitan untuk menilai prestasi murid berkenaan. Dalam sesetengah keadaan penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih dahulu; tetapi hanya melibatkan pertimbangan nilai semata-mata. Dengan itu menunjukkan bahawa penilaian boleh dijalankan dengan menggunakan maklumat atau data yang berbentuk kuantitatif atau data berbentuk kualitatif atau melibatkan keduaduanya sekali. Secara kuantitatif, maklumat yang diperolehi melalui penilaian dinyatakan dalam bentuk angka dan maklumat ini boleh disusun, dikemaskinikan serta diringkaskan dalam kaedah yang lebih mudah difahami. Manakala secara kualitatif pula, maklumat yang dapat dinyatakan atau dihuraikan tanpa menggunakan nombor-nombor. Misalnya Ali menyelesaikan tugas yang diberikan oleh guru dengan bersih. Secara ringkasnya, prosedur penilaian penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran, penganalisisan serta merumuskan data yang diperolehi. Prosedur penilaian boleh dilaksanakan dalam lima peringkat seperti dalam rajah di bawah: Dalam konteks sekarang istilah pentaksiran mula digunakan dalam membuat penilaian. Popham (2000) berpendapat istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan silih berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran dianggap sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran. Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat dan berkesan dijalankan oleh guru di bilik darjah. Justeru, kecekapan guru dalam membangunkan instrumen pengujian dan penilaian amat penting malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

1.2 ARAS UKURAN

Secara umumnya, terdapat pelbagai bentuk system pengukuran yang berbeza. Misalnya, pengukuran yang digunakan untuk mengukur pencapaian akademik pelajar adalah berbeza dengan pengukuran yang digunakan untuk mengetahui tahap apresiasi agama pelajar. Begitu juga membuat pengelasan darjah motivasi sebagai bermotivasi tinggi, sederhana atau rendah tidaklah setepat dengan pengukuran yang menggunakan skor sebenar motivasi pelajar. Penyataan dan pengkelasan kuantitatif pemboleh ubah ini melibatkan system dan proses pengukuran yang menggunakan skala tertentu. Pada umumnya terdapat dua jenis pemboleh ubah asas dalam pengukuran iaitu: (i) Jenis kuantitatif dan (ii) Jenis kategori. Kedua-dua jenis tersebut boleh diukur dengan menggunakan empat jenis skala yang biasa digunakan, iaitu skala nominal, ordinal, sela dan nisbah. 1.2.1 Skala Nominal
Skala nominal ialah skala yang dianggap paling mudah dan mempunyai ketepatan yang paling rendah sebagai bentuk pengukuran. Skala ini mengkategorikan pemboleh ubah berdasarkan persamaan dan seterusnya memberikan nama kepada pemboleh ubah berkenaan. Misalnya, guru ingin mengelaskan kategori murid-murid mengikut kumpulan etnik atau mengelompokkan murid mengikut kumpulan jantina. Guru berkenaan perlu meletakkan nilai tertentu kepada setiap pemboleh ubah tersebut sebagai mewakili kumpulan berkenaan. Misalnya, etnik Melayu diwakili nombor 1, Cina diwakili nombor 2, India nombor 3 dan nombor 4 bagi etnik yang lain. Nombor I dalam sistem ini tidaklah menunjukkan bilangan yang kecil jika dibandingkan dengan nombor 2,3 dan 4. kita boleh menukargantikan nombor berkenaan kepada kategori yang lain. Misalnya, 4 untuk Melayu, 3 untuk Cina, 2 untuk India dan 1 untuk lain-lain etnik. Nombor yang diberikan itu hanyalah mewakili atau melambangkan sesuatu pemboleh ubah yang dinyatakan. Apabila nombor yang digunakan untuk melambangkan orang atau objek dan nombor ini sebenarnya tidak mempunyai sebarang hubungan dalaman antara satu sama lain dari segi nilai. Ini disebut sebagai skala nominal. Tiga ciri utama skala nominal, iaitu: i. ii. iii. setiap data hanya dimiliki oleh satu kategori sahaja. Individu yang berada dalam kelompok Melayu tidak boleh menjadi individu dalam kelompok betnik yang lain. Kategori atau nombor yang mewakili setiap data tidak mempunyai susunan pemeringkatan data tetapi dianggap sebagai setara. Perubahan data asal kepada data nominal atau kategori bersifat satu sama satu.

1.2.2 Skala Ordinal

Pengukuran bersifat ordinal pula ialah data yang menunjukkan urutan atau pangkat. Data disusun sama ada daripada yang rendah kepada yang tinggi atau daripada yang lemah kepada yang cemerlang. Nombor atau kategori yang digunakan menggambarkan maklumat asal pemboleh

ubah yang menunjukkan susunan daripada kecil kepada yang besar atau daripada kategori yang baik kepada kategori yang lebih baik. Misalnya, nombor 1, 2, 3, 4 yang menunjukkan pangkatan atau kedudukan pelajar dalam bilik darjah adalah contoh skala ordinal. Pelajar yang mendapat markat keseluruhan yang tinggi diberikan nombor 1, diikuti norbor 2, 3, 4 dan seterusnya. Ini menunjukkan nombor 1 adalah lebih baik daripada nombor 2, 3 4 dan berikutnya. Pada umumnya skala ordinal hanya mampu membezakan kategori dan nilai susunan secara pemeringkatan. Contoh lain skala ordinal seperti skala Likert.
Ciri-ciri utama skala ordinal seperti berikut: i. ii. iii. kategori yang digunakan bagi mengelaskan data bersifat saling eksklusif. Data yang digunakan menunjukkan pemeringkatan secara logik. Data mempunyai pemberat. Setiap kategori mempunyai pemberatan yang lebih berbanding kategori yang lain. 1.2.3 Skala Sela

skala ketiga ialah skala jenis sela. Data jenis ini mempunyai urutan atau pangkat serta anggapan bahawa perbezaan antara sela wujud. Setiap skala berkenaan mempunyai jarak yang sama. Skala ini berupaya menunjukkan perbezaan antara beberapa kategori dan ia boleh menunjukkan kesamaan dalam unit pengukuran yang digunakan. Contoh pengukuran skala sela ialah pengukuran suhu. Misalnya perbezaan darjah suhu antara 25C dengan 35C adalah sama dengan perbezaan darjah suhu antara 15C hingga 25C. Kedua-dua perbezaan berkenaan menunjukkan perbezaan 10.
Skala sela memberikan sela yang sama daripada titik origin yang sewenang-wenangnya. Ini bermaksud skala sela mempunyai ciri-ciri nominal dan ordinal, terutamanya ciri-ciri aspek pangkatan. Jarak numerik yang sama di atas skala sela menggambarkan jarak yang sama pada ciri-ciri yang diukur. Contoh lain, andai kata terdapat enam orang pelajar yang diukur pencapaiannya pada skala sela, maka perbezaan pencapaian antara pelajar A dengan C adalah sama dengan F dan D. walau bagaimanapun kita tidak boleh menyatakan pencapaian F dua kali lebih baik daripada D. hal ini disebabkan bukan kuantiti yang ditambah atau ditolak, tetapi perkiraan adalah berdasarkan selak atau jarak tersebut. Dalam skala sela, nilai kosong (O) atau sifar adalah merupakan suatu nilai. Nilai O adalah suatu yang arbitrari dan tidak menggambarkan bahawa ciri kuantiti sebagai kosong atau tidak ada nilai secara mutlak. Misalnya, suhu OC mempunyai nilai permulaan sistem pengukuran suhu. Suhu O C di sini masih membawa makna suhu masih boleh turun di bawah takat tersebut dan bukan bermakna tidak ada darjah kepanasan. Ciri-ciri skala sela adalah seperti berikut: i. ii. kategori yang digunakan bagi mengelaskan data sela bersifat saling eksklusif. Data yang digunakan menggambarkan susunan pemeringkatan secara logik.

iii. iv. v.

Nilai atau skor yang digunakan mempunyai pemberat. Satu nilai dikatakan lebih besar atau lebih kecil daripada lainnya. Nilai dalam skala sela adalah arbitrari. Nilai O adalah satu bentuk nilai dalam skala jenis ini. Persamaan perbezaan digambarkan dalam nilai nombor yang digunakan bagi menggambarkan perbezaan.

1.2.4 Skala Nisbah

Skala keempat ialah skala nisbah. Skala ini mempunyai semua sifat jenis sela dan mempunyai mutlak nilai kosong. Dalam skala nisbah nilai kosong tidak bersifat arbitrari. Misalnya perbezaan antara 30 hingga 60 adalah sama dengan perbezaan 60 hingga 90. malah kita boleh mengatakan 90 adalah dua kali ganda 45 (2 X 45 = 90). Nombor dalam skala nisbah ini menunjukkan jumlah atau ciri sebenar yang diukur. Contoh skala nisbah seperti umur, ketinggian dan jarak. Jadual di bawah menunjukkan sifat keempat-empat skala pengukuran berkenaan.

Pengukuran tingkah laku dalam bidang psikologi kadang kala agak sukar dibuat garisan antara data jenis ordinal dan sela. Misalnya dalam ukuran data yang menggunakan skala Likert, anggapan yang keterlaluan ialah data ini tergolong dalam data jenis ordinal. Apabila hanya menganggap skala ini terhad kepada berbentuk ordinal akan menyebabkan pengehadan kepada analisis data yang dapat dibuat. Analisis data begini tidak dapat menggunakan analisis varians bagi membandingkan nilai min kumpulan. Kesimpulannya, setiap jenis skala mempunyai maklumat yang berbeza. Skala nisbah memberikan sejumlah maklumat yang lebih banyak daripada skala sela. Skala sela pula dapat memberikan maklumat yang lebih daripada skala ordinal. Begitu juga dengan skala ordinal lebih memberikan maklumat daripada skala nominal. Penyusunan data akan mempengaruhi jenis analisis statistik yang bakal dijalankan. Perhubungan atau hierarki keempat-empat skala ukuran dapat ditunjukkan dalam rajah di bawah.

TUJUAN PENILAIAN DI BILIK DARJAH

Penilaian dan pengujian dalam sesi pengajaran dan pembelajaran adalah sama pentingnya dengan proses pengajaran. Matlamat utama penilaian dijalankan ialah untuk meningkatkan atau memperbaiki pembelajaran. Sekiranya ditinjau dari aspek yang lebih luas, penilaian yang dijalankan memberi manfaat besar kepada guru pelajar serta ibu bapa malah kepada pihak sekolah serta kementerian sendiri apabila memberikan maklumat yang tepat dan berkesan.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan dapat dijadikan asa kepada guru untuk membuat keputusan berhubung dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sepanjang guru mengajar, beliau akan menggunakan maklumat yang diperolehi bagi membuat keputusan yang perlu bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Bagi memudahkan pemahaman anda, tujuan atau kepentingan penilaian dalam pendidikan khususnya dalam bilik darjah ini dijelaskan kepada beberapa tujuan seperti untuk tujuan diagnosis, melihat pencapaian, membuat pemilihan, menempatkan serta memberikan bimbingan kaunseling kepada pelajar.

PENGUJIAN DAN PENAKSIRAN DI BILIK DARJAH PENAKSIRAN: Ialah proses mengumpulkan dan menafsirkan maklumat tentang pelajar untuk membuat keputusan-keputusan yang dapat meningkatkan pembelajaran dan pengajaran. Bagaimana penaksiran dan pengujian berlaku? Seorang guru boleh melakukan kegiatan mengukur dan menilai murid menerusi semakan latihan (homework), nota, jawapan atau keputusan ujian mingguan/ bulanan/ tahunan, aktiviti perseorangan atau berkumpulan,menyoal murid, menemu bual dan memerhatikan tingkahlaku pelajar. Apakah Tujuan Penaksiran? Tujuan umum ialah untuk membantu meningkatan mutu pengajaran dan pembelajaran

Anda mungkin juga menyukai