Anda di halaman 1dari 12

Hari pertama Kami telah diarahkan untuk berkumpul di gelanggan sepak takraw berdekatan dengan tempat letak kenderaan

institut. Kami diarahkan beratur mengikut kelas. Kemudian, kami telah dipecahkan kepada enam kumpulan. Kami diberi taklimat ringkas berkaitan dengan BIG dan program-program yang akan dilangsungkan. .. Kami juga diberi nasihat, peringatan serta amaran tentang tingkah laku dan penglibatan kami sepanjang empat hari tiga malam di Port Dickson nanti. Selepas itu, setiap kumpulan diberi masa untuk mencari nama kumpulan dan juga motto kumpulan masing-masing. Sementara menunggu pemandu-pemandu bas bersedia, saya dapat berkenalan dengan rakanrakan baru yang berlainan bangsa dari kelas-kelas Pendidikan Khas dan juga Matematik.

Pada jam 10.30 pagi, kami mula bertolak dari IPRM ke destinasi yang dituju iaitu Batu 7/1/2 Teluk Kemang, Port Dickson. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Apabila sampai di Pusat Penyeledikan Marin UPM iaitu lokasi program BIG kami akan diadakan. Keadaan angin yang bertiup begitu kencang telah sedikit sebanyak menyukarkan kami untuk mengeluarkan barang-barang keperluan dari bas. Kami telah diberikan taklimat ringkas sebelum menjamu makan tengah hari. Oleh sebab kami masih tidak sempat untuk memasak di situ, AJK makanan telah membungkus makanan tengah hari kami untuk melancarkan program ini. Kami menjamu makanan tengahari dalam kumpulan masing-masing.

Aktiviti memasang khemah diadakan pada petang itu juga. Taklimat dan demonstrasi memasang khemah dibuat sebelum setiap kumpulan diberi khemah untuk didirikan. Saya bersama Hafiz, Faizuddin, Hanif, Aimran dan Faizi berada dalam kumpulan khemah yang sama. Selesai mendirikan khemah, saya dan rakan-rakan duduk berehat sementara menungu waktu makan malam dan masuknya waktu maghrib. Diwaktu malam pula, setelah selesai solat maghrib dan isyak secara berjemaah, saya mendengar tazkirah daripada pensyarah. Kami dikehendaki memberi tazkirah secara bergilir-gilir mengikut kumpulan. Ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada saya dan rakan-rakan untuk berani berdepan dikhalayak ramai dan berkongsi ilmu pengetahuan. Memberi tazkirah tidak semestinya berkenaan dengan ilmu agama semata-mata. Selesai program di surau, saya serta rakan-rakan berkumpul di dewan untuk program ice-breaking. Terdapat pelbagai aktiviti yang dilakukan. Antaranya ialah mencari rakan-rakan yang mempunyai bulan kelahiran yang sama dengan rakan yang lain, mencari rakan-rakan yang membuat aksi dan suara yang sama dan mencari rakan yang berasal dari negeri yang berlainan. Untuk merapatkan lagi ukhwah antara peserta-peserta program ini, setiap peserta telah dibekalkan dengan nama seorang lagi peserta lain. Kami tidak dibenarkan memberitahu sesiapa pun mengenai nama yang telah kami peroleh. Nama-nama secret admirer ini hanya akan didedahkan pada hari terakhir program ini. Kami dikehendaki menulis surat kepada secret admirer kami tersebut dan menyerahkannya pada pensyarah setiap kali aktiviti LDK dijalankan. Kami digalakkan memberi kata-kata

semangat kepada individu tersebut. Aktiviti ini juga dapat mempamerkan kerjasama dan kesungguhan para peserta dalam mencari rakan masing-masing. Aktiviti pada malam ini berakhir pada pukul 12 tengah malam. Saya dikehendaki membuat kawalan malam bermula pada tengah malam sehingga jam dua pagi. Pada jam empat pagi, angin bertiup dengan kencang. Kami bergegas ke kawasan khemah untuk mengejutkan rakanrakan supaya berpindah ke dewan kerana dikhuatiri angin ribut , hujan dan petir ini akan membahayakan peserta khemah yang lain. Setelah memastikan setiap khemah dikosongkan, kami duduk di bawah astaka dan melakukan rondaan selang beberapa minit terutama di kawasan dapur bagi memastikan tiada anjing yang merosakkan makanan. pada pukul 6 pagi setelah mengejutkan rakan-rakan yang lena dibuai mimpi, maka berakhirlah tugas kawalan malam pada pagi itu. Kami bersiap sedia untuk aktiviti seterusnya

Hari kedua (21 April 2009) Pada seawal jam enam pagi, saya dan rakan-rakan muslim yang lain akan menuju ke surau untuk menunaikan solat subuh. Selesai sahaja solat, kami mendengar tazkirah subuh, saya dan rakan-rakan beratur seperti di dalam kawad kaki untuk upacara menaikkan bendera dan nyanyian 3 buah lagu iaitu lagu Negaraku, lagu Kebesaran Negeri Sembilan dan lagu Guru Malaysia. Setiap pagi, kami akan mengadakan aktiviti senaman pagi. Setiap kumpulan akan bergilir-gilir mengetuai kami untuk melakukan senaman. Selain menyihatkan badan, secara tidak langsung, saya turut mempelajari banyak cara senaman yang kreatif dan menyeronokkan. Senaman pagi hari ini dikendalikan oleh wakil daripada kelas Bahasa Tamil. Kami membuat tarian poco-poco. Malangnya, aktiviti tesebut tidak dapat dihabiskan kerana masalah teknikal yang berlaku. Semua peserta bersemangat pada pagi tersebut. Kami akan membuat aktiviti kayak dan keyakinan di air pada hari ini.

Selesai sarapan pagi, kami berkumpul dihadapan wakaf untuk taklimat seterusnya. En.Shamsudin mengagihkan tugasan kepada setiap kumpulan. Kumpulan saya dikehendaki mengangkat pedal kayak dan meletakkannya di pantai dimana aktiviti air akan dijalankan. Saya bekerjasama dengan rakan-rakan yang lain mengangkatnya. Walaupun agak berat tetapi dengan kerjasama rakan-rakan beban yang dipikul berkurangan. Kami dikehendaki mengumpulkan sebanyak 34 batang pedal untuk peserta-peserta lain. Seterusnya, saya dan rakan-rakan berkumpul dan mendengar taklimat berkenaan dengan kayak yang akan dilakukan. En Razak memperkenalkan bahagian-bahagian kayak kepada para peserta. En Shamsudin pula memberi taklimat mengenai cara berkayak yang betul. Aktiviti pemanasan badan turut dikendalikan oleh Encik Razak supaya tiada peserta yang kejang ketika berkayak.

En Razak mengarahkan kami beratur secara berpasangan antara lelaki dan perempuan untuk memudahkan pembahagian pasangan untuk aktiviti kayak. Kami dibenarkan membuat simulasi sebelum melakukan aktiviti ini. Saya berpasangan dengan rakan dari unit Matematik iaitu Maharani. Sebelum aktiviti kayak dimulakan, kami diarahkan untuk memakai jaket keselamatan dan pergi berbaring di atas air laut. Aktiviti ini adalah untuk meningkatkan keyakinan kami di dalam air. Semasa melakukan aktiviti meningkatkan keyakinan dalam air, pada mulanya saya terfikir ia tidak sukar sangat.namun, apabila berhadapan dengan keadaan sebenar, ia tidak seperti yang disangkakan. Ombak yang kuat dan bertalu-talu menghalang pergerakkan untuk mengapungkan diri.

Selepas beberapa minit, para peserta sudah bersedia untuk aktiviti kayak. Setelah mengambil pedal, saya dan pasangan saya menolak kayak ke tepi pantai. Saya sungguh berdebar-debar apabila melihat ombak yang agak kuat. Ini adalah kali pertama saya berkayak dan saya masih begitu mentah dalam menggunakan teknik berkayak yang betul. Sebaik sahaja isyarat perlepasan dibuat, saya dan pasangan saya sedaya upaya mengerah tenaga kami untuk berkayak ke lokasi yang ditetapkan. Saya duduk di bahagian belakang cockpit dan saya haruslah sentiasa besuara lantang untuk mengarahkan pasangan saya agar kami sentiasa berada di haluan yang betul.. Betapa sukarnya meredah ombak yang agak besar itu. Walaupun terpaksa mengharungi ombak yang kuat, namun hasil berkat usaha kami, kami berjaya tiba di destinasi yang ditetapkan dengan selamat.. Tiba di tengah lautan, kami dikehendaki membuat rafting iaitu semua kayak berkumpul satu baris disatu tempat ditengah laut. Agak sukar untuk mengumpulkan kesemua kayak dalam satu masa. Ada yang mengambil masa yang lama untuk menyertai rafting. Akan tetapi, dengan hasil semangat berpasukan kesemua kayak dapat dikumpulkan. Sememangnya aktiviti kayak ini memberi cabaran yang besar kepada saya. Apabila dikaitkan dengan realiti kehidupan, laut ibarat kehidupan kita. Ombak ibarat rintangan atau dugaan yang melanda kehidupan kita. Ada kalanya laut tersebut tenang tanpa ombak, sama seperti ketenangan dalam kehidupan kita. Adakalanya laut tadi bergelora dek ombak yang mangganas, ia umpama kehidupan kita yang didatangi masalah, rintangan atau dugaan. Namun, sebesar manapun ombak tersebut, kita mesti menghadapinya untuk mengatasi ketakutan kita. Ia sama dengan

kehidupan kita, walau sebesar atau sesukar manapun masalah yang dating dalam kehidupan kita, kita tidak boleh lari daripada masalah tersebut. Kita mesti menghadapinya dengan tabah sepertimana menghadapi ombak di lautan.

Setelah aktiviti berkayak selesai, saya dan beberapa orang rakan telah ditugaskan untuk mengangkat jet ski. Ini adalah tugas yang paling mencabar bagi saya sepanjang empat hari di BIG. Bukan sahaja disebabkan dengan saiz jet ski yang besar dan berat, tetapi dengan ombak yang sentiasa memukul kami dari belakang ketika mengangkat jet ski itu telah menyebabkan saya terhantuk beberapa kali di belakang jet ski. Walaubagaimanapun, nilai kerjasama yang wujud memudahkan segala urusan kami. Setelah penat,pelajar dikehendaki duduk untuk makan didalam kumpulan masingmasing. Selesai sahaja makan tengah hari, saya dan ahli kumpulan saya membersihkan perelatan-peralatan yang telah kami gunakan untuk memasak. Kemudian, kami membersihkan diri pula untuk menunaikan solat fardhu Zohor. Setelah menunaikan solat Zohor berserta dengan tazkirah, kami dikehendaki masuk ke dalam dewan untuk aktiviti Latihan Dalam Kumpulan.

Pada petang ini, dalam aktiviti LDK, kami dikendalikan oleh Encik Yee Yong Fak, kami dikehendaki menjawab soalan berkaitan dengan Self-Direct Search. Saya mendapati saya berada di kelompok yang terbanyak iaitu social skill. Melalui aktiviti ini saya dapat menilai diri saya sendiri melalui minat dan kebolehan saya. Setelah aktiviti ini tamat, saya dan rakan-rakan menuju ke surau untuk menunaikan solat asar berjemaah. Kemudian, kami minum petang bersama ahli kumpulan masing-masing. Dikesempatan itu, kami berbincang mengenai persembahan dan persiapan yang bakal dibuat sebelum malam kebudayaan berlangsung. Saya serta rakan sekumpulan memberi idea dan pandangan masing-masing. Akhirnya, kata sepakat telah dicapai. Kami membuat keputusan untuk mempersembahkan lakonan bertajuk Si Pencacai dan Pari-Pari. Manakala lagu pula kami memilih lagu Warisan.

Masuk waktu maghrib, saya dan rakan-rakan pergi kesurau untuk solat maghrib dan isyak berjemaah. Tazkirah selepas maghrib disampaikan oleh Faizi Helmi dari kumpulan Lebah. Beliau berkongsi ilmu berkaitan dengan cinta dalam sesi tazkirah tersebut. Melalui tazkirah itu, mengingatkan saya supaya sentiasa menyayangi dan menghormati ibubapa dan keluarga. Selesai solat isyak, saya dan rakan-rakan bergegas ke dalam dewan untuk meneruskan sesi LDK. Permulaan LDK dibuka dengan pertukaran surat daripada secret admire. Saya sungguh seronok mendapat surat daripada dia. Ini membuatkan saya tertanya-tanya siapakah gerangan yang menulis tinta buat saya.

Aktiviti diteruskan dengan pertandingan antara kumpulan. Dalam aktiviti pertama, setiap kumpulan dibekalkan dengan sehelai kertas mahjung dan sebatang pen marker. Kami diminta melukis bulatan diatas kertas tersebut. Kemudian, setiap kumpulan memilih wakil masing-masing dan ditutup matanya dengan kain hitam. Wakil yang terpilih itu dikehendaki melakar apa yang diminta. Aktiviti tersebut diteruskan dengan menukar kepada orang lain. Hasilnya, setiap kumpulan akan melukis muka mengikut aturan. Hasil setiap kumpulan adalah berlainan mengikut kreativiti masingmasing.

Aktiviti kedua ialah pertandingan poco-poco antara kumpulan. Masa yang diberikan terlalu singkat. Kumpulan saya tidak dapat membuat dengan baik. Namun demikian, saya berpuas hati kerana ahli kumpulan saya dapat berkerjasama dan mengikut arahan daripada ketua. Kemudian aktiviti diteruskan dengan pertandingan menyanyi antara kumpulan. Kami perlu mengikut arahan daripada Tn. Hj Harun dan menyanyi mengikut arahannya. Aktiviti ini sukar saya laksanakan kerana sebutan setiap perkataan mampu membuatkan lidah saya terbelit kerana perkataan-perkataan tersebut hampir mempunyai sebutan yang sama. Setiap aktiviti memberi objektif tersendiri. Secara keseluruhannya, setiap aktiviti menguji kerjasama dan persefahaman antara ahli kumpulan. Kami juga ada menyanyikan lagu Sahabat Sejati beramai-ramai sambil berpegangan tangan dan berpelukkan. Hari kedua merupakan hari yang meletihkan saya. LDK pada hari ini berlanjutan sehingga ke pukul 1 pagi. Pada malam ini saya tidak tidur kerana kawalan malam saya bermula pada pukul 2 pagi.

Hari ketiga (22 APRIL 2009)

Saya bergerak pada jam enam pagi menuju ke surau untuk solat subuh berjemaah. Selesai tazkirah selepas solat subuh saya serta rakan-rakan mengadakan senaman pagi. Sebelum itu, saya dan rakan-rakan beratur seperti di dalam kawad kaki untuk upacara menaikkan bendera dan nyanyian 3 buah lagu iaitu lagu Negaraku, lagu Kebesaran Negeri Sembilan dan lagu Guru Malaysia. Senaman pagi hari ini dikendalikan oleh wakil daripada kelas Kajian Sosial. Oleh sebab ramai lagi peserta yang masih tidak pandai menari tarian Poco-poco, kami mengambil keputusan untuk mengajar para peserta tarian itu. Aktiviti ini berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari peserta. Apabila mendapat tahu bahawa kami akan melalui jungle trekking semasa Program Bina Insan Guru, saya tidak merasa begitu risau kerana sebelum ini saya pernah melalui pengalaman yang serupa. Namun, setiap aktiviti yang sama pasti memberi pengalaman yang berbeza. Kita tidak boleh menilai sesuatu tanpa melaluinya terlebih dahulu.

Selesai senaman pagi, saya dan rakan-rakan sarapan pagi bersama-sama dalam kumpulan masing-masing. Selepas itu, kami berkumpul di depan wakaf untuk taklimat berkenaan dengan aktiviti hari tersebut. Aktiviti yang dijalankan ialah kembara. Saya dan peserta yang lain dikehendaki menaiki bas yang telah disediakan bagi menuju ke destinasi kembara. Kembara saya dijalankan di Tanjung Tuan, Melaka. Disana, kami dipecahkan kepada 2 fasa. Saya dan ahli kumpulan saya berada dalam fasa . pensyarah yang mengiringi kami ialah En.Samuel. Kembara dijalankan di persisiran pantai Tanjung Tuan, Melaka. Saya dan rakan-rakan dibawa melaluinya dengan diketuai oleh En.Samuel.

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan sememangnya satu ciptaan Tuhan yang amat mengagumkan. Pelbagai flora dan fauna yang terdapat dalam hutan tersebut. Udara amat segar dan nyaman. Hutan yang menghijau dan cantik, di tambah dengan bunyi unggas merupakan satu tarikan yang amat menarik. Namun, kita tidak boleh menilai sesuatu berdasarkan paras rupa yang cantik sahaja. Misalnya, batu-batu yang besar dan licin amatlah berbahaya jika kita tidak berhati-hati. Ini mengajar saya tentang kehidupan kita agar jangan menilai sesuatu berdasarkan kecantikan luaran sahaja. Manusia sering terperangkap dengan kecantikan, dan terlepas pandang nilai-nilai dalaman yang jauh lebih baik. Pengajaran yang saya dapat di sini ialah jangan membuat pilihan berdasarkan rupa yang dapat kita lihat, tetapi lihatlah juga nilai-nilai dalaman yang terdapat dalam pilihan kita itu.

Sepanjang perjalanan di dalam hutan itu, saya dan rakan-rakan tidak sekadar berjalan dan menikmati pandangan sahaja. Hal ini disebabkan oleh tugasan yang telah diberikan kepada kami untuk mencatatkan sebayak mana nama saintifik tumbuhantumbuhan yang terdapat di hutan rekreasi ini. Encik Samuel memberi banyak maklumat berguna mengenai Tanjung Tuan. Salah satu perkara yang paling saya suka ialah dapat menyaksikan secara dekat rumah api Tanjung Tuan kerana selama ini saya benar-benar teringin untuk pergi ke rumah api. Pemandangan dari rumah api tersebut sangat cantik dengan lautnya bersih dan cantik. Sekitar laut tersebut juga menurut En Samuel adalah merupakan tempat terumbu batu karang iaitu pusat penumpuan ikan-ikan. Saya dan rakan yang lain menikmati keindahan alam itu. Sungguh menakjubkan dan menyedarkan saya betapa kerdilnya saya di dunia ini dan betapa luasnya lautan yang terbentang. Rumah api tersebut juga menjadi tumpuan beribu-ribu ekor burung pemangsa untuk singgah. Selain itu, sepanjang perjalanan, saya ada melihat tapak peninggalan Hang Tuah. Dikatakan bahawa Hang Tuah pernah melalui jalan tersebut. Malangnya, tempat tersebut pada ketika dahulu dijadikan tempat untuk sesetengah pihak memuja bagi mendapatkan nombor-nombor bertuah untuk dijudikan. Dengan kerjasama pihak berkuasa, kegiatan tidak bermoral dan mencemarkan imej baik tempat bersejarah tersebut berjaya dikawal.

Ketika tiba di kawasan untuk memasak, kami memilih lokasi yang bersesuaian dan menandakan kawasan kami. Kami diberi masa yang agak singkat untuk memasak. Agak sukar untuk kami menghidupkan api. Namun akhirnya kami berjaya memasak sardin, telur goreng, sayur dan semangkuk nasi. Berkat dari usaha kerjasama kumpulan kami. Kami turut memberi peluang kepada pensyarah untuk merasai dan menilai kehebatan kami memasak,. Walaupun tidak kenyang, namun saya merasa sangat teruja dan gembira.

Kemudian kami meneruskan perjalanan seperti yang dilalui oleh kumpulan 1. Kami berjalan pulang melalui persisiran pantai. Tumbuhan paya bakau yang terdapat disitu cukup menakjubkan. Struktur akarnya yang berbeza dan bersesuaian dengan habitatnya menyedarkan saya tentang kekuasaan Nya yang menjadikan setiap yang hidup di muka bumi ini. Selesai mengemas, saya dan rakan-rakan meneruskan perjalanan pulang menaiki bas. Kami berasa sangat letih namun keseronokan ketika berada di dalam hutan tadi berjaya menaikkan semangat kami untuk menjalani aktiviti yang seterusnya. Di tapak perkhemahan, En Rohaizat mengadakan sesi refleksi. Setiap kumpulan menghantar wakil bagi menceritakan hasil dapatan sepanjang kembara dijalankan.

Aktiviti diteruskan selepas semua peserta solat zuhur berjemaah. LDK pada petang tersebut tertumpu kepada bagaimana kita memilih kerjaya yang bersesuain dengan diri sendiri. Bagi guru pelatih yang tidak mempunyai personaliti sebagai seorang guru, mereka mempunyai banyak lagi masa untuk mengubah minat dan fokus kerjaya mereka kepada bidang perguruan. Pada petang pula para peserta diberi masa untuk berlatih untuk persiapan terakhir sebelum malam kebudayaan berlangsung. mereka malam nanti. Pelbagai gelagat boleh dilihat ketika sesi latihan ini. Setiap kumpulan kelihatan bersungguh untuk mempersembahkan lakonan dan nyanyian

Selepas habis menunaikan solat dan mendengar tazkirah, kami berkumpul di wakaf untuk menikmati barbeque yang disediakan. antara menu yang ada tersedia ialah ayam bakar, udang bakar dan nasi goreng. Menu-menu khas ini disediakan oleh para pensyarah. Saya menikmati makan malam dengan penuh selera. Acara yang ditunggutunggu iaitu Malam Riuh Sekampung bermula tepat pada pukul 9.45 malam. Sebelum bermula, pengerusi majlis memperkenalkan para hakim dan membuat undian. Persembahan pertama dimulakan dengan kumpulan Spider. Mereka mempersembahkan lakonan yang diadaptasi daripada filem Nujum Pak Belalang. Kumpulan kedua pula ialah kumpulan Semut Merah yang memilih cerita Mahsuri. Persembahan ketiga diteruskan oleh kumpulan Belalang yang memilih cerita Cinderella dan kumpulan seterusnya ialah kumpulan Cengkerik yang membawa cerita Si Pencacai dan Pari-pari.Kumpulan kami iaitu Tarantula mempersembahkan cerita Puteri Gunung Telapang dan akhir sekali ialah kumpulan Lebah iaitu cerita Bawang Putih dan Bawang Merah.

Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah. Persembahan terbaik jatuh kepada kumpulan Semut Merah. Kumpulan saya memenangi kumpulan yang terbaik dalam aktiviti kayak. Setiap kumpulan akan mendapat hadiah dibawah kategori masingmasing. Penyampaian cenderahati juga dilakukan kepada jurulatih dan para pensyarah. Acara berakhir pada pukul 12.15 tengah malam. Selepas itu, upacara menurunkan bendera dilangsungkan. Para peserta menyanyikan 3 buah lagu.

Hari keempat (23 APRIL 2009)

Rutin pagi di hari keempat tidak banyak bezanya dengan hari-hari sebelumnya. Selepas menunaikan solat subuh dan mendengar tazkirah, kami beratur di depan surau dan upacara menaikkan bendera serta nyanyian tiga lagu utam dilangsungkan. Senaman pagi pada hari ini dibatalkan. Kami dikehendaki mengemaskan alatan yang telah digunakan. Tugas ini begitu memenatkan kerana kebanyakan peserta termasuk saya sendiri memang sudah sediakala dalam keadaan letih dan kurang bermaya. Untuk mengangkat 16 buah kayak adalah sesuatu yang mencabar kerana laluan ke tempat menyusun peralatan kayak itu agak berbukit dan curam. Namun , setiap peserta memberikan komitmen yang mengagumkan sehinggakan tugasan ini tidak dirasakan begitu membebankan seperti yang disangka. Selepas itu, kami semua diarahkan untuk membawa keluar semua barangbarang keperluan kami keluar dari khemah untuk membolehkan semua khemah dibersihkan sebelum dibasuh dan dikeringkan. Saya dan rakan saya, Faizihilmi telah melakukan tugasan ini berdua kerana rakan-rakan sekhemah kami yang lain sedang sibuk menyusun kayak. Aktiviti pembersihan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Setelah mendapati khemah tersebut telah kering, saya dan rakan-rakan melipat khemah tersebut dan memasuukannya semula ke dalam beg. Selesai menguruskan khemah, saya dan rakan-rakan masuk ke dalam dewan untuk sesi refleksi terakhir.

Aktiviti rasmi kami yang terakhir adalah pendedahan secret admirer kami. Selama ini, saya tertanya-tanya siapakah gerangan yang menulis surat yang mengandungi katakata nasihat dan semangat itu. Pada mulanya , saya beranggapan bahawa penulis surat-surat itu adalah seorang lelaki berdasarkan tulisannya. Namun, saya begitu terkejut apabila mengetahui bahawa penulis surat itu adalah antara sahabat baik saya iaitu Joan Kunaping. Saya berasa gembira kerana ianya secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara saya dan beliau. Pada penghujung aktiviti, beberapa orang peserta secara sukarela telah memberikan refleksi mereka mengenai program ini. Kesemua peserta yang tampil kehadapan menyatakan kegembiraan mereka terhadap Program Bina Insan Guru ini yang dianggap telah berjaya mendidik kami menjadi insane

yang lebih cekal, mudah berkerjasama dan bersedia untuk menjadi seorang guru. Selepas itu, setiap pelajar diberikan cenderahati berupa sebiji gelas kaca sebagai kenang-kenangan. Setelah segalanya selesai, kami mengambil makan tengah hari masing-masing di dapur. Oleh kerana hanya satu bas sahaja yang disediakan oleh pihak institut, pelajar-pelajar lelaki dikehendaki member laluan kepada pelajar-pelajar perempuan untuk pulang ke institut. Sementara menunggu bas sampai, kami berjalan-jalan di tepi pantai untuk mengambil udara segar. Saya berharap saya dapat mengaplikasikan semua input berguna yang telah saya dapat pada masa yang akan datang terutama apabila saya mengajar kelak. Sepanjang program Bina Insan Guru ini dijalankan, saya sangat berasa sangat seronok ketika bersenam pagi. Ini kerana setiap pagi saya akan tertunggu apakah senaman baru yang akan di ajar oleh ahli-ahli kumpulan lain. Selain itu, saya mempelajari bahawa kawan amatlah penting dalam kehidupan kita. Tanpa kawan, banyak perkara yang tidak dapat kita rasai dan lalui dengan jayanya. Sekiranya tiada kawan-kawan yang menolong semasa menghadapi ombak yang besar, pasti saya akan mengalah. Kehadiran kawankawan disekeliling saya telah memberi keberanian kepada saya. Saya juga melihat ramai kawan-kawan lain yang mengalami keadaan yang sama seperti saya, malah ada yang lebih takut lagi. Namun, dengan adanya kawan-kawan lain dengan mereka, mereka berjaya melawan ketakutan tersebut. ketakutan ini dapat diatasi kerana percaya kepada kawan. Kawan akan menolong kawannya, bersandarkan kepada pegangan ini, ketakutan kepada ombak yang besar itu dapat dilawan kerana kepercayaan kepada rakan yang pasti akan menolong kita.

Anda mungkin juga menyukai