Anda di halaman 1dari 10

PERARAKAN MASUK PENGANTIN

Panas kering siapakan tahu


Hujan rintik di Pulau Pandan
Berjalan seiring bersentuh bahu
Samalah cantik samalah padan

Tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian
Mengumumkan perarakan masuk mempelai yang diraikan iaitu Wan Mohd Faris
Fitri Bin Wan Mohamad Fuat dengan pasangannya Nur Dalila Akmal diiringi para
rombongan memasuki ruangan utama Star Fresh Agro Park.


Manis sang ratu bijak laksana
Gagah pahlawan tiada gentar
Mempelai melangkah hendak kemana
Wahai mempelai tunggu sebentar





SILAT PENGANTIN

Sebagai wadah permulaan bagi majlis menyambut menantu pada malam yang
berbahagia ini, kedua mempelai dijamah dengan persembahan silat pengantin oleh
Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia diiringi alunan merdu cak lempong oleh
kumpulan Ciniago. Dipersilakan.
Atau
Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian, apa yang dapat kita saksikan
kini, adalah persembahan silat pengantin oleh Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia
untuk kedua-dua mempelai diiringi alunan merdu irama cak lempong oleh kumpulan
Ciniago.

Majlis diteruskan lagi dengan perarakan masuk pengantin ke ruangan makan beradab.

Anak cina memasang lukah
Lukah dipasang di tanjung selasih
Pasangan pengantin segak melangkah
Mara menuju mahligai kasih





PENGANTIN DUDUK DI MEJA MAKAN

Dari raub pergi ke pontian
Terus pula ke kuala perlis
Harap semua berikan perhatian
Mohon saya mulakan majlis


Bismillahhirrahmannirrahim
Assalamualaikum w.b.t

Hari ini menugal jagung
Hari esok memintal tali
Hari ini kita berkampung
Meraikan mempelai dua sejoli

Yang di hormati En. Wan Mohamad Saad @ Fuat Bin Wan Chik dan Pn. Mariam Binti
Shamsudin selaku tuan rumah pada majlis perkahwinan hari ini,
Yang di raikan pasangan mempelai Wan Mohd Faris Fitri Bin Wan Mohamad Fuat dan
Nur Dalila Akmal Bt Anuar , ahli keluarga, sanak saudara, ahli rombongan, rakan-rakan
kedua mempelai, dan para tetamu sekalian.
Selamat datang ke :
Majlis menyambut menantu bagi pasangan Wan Mohd Faris Fitri dan Nur Dalila Akmal.
Majlis mengucapkan ribuan terima kasih atas kesuan hadirin sekalian kerana sudi
bersama-sama dengan kami dalam majlis menyambut menantu pada malam ini.

Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal bismillah pembuka bicara

Balai seri buatan pak tua
Tempat berehat rakan dan taulan
Menadah tangan memanjatkan doa
Moga jodoh sentiasa berkekalan

Bagi memohon restu dan juga keberkatan yang berkekalan dari tuhan yang maha esa,
marilah kita sama-sama menadah kedua belah tangan memohon doa ke hadrat Allah
s.w.t.semoga majlis ini mendapat keberkatan dan sentiasa berada dalam
keredhaanNya.
Bagi menyempurnakan hasrat tersebut, majlis dengan sukacitanya menjemput Al Fadhil
Tn Hj Zulkifli Hussein wakil dari Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar untuk
memimpin bacaan doa.
Majlis mempersilakan
- bacaan doa

Terima kasih di ucapkan kepada tn. Hj. Zulkifli Hussein atas kesudian bacaan doa
sebentar tadi.


















LATAR BELAKANG MEMPELAI
Orang jauh di kenang-kenang
Hanya terkenang pada yang satu
Mula berkenalan kemudian bertunang
Akad dilaksana sama bersatu

Anak cina mengail patin
Mengail patin ditepi titi
Senyum terukir pasangan pengantin
Tanda gembira penuh di hati

Menyingkap bibit-bibit perkenalan pasangan pengantin ini, untuk pengetahuan
hadirin sekalian, kedua mempelai merupakan pelajar perubatan di Russia. Perkenalan
di antara mereka semasa menuntut di Russia, akhirnya memutikkan rasa cinta dalam
hati kedua-dua pasangan ini.
Setelah mengenal hati budi masing-masing dan mendapat restu keluarga,
mereka mengambil keputusan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Dan pada hari
yang penuh bermakna ini, janji sepakat yang telah dibuat telah ditunaikan di dalam
Majlis yang penuh berbahagia ini.
Untuk makluman hadirin, kedua-dua mempelai ini telah selamat diijabkabulkan
pada 24 Ogos 2013 jam 10.00 pagi sekaligus melangsungkan walimatul urus di
kediaman ratu sehari bertempat di Bangi.
Demikianlah serba sedikit maklumat mengenai kedua mempelai.

MAKAN BERADAB
Puan dibawa ke gunung ledang
Dibawa penuh dengan beradab
Pinggan mangkuk telah terhidang
Kini masa makan beradab

Hadirin sekalian,
Aturcara majlis diteruskan lagi dengan upacara makan beradab oleh pasangan
mempelai bersama keluarga tercinta.
Kini majlis mempersilakan,yang diraikan raja dan ratu sehari, Wan mohd Faris
Fitri Bin Wan Mohamad Fuat dan Nur Dalila Akmal Binti Anuar untuk memulakan
upacara makan damai bersama dengan ahli keluarga dan para rombongan,
dipersilakan.

Semerbak harum bunga seroja
Dibelai pula dara pinggitan
Lauk pauk penuh semeja
Jemput mempelai nikmati hidangan

Dengan bacaan bismillahhirrahmannirrahim, dipersilakan mempelai dan para
hadirin sekalian menikmati segala hidangan. Majlis mempersilakan.


Jangan malu janganlah segan
Juadah hidangan harap dimakan
Kalau ada tak sampai tangan
Sama-samalah hulur-hulurkan


POTONG KEK
Hari bahgia hari yang indah
Dimana hari pengantin disatukan
Makan beradab selesai sudah
Aturcara majlis akan diteruskan

Majlis akan diteruskan dengan upacara memotong kek, dengan ini majlis
mempersilakan mempelai yang diraikan iaitu Wan Mohd Faris Fitri Bin Wan Mohd Fuat
dan Nur Dalila Akmal Bt Anuar untuk mengambil tempat bagi menyempurnakan
upacara. Majlis mempersilakan.

( mempelai memotong kek dengan diiringi lagu romantik)

Begitulah sempurnanya upacara memotong kek oleh pasangan dua sejoli ini.

Sesungguhnya manusia itu sememangnya memerlukan kepada cinta.kerana
cinta itu menjadikan hidup manusia lebih bermakna, bahagia, sempurna apatah lagi
melalui ikatan perkahwinan yang di tuntut agama.

Tuan-tuan,puan-puan dan para hadirin sekalian,

Tiup serunai diatas kota
Uda memupuk bunga melati
Mula kenal kemudian bercinta
Cinta tersemai didalam hati

Inilah yang dikatakan umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai ke destinasi

Tiada untaian kata yang mampu dilafazkan selain ungkapan rasa syukur dan ucapan
terima kasih yang tulus ikhlas daripada raja sehari dan ahli keluarga buat semua, atas
kesudian hadir dan memeriahkan majlis persandingan pada hari ini.




Tanam laguna tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuknya mati
Budi semua tak kami lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Dengan berakhirnya upacara memotong kek tersebut, selesailah sudah tugas
saya Noralfalina Bt Ali sebagai pengacara majlis menyambut menantu bagi pasangan
mempelai Wan Mohd Faris Fitri dan Nur Dalila Akmal, dikesempatan ini, saya ingin
memohon seribu kemaafan jika sepanjang saya mengacara majlis, terdapat
kekurangan dan terlanjur kata. Susungguhnya yang baik datangnya dari Allah s.w.t dan
yang buruk datangnya dari saya sendiri.
Saya juga mewakili pihak tuan rumah iaitu En Wan Mohamad Fuat dan Pn.
Mariam Bt Shamsudin ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada hadirin yang
sudi hadir bersama dengan kami, kehadiran tuan puan amat kami hargai.
Jumpa lagi di masa akan datang.
Saya tinggalkan hadirin sekalian dengan persembahan cak lempong daripada
kumpulan Ciniago.

Sekian, assalamualaikum w.b.t

Anda mungkin juga menyukai