Anda di halaman 1dari 3

Malaysia merupakan satu negara yang terkenal dengan kepelbagaian makanan dari

pelbagai lapisan masyarakat. Selain masakan tradisi yang boleh didapati di kedai dan
restoran, Malaysia juga dilimpahi dengan pelbagai makanan komersil yang dipeketkan serta
makanan segera dari pelbagai vendor seperti Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald.
Walau bagaimana pun kadar pengambilan makanan ini perlu dikawal kerana ia
mendatangkan mudarat kepada kesihatan pemakannya. Kebanyakkan isu kesihatan
berkaitan makanan ini pula sering dikaitkan dengan bahan tambah makanan atau disebut
sebagai aditif.
Aditif makanan adalah bahan yang selamat dimakan yang ditambah secara sengaja
ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi tidak termasuk vitamin dan mineral
(Kementerian Kesihatan Malaysia, 2014). Bahan tambah dalam makanan atau aditif ini
bukanlah satu teknologi atau penemuan baru, sebaliknya ia sudah ditemui dan digunakan
oleh nenek moyang manusia beratus tahun dahulu. Bahan-bahan ini ditambah ke dalam
makanan dengan tujuan untuk memanjangkan jangka hayat, menyedap, memekat atau
mewarnakan makanan. Antara contoh bahan tambah atau aditif yang digunakan ialah
garam, gula,rempah ratus dan cuka. Gula dan cuka digunakan untuk mengawet makanan
bagi memanjangkan jangka hayat makanan seperti buah-buahan dan sayuran. Garam pula
digunakan untuk mengawet daging dan ikan. Rempah ratus merupakan bahan tambah yang
bukan sahaja dapat menyedapkan makanan, tetapi dapat membantu memanjangkan
tempoh hayat makanan seperti daging apabila dijadikan bahan perapan. Kekayaan rempah
ratus yang hanya terdapat di Asia Tenggara telah menjadi salah satu punca penerokaan
yang dilakukan oleh negara-negara Eropah pada abad ke-15. Masyarakat Eropah pada
zaman tersebut amat memerlukan rempah ratus agar dapat memvariasikan rasa daging
mentah yang sebelumnya hanya diawet menggunakan garam sahaja.
Bahan tambah dalam makanan boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu organik
dan sintetik atau tiruan. Bahan tambah dalam makanan organik adalah bahan tambah yang
di dapati secara semulajadi dari alam sekitar seperti rempah ratus, garam, gula dan bunga-
bungaan. Rempah ratus, garam dan gula telah dibincangkan kegunaanya manakala bunga-
bungaan digunakan untuk mewarnakan dan merasakan makanan. Antara bunga yang
digunakan untuk memberi warna kepada makanan seperti air minuman ialah bunga mawar.
Bunga mawar bukan sahaja dikenali dengan baunya yang harum, ia juga boleh digunakan
untuk mewarna makanan dengan menggunakan bunganya yang mempunyai pelbagai
variasi warna. Bunga krisantimum juga merupakan satu lagi spesis bungan yang di tambah
ke dalam minuman untuk memberi rasa dan sedikit warna kekuningan kepada air tersebut.
Bunga ini juga mempunyai nilai perubatan dimana ia dapat mengurangkan panas badan. Di
Malaysia, kedua-dua bungaan ini mendapat permintaan yang meluas dalam industri
makanan bukan sahaja kerana ia mudah di dapati, tetapi juga kerana harganya yang tidak
terlalu mahal. Air yang ditambah bunga krisantimum lebih dikenali sebagai the bunga
krisantimum manakala bunga mawar digunakan sebagai pewarna merah berperisa ros.
Bahan tambah dalam makanan sintetik atau tiruan merupakan bahan tambah yang
dihasilkan oleh ahli sains dalam makmal dan kemudiannya dikomersilkan untuk kegunaan
industri makanan. Terdapat beberapa kategori bahan tambah iaitu bahan pengawet, bahan
pewarna, bahan perisa, penambah perisa, antipengoksida dan kondisioner makanan. Bahan
pengawet digunakan untuk memanjangkan jangka hayat sesuatu produk makanan dimana
ia menghalang pertumbuhan kulat dan bakteria manakala bahan pewarna digunakan untuk
memberi warna yang menarik kepada makanan. Bagi mengekalkan rasa asal dan istimewa
sesuatu produk makanan, bahan perisa ditambah ke dalam produk makanan yang
dihasilkan. Penambah perisa pula merupakan satu bahan yang ditambah ke dalam
makanan untuk memperkuat dan menambah rasa yang telah sedia ada pada makanan
tersebut. Antipengoksida adalah bahan yang membantu melambatkan proses yang
membuatkan makanan berbau tengik dan kurang menyelerakan. Kondisioner makanan pula
mempunyai pelbagai jenis bergantung kepada fungsi yang berbeza dalam penghasilan
sesuatu prodduk makanan. Tujuan utama kondisioner ditambah ke dalam makanan ialah
untuk mendapatkan ciri-ciri makanan yang diingini. Kesemua bahan ini boleh ditemui dalam
makanan komersil dan segera yang dijual di pasaraya dan kedai runcit dan diambil setiap
hari oleh rakyat Malaysia.
Kehadiran bahan tambah dalam makanan atau aditif terutamanya dalam bahan
makanan komersil sering kali diabaikan oleh masyarakat Malaysia. Majoriti rakyat Malaysia
tidak mengamalkan tabiat memeriksa label makanan yang terdapat pada pembungkus
makanan yang ingin dibeli. Pemeriksaan label makanan adalah amat penting kerana setiap
orang perlu mengetahui apa yang dimakan kerana sekiranya berlaku keracunan atau
masalah kesihatan, pasukan perubatan dapat mengenal pasti dengan lebih mudah dan
cepat masalah yang dihadapi melalui makanan yang diambil oleh pesakit. Kelewatan dalam
mengesan punca masalah keracunan atau kesihatan yang berkait dengan makanan boleh
meningkatkan risiko diagnosis dan rawatan yang tidak tepat seterusnya menambahkan
komplikasi masalah kesihatan yang dihadapi atau lebih teruk, membawa maut. Di bawah
Peraturan-Peraturan Makanan 1985, setiap makanan yang telah ditambah bahan tambah
atau aditif perlu menyatakan kehadiran bahan tambah tersebut di label pada pembungkus
makanan tersebut. Senarai ramuan sesuatu bahan makanan perlulah mempunyai
pernyataan, mengandungi (jenis bahan tambah dalam makanan yang berkenaan) yang
dibenarkan, di mana ia menyatakan bahan tambah yang telah ditambah ke dalam produk
makanan tersebut. Terdapat juga label makanan yang mempunyai pernyataan yang
menyatakan secara spesifik bahan tambah yang digunakan dalam makanan tersebut,
contohnya, mengandungi bahan pewarna yang dibenarkan (Ponceau 4R).
Kebanyakkan label makanan pada masa kini, terutamanya pada makanan yang
diimport dan dieksport ke dalam dan luar negara mempunyai senarai ramuan yang disertai
dengan kod antarabangsa bagi bahan tambah dalam makanan atau aditif. Masyarakat
Malaysia mungkin ramai yang kurang terdedah kepada pengetahuan tentang kod makanan
ini. Kod antarabangsa bagi bahan tambah dalam makanan bermula dengan huruf E. Setiap
kod memberi indikasi kepada bahan tambah yang digunakan dalam produk makanan yang
dipasarkan. Sebagai contoh, kod E450 ialah pengemulsi sodium pyrofosfat sementara kod
E129 ialah pewarna tiruan Allura Red. Bahan tambah tiruan ini juga mempunyai kesan-
kesan negatif terhadap badan manusisa yang telah dibuktikan oleh para saintis melalui
kajian yang dijalankan. Antara bahan tambah yang mempunyai kesan negatif terhadap
manusia ialah pewarna tiruan dimana ia di dapati mencetuskan alahan terutamanya kepada
kanak-kanak dan juga orang dewasa yang sensitif terhadap bahan ini. Penambah perisa,
sebagai contohnya Monosodium Glutamate (MSG) memberi risiko kepada pemakannya
mengalami masalah sakit dada dan ketagih untuk mengambil makanan yang sama.
Pengetahuan berkaitan kod-kod ini serta jenis-jenis bahan tambah dalam makanan adalah
amat penting kerana ia akan diproses oleh badan manusia dan mempunyai kemungkinan
yang amat tinggi untuk diserap oleh tubuh badan.
Walau bagaimana pun, bahan tambah dalam makanan ini juga merupakan satu
perkembangan sains dan teknologi yang positif di mana ia membantu manusia sejagat untuk
menambah baik kualiti makanan agar lebih selamat untuk di makan dan dapat bertahan
untuk jangka masa yang lebih panjang. Pengetahuan berkaitan bahan tambah dalam
makanan adalah amat penting kerana ia bukan sahaja mampu mambantu kita mengawal
pemakanan, ia juga akan banyak membantu dalam mengurangkan risiko menghadapi
penyakit berbahaya yang secara tidak langsung disebabkan oleh bahan tambah dalam
makanan yang diambil secara berterusan dalam tempoh masa yang panjang. Oleh itu
adalah amat penting bagi masyarakat Malaysia untuk mempunyai kesedaran dalam
mendapatkan maklumat yang ringkas dan padat berkaitan bahan tambah dalam makanan
atau aditif ini.

Anda mungkin juga menyukai