Anda di halaman 1dari 4

RENCANA

ARKIB : 03/01/1999

Moral dan undang-undang -- Jangan gadai maruah


dan negara untuk keseronokan hari ini
BAGI sesebuah masyarakat yang bertamadun, perbincangan mengenai soal moral ataupun akhlak
tidak dapat dielakkan, walaupun ia sering menimbulkan kontroversi. Ini berlaku kerana apabila
manusia mula hidup bermasyarakat, peraturan terpaksa diwujudkan bagi menentukan hak dan
tanggungjawab. Darinya lahirlah adat resam yang menggariskan kaedah dalam menguruskan
perhubungan di antara individu dan masyarakat dan di sebaliknya.
Apabila masyarakat mempunyai persamaan sama ada dari segi bangsa atau sempadan negara yang
lebih tetap dan terjamin, maka timbullah keperluan untuk mengadakan undang-undang yang boleh
diterima. Undang-undang seterusnya terjalin dari budaya dan adat resam yang perlu
dikuatkuasakan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat serta negara yang telah
ditubuhkan.
Undang-undang juga boleh ditentukan dari sumber hukum agama yang diturunkan Allah melalui
para nabi dan rasul ataupun melalui kepercayaan yang dijuruskan melalui pegangan falsafah atau
kepercayaan masyarakat berkenaan.
Dalam hubungan ini kita perlu melihat bagaimana moral dan undang-undang mempunyai
hubungan yang bertaut. Adakala hubungan tersebut jelas dan adakalanya juga kabur.
Oleh kerana undang-undang dan moral mempunyai kaitan yang rapat maka ia menjadi unsur
penting dalam kehidupan harian manusia bagi menjamin kesempurnaan dan kesejahteraan.
Seorang ahli falsafah di abad kelapan belas, Immanuel Kant, dalam penulisannya bertajuk Critique
of Pure Reason menyatakan, "Dua perkara mengisi pemikiran saya dengan penuh kehairanan dan
ketakjuban - lebih kerap dan lebih hebat lagi ialah apabila saya membayangkan perkara tersebut
semasa memerhati langit di atas dengan bintang-bintang yang bergemerlipan serta undang-undang
dan akhlak yang tertanam di jiwa."
Immanuel Kant telah memilih pendekatan yang mencantumkan akhlak dan undang-undang dan
disebut sebagai undang-undang akhlak. Namun semenjak itu bukan sahaja dua perkara tersebut
terpisah, malahan kedua-duanya sudah mula diberi penakrifan yang tersendiri. Keadaan ini
membuatkan masyarakat bertanya tentang - apakah undang-undang dan apakah akhlak?
Penulis Alexander Pope pula dalam karyanya #An Essay On Men membuat pemerhatian bahawa
Order Is Heaven's First Law, ia bermaksud ketenteraman adalah undang-undang pertama di syurga.
Sebenarnya undang-undang adalah satu kumpulan peraturan atau kanun rasmi yang dibuat oleh
mereka yang berkuasa untuk mengawal hal ehwal masyarakat dan negara.
Mengikut Austin, "setiap undang-undang mengandungi peraturan untuk memandu manusia yang
waras dan ditadbir oleh manusia yang waras.'' Dalam konteks negara ia bermaksud kita memerlukan
kewujudan kerajaan yang waras untuk memerintah rakyat yang waras. Ini tidak bermakna bahawa
masyarakat primitif tidak mempunyai peraturan, ataupun undang-undang yang berkuat kuasa bagi
mengawasi tatacara hidup mereka. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Alexander Pope, "untuk
keamanan dan ketenteraman dalam sesebuah masyarakat, undang-undang diperlukan.''

Persoalan yang timbul apabila kita memperkatakan tentang penakrifan undang-undang ialah apakah
perlu dibezakan antara undang-undang Tuhan dan undang-undang yang dicipta oleh manusia.
Dalam Islam, konsep hukuman terhadap kesalahan dilihat melalui dua pendekatan.
Pertama melalui undang-undang yang berdasarkan kepada hukum Tuhan yang ditetapkan mengikut
kaedah yang ditentukan oleh Quran atau sunah rasul.
Keduanya, jika hukuman tersebut tidak dilaksanakan kerana sebab-sebab tertentu seseorang itu
masih lagi tidak dapat mengelakkan dirinya dari hukuman Allah melalui konsep dosa di akhirat
kelak.
Dalam kata lain jika seseorang tidak mematuhi undang-undang atau melanggarnya ia tetap tertakluk
kepada hukuman Tuhan di atas kesalahan yang dilakukan. Justeru itu, kepatuhan kepada undangundang berjaya dilaksanakan kerana ada ancaman hukuman terhadap mereka yang melanggarinya.
Moral ataupun akhlak secara umumnya adalah nilai-nilai yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat
pada sesuatu masa yang boleh berubah menjadi adat.
Ia juga kemudiannya boleh bertukar menjadi satu peraturan hidup bermasyarakat. Standard yang
diterima oleh masyarakat akan berubah dari masa ke masa mengikut sistem nilai yang diamalkan
oleh masyarakat berkenaan.
Apabila membicarakan persoalan hak dan batil ia selalunya dikaitkan dengan prinsip ajaran agama
dan hukum agama yang dipanggil sebagai undang-undang Tuhan.
Walaupun boleh dikatakan bahawa akhlak sebenarnya bersendikan ajaran agama tetapi ia juga boleh
berkembang dari pegangan dan pandangan masyarakat yang mengambilnya sebagai amalan lazim.
Di peringkat awal perkembangan undang-undang, terangkum dalam sistem akhlak yang diakui perlu
dipertahankan oleh masyarakat tetapi kini proses mengasingkan undang-undang daripada akhlak
sudah menjadi kenyataan.
Keadaan ini berlaku kerana kebebasan dan hak individu diberikan keutamaan mengatasi hak
masyarakat. Ini timbul kerana masyarakat umum pada mulanya tidak mengambil kisah, tidak mahu
terlibat dan menjadi lebih toleran terhadap isu ini. Lama-kelamaan nilai dan norma sebegini
menjadi satu cara hidup baru yang diterima oleh masyarakat, walaupun ia bertentangan dengan
moral ataupun sifat-sifat kemanusiaan.
Sememangnya akhlak mempengaruhi bentuk dan jenis undang-undang yang diwujudkan. Namun
demikian undang-undang kini tidak lagi menentukan bentuk akhlak yang boleh diungkapkan dalam
sesebuah masyarakat.
Mungkin kerana pertentangan sedemikianlah yang menyebabkan salah seorang karakter dalam
drama Pygmallion karya Bernard Shaw bernama Doolittle, bila dipersoal tentang sama ada beliau
ada moral ataupun tidak menjawab, "saya tidak mampu tuan, tuan juga saya percaya tidak mampu
memilikinya, jika tuan semiskin saya.'' Akhlak dianggap sebagai sesuatu kemewahan untuk dimiliki
oleh seseorang.
Dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat masa kini serta perkembangan sistem kapitalis secara
meluas, masyarakat terus memberikan keutamaan kepada individu yang memilih kebebasan untuk
diri masing-masing.
Umpamanya berdasarkan kepada undang-undang seseorang mungkin dikenakan hukuman ke atas
kesalahan tertentu melibatkan seks tetapi dalam masa yang sama terdapat juga kesalahan seks yang
boleh terlepas dari hukuman undang-undang seperti pelacuran, menyimpan teman wanita dan
hidup bersama sebagai suami isteri tanpa nikah. Semua ini sememangnya berlaku tetapi undangundang tidak menganggapnya salah.

Undang-undang sepatutnyalah berasaskan kepada pemikiran waras. Sebagaimana dikatakan oleh


W.S.Gilbert, "undang-undang adalah rangkuman segala yang cemerlang. Ia tidak seharusnya ada
kecacatan.''
Sir Edward Cooke, seorang pakar undang-undang pula menyebut, "semenjak sekian lama, jika ia
bertentangan dengan kewarasan pemikiran, ia tidak patut berkuat kuasa sebagai undang-undang.''
John Milton dalam bukunya, Paradise Lost menyatakan Tuhan memerintahkan dan meninggalkan
perintahnya, yang lain dapat terus hidup, undang-undang untuk kita, kewarasan kita adalah
undang-undang kita.'' Apa yang dimaksudkan ialah undang-undang yang baik semestinyalah
berasaskan kepada pemikiran yang waras.
Masyarakat pada masa lampau menganggap hubungan homoseks (hubungan seks sesama jenis)
ataupun biseksuals sebagai bertentangan dengan hukum akhlak dan sekali gus ia menjadi kesalahan
di sisi undang-undang. Dengan peralihan masa dan juga perubahan sistem nilai masyarakat, banyak
negara khususnya di Barat menganggap kelakuan ini sebagai perkara biasa dan tidak seharusnya
menjadi kesalahan di sisi undang-undang.
Keadaan ini berlaku kerana mereka berpegang kepada prinsip kebebasan individu yang bertindak
untuk kepuasan dirinya selagi ia tidak melanggar hak orang lain.
Justeru itu undang-undang diwujudkan bagi menghalalkan perbuatan sumbang di antara dua pihak
yang melakukannya secara rela hati. Ada negara yang memberikan hak sehingga boleh berkahwin
sesama jenis dan juga mewarisi harta. Soal moral diketepikan, dan kesan buruk terhadap
masyarakat tidak menjadi pertimbangan.
Semuanya atas nama hak asasi dan kebebasan. Namun demikian pemisahan akhlak dan undangundang tidak boleh berlaku dalam sistem Islam, kerana undang-undang dan akhlak dianggap dari
intipati yang sama.
Persoalan yang sering ditimbulkan dalam perbahasan mengenai moral dan undang-undang ialah
sama ada kesalahan moral sesungguhnya patut dijadikan kesalahan di sisi undang-undang.
Persoalan mengenai kedudukan moral dalam konteks undang-undang memang selalu mencetuskan
konflik. Malahan cukup menarik sekali jika dikemukakan persoalan sama ada undang-undang perlu
menjadi pelindung kepada moral atau di sebaliknya moral sendiri menjadi pendukung kepada
undang-undang.
Tidak dapat dinafikan bahawa dalam undang-undang terkandung nilai moral yang diamalkan oleh
sesuatu masyarakat. Namun ia tidak pula secara keseluruhannya menjadikan kesalahan yang
berlaku di sisi akhlak sebagai sesuatu kesalahan di sisi undang-undang.
Mengikut sistem dan kaedah hukum, undang-undang berteraskan undang-undang Barat, akan
hanya mengambil kira isu moral jika ia menjejaskan ketenteraman awam atau merosakkan
keamanan atau kestabilan masyarakat.
Bagi mengelakkan kritikan tentang hak asasi dan kebebasan individu, banyak negara Barat mencari
penyelesaian secara cepat dengan menghalalkan banyak kategori salah laku seks.
Kesan dari tindakan ini ialah mereka berhadapan dengan isu moral yang tidak berkesudahan seperti
isu melibatkan euthanasia, pengguguran, bunuh diri dan sebagainya.
Apa juga pegangan atau kepercayaan kita, undang-undang semestinyalah mengiktiraf bahawa moral
adalah sistem nilai yang mengikat masyarakat. Jika ia dipisahkan sudah tentu masyarakat akan
menjadi lebih toleran terhadap tindakan yang tidak bermoral, semata-mata kerana ia tidak
bertentangan dengan undang-undang dan kepentingan masyarakat umum.
Masing-masing akan merasakan tidak bersalah bila melakukan pelanggaran moral kerana orang lain
juga melakukannya tanpa menerima sebarang hukuman.

Kesan buruk hasil dari pemisahan moral dan undang-undang ialah bertambahnya kesalahan jenayah
kerana perasaan bersalah atau berdosa tidak lagi diambil kira.
Ramai yang akan terus bermaharajalela melakukan perbuatan salah laku moral kerana mereka
mengambil sikap bahawa selagi undang-undang tidak merangkumkannya sebagai satu kesalahan
maka ia boleh dilakukan tanpa perasaan bersalah atau berdosa.
Bagi menjamin kesinambungan masyarakat yang sejahtera dan bahagia, kehidupan tidak seharusnya
diuruskan semata-mata berteraskan kepada undang-undang. Malahan amat penting sekali bagi
masyarakat mewujudkan kekuatan adat serta budi pekerti yang baik dan sempurna yang berteraskan
amalan positif bagi menghindar bangsa dan negara terjerumus ke lembah kehinaan.
Adalah penting bagi kita tidak menggadaikan maruah dan martabat bangsa hanya untuk menikmati
keseronokan hari ini tetapi akan menjejaskan masa depan anak cucu kita.
Moral dan undang-undang sering berdampingan antara satu sama lain. Ada kalanya ia perlu
disatukan. Namun, apabila penyatuan tidak dapat dicapai kita harus mewujudkan suasana di mana
kedua-duanya menjadi kaedah hidup yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Ini
perlu dilakukan bagi menentukan kesejahteraan yang berasaskan nilai-nilai suci dan murni akan
terbina.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=1999&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz3y5LkxeQN
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai